Tia menolak perlahan pintu bilik itu. Bilik bersaiz anggaran 10 x 10 kaki itu dia pandang ke segenap ruang dalamnya.
Ada sebuah katil serta tilam bersaiz queen bersama almari dan meja solek. Itu pun dah cukup selesa bagi Tia jika nak dibandingkan dengan biliknya di kampung.
Tia melabuhkan punggungnya di atas tilam. Bersih juga bilik ini. Rumah ni walaupun tiada orang duduk tetapi tetap terjaga. Mungkin bapa mentuanya ada mengupah orang untuk membersihkan luar dan dalam rumah ini.
Dia bangun dan hampiri pintu bilik. Terus ditekan untuk lock pada tombol pintu. Baru rasa selamat. Dia buka tudungnya. Rasa bebas apabila dapat melepaskan rambutnya yang panjang separa bawah ketiak itu. Selama dia tinggal di rumah mentuanya, tidak pernah sekalipun dia membuka tudung biarpun ketika berada dalam bilik.
Jika diikutkan tiada salahnya pun dia membuka auratnya untuk tatapan suami tetapi untuk apa, jika suaminya itu sendiri tidak pernah menganggapnya sebagai isteri. Biarlah dia bertudung litup seperti itu. Sengaja dia memilih untuk duduk di bilik paling bawah, sebabnya dia nak berada sedikit jauh dari lelaki itu. Baru aman hidupnya.
Tia tersenyum apabila memandang ke arah satu sudut. Hatinya bertambah lega kerana di dalam bilik itu ada satu bilik air yang kecil. Cukup untuk dia membuang hajat dan juga membersihkan diri.
Perutnya dah mula berkeroncong kerana sejak dari pagi tadi dia hanya menjamah sekeping roti. Kerana apa, kerana lelaki itu mendesaknya supaya makan cepat - cepat. Nasib baik mommy ada membekalkan mangkuk tingkat yang berisi lauk pauk. Mungkin risau anak menantunya akan kelaparan.
Dua bulan sudah berlalu dia menjadi isteri kepada Hud Husaini. Selama dua bulan itulah lelaki itu tidak pernah bercakap lembut dengannya.
"Kejap lagilah kemas," cakap Tia pada dirinya.
Dia memandang handphone pemberian bapa mentuanya. Masih lagi di dalam kotak.
"Ambil ni." Satu kotak berbentuk segi empat tepat itu terhulur di depan matanya.
"Apa ni daddy?" Soalnya dengan dahi berkerut.
"Bukaklah..."
Terbuntang matanya memandang kepada isi di dalam kotak itu.
"Handphone..." Satu patah perkataan terpacul dari ulas bibirnya.
"Kalau ada apa - apahal call daddy dengan mommy. Daddy dah save nombor daddy dengan mommy kat dalam tu. Tia guna handphone ni dengan sebaik - baiknya ye. Nanti dah boleh call ibu Tia dekat kampung," ulas Dato' Huzairi. Suasana di dalam bilik bacaan itu berubah suasana hening. Tia seolah - olah tidak tahu hendak mengucapkan apa. Dia sebenarnya terlalu rindukan ibu dan adiknya. Sejak dari selepas berkahwin, dia belum lagi berjumpa dengan ibu dan adiknya.
Sekali lagi perutnya membunyikan muzik keroncong. Ingatan pada keluarganya hilang dari fikiran.
Kotak handphone dia letak kembali di atas katil. Dia bangun untuk pergi ke dapur. Ingin melihat apa yang dia boleh masak pada harini. Yang paling utama adalah beras.
Dengan jarak biliknya dan dapur yang tidak berapa jauh itu, sekejap sahaja dia sudah berada di ruang dapur. Kemas, bersih dan teratur juga. Dia buka pintu kabinet satu persatu. Matanya bersinar dan semerta senyum manis terulas dari bibir mungilnya.
"Semua cukup. Tak payahlah susah - susah nak keluar beli barang dapur," ucap Tia sambil tangan lincah membuka peti ais pula.
"Terima kasih mommy, daddy sediakan semua ni untuk kami." Di dalam peti sejuk segala binatang halal ada. Ada ikan, udang, sotong, kerang dan ketam. Ada daging dan juga ayam.
"Mungkin mommy dan daddy risau anak menantu kebuluran agaknya. Sebab tu lengkap semua ada. Stok makanan ni pun dah boleh bertahan berminggu - minggu. Dia hanya makan berdua. Tak perlu masak banyak - banyak. Tapi... Nak ke Hud makan masakan dia??? Dia abaikan soalan itu tanpa jawapan.
"Masak nasilah. Lapar dah ni." Liar matanya mencari tong beras. Mata tertancap ke sudut hujung kabinet.
Usai memasak nasi di dalam rice cooker, dia memanaskan pula lauk - pauk yang diberikan oleh oleh ibu mentuanya. Selesai dan siap dihidangkan di atas meja makan. Sambil menunggu nasi masak, dia masuk ke biliknya semula, mahu menunaikan solat zohor terlebih dahulu.
Nasi panas yang masih berasap menggamit seleranya. Fikiran dan akalnya tiba - tiba bertumpu kepada suaminya. Sejak dari mereka sampai, lelaki itu berkurung tidak keluar bilik.
"Nak ajak ke tak?"
Hummm... Helaan nafas terhembus dari hidungnya. Dia bangkit dari kerusi. Langkah kaki dibawa ke tingkat atas.
"Senyap jer, hidup lagi ke?" Ayat jahat terucap dari mulutnya. Serta - merta dia menepuk mulut celuparnya itu. 'Ingat Tia, baik buruk pun dia, dia tetap suamimu.' Akal baiknya bersuara dari dalam hati.
Dalam tak sedar, dia sudah terpacak di depan pintu. Dua tiga kali tangan kanannya dihulur tarik untuk mengetuk pintu. Rasa gugup tetap ada. Risau jika tiba - tiba dia disergah atau diherdik kerana mengganggu tapi kalau tak ajak risau pula lelaki itu kelaparan.
Tok... Tok... Tok... Tia beranikan diri mengetuk pintu itu. Lima kali diketuk tetap juga tidak menyahut. Teringat kata - kata lelaki itu semasa mereka baru sampai tadi. 'Jangan campur semua urusan hidup aku' kata - kata itu kembali bergema di kotak mindanya. Tia undur ke belakang mahu berlalu dari situ.
KREKKK...
Kaki Tia terpaku di lantai. Tak jadi untuk bergerak. Di depannya kini suaminya yang sudah bersiap kemas. Mungkin mahu keluar. Ada rupanya ingat takde. Orang ketuk pintu macam apa bukannya nak menyahut. Gumam Tia.
"Encik Hud nak makan, saya nak makan, kalau nak join jom lah sekali." Tia menyusun kata - kata. Risau jika tersalah cakap.
"Aku nak keluar. Duduk rumah, kunci pintu. Kang risau pula tiba - tiba ada orang jahat nak rogol kau." Tanpa berpaling dia menjawab sebelum berlari anak turun ke aras bawah.
"ROGOL..." Tia telan liur, rasa seram sejuk mula memenuhi seluruh anggota badannya. Tia menggeliatkan badannya.
"Isssyyy, celupar betul mulut. Mulut takde insuran macamtulah." Bebel Tia. Laju kakinya melangkah. Dia mengunci semua pintu yang ada. Seram juga bila duduk sorang - sorang dalam rumah besar ni. Sengaja agaknya suaminya itu mahu menakut - nakutkan dirinya.
*******
....."Tia rindu ibu dengan adik. Nanti ada kelapangan Tia balik kampung ye bu..."
....."Ye, ibu pun rindu Tia. Kamu jangan risau kami di sini. Jaga diri kamu Kat sana."
....."Baik bu. Pak long ada ganggu ibu lagi? Mana tau kot - kot dia ada isukan pasal geran tanah ke."
....."Takde dah sayang. Kitakan dah dapat geran tanah kita. Mana beraninya lagi dia nak mengacau. Ibu pun semakin sibuk sekarang ni. Uruskan kebun sayur kita tu. Nasib baik ada pembantu yang nak tolong ibu."
....."Baguslah bu. Ibu dah ambil pekerja baru ke?"
....."Dah sayang, ada dua orang. Orang kampung kita juga. Murah rezeki kita sekarang ni. Tiap - tiap bulan ada je barang keperluan yang sampai depan pintu rumah. Duit masuk akaun lagi. Kadang - kadang naik segan ibu dengan bapa mentua kamu. Dahlah dia bagi tanah. Sekarang ni pun duit yang ada ni pun makan tak abis."
....."Syukur alhamdulillah ibu. Rezeki dari Allah Taala. Tia gembira sangat ibu dah tak kerja teruk macam dulu."
....."Ye sayang, okaylah ibu nak letak dah ni. Nak siapkan baju Mak Tom kamu. Nanti tak dapat pergi kenduri pulak dia hujung minggu ni sebab baju tak siap."
....."Hehehe, yelah - yelah, Mak Tom - Mak Tom, tiap kali nak pergi kenduri mesti nak kena buat baju baru. Rindu pulak kat Mak Tom. Nanti ibu tolong sampaikan salam Tia pada Mak Tom yer."
....."InshaAllah Tia... Assalamualaikum."
....."Waalaikumussalam ibu..."
Tia membaringkan diri di atas tilam. Bosan yang teramat dia rasakan sekarang ini. Ada suami tapi kehidupannya tak seperti bersuami. Entah bila Encik Hud akan menerima dirinya dengan seadanya.
Handphone di tangan dia tekan - tekan dan swipe. Telefon pintar yang belum habis lagi dia jelajah dan dia khatam isi kandungnya. Yelah dia masih barukan. Masih banyak yang perlu dia godek - godek. Yang paling penting, dia tau dekat mana tempat untuk dia call dan mesej. Itu yang paling utama. Harganya pun bukan murah - murah. Sebab tulah dia pernah ditanya oleh bapa mentuanya sama da sukakan handphone Android atau IPhone. Jawapan yang pasti mestilah dia akan jawab Android kerana dia adalah peminat Android.
Dia tidak perlu risau dan runsing berkenaan bil kerana setiap bulan semua itu akan ditanggung oleh Dato' Huzairi iaitu bapa mentuanya.
Jam pada handphone sudah menunjukkan pukul 7.00 malam. Kejap lagi waktu maghrib akan menyusul.
Tia bingkas dari katil dan terus ke bilik air. Mahu membersihkan diri dan bersedia untuk bersolat.
*******
Lewat petang mereka berdua sampai ke rumah Dato' Huzairi. Entah kenapa tiba - tiba daddy mahu berjumpa mereka.
Tania pandang ke wajah suaminya yang masam mencuka, sampai sahaja terus menonong masuk ke dalam rumah. Emmm, perkara biasa baginya. Mana tak mencukanya mungkin dah penat balik dari kerja, nak kena bawa dia pula ke rumah daddy. Mestilah hangin.
"Lagi sepuluh minit aku sampai, siap - siap kita ke rumah daddy. Aku tak suka tunggu. Aku sampai sahaja kau dah siap semua. Kau faham tak?"
"Fa... Faham Encik Hud.
Tia pelik apabila teringatkan hal di rumah tadi sebelum mereka ke sini. Dari mana suaminya itu tau nombor handphonenya kerana dia tak pernah bagi pun nombornya kepada sesiapa kecuali ibunya dan yang sedia tau adalah kedua mentuanya.
"Kenapa tinggalkan isteri kamu di belakang? Kamu ni pun satu Hud, menonong je."
Bebelan Datin Malika mematikan anganan Tia. Dia berjalan perlahan menuju masuk ke dalam rumah.
"Kamu sihat sayang?" Datin Malika menyoal seraya memegang tangan menantunya.
"Sihat alhamdulillah mommy. Mommy sihat?" Tia pula menyoal.
"Mommy pun sihat alhamdulillah. Kenapa tak pakai set barang kemas yang mommy bagi pada Tia tu?" Datin Malika membelek leher dan tangan menantunya. Kosong.
"Nanti Tia pakai mommy. Duduk rumah je malas nak melaram." Tia membalas merendah diri.
"Hmmm, yela. Nanti pakai tau, jangan simpan je. Mommy suka tengok Tia pakai. Lagipun memang boleh dibuat pakai harian. Nanti mommy beli lagi untuk set ke majlis pula," ulas Datin Malika. Tangan menantunya dia tarik ke sofa. Di situ sudah ada anaknya Hud bersama suaminya. Rancak berborak.
"Errr, takpe mommy, susahkan mommy jer." Tia membalas. Dia segan dan malu sebenarnya. Nanti dikata mahu membolot harta pula atau pisau cukur. Dia tak mahu anggapan negatif orang lain kepadanya.
"Takde susah pun sayang. Tia satu - satunya menantu mommy. Apapun mommy sanggup bagi pada Tia." Belakang badan menantunya dia gosok perlahan.
Tia hanya diam dan mula fokus pada perkara yang akan dibincangkan oleh bapa mentuanya.
"Macamni Tia, daddy dan mommy dah sepakat. Kami dah daftarkan tempat untuk Tia belajar memandu. Ambil lesen kereta, nanti senang nak ke mana - mana. Selepas ambil lesen baru fikirkan tempat yang sesuai untuk Tia sambung belajar." Dato' Huzairi menyusun kata. Dengan terang dan jelas.
"Hmmm, kalau dah ambil lesen kereta, lagi panjanglah langkah dia daddy. Nanti entah ke mana - mana dia pergi merayap." Hud mencelah. Sebenarnya dia kurang bersetuju akan cadangan daddynya itu.
"Isyyy, kamu ni... Ada ke cakap macam tu pada isteri kamu. Niat mommy dan daddy nak Tia ambil lesen bukannya suka - suka. Untuk kamu juga supaya senang dia nak pergi ke mana - mana, takdelah nanti susahkan kamu dan asyik tempah grab je. Naik grab pun sebenarnya mommy dengan daddy risau. Bukan boleh dipercayai sangat." Datin Malika pula mencelah. Tau sangat dengan perangai anaknya itu. Nak Si Tia ni terperuk je dekat dalam rumah.
Hud melepas keluh. Lepasni lagi panjanglah langkah perempuan kampung ni bila dah ada lesen dan kereta.
"Tia segan nak terima daddy. Bagi Tia, boleh je naik grab kalau nak keluar ke mana - mana. Lagi senangkan. Tak perlu nak fikirkan soal tempat parking kereta lagi." Tia merendah diri. Sebenarnya dia tau, Hud kurang bersetuju. Kalau bersetuju pun dalam keadaan terpaksa.
"Takpe, cuba dulu. Daddy dah uruskan semuanya. Soal bayaran yuran pun jangan risau. Daddy dah selesaikan. Tinggal Tia pergi belajar dan ambil lesen je," terang Dato' Huzairi.
Hud menelan liur. Lagi besar kepalalah perempuan kampung ni. Ni baru ambil lesen kereta. Nanti entah apa lagi yang daddynya sanggup perabiskan. Entah apa ayat yang perempuan ni dah tiup pada daddynya itu sampaikan semua benda nak diberikan pada perempuan itu.
"Nanti dinner dekat sini ye. Mommy dah suruh Sulis dan Kak Maz masakkan lauk sedap - sedap malam ni," pelawa Datin Malika pada anak dan Menantunya.
Dahi Hud berkerut seribu. Baru tengahari tadi dia berjanji dengan Tania untuk dinner malam ni. Hmmm, confirm bergaduh besar nanti. Mesti dicop aku ni kaki wayang.
"Eh, kamu ni, mommy suruh dinner dekat sini pun sampai berkerut - kerut dahi nak fikir. Kamu ada temu janji dengan siapa - siapa ke malamni?" Datin Malika menegur. Lain macam menungnya. Nak ajak dinner pun sampai berkerut dahi.
Happy reading ❤️ Es Lilin
Share this novel