"Abang, buat apa sorang - sorang kat luar ni? Tak sejuk?"
Hud tersentak apabila bahunya tiba - tiba ditepuk dari belakang.
"Sayang. Sukalah buat abang terkejut."
Tia ambil tempat duduk di sebelah Hud atas kerusi batu yang terletak di bawah pokok mangga. Cahaya terang dari lampu luar menerangi seluruh kawasan halaman rumah.
"Kenapa duduk sorang - sorang dekat luar? Tak sejuk ke? Sini banyak nyamuk." Tia ulang semula soalannya sebentar tadi.
"Tak sejuk. Abang suka suasana macamni. Kat bandar sana memang tak dapatlah. Tenang... Nyaman... Bau - bau rumput selepas dimesin ni pun betul - betul segar."
Krikkk... Krikkk... Krikkk...
Bunyi cengkerik bertalu - talu. Membingitkan sedikit suasana hening malam itu.
"Sayang, kalau ada masa, kita usha - ushalah tanah kat sini. Kot - kot ada yang nak jual. Kita beli pastu boleh buat rumah singgah." Hud memberi cadangan.
"Buat apa nak buat rumah singgah? Rumah ibu ni kan ada. Bukannya ramai pun duduk sini. Ibu dengan Taufiq jer." Tia seakan kurang setuju.
"Abang tak maksudkan lain pun. Saja bagi cadangan. Kalau sayang tak setuju. Takpelah." Dia tepuk bahu kanannya. Terasa gatal akibat digigit nyamuk.
"Kan dah cakap, kat luar ni banyak nyamuk."
"Takpe, kulit abang keras. Nyamuk pun sakit sesungut nak cucuk." Hud berjenaka, sambil tertawa kecil.
"Hmmm, yela abang. Jom kita masuk. Nanti kalau kena denggi jangan salahkan Tia pula." Tia cuba menakutkan Hud.
"Amboi mulut, takde insuran yer, nak kena ni." Hud bingkas sambil mengejar isterinya yang sudah berlari ke depan.
Tia masuk ke dalam rumah. Sedikit termengah - mengah walaupun lari takdelah jauh mana pun. Inilah akibatnya kalau kurang bersenam.
"Dari mana kamu ni?" Ibu yang duduk depan TV menegur.
"Dari depan bu. Temankan orang bandar ambil angin kampung," balas Tia seraya menjeling sekilas pada suaminya yang melabuhkan punggung di sebelahnya.
"Pak long ada kacau ibu lagi?"
"Ada, tapi takdelah seteruk dulu. Hmmm, malas ibu nak melayan orang tua tu. Dengar cerita Nureen ada balik. Dah seminggu," maklum Sakinah. Dia dapat tau pun dari Warung Mak Tom. Sejak uruskan ladang sayur dan sejak Tia dah berkahwin, dia tidak lagi membuat kuih untuk diletakkan di warung Mak Tom dan Pak Seman. Sudah tidak cukup kakitangan. Balik dari ladang setiap petang pun dah penat. Walaupun ada pekerja tetapi dia tetap juga turun padang sama - sama.
Tapi kadang - kadang ada juga dia menyinggah ke situ untuk bertanya khabar.
"Nureen ada balik???" Tia menyoal kembali. Sebenarnya dah lama dia tak jumpa sepupunya itu. Last ketika dia jumpa dekat mall beberapa minggu yang lalu.
"Ye, Mak Tom kamu yang cakap. Nureen datang ke warung pagi - pagi hari nak cari lemak. Teringin katanya.
Tia angguk. "Tia pun ada terserempak dengan dia kat..."
"Kamu ada terserempak dengan dia..." Sakinah kerut dahi.
"Tak, maksud Tia, tertengok yang dia ada post kat FB pasal aktiviti dia kat office. Nampak happy je." Tia teguk liur. Dia hampir - hampir sahaja terlepas cakap pasal dia ada terjumpa sepupunya itu di mall.
"Taufiq mana bu?" Tia melorot mata ke kiri dan kanan mencari adik lelakinya. Sejak selepas makan malam sebentar tadi bayang adiknya tidak kelihatan.
"Taufiq pergi buat latihan kompang dengan kawan - kawan dia. Hujung minggu ni ada persembahan kompang untuk majlis kahwin," terang Sakinah.
Tia bangun. "Tia pergi buat kopi panas dengan cekodok bilis kejap ye. Terasa nak kunyah - kunyah pulak."
Sakinah angguk. Dia lepas pandang pada anaknya itu sehingga hilang ke dapur.
Hud terasa terkulat - kulat. Dia betulkan duduknya. Sebenarnya dia masih cuba untuk membiasakan diri dengan ibu mentuanya. Masih terasa kekok kalau duduk berdua melainkan jika ada isterinya atau Taufiq. Adik iparnya itu sudah semakin mesra dengan dirinya.
"Emmm..." Dua - dua berpaling dan mahu bercakap serentak.
"Ibu cakap dulu," tukas Hud sopan.
"Ibu nak ucapkan terima kasih pada kamu sebab dah boleh terima anak ibu."
"Tak perlu ucap terima kasih bu. Hud yang perlu ucapkan terima kasih. Sebab ibu lepaskan anak ibu untuk berkahwin dengan Hud. Baru sekarang Hud terasa betapa bertuahnya Hud dapat seorang isteri macam Tia."
Sakinah angguk. "Kalau kamu nak tau, sekarangni pak long Tia dah kurang kacau keluarga kami disebabkan Tia dah jadi menantu Dato' Huzairi. Daddy kamu. Kalau dulu setiap masa asyik mengganggu hidup kami. Ibu cuma nak pesan, tolong awasi dan tengokkan Tia sepanjang kat sana. Sebabnya pak long masih lagi bekerja dengan daddy kamu. Tolong ibu ye. Setiap masa hati ibu risau pasal Tia. Takut jika ada perkara yang tidak diingini berlaku dekat sana. Tapi sekarang hati ibu sedikit lega. Sebabnya kamu pun dah layan dan terima anak ibu dengan baik." Sakinah ambil nafas. Baru sekarang tidurnya sedikit lena.
"Pasal pak long tu ibu tak perlu risau. Taulah Hud uruskan nanti. InshaAllah selagi Tia ada bersama Hud, Hud akan jaga isteri Hud macam nyawa Hud sendiri," janji Hud. Dia pandang pada ibunya dengan senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.
"Terima kasih Hud. Terima kasih sebab terima anak ibu yang banyak kekurangan dan tidak sekufu dengan keluarga Hud." Ada nada sebak pada tutur katanya.
"Jangan cakap macam tu bu. Kalau dulu Hud jahil. Tak dapat bezakan yang mana kaca dengan permata. Tapi sekarang Allah dah jentik hati Hud untuk terima isteri Hud dengan sepenuh hati. Dah ditakdirkan bu, permulaan jodoh kami seperti itu. Tanpa cinta dan tanpa kasih sayang. Tapi Allah dan jentik hati ini dan salurkan kasih sayang yang tidak bertebing pada Hud untuk Tia selepas bertahun kami kahwin. Tiada siapa yang dapat jangka bu, bercinta selepas kahwin ni tersangatlah banyak manisnya. Hanya kami yang merasai." Air mata jantannya gugur jua. Entah kenapa hatinya begitu tersentuh dalam meluahkan kata - kata itu.
"Serius je nampak, tengah bincang apa tu? Macam ada sesuatu yang penting je."
Keduanya tersentak dan memalingkan kepala. Di belakangnya sudah berdiri Tia bersama dulang di tangan.
Tia meletak dulang di atas meja kopi. Ada seteko kopi panas dan cekodok bilis bersama sepiring kecil sos cili. Masih keluar asap kepul - kepul halus.
"Wah, rajinnya isteri abang. Masih panas dari kuali. Mesti sedap ni." Hud teruja sambil mengambil seketul cekodok dari dalam pinggan. Dia terus cicahkan sos. Dan ngappp...
"Arggghh..." Mulutnya menganga luas. "Panas..." Hud menjerit kecil.
"Abangni macam budak - budaklah. Dah tau panas masih berasap, janganlah terus ngap ke dalam mulut. Kalau melecur bibir tu baru tau." Tia membebel sambil menuang kopi ke dalam cawan.
Sakinah tertawa sambil menggelengkan kepala melihat telatah anak menantunya ini. Tapi jauh di sudut hati, satu perasaan yang teramat bahagia dia rasakan pada ketika ini.
*******
"Uwekkkk...."
Nureen tekan perut. Terasa perit dan menyucuk segenap sendinya ketika ini. Entah kenapa sejak dua menjak ni tekak dan sebu di perutnya terasa lain macam. Adakah sebab tu???
Matanya membulat. Air matanya semakin laju berguguran. Entah sehingga bila semua ini dapat disorok olehnya.
"Ni semua sebab kau jantan tak guna." Dia sedikit memekik. Tapi masih mengawal suara kerana risau akan ditanya macam - macam oleh mak dan abahnya.
Tadi semasa dia berlari ke bilik air bagi membuang segala isi perutnya, maknya tiada di rumah, sementara abahnya sudah ke tempat kerja.
Tok - tok - tok...
"Nureen..."
Nureen yang sudah basah wajahnya dengan air mata memandang ke arah pintu. Sudah tiga minggu dia balik ke sini. Masanya banyak dihabiskan di dalam bilik. Keluar apabila waktu makan sahaja.
Hidupnya sudah musnah. Semuanya sudah terasa seperti tiada makna.
"Nureen, kamu buat apa berkurung dalam bilik air tu lama - lama? Cepat keluar, mak nak mandi."
Nureen hela nafas. Suara pekikan dari luar bilik air masih kedengaran.
Nureen betulkan dirinya supaya terlihat lebih terurus. Perlahan dia menghala ke arah pintu. Selak dibuka dan pintu bilik air ditolak perlahan.
Sosok ibunya dalam keadaan berkemban berdiri di depan pintu itu dengan memegang sebaldi kain.
"Hmmm, lamanya duduk dalam bilik air. Kamu tidur kat dalam tu ke apa..." Rokiah membebel. Sambil melangkah masuk ke dalam bilik air.
Soalan dari si ibu yang berupa sindiran halus itu dia biarkan sepi. Seperti tiada apa - apa dia terus sahaja melangkah menuju ke bilik.
"Entah apa perangai budak sekarang ni. Dia boleh buat tak tau jer." Rokiah membebel lagi sambil menyelak pintu itu dari dalam.
Nureen hempas telefon ke atas katil. Dia merengus. Nafasnya turun naik. Sampai bila dia nak macam ni. Call lelaki tak guna tu pun tak boleh. Mungkin nombornya sudah diblock kerana berkali - kali dia mencuba untuk call tetapi tidak berjaya.
Perutnya terasa bergelodak lagi. Dia berlari meluru ke bilik air yang letaknya di bahagian dapur.
Rokiah yang sedang memasak menu untuk makan tengahari berpaling dan berkerut kening. "Kenapa pulak ni?" Hanya mulut yang terkumat - kamit.
Mana tak peliknya. Berlari macam nak kena kejar dek anjing. Berdesup.
Uweekkkk...
Nureen tarik nafas berkali - kali. Penat yang teramat apabila dia memaksa segala isi perutnya keluar. Rasa pahit mula merembes keluar dari tekaknya.
"Bila nak tamat semua derita ni?" Nureen bergumam. Bila bersedap - sedap tak pernah fikir pula kesannya. Sekarang tanggunglah semua akibatnya.
Manakala Rokiah di luar yang mendengar anaknya itu muntah - muntah dari dalam bilik air mula risau.
Bergegas dia meluru ke arah pintu bilil air. Ibu mana yang tidak risau apabila keadaan anaknya sebegitu rupa.
"Nureen, kamu kenapa ni?" Sambil memanggil, sambil pula dia mengetuk pintu.
"Buka pintu ni Nureen." Rokiah masih lagi memanggil.
Selang beberapa saat, Nureen keluar sambil mengesat air mata. Dia dah penat. Dah tak sanggup lagi nak hadap.
"Kamu ni kenapa? Sakit ker? Tulah berapa kali dah mak pesan, jangan tangguh waktu makan. Ni tak, kamu ni ambil mudah je. Tengok sekarangni, perut dah masuk angin. Nanti lama - lama kena gastrik." Rokiah memulakan bebelannya. Sejak Nureen balik ke sini, mulutnya asyik nak membebel je.
"Nureen penat mak. Bukan tak nak makan tapi Nureen takde selera." Bergetar suaranya. Dia melangkah perlahan. Bila agaknya dia harus mulakan untuk berterus - terang.
Dia tak sanggup. Nanti malu abah dan emaknya. Sampai ke mati pun dia akan di jadikan bahan umpatan orang kampung.
"Dahlah, lepasni jangan tangguh makan lagi. Cukup waktu,, makan. Jangan sibuk buat benda lain." Rokiah gosok bahu anaknya. Rasa belas pula melihat wajah anaknya yang pucat lesi itu.
Nureen memicit pangkal kepalanya dengan perlahan. Loya campur pening semua bergabung ditambah pula dengan perut yang terasa sebu bagai tiada penyudah.
Petang itu, waktu sudah menginjak ke pukul 6.00 petang. Bunyi enjin kereta Tahir bergema di laman rumah.
Dia dengan wajah sedikit penat melangkah masuk ke dalam rumah.
Di sofa kelihatan si isteri sedang duduk sambil menonton TV.
Tahir ambil tempat di sebelah Rokiah. Karung plastik dia letak di atas meja kopi.
"Abang beli apa ni?"
"Ni haaa, sate daging. Nureen pesan, katanya teringin nak makan." Dia buka plastik yang berisi sate itu.
"Nasib baik ada jual di tepi jalan nak balik ke sini tadi. Kamu pergi ambilkan pinggan dan mangkuk," sambung Tahir.
"Kejap Kiah ambilkan." Rokiah bangun dan ingin melangkah ke arah dapur. Kalau anak yang pesan, laju je beli. Kalau dia yang ingin kirimkan apa - apa, mesti ada yang tertinggal dan terlupa. Omelnya.
Sementara itu Tahir bangun dari sofa dan membawa langkah ke arah pintu bilik Nureen.
"Nureen, jom makan sate, abah dah beli ni." Tahir ketuk pintu. Nama anaknya dilaung - laung supaya anaknya itu mendengar suaranya yang memanggil.
Kurang tiga minit, Nureen buka pintu. Keinginan yang membuak - buak untuk menjamah sate daging begitu meronta - ronta dalam diri. Dari malam tadi perasaan itu dia pendam.
Tapi, rasa pening di kepala dan tekak yang begitu memualkan memaksa dirinya untuk berbaring sahaja di atas katil.
"Jom makan. Kenapa pucat sahaja muka kamu ni? Kamu tak sihat ke?" Tahir menegur apabila wajah anaknya lesu dan tidak bermaya seperti orang sakit.
"Nureen tak sihat, sakit kepala dan perut ni terasa sebu. Mungkin makan tak ikut waktu agaknya," jelas Nureen dalam suara yang tersekat - sekat.
"Jom abah hantar pergi klinik. Makan sate tu dulu. Nanti makin sejuk tak sedap. Lepas tu baru kita pergi klinik." Tahir memujuk anaknya.
"Tak payah ke klinik abah. Nureen okay. Dah makan ubat tadi. Nanti baik sendirilah tu. Nureen nak makan sate." Suara seraknya meluncur dari bibir. Kepalanya semakin menyucuk. Entah kenapalah waktu - waktu sekarangni pula sakit di kepalanya begitu menekan.
Baru beberapa langkah...
BAMMM...
"Nureen..." Suara jeritan memecah suasanan di ruang tamu itu.
"Cepat bang, kita bawak Nureen ke hospital..." Rokiah menjerit. Perasaannya bertambah risau ketika ini. Risau jika ada perkara buruk yang akan berlaku.
Rokiah masuk ke bilik menyarung tudung. Bergegas mengikuti suaminya ke kereta.
Happy reading ❤️ Es Lilin
Share this novel