Masing - masing tersentak lebih - lebih lagi Tahir.
Dia kerut kening. Siap 'bersayang - sayang' sejak bila pula Hud layan anak saudaranya ini baik - baik. Bukan dia tak tau, Hud sangat - sangat bencikan Tia.
Debaran dadanya juga makin bertambah. Risau jika perbualan antara dia dan Tia sebentar tadi didengar oleh Hud. Dia cuba beriak seperti biasa.
"Errr, tuan buat apa dekat sini?" walaupun dia sudah berpangkat bapa saudara pada anak majikannya itu, panggilan masih tetap sama. Tidak berubah.
"Saja nak jumpa isteri saya. Bincang apa tadi? nampak macam serius je," soal Hud. Dia hampiri Tia dan duduk di sebelah wanita itu. Muat pula tiga orang duduk di atas kerusi batu ini.
Tia diam tidak berkutik. Tidak membalas. Dia tau, bapa saudaranya itu sudah tidak senang duduk. Dia nampak melalui ekor matanya. Hujung bibirnya terjungkit senyum sinis.
"Tak... Takde apa - apa tuan. Saja nak menyembang dengan Tia, dah lama tak jumpa dengan anak buah pak long ni." Tahir membalas, dia sudah berdiri dan memohon untuk beredar dari situ.
"Takpe, pak long pergi dulu. Kalau ada apa - apa nak pesan pada ibu kamu, bagitau pak long. Nanti pak long sampaikan," usul Tahir. Dia urut dada setelah beransur beberapa langkah dari situ. Legaaa...
Tia kerut kening. Sejak bila pak longnya ini menjadi bapa saudara yang mithali. Dah nak mati ke? Kalau betul, baguslah. Tak perlu lagi dia tambah dosa kerana bersikap kurang ajar dengan pak longnya itu.
Sesekali dia lepas pandang pada sosok tubuh lelaki yang sudah pertengahan umur itu.
Masalah baru pula yang nak kena dia hadap sekarangni. Yer, lelaki yang duduk di sebelahnya ni. Semakin hari, semakin miang pula dan semakin hari, layanan Hud padanya juga semakin bertambah manis dan romantis. Pelik...
"Kenapa Encik Hud layan saya dengan baik sekarangni?" Tia menyoal akhirnya. Dia sudah tidak mampu untuk menyimpan persoalan itu dalam dadanya. Dia kena lepaskan.
Hud betulkan kedudukan supaya dapat memandang Tia secara face to face. Dia amati wajah yang ada di sebelahnya ini.
"Sayang..." Tangan lembut Tia cuba dia raih.
"Tak payah nak pegang - pegang. Kata geli..." Tia menyindir sinis. Tak dia peduli perasaan lelaki di sebelahnya ini. Hatinya sebelum ini sudah cukup terhiris.
"Sayang... Pandang abang. Kita bincang. Sini takde orang, kita berdua je. Lepaskan semua apa yang sayang tak puas hati pada abang. Lepaskan semuanya sayang." Suara Hud bergetar. Dia tahan segala emosi yang seakan mengganggunya kini.
Tia diam. Andainya dia mampu untuk hamburkan semuanya.
"Sayang. Abang tau, abang silap. Abang banyak dosa pada sayang. Bukan sikit tapi tersangat banyak. Izinkan abang untuk betulkan semula keluarga kecil kita dan izinkan abang untuk perbaiki semua khilaf dalam hubungan kita. Abang nak Tia Zahara jadi isteri abang sampai ke syurga. Abang tarik balik semua kata - kata abang dulu. Abang minta maaf. Maafkan abang sayang." Air matanya bergenang. Kedengaran dia tarik perlahan hingusnya yang tiba - tiba mahu mengalir dari rongga hidungnya. Time camni pula dia nak keluar. Marah Hud dalam hati.
Tia sudah tidak dapat membendung rasa di hatinya. Air mata yang tadinya bertakung di pelupuk mata mengalir jua ke pipi. Laju. Selaju rasa rawan yang bertamu di hatinya.
Di kesat air mata dengan hujung lengan cardigannya. Kenapalah laju pula air matanya keluar. Tak semena - mena orang akan kata dirinya manja.
Hud tarik Tia ke dalam dakapannya. Dia rapatkan wajahnya pada wajah Tia. Bersyukur kerana tiada penolakan yang dilakukan oleh isterinya ini.
"Abang minta maaf sayang. Maafkan abang. Abang dah jatuh cinta pada Tia. Abang sayangkan Tia Zahara sepenuh hati abang."
Telinga Tia dapat menangkap bunyi sedu - sedan Hud. Tulus atau tidak ucapan lelaki itu? Ikhlaskah atau sekadar ingin menduga hatinya. Persoalan demi persoalan berlegar dalam diri Tia kini.
Hud menggenggam tangannya erat, lalu tangan itu dia bawa ke bibirnya. Dia kucup lembut.
Tia memejam matanya. Dapat dia rasakan satu perasaan yang aneh mengalir ke seluruh urat nadinya. Berteguk air liurnya dia telan tak mampu dia redakan rasa hatinya.
Tia tarik tangannya laju - laju.
"Kenapa Encik Hud? Kenapa baru sekarang??? Setelah hati saya Encik Hud sakiti, diri saya Encik Hud hina, perasaan saya Encik Hud guris, kenapa sekarang Encik Hud nak berubah. Mana cinta hati Encik Hud yang Encik Hud tatangkan tu? Dia dah curang ke sampaikan Encik Hud dah berubah hati pada saya? Saya ni sebagai objek untuk Encik Hud lepaskan rasa kecewa sahajakan." Air mata masih berjurai. Dia juga sudah tersedu - sedu. Dia ralat sebenarnya dengan tingkah yang tidak dijangka suaminya itu. Dia mengibaratkan lelaki itu adalah lelaki kelahiran semula. Wataknya kini sebagai lelaki terpaling, tidak juga dapat menutup apa yang telah dia katakan dan lakukan pada dirinya dulu. Dia tidak akan lupa.
"Maafkan abang sayang. Abang tak tahu macam mana nak tebus kesalahan abang pada Tia. Kalau Tia nak pukul abang atau apa saja pun buatlah. Jika itu boleh menebus salah abang pada Tia. Abang rela." Suara Hud tersedu - sedu. Hilang kemachoan pada diri itu ketika ini. Seperti anak kecil yang mengongoi mohon diberi perhatian oleh si ibu.
"Jangan dera abang macamni sayang. Jangan diam. Tolonglah cakap sesuatu." Hud masih mengharap. Tangan isteri yang ada di genggamannya dia bawa ke pipi.
"Bagi saya masa. Ingat mudah ke nak rawat hati saya yang Encik Hud dah lukakan dulu. Saya tau, Encik Hud mungkin dah berubah. Tapi hati saya masih sangsi. Sangsi dengan keikhlasan Encik Hud pada saya." Tia bersuara akhirnya.
"Yer, ambillah seberapa banyak masa yang sayang nak. Abang sanggup tunggu." Tubuh itu dia raih masuk ke dalam pelukannya. Pelukan yang penuh rasa kehangatan.
"Saya nak masuk dalam. Hujan gerimis. Kalau Encik Hud nak duduk sini, dipersilakan." Tia bangun. Dia berjalan perlahan masuk ke dalam rumah.
"Tunggulah abang. Kalau abang demam nanti macam mana?"
Huhhhh,,, dia dah mula dah sikap mengada dia. Tia mengomel. Dia terus sahaja melangkah masuk.
Hud sudah berjalan menyaingi Tia. Dia menyauk bahu isterinya sebelum sama - sama berjalan masuk ke dalam rumah.
Hud gembira dan bahagia apabila Tia tidak pula menolak. Lagi dia rapatkan badan itu pada dirinya. Hud tersenyum bahagia.
Jauh di balik tiang berhampiran garaj, Tahir memandang dengan penuh sakit hati. Bukan itu yang dia mahu. Dia mahu anak kepada adiknya itu tidak bahagia dan hidup terseksa.
Tapi dia silap. Sekarang pasangan itu kelihatan harmoni dan nampak tersangat bahagia.
*******
Mesej dari aplikasi WhatsApp dia baca penuh tekun. Dua hari di rumah mentuanya dia tidak membuka atau membaca mesej itu.
Ada mesej daripada Encik Razif. Pensyarahnya itu masih tak putus asa mahu mengajaknya keluar selepas habis kelas nanti. Susah betul bila baik dengan pensyarah muda ni.
Tapi Tia tidak membalas, dia memberikan bluetick kepada mesej itu.
Sejak dua menjak ni dia semakin membuat jarak dengan Encik Razif. Semuanya gara - gara ada mulut - mulut dah mula bercakap yang dia ada skandal dengan pensyarah itu.
Tia pun tidak pasti kenapa lelaki itu begitu baik dengannya. Selalu membelikan makanan dan memberikan dia hadiah. Selalunya akan ada penolakan awal di pihaknya. Tetapi setelah dipaksa dia terpaksa juga menerima.
Kalau betul Encik Razif ada menyimpan perasaan padanya kenapa dia tidak luahkan. Sekurang - kurangnya bolehlah dia berterus - terang.
"Balas whatsapp dengan siapa tu? Lelaki ke perempuan?" Hud menyoal dari belakang. Terangkat bahu Tia yang ketika itu sedang mengunyah nasi goreng. Benci betul dia pada orang yang suka datang menyergah macam ni.
"Pensyarah saya, lelaki..." Ujar Tia mendatar. Sengaja dia tekankan perkataan 'lelaki'. Wajah lelaki yang baru mahu duduk itu di depannya itu tidak dia pandang. Matanya ralit memandang pada handphone.
"Baiknye pensyarah sayang. Selalu text, call dan video call. Emmm, dia sukakan sayang ke?" Hud menyoal dengan nada cemburu.
"Emmm, baik. Sangat mengambil berat. Mungkin suka, mungkin juga tidak." Tanpa riak, Tia membalas dan menyudahkan sarapannya pagi itu.
Harini hari terakhir dia di kolej. Lagi dua hari dah mula nenjadi staff intern di pejabat bapa mentuanya.
"Dah siap, jom abang hantar," ajak Hud. Sengaja dia off day pada hari ni memandangkan harini dia free dan tiada meeting yang dia nak kena hadir.
Yang paling utama dia sudah tidak sabar mahu ke pejabat bersama - sama isterinya.
"Hantar???" Tia bertanya pelik. Isyyy, kelaku suaminya setiap hari memang betul - betul menduga.
"Errr, takpe - takpe, saya boleh pergi sendiri. Lebih baik Encik Hud pergi pujuk Tania. Rajuk wanita ni takkan lama kalau dah termakan pujuk. Saya taknak disebabkan hal saya, hubungan Encik Hud dengan Tania makin jauh. Pergilah pujuk dia." Sangat berat untuk Tia menuturkan. Tapi dia wanita kedua yang hadir dalam hidup Encik Hud. Tania wanita pertama. Dia faham. Sebab itu Tania bersikap seperti itu.
Hud jeda...
Dia hembus nafas yang terasa berat. Isterinya itu masih belum faham.
"Dia curang dengan abang."
Tia senyum tapi terlihat sinis. Hujung bibirnya terjungkit. Kini fahamlah dia kenapa...
Dalam senyum Tia pandang wajah suaminya. Seteguk air liur dia telan.
"Sebab dia curanglah encik Hud berubah jadi suami mithali dan baik pada saya. Betulkan??? Saya dah agak, saya ni cuma boneka pelepas rasa kecewa Encik Hud. Sudahlah, pergilah pujuk kekasih Encik Hud. Saya nak gerak pergi kelas." Tia bangun dan terus melangkah keluar. Dia kesat air mata yang galak mengalir di pipinya. Hatinya merasa begitu sebal.
Hud jadi serba salah. Adakah dia tersalah cakap. Dia memegang rambutnya kuat - kuat bersama satu perasaan yang sukar dia ungkapkan.
"Tia..." Hud melangkah laju menuju ke pintu utama. Dia terlambat, kereta Tia sudah menjauh keluar dari pintu gate ke jalan utama. Pintu gate automatik itu menutup perlahan - lahan.
"Arggghhh..." Suara jeritannya memecah hening pagi itu.
Walau macam mana susah pun Tia nak terima abang, abang akan tetap berusaha untuk pujuk Tia. Abang tak akan menoleh lagi. Itu janji abang.
*******
"Kita tangguhkan mesyuarat pada pukul 4.30 petang. Semua boleh bersurai. Tania jumpa daddy di bilik."
Tania merengus. Dia rasa tidak puas hati. Sudah seminggu dia dipaksa untuk masuk ke pejabat dan dalam seminggu juga tidak habis - habis dia memprotes.
"Emmm, okay..." Tania menjawab acuh tak acuh. Dia bangun dan keluar dari bilik mesyuarat itu. Yang tinggal hanyalah Ahli Lembaga Pengarah. Dia yang hanya diberi jawatan pengurus ini tidak boleh ikut bersidang.
Pintu biliknya dia tolak kasar. Mana tak sakit hatinya dia apabila dipaksa membuat sesuatu perkara yang dia tak suka. Tania hempas punggung.
Hati dan emosinya tidak stabil buat masa sekarang ini. Dengan Hud yang sudah memblock nombor dan semua media sosialnya dan dengan lelaki itu sudah lama dia tidak jumpa. Tania hembus nafas geram. Jangankan nak jumpa, bertembung secara tak sengaja pun tidak. Benci sungguh Hud padanya.
"Mia, kau tolong fotostat dokumen ni semua. Aku nak bawa jumpa Tuan Syed kejap lagi. Buat sekarang." Arahnya. Satu fail dihempas di atas meja keraninya.
Terhinggut bahu Mia yang sedang fokus menaip sesuatu pada komputernya.
"Datang bulan agaknya mak singa ni." Ngomel Mia. Satu fail hitam berkulit keras itu dia angkat dan bawa ke tempat mesin fotostat. Walaupun merasa jengkel dengan perangai pengurus projek barunya itu, tapi kerja tetap kerja dan arahan tetap arahan.
"Ni semua dokumen yang Cik Tania minta saya buat salinan. Semua dokumen dalam fail ni saya dah fotostat." Mia meletak dokumen itu di atas meja dengan berhati - hati, risau jika terganggu lagi mood ketuanya itu.
"Hmmm okay, nanti tolong semakkan baucer yang baru terima semalam sebelum serah pada unit kewangan," suruh Tania. Dia membelek dokumen yang telah dibuat salinan oleh Mia.
"Baik Cik Tania. Nanti saya semak dulu sebelum hantar. Ada apa - apa lagi Cik Tania?"
"Takde, kau boleh keluar."
Tania bangun dan keluar dari biliknya sebelum pergi ke bilik daddynya. Entah apa yang nak dibincangkan pun dia tidak pasti.
Huhhhh... Keluhan terlepas apabila dia duduk sahaja di kerusi depan daddynya.
"Kenapa mengeluh panjang ni? Banyak kerja ke?" Syed Badrul menyoal sambil tersenyum. Dia memandang pada anaknya yang muka takde senyum sejak akhir - akhir ni. Tau sangat. Mesti nak protes.
"Nia bosan buat kerja ni. Nia nak kerja modelling balik." Tania merungut. Kedua tangannya menyilang ke dada.
"Baru seminggu memanglah tak boleh nak serasi lagi. Cuba dulu dalam beberapa bulan. Daddy ni dah tua. Nia pewaris daddy. Nia nak ke, daddy wariskan semua harta daddy pada baitulmal. Yelahkan ada anak pun tak nak ambil alih syarikat ni. Baik daddy serahkan semuanya pada baitulmal," usul Syed Badrul. Sengaja ingin menduga hati anaknya.
"Daddy ni kan, sikit - sikit ugut nak serahkan semua harta daddy pada baitulmal. Hmmm, nampaknya Nia memang takde pilihan." omelnya.
Happy reading ❤️ Es Lilin
Share this novel