Dia mengesat peluh dingin yang membasahi dahi. Matahari sudah tegak di atas kepala.
Penatnya hanya Tuhan sahaja yang tau. Sambil mengawal handle basikal, dia sesekali menyeka peluhnya yang terasa laju mengalir di pipi.
Pagi - pagi lagi dia sudah keluar menghantar kuih ke warung Pak Seman dan Mak Tom, selepas itu perlu pula membanting tulang di kebun sayur peninggalan arwah ayahnya, kebunnya hanya di belakang rumah. Dari hasil tanah yang sekangkang kera itulah dapat menampung hidupnya sekeluarga sehari - hari di samping duit jualan kuih. Hidupnya tiada istilah rehat. Di saat kawan seumurannya sedang fokus belajar, dia masih di sini bermain dengan tanah dan bergelumang dengan tepung. Biarlah, selagi kudratnya masih ada, selagi itu dia akan membantu ibunya selagi terdaya.
Pendidikannya hanya di peringkat SPM. Bukan dia tidak pandai tetapi ibunya seorang ibu tunggal, tidak sampai hati untuk menyusahkan ibunya lagi.
Dia sangat bersyukur kerana ada juga rumah yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya. Walaupun macam - macam masalah melibatkan rumah itu.
Basikal Rally kepunyaannya disandarkan pada bawah pokok mempelam yang sedang berbunga penuh di depan rumah.
"Pak long..." Tia menegur. Tetap senyum walaupun tidak bersambut.
Pak longnya dengan wajah ketat tidak menghiraukan sapaan anak buahnya itu. Laju saja jalannya meninggalkan perkarangan rumahnya.
"Sia - sia je kena palau. Ada apa - apa yang tak kena ke ni?" Tia berdesis perlahan. Dia tau, orang tua ni kalau takde sebarang urusan, tak kan tunjuk muka di rumah ini. Nama sahaja bapa saudara.
Tia pelik... Dahinya berkerut seribu. Risau apa - apa yang jadi, dia membuka langkah laju menuju ke arah belakang rumah. Mahu mencari ibunya.
Di belakang rumah, liar matanya mencari kelibat si ibu. Kelihatan wanita itu terbongkok - bongkok memeriksa anak pokok sayur yang baru ditanamnya. Risau jika ada ulat - ulat yang mengganas pada daun dan pucuknya.
"Ibu, kenapa pak long datang sini?" terus sahaja dia menyoal.
Sakinah menggelengkan kepala. Cuba menyembunyikan rasa resah gelisah pada wajahnya. Risau jika dihidu oleh wajah polos anak daranya ini.
"Takde apa - apa sayang. Pak long datang saja nak tanya khabar kita. Dah ambil semua duit dan bakul kuih dekat warung?" Jawapan selamat yang Sakinah ada setakat ini. Sempat dia selitkan soalan lain kepada anaknya itu.
"Errr, dah ibu. Ni duit kuih hari ni. Tak banyak baki kuih harini. Warung Mak Tom ada sepuluh ketul kuih yang tak habis. Warung Pak Seman tinggal baki kuih ketayap je lima ketul, yang lain - lain semua dah habis," maklum Tia Zahara dengan jari telunjuk menunjuk ke arah dalam bakul. Dia menghulurkan beberapa keping not duit lima puluh ringgit kepada ibunya.
Dia sungguh kagum dengan wanita berusia empat puluh lima tahun di depannya sekarang ini. Ayah meninggal ketika ibunya masih lagi muda. Dan dia ketika itu masih lagi di sekolah rendah. Tetapi wanita cekal ini tabah menyara dirinya dua beradik. Tak pernah terlintas pula di hati ibunya untuk mencari pengganti ayahnya. Hmmm, setia sungguh.
"Takpelah sayang. Bersyukur dengan rezeki kita pada harini. Pergi masuk dalam rumah, adik kamu dah balik sekolah. Kejap lagi nak pergi sekolah agama. Ibu nak siapkan sikit lagi ni, nanti ibu masuk," arah Sakinah. Serentak itu dia menyambung kerjanya kembali. Risau pula jika hujan turun. Matanya menjengah ke atas langit. Awam hitam kelihatan berat menandakan sebentar lagi hujan akan turun.
******
Jam sudah menunjukkan ke pukul dua belas tengah malam. Sakinah menyudahkan kerja menjahit tempahan baju kurung jirannya. Anak - anaknya sudah lama dibuai mimpi.
"Kau dengar sini Kinah, aku sebagai bapa saudara ada hak untuk masa depan dia."
"Hak apa yang abang long ada? Dari kecil sampai besar ada abang long tanya khabar kami anak beranak? Ada???"
"Aku dah ada calon suami untuk dia."
"Kinah tak setuju. Tia masih muda. Panjang lagi langkah dia... Tia pun ada cita - ci..."
"Setakat SPM, jangan berangan nak sebut pasal cita - cita. Kerja apa yang layak untuk dia, setakat kerja kilang boleh la..."
"Jangan pandang rendah pada Tia. Tia pun ada cita - cita, cuma kami tak mampu."
"Aku tak kira, aku akan kahwinkan dia dengan calon pilihan aku."
"Siapa abang long nak atur - aturkan hidup Tia. Tia anak Kinah. Kinah taulah macam mana nak jaga dan uruskan hidup dia. Kenapa abang long tak kenenkan aje Nureen untuk calon suami yang abang long dah cari tu?"
"Kau dah pandai kurang ajar sekarangni yer. Ni mesti Si Din laki kau tu yang ajar."
Mengetap bibirnya ketika itu apabila arwah suaminya yang di dalam kubur itu pula yang disebut - sebut. Nasib baik masih ada sekuman rasa hormat pada abang iparnya itu. Terpejam sesaat matanya menahan rasa geram dan sakit hati yang mula terbit dalam hatinya.
"Jangan libatkan arwah Abang Din dalam hal ni. Arwah tu dah lama meninggal. Salah ke Kinah sebut nama Nureen? Dah abang long cakap dah ada calon suami pilihan, dah berkenan sangat, haaa, apa kata, kenenkan dengan anak sendiri. Jangan sibuk campur hal anak orang. Selama kami hidup ni pun, takde jasa sebagai bapa saudara pun yang abang long dah bagi pada anak - anak Kinah. Layak ke sekarang ni abang long nak cakap sebagai bapa saudara?."
Dia membalas berani. Sudah lama dia tahan. Sudah lama juga dia memendam. Sikap melampau abang iparnya ini semakin menjadi - jadi. Mesti ada kepentingan sendiri kenapa abang iparnya itu beria sangat nak kahwinkan anaknya itu dengan 'CALON' yang dikatakan olehnya itu. Semestinyalah...
"Hisyyy, orang nak bagi dia hidup senang pun kemain susah. Sanggup nak hidup melarat sampai ke tua..."
Bahunya terangkat... Tiba - tiba darahnya berderau. Tayangan siang tadi yang terlayar di ruang matanya hilang serta - merta.
"Jauh ibu menung? Kenapa tak tidur lagi?."
Suara si anak dara menyapa gegendang telinga.
"Tia... Buat ibu terkejut je." Tangannya mengusap tangan si anak pada bahunya.
"Ibu menungkan apa? Pasal Pak Long siang tadi ke?" Saja dia dia menebak.
Sakinah geleng. "Takdelah sayang. Kamu ni kenapa tak tidur lagi?
"Tia dahaga, nak minum air."
"Ibu tak cakap pun dengan Tia. Kenapa pak long datang sini tadi?."
"Kang ibu dah cakap, pak long kamu datang sekadar nak tanya khabar."
"Betul ke? Riak muka dan cakap ibu tak seiring. Tia tak rasa tu jawapannya ibu. Cakap je ibu, Tia anak ibu. Kalau bukan dengan Tia, dengan siapa lagi yang ibu nak berkongsi. Tia dah cukup dewasa sekarangni ibu."
Satu keluhan keluar dari bibir. Wajah mulus si anak dia teroka. Wajah bujur sirih, bermata bundar dan berkulit kuning langsat menjadi jamahan matanya. Cantik... Dalam hati dia sempat memuji. Entah gen siapa yang paling banyak anaknya ini ikut. Dia atau ayahnya. Hatinya sedikit risau memikirkan yang anaknya sudah meningkat dewasa.
"Ibu..."
"Hahhh, yer - yer sayang."
"Ibu ada masalah ke? Tia perasan sejak akhir - akhir ni ibu banyak termenung."
Rambut panjang, hitam lebat anaknya dia elus perlahan. Rambut lebat dan lurus itu mesti mewarisinya kerana dia juga memiliki rambut lebat dan lurus sedangkan rambut arwah suaminya sedikit ikal.
"Takde apa - apa, pergilah dapur minum air. Ibu nak siapkan lagi sikit baju Makcik Sufi kamu ni. Nanti lusa tak pakai kendurilah kalau tak siapkan ni."
"Emmm, yelah. Tia turun dapur yer."
Bergeretap bunyi lantai papan apabila dipijak. Rumah bahagian atas adalah rumah kayu dan perlu menuruni tangga setinggi lima anak tangga untuk turun ke ruang dapur. Begitulah sedikit sebanyak tentang rumahnya. Bersyukur. Yer, sangat bersyukur, kerana dengan rumah tiga bilik inilah dia mampu berteduh bersama ibu dan adiknya.
*******
"Hujan lebat pulak pagi ni, macam mana nak pergi hantar kuih dekat warung Mak Tom dengan Pak Seman ni? Gigi Tia terkatup rapat menahan rasa sejuk yang mencengkam hingga ke tulang itu. Jam berwarna putih berbentuk empat segi tepat di dinding sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi. Ibunya sebelum pukul tujuh sudah keluar dengan motosikal arwah ayah menghantar adiknya Taufiq ke sekolah.Adik bongsunya itu baru darjah empat. Memandangkan jadi pengawas sekolah, kenalah datang awal. Sebelum pukul tujuh dah kena menapak di sekolah.
Hujan masih lebat, tiada tanda - tanda untuk berhenti.
"Lambatlah dapat hantar kuih harini. Langsung tak boleh nak bergerak sebab hujan lebat." Dia bercakap perlahan yang hanya boleh didengar oleh telinganya sendiri.
Matanya terfokus pada satu motosikal yang memasuki perkarangan rumah.
"Ya Allah... Ibu... Dah lencun..." Hati Tia tersentuh.
"Tolong ambilkan tuala ibu." Puan Sakinah menahan gigilan. Mana tak menggigil, pagi - pagi pula turunnya hujan. Matahari pun masih malu - malu nak keluarkan cahayanya.
"Okay, kejap Tia ambilkan." Laju langkah Tia masuk ke dalam rumah.
Tak sampai dua minit dia muncul semula membawa tuala buat ibunya.
"Tunggu hujan sedikit mereda, baru kita hantar kuih dekat warung Mak Tom dengan Pak Seman.
*******
"Bik..."
"Bik..."
Kuat suaranya melaung. Tapi orang yang dipanggil tidak juga kunjung tiba
"Bibik... Mana kau ni? Pekak ke?"
Dang...
Dang...
Pintu rumah bertalu - talu diketuk olehnya. Entah pukul berapa sekarang ini dia tak pasti.
Perutnya sudah bergelodak. Mual di tekak semakin menjadi - jadi. Nasib baik dia selamat memandu untuk pulang ke rumah dalam keadaan kepala yang ting tong seperti sekarangni.
Loceng rumah juga diketuk bagai nak pecah.
"Bibik..."
"Mana kau ni perempuan gila?" Dalam keadaan akal yang tidak berapa waras, sudah berbakul - bakul kata - kata caci - maki yang terhambur dari mulutnya.
KLEKKK...
Dia yang tidak berapa stabil badannya jatuh tersungkur di muka pintu.
"Bodoh punya perempuan. Kau tak nampak ke aku dekat sini... Dah lah lembab buka pintu. Bodoh..." Mulutnya masih memaki. Maunya tak hangin satu badan, bagai nak hilang suara dia memekik. Dasar pekak.
PANG...
Dia yang baru mahu berdiri tegak, jatuh kembali. Kepalanya sedikit berpinar ditambah pula dengan telinga yang berdesing akibat tamparan dari tangan kasar yang hinggap ke mukanya.
"Ni makanan kamu. Kamu tengok jam dah pukul berapa sekarang ni?"
"Ppa - papa..." Bagaikan kembali ke alam nyata. Dia ketuk kepalanya beberapa kali. Kepala digerak ke kiri dan ke kanan. Matanya terasa sedikit berpinar.
"Sulis... Mana Sulis?" Dia ketuk lagi kepalanya yang sedikit pusing. Mungkin kesan alkohol yang diminumnya di kelab malam tadi.
"Papa yang suruh dia masuk tidur. Kamu ingat walaupun dia bibik, kamu boleh suruh dia jadi balaci untuk tunggu kamu setiap malam. Kamu memang dah melampau Hud. Buat rumah macam hotel." Dato' Huzairi memulakan hujahnya.
"Hud nak masuk. Kenapa nak halang Hud masuk?."
"Papa tanya ni. Dah pukul berapa sekarangni?"
"Papakan boleh tengok sendiri. Tengoklah sendiri." Dalam keadaan terhuyung - hayang itu, dia masih lagi cuba untuk bangun.
Tubuh lelaki yang sudah separuh abad itu dia tolak.
Mengundur dua tiga langkah Dato' Huzairi ke belakang.
"Hud..." Tajam suaranya mengganggu hening malam. Hatinya sedikit kesal. Kerana terlalu manjakan Hudlah, anaknya itu tumbuh menjadi seorang yang terlalu pentingkan diri dan tidak memikirkan orang lain. Terlalu suka bersosial tanpa fikirkan halal dan haram. Itulah hasil yang dia dapat dalam proses membesarkan Hud. Selepas balik belajar dari luar negera semakin terikut - ikut pula budaya orang sana.
Hud Husaini menonong tanpa berpaling. Apa yang ada di dalam fikirannya saat ini adalah katil empuknya. Ye, dirinya sudah tidak sabar mahu melabuhkan badan di atas katil.
"Dasar anak tak menyenangkan hati orang tua, apa nak jadi dengan kamu ni Hud?" Dato' Huzairi menggelengkan kepala. Matanya tajam memerhati tingkah si anak yang sudah berlalu meniti anak tangga sehinggalah ke anak tangga paling atas.
"Kau tunggu masa kamu akan sampai nanti Hud."
Jam besar yang gah berdiri di sudut dinding dia pandang sekilas. Keluhan panjang terkeluar dari bibirnya.
"Sudah pukul tiga pagi." Keluhnya. Saat orang sedang nyenyak tidur, atau mungkin juga sedang bertahajjud, anaknya ini baru balik dari berhuha di kelab malam. Rasa kesal bertimpa - timpa datang ke seluruh urat nadinya.
Anaknya ini sudah menjadi buluh, memang sukar untuk di lentur. Sepatutnya dari dulu dia seharusnya ajar atau didik anak yang satu - satunya dia ada ini dengan ajaran agama, bukannya terlalu mengikut apa jua kehendak si Hud ini. Hud bakal menjadi pewaris perniagaannya. Dato' Huzairi tutup pintu utama dan melangkah bersama keluhan yang tak putus - putus keluar dari bibirnya.
GEDEGANG...
Dia yang baru mahu menyusur anak tangga terhinggut bahunya. Perlahan dia urut dada. Lama - lama macam ni, boleh pendek nyawa.
Itulah dia Hud Husaini, tegur sikit mengamuk, melenting. Tapak tangan kanan yang menjadi tempat dia menampar Hud tadi pun masih belum hilang rasa kebas dan menyucuk - nyucuk. Kuat juga tenaga yang dia dah gunakan tadi.
Dato' Huzairi berlalu ke dalam bilik. Sempat dia memandang sekali lalu ke arah bilik anaknya.
Keluhan terhembus sekali lagi dari mulutnya. Apa nak jadi sekarang ni. Dia harus cepat... Sebelum perangai sewel anaknya itu semakin melarat walaupun dia tahu anaknya itu sudah semakin sukar untuk dibentuk.
Happy reading... Es Lilin ❤️
Share this novel