Tahir tenang memandu membawa majikannya ke lokasi yang ingin ditujui. Ada mesyuarat dengan rakan kongsinya pada pagi itu.
"Aku tak boleh tunggu lagi. Kau kena tolong carikan jalan penyelesaian. Makin lama makin tak ingat rumah Si Hud ni. Buat rumah macam hotel."
"Saya dah cuba Dato', tapi ibunya macam susah nak lepas, saya dah jumpa gadis yang sesuai untuk Hud." Dia mencuri pandang pada Dato' Huzairi di tempat duduk belakang melalui cermin pandang belakang. Aura tegas sentiasa terpamer di wajah lelaki yang berkarisma tinggi itu. Entah apalah motifnya mahu mencari gadis kampung buat anak lelakinya itu.
"Aku tak kira, kau pujuklah macam mana pun. Aku nak kau tolong carikan gadis kampung untuk Hud. Carikan sesiapa sahaja asalkan masih dara dan semoga boleh ikat Hud dari terus liar di luar sana. Aku tak nak dia terus hanyut dengan perempuan mana entah yang selalu berkepit dengan dia tu. Hidup bebas dah tak fikir halal haram. Nak ikut sangat cara hidup mat salleh dia tu. Orang hantar belajar ke luar negara bukan nak suruh terikut - ikut budaya sana." Dato' Huzairi tak sudah - sudah dengan bebelannya.
"Saya cuba lagi Dato'. Tapi Dato' kena bagi masa untuk saya selesaikan."
"Aku bagi masa sampai hujung bulan ni. Ingat tawaran yang aku dah janjikan untuk kau. Kau pun dah ambil separuh dari duit tu. Jangan nak lari dari perjanjian yang kau dah buat dengan aku." Nafas panjang terhembus dari hidung Dato' Huzairi. Sesekali dia bawa pandang ke arah tingkap cermin kereta.
"Ye, saya tau dato'. Saya akan cuba juga selesaikan sehingga Hud berkahwin dengan dia." Dia mencuri pandang lagi pada cermin pandang belakang.
"Bawa aku jumpa ibu dia..."
"Errr, jumpa ibu dia??? Dato' bagi masa untuk saya bincang dulu yer, saya tak nak ibu dia terkejut pula nanti apabila tiba - tiba Dato' datang ke sana." Tidak tenang Tahir untuk memandu kereta.
"Sampai bila? Kau jangan main - mainkan aku Tahir. Tak pun kau bagi anak kau untuk jadi menantu aku. Aku tau, kau pun ada seorang anak perempuankan..."
Tahir hela nafas. Cadangan majikannya itu buat dia tersentak. Tak... Tak mungkin. Nureen tak boleh... Menyesal pula dia ambil advance lebih awal sebelum kerjanya selesai. Ni semua sebab Nureen. Anaknya itu merengek - rengek minta dibelikan laptop baru. Katanya yang lama sudah rosak. Memikirkan untuk memudahkan urusan belajar si anak, maka dia sanggup mengambil wang pendahuluan upahnya terlebih dahulu. Yer, upah untuk dia mencarikan isteri buat anak majikannya adalah sebanyak sepuluh ribu Ringgit Malaysia. Tersangat lumayan bagi dirinya. Sebab tu dia sanggup dan tidak menolak apabila diberikan tugas baru tu. Dalam kepalanya sudah terbayang wajah gadis yang sesuai dijodohkan dengan anak majikannya itu.
"Anak saya masih belajar lagi Dato'. Banyak benda yang dia tak tau. Apatah lagi nak uruskan rumah tangga. Nak jaga diri - sendiri pun ke laut." Hanya idea itu yang terlintas di fikirannya saat ini.
"Kenapa? Lagi senangkan urusan kau. Tak payah susah - susah nak cari calon yang lain... Aku nak kahwinkan Hud sebab nak ikat dia. Biar dia tau apa itu erti tanggungjawab. Ada sebab aku nak sangat gadis kampung jadi calon menantu aku. Bukannya aku suka - suka buat pilihan."
"Tak... Tak - tak... Tak boleh..." Hujung kuku telunjuk kanannya dia gigit. Nureen sendiri pun masih lagi terumbang - ambing hidupnya, inikan pula nak jadi pembimbing orang lain... Memang dua - dua karam di lautlah nanti. Dia kenal sangat perangai anak perempuannya macam mana, kuat memberontak, mudah baran, perengus... Hmmm, kalau nakkan sesuatu mesti kena dapatkan juga. Jika tidak mulalah muncungnya panjang se depa. Demi satu - satunya anak perempuan yang dia ada, dipejamkan juga mata untuk memenuhi apa jua kehendak anak daranya itu.
"Abang fikirkan apa tu? Apa yang 'tak - tak' tu?... Pasal hal majikan abang tu ke?"
Tahir pandang pada wajah isterinya. Bayangan Dato' Huzairi hilang lenyap sekelip mata. Yang terpampang di depan matanya kini adalah Rokiah, isterinya.
"Hummm..." Dia menghela nafas. Langsung memandang kembali ke arah TV yang sedang terpasang. Harini dia meminta pelepasan dari majikannya. Tujuannya adalah untuk memujuk Sakinah. Sehingga ke hari ini masih belum terpujuk walaupun sedikit ugutan dan paksaan dia sudah berikan.
Rokiah mengambil tempat di kerusi sebelah suaminya. Kerusi rotan yang sudah berusia puluhan tahun yang dibeli di awal perkahwinan mereka dulu masih lagi utuh. Cuma kusyen dan sarungnya sudah beberapa kali bertukar ganti.
"Orang nak bagi hidup senang pun susah. Kalau anak dia kahwin dengan Si Hud tu, takdelah dia nak susah - susah lagi buat kerja berat. Confirmlah Dato' Huzairi tak kan biarkan besannya hidup susah." Omelnya. Kepada si isteri pula dia lepaskan. Dah puas dia mengadap adik iparnya itu. Satu pun tidak terkesan di hati.
"Apakata abang bagi je pada Nureen. Anak kita pun apa kurangnya. Nanti kita juga boleh menumpang senang. Buat apa nak kenenkan pada orang yang tak sudi." Rokiah bersuara. Dia sudah berangan - angan dan mula terbayang betapa beruntungnya mendapat menantu anak orang kaya. Besannya pun bukan calang - calang orang. Hmmm, hidup mereka pun mesti akan berubah.
"Yang awak tersenyum - senyum ni kenapa? Dah berangan nak bermenantukan anak orang kayalah tu. Huhhh, Tak akan sekali - sekali abang bagi anak kita pada anak Dato' Huzairi. Awak nak ke dapat menantu yang liar, berpoya sana, berpoya sini. Hidup bebas. Orang yang macam tu awak nak jadi laki pada anak kita. Ishhh, risau, entah - entah dah ada penyakit kelamin." Tahir menempelak. Sebab tu dia memikirkan yang Tia adalah calon lebih sesuai. Anak saudaranya itu seorang yang lurus mesti akan mengikut cadangannya.
"Kenapa tak cari orang lain? Tia tu darah daging abang. Sanggup abang pergunakan darah daging sendiri semata - mata nak puaskan hati abang." Walaupun dia tidak berapa sukakan adik ipar suaminya itu, tetapi dia juga tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh suaminya itu. Tia tu masih budak lagi. Lagipun Tia tu tak berdosa dan tak tau apa - apa.
"Tak payah nak sibuk, abang tau apa yang abang buat. Jangan masuk campur urusan abang," marah Tahir. Bengang apabila ada yang nak membantah apa yang dia sudah rancangkan. Dia mengetap rahang. Marah benar pada arwah adiknya yang sudah tiada itu.
Beberapa kali Tahir melepas nafasnya. Tidak pula dia memberitahu isterinya yang dia sudah mengambil separuh dari duit upah untuk kerjanya mencari calon isteri buat anak majikannya itu. Semua kerana keadaan yang telah mendesak memandangkan anaknya sudah merengek mahukan laptop baru kerana Final exam sudah hampir mendekat dan untuk memudahkan urusan untuk mengulangkaji pelajaran.
Tahir bingkas bangun dari kerusi. Baru teringat akan sesuatu. Laju langkahnya menuju ke pintu. Kunci motosikal pada tempat penyangkut kunci di tepi pintu utama dia capai kasar.
"Abang nak pergi mana?"
"Hmmm..." Tahir mendengus. Sibuk je nak menanya.
"Ke rumah Sakinah..."
"Abang nak buat apa pergi sana." Bau - bau cemburu sudah terdengar pada lenggok kata - katanya.
"Nak hantar duit kuih. Haritu Si Sameon buat kenduri tahlil, ada order kuih dengan Sakinah. Ni nak pergi hantar duit pada dialah." Dijawab juga soalan isterinya, tidak mahu si isteri memikirkan perkara yang bukan - bukan.
"Emmm, kenapa tak suruh Kiah je yang buat? Abang memang sengaja nak pergi sanakan... Pantang ada peluang."
"Apa yang awak merepek ni? Ke situ pulak... Awak nak buat kuih??? Huhhh, kuih apa yang awak tau??? Setakat lempeng tu bolehlah, tu pun kadang - kadang kerasss, kadang - kadang hangus..." Perli Tahir sambil mencebik.
"Nak buat kuih konon..."
Wajah Rokiah sudah masam mencuka. Ingat dia tak terasa dengan kata - kata pedas suaminya itu. Bukannya dia tak tau yang suaminya ini memang ada hati dengan janda adik iparnya itu. Pantang ada ruang dan peluang memang taklah suaminya itu lepaskan. Isteri mana yang tak cemburu apabila ada mata - mata orang kampung yang melapor. Sikit - sikit Sakinah. Sakinah itulah, Sakinah inilah. Eeee, naik meluat pula dia.
*******
"Errr, abang long nak apa datang sini?" Sakinah yang terbongkok - bongkok merumput pada batas sayur terkejut. Serta - merta dia bangun berdiri. Membetulkan belakang bajunya yang sedikit tersingkap. Matanya liar mencari kelibat Tia. Anaknya itu sedang menyiram anak pokok sayur selang dua puluh langkah dari tempatnya berdiri.
"Aku nak bagi duit upah kuih. Kau dah lupa ke ada orang ambil upah kuih dengan kau minggu lepas. Ke kau tak nak duit ni?" Tahir buat - buat ingin memasukkan semula duit di tangannya ke dalam poket bajunya.
"Mestilah nak. Tu upah penat lelah Kinahkan." Sakinah membalas tegas. Wajahnya tiada secebis senyum pun.
"Haaa, tau pun. Ingat dah lupa..." Dia hulurkan duit itu kembali kepada Sakinah. Matanya tunak memandang ke arah ank saudaranya yang sibuk dengan tugasnya. Langsung tak ada rasa mahu menyalaminya. Hummm, budak - budak zaman sekarang... Sudah hilang rasa hormat pada orang tua.
"Macam mana dengan saranan aku nak jodohkan Tia dengan anak kawan aku tu? Kau masih tak setuju???" Dia berbasa - basi. Memang itu juga salah satu asbab tiap kali dia datang ke sini.
"Bagi je pada anak abang long. Jangan sibuk urusan anak Kinah, Tia dah ada orang lain." Sakinah membalas dengan perasaan jengkel. Susah betul nak layan dengan jenis tak faham bahasa ni. Dah banyak kali cakap 'tak' pun masih juga nak menanya.
"Kau jangan sombong Kinah. Aku ni niat nak bantu kau. Bantu keluarga kau. Kalau Tia kahwin dengan anak kawan aku tu, lap kaki je masuk rumah. Semua sudah lengkap tersedia. Kau pun boleh tumpang senang. Beruntung tau dapat besan orang kaya. Bila lagi kau nak ubah hidup keluarga kau..."
"Ubah hidup keluarga abang long dulu. Hidup keluarga sendiri pun masih tak sempurna, jangan sibuk nak campur urusan hidup keluarga orang lain. Kinah tak hadap dengan semua tu. Apa yang Kinah ada sekarang ni sudah lebih dari cukup. Hidup Kinah dah cukup bahagia anak - beranak." Sakinah membalas berani.
Tahir geleng kepala. Satu dia bagi ayat, sepuluh pula adik iparnya ini membalas. Dasar perempuan memang tak nak kalah.
"Suka hati kaulah. Orang nak bantu supaya kau anak - beranak dapat hidup senang pun susah, bukannya nak ucap terima kasih. Hmmm... Manusia yang tak tau erti bersyukur." Bebel Tahir. Dia angkat kaki mahu berlalu pergi dari situ.
"Terima kasih bagi duit kuih..." Sakinah melaung. Tetapi Tahir langsung tidak berpaling.
Tahir teruskan langkahnya ke arah motosikal.
*******
"Ni kuihnya Mak Tom," kuih yang sudah siap dipack ke dalam bekas plastik itu dia keluarkan dari dalam bakul. Satu persatu dia susunkan ke atas meja.
"Lambat hantar kuih harini? Biasa pukul tujuh dah sampai warung Mak tom." Mak Tom datang mendekat. Ralit dia melihat ke arah Tia yang fokus menyusun kuih - kuih di atas meja.
"Lambat terjaga pagi tadi Mak Tom, Dah tu hujan lebat pulak. Hujan reda je terus gerak ke sini. Kesian dekat ibulah, huru hara dia nak menyiapkan kuih itu ini. Ni pun ada dua jenis kuih yang tak sempat nak buat." Tia membalas.
"Emmm, yela, ibu kamu tu wanita kuat. Beruntung pula ada anak yang rajin, dahlah cantik." Mak Tom memuji.
Wajah Tia merona merah apabila dipuji depan - depan seperti itu. Selalu sangat Mak Tom memujinya. Kata Mak Tom, nasib baik juga Mak Tom takde anak lelaki, kalau tak dah lama dia pergi masuk meminang.
"Warung Pak Seman kamu dah hantar belum kuihnya." Mak Tom menyoal. Tau yang kuih -kuih Sakinah hanya dihantar di Warungnya dan juga Pak Seman.
"Dah Mak Tom. Ibu terus hantar ke sana selepas hantar Taufiq ke sekolah," maklum Tia. Dia sudah meletak bakul kuihnya yang sudah kosong ke bahagian tepi meja. Nanti petang baru dia ambilnya kembali.
"Mak Tom, Tia balik dulu yer."
Mak Tom mengangguk. "Kamu tak nak minum - minum dulu ke? Duduklah sarapan. Jangan risau, harini Mak Tom belanja." Mak Tom mempelawa.
"Takpe Mak Tom, Tia nak kena balik cepat. Ada tauke nak datang ambil sayur. Lain kali je yer. Assalamualaikum Mak Tom." Tia melangkah laju, tetapi sempat dia membalas lambaian Mak tom itu.
"Emmm, baiklah Tia. Hati - hati bawa basikal. Jalan licin sebab baru lepas hujan. Kirim salam ibu kamu. Waalaikumussalan..."
Tia mengayuh basikalnya penuh hati - hati. Hujan yang turun lebat dari selepas subuh tadi baru sekarang berhenti.
"Kayuh basikal hati - hati Tia. Jangan bawa laju - laju, jalan licin."
Dengan sebelah tangan memegang handle basikal, Tia melambai kepada Mak Tom apabila mendengar laungan suara dari wanita itu. Sempat pula Mak Tom memberi kata - kata nasihat. Wanita ini sudah dia anggap seperti ibunya sendiri. Tidak lokek dan tidak pernah berkira. Selalu menolong keluarganya tanpa dia pinta.
Dari jauh terlihat van Tauke Lim terparkir elok depan rumah. Dah sampai rupanya. Hatinya berdesis. Sampai sahaja di rumah, basikal dia letakkkan di tepi tangga. Langsung ke belakang rumah. Ibunya sudah ada di situ bersama Tauke Lim. Mungkin sedang berbincang tentang harga sayur yang mahu ditolak pada peraih sayur berbangsa cina itu.
*******
"Jumpa saya dekat bilik bacaan."
Arahan yang terbit dari mulut majikannya itu dia balas dengan anggukan.
Dia membontoti langkah Dato' Huzairi ke dalam rumah usai meletak kereta ke dalam garaj.
"Macam ada hal yang penting, sampai tak boleh bincang dalam kereta." Tahir bergumam. Tapi suaranya hanya tersekat di dalam kerongkong.
"Abang Tahir nak air?" Sulis menegur apabila terserempak dengan lelaki itu di ruang tamu.
"Takpe, aku nak cepat, nak jumpa Dato' di bilik bacaan." Dia membalas sepintas lalu sebelum terkocoh - kocoh mendaki anak tangga ke tingkat atas. Bilik bersaiz sederhana besar yang letaknya tidak berapa jauh dari tangga dia tujui. Tau di situ adalah bilik bacaan yang disebut oleh Dato' Huzairi memandangkan sudah beberapa kali dia masuk ke bilik itu.
"Masukkk..."
Dia membuka pintu sejurus mendengar arahan masuk selepas beberapa kali mengetuk pintu bilik itu.
Di dalamnya Dato' Huzairi sudah sedia menunggu. Tahir ambil tempat di kerusi kosong depan Dato' Huzairi. Menunggu apa yang akan dibicarakan oleh lelaki itu.
"Bawa aku jumpa dengan gadis tu."
Tahir tersentak. Dia telan liur beberapa teguk.
"Kau dengar tak?" Dato' Huzairi menekan suaranya apabila pemandunya itu hanya berdiam diri.
"De... Dengar Dato'... Emmm... Emmm... Baikkk." Tergagap suaranya...
Happy reading ❤️ Es Lilin
Share this novel