BAB 11

Romance Series 13768

Tia membetulkan kedudukan tidurnya. Rasa sejuk aircond di dalam bilik itu begitu mencengkam hingga ke tulang rawannya.

"Sejuknyaaa..." Dia berbisik perlahan.

Serentak matanya menjeling ke arah katil. Dengan bantuan cahaya lampu tidur yang malap dia melepas pandang ke arah figura itu. Kelihatan lelaki itu sedang enak tidur bersama dengan dengkuran halusnya.

Seronok betul dapat tidur atas tilam empukkan. Takpelah, lelaki itu tuan empunya bilik ini. Dia berhak ke atas apa yang ada di dalam bilik ini.

Bantal kecil penghias sofa dia buat sebagai lapik kepala. Itu sudah cukup. Sudah memadai buat dirinya. Dia harus bersyukur kerana masih di beri tempat untuk merebahkan kepala. Sofa ini pun sudah cukup selesa buat tempat tidurnya.

Tia bangun dan lunjurkan kaki. Dia menghala ke arah beg pakaiannya. Mengagau dia mencari sesuatu di dalam beg itu.

Tia senyum. Kembali semula ke sofa. Kain batik dan tuala yang dia bawa dari rumah dijadikannya sebagai selimut. Cukuplah dapat menghilangkan sedikit rasa gigilnya. Dia sudah terbiasa hidup dengan berkipas. Tidur pun dengan hanya menggunakan kipas. Mana dia tahan jika suhu bilik ini yang sejuk macam cameron highland. Ya, itu yang boleh dia gambarkan kerana sekolahnya dulu pernah membuat lawatan sambil belajar di situ.

"Sudah Tia, sambung tidur. Jangan mengomel. Bersyukur dengan apa adanya." Tia bergumam dengan dirinya sendiri. Entah pukul berapa sekarang ini dia tidak pasti. Malas pula dia mahu melihat jam tangannya yang berada di atas meja kopi berhampiran sofa itu.

Dengan mata yang semakin berat dia terlena semula. Melupakan kisah pahitnya untuk hari ini. Biarlah pergi jauh - jauh kisah dukanya. Esoklah penentu untuk kisah suka dan dukanya buat hari esok dan seterusnya.


Usai menunaikan solat subuh dia menuju ke arah katil. Berniat mahu mengejutkan sang suami yang sedang nyenyak tidur.

Wajah lelaki yang masih berselimut tebal itu dia pandang. Nampak sejuk pula hati melihat wajah lelaki itu ketika sedang tidur.

Tapi... Kalau dalam keadaan jaga, hmmm, Tia geleng kepala. Tebal dan tinggi betul ego lelaki itu.

Rasa ragu - ragu mula menjalar dalam diri. Nak kejutkan ke tak tak nak. Jika tak dikejut, dia juga yang akan terpalit dosa. Bersubahat kerana membiarkan lelaki itu tidak menunaikan perkara wajib sebagai seorang muslim. Duduk satu bilik tapi hanya memandang si suami tidak bangun untuk bersolat. Adakah dia juga akan disoal?.

Dia nekad, kalau kena hamun sekalipun dia sanggup tahan telinga. Yang penting sudah diajak untuk bersolat. Buat tak buat orang tu yang akan menanggung dosanya sendiri.

"Encik Hud..." Lembut suaranya memanggil nama suami.

"Encik Hud, waktu subuh dah nak habis. Encik Hud tak bangun untuk solat subuh ke?"

"Emmm..." Suara husky menjengah ke telinga. Respon dari Hud Husaini.

"Bangun Encik Hud, waktu subuh dah nak habis..." Tia mengingatkan.

Hud makin hilang sabar.

"Bangun Encik Hud..."

"Eh, kau ni tak faham bahasa ke? Kau nampakkan aku tengah tidur. Kacau jelah..." Hud berang. Mana tak hangin satu badan apabila, tidurnya diganggu. Baru sahaja nak bermimpi dengan kekasih hatinya Tania. Habis hilang semuanya.

"Tapi encik Hud..." Gigil suara Tia apabila diherdik sebegitu rupa.

"Jangan kacau akulah perempuan. Kau ni memang tak faham bahasakan. Berambus kau dari sini. Pergi duduk tempat kau." Hud sudah hilang sabar.

Tia terdiam. Dia kembali semula ke sofa. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Dia urut dadanya perlahan. Orang nak ajak buat ibadah wajib pun tak nak. Susah betul jadi umat akhir zaman yang lupa daratan ni. Dalam tak sedar dia terumpat suaminya sendiri.

Dalam rasa sebal yang meluap - luap dalam diri, dia bangkit dan turun ke aras bawah, langkah dia bawa ke ruang dapur. Tolong Kak Sulis dengan Kak Maz dekat dapur lagi baik dari mengadap muka beku malas solat ni. Tia berdesis sambil matanya sempat dilirik ke arah sang suami yang kembali menyambung dengkuran. Taulah hari minggu.

******

"Ni ada nasi lemak tiga puluh bungkus, kuih cara berlauk ada sepuluh bekas, kuih lapis lima belas bekas dan roti jala ada lima bekas," maklum Sakinah kepada Mak Tom.


Harini warung Pak Seman tutup kerana ada urusan keluarga katanya. Bersyukur juga sebab sudah dimaklumkan lebih awal kerana tidak perlulah dia buat kuih dan nasi lemak banyak - banyak.

"Ha'ah yelah. Letak je kat situ nanti Mak Tom susun." Mak Tom melaung dari dalam ruang dapur warungnya.

"Takpe Mak Tom, Kinah boleh terus susun, sikit je ni." Sakinah membalas sambil tangannya ligat menyusun.

"Suka hati kamulah. Nak minum dulu tak?" Mak Tom mempelawa.

"Errr, lain kali saja Mak Tom, Kinah nak cepat, Tauke Lim datang nak ambil sayur kejap lagi." Lembut dia menolak. Tangannya menjinjing bakul yang kosong dan mahu bergerak ke arah motosikal.

"Emmm, yela. Cakap pasal sayur, nanti boleh bagi Mak Tom kacang botol dalam sepuluh ringgit. Saudara Mak Tom nak datang dari Johor petang ni. Ingat bolehlah bagi buah tangan sikit. Tapi Mak Tom nak esok. Boleh Kinah?" Pinta Mak Tom. Dia menghampiri Sakinah yang sudah hampir ke arah motosikal.

"Boleh sangat Mak Tom. Nanti esok Kinah hantar sini." Sakinah membalas. 'Alhamdulillah ada rezeki untuk esok.' Ucapnya dalam hati.

"Haaa, elok sangat tu. Lupa nak tanya. Tia apa khabar dekat sana? Dah sebulankan? Ada dia dia telefon kamu?" Mak Tom menyoal. Tapi suaranya sedikit direndahkan. Seakan tidak mahu pelanggan di dalam warungnya ikut mendengar.

"Takde Mak Tom. Tia okay je tu. Lagipun dia tak de telefon, sebab tu susah sikit nak berhubung dengan Kinah." Sakinah membalas. Rasa pilu di hatinya mengenangkan Tia. Betapa rindunya kepada anak perempuannya itu. Rindu seorang ibu yang tak pernah terucap.

"Kot ye pun, tak kanlah tak boleh pinjam telefon laki dia untuk telefon kamu. Kata orang kaya, berapa sen sangatlah kalau setakat belikan handphone untuk isteri tu." Mak Tom memulakan omelannya. Tia sudah dia anggap sebagai anak sendiri.

Sakinah telan liur, sudah tak mampu untuk terus membalas. Andainya Mak Tom tau keadaan sebenar perkahwinan anaknya dengan anak Dato' Huzairi... Tapi semua itu biarlah hanya dirinya sendiri dan keluarga Dato' Huzairi sahaja yang tau.


"Mak Tom, Kinah gerak dulu yer. Risau pula takut Tauke Lim tunggu lama." Sakinah mahu segera beredar dari situ. Tanpa menunggu balasan, dia terus menghidupkan enjin motosikal dan bergerak pergi dari situ.

"Nak mengelaklah tu..." Mak Tom bergumam sambil kaki terus melangkah masuk ke dalam ruang warungnya semula.

*******

Tia menarik cardigan labuhnya dek kerana rasa sejuk yang mencengkam. Dari awal pukul 8.00 pagi dia sudah terpacak di luar rumah agam ini, dirinya tidak betah untuk terus ke bilik selepas sarapan bersama kedua mentuanya sebentar tadi.

Biarlah dia habiskan sedikit waktunya di kawasan kolam renang rumah ini. Nak berenang jangan haraplah. Dia bukannya pandai berenang.

Matahari baru menampakkan sinarnya ekoran hujan lebat yang baru mereda sebentar tadi. Udara sejuk masih lagi terasa.

Matanya terpanah ke arah sebuah gazebo cantik di depannya. Laju kaki melangkah ke arah gazebo yang pada perkiraan matanya dibuat daripada kayu jati. Ini berdasarkan kepada kilatan kayu dan ukiran - ukiran kerawang pada bahagian tiang dan atap gazebo itu. Cantik dan nampak mewah. Mesti mahal harganya. Kalau di kampungnya, hanya mampu menggunakan kayu papan biasa sahaja untuk dijadikan ruang istirehat di bawah pokok mempelam ataupun sebagai pondok kecil di tepi sawah. Itu dah lebih dari syukur. Ukur baju di badan sendiri. Pentingkan dulu keperluan dari kehendak.

Leka dia menghayati seni ukiran pada tiang gazebo. Telinganya menangkap suara riuh rendah dari dalam rumah. Dia mengambil langkah untuk diam dan fokus mendengar. Suara perempuan. Tapi asing bagi gegendang telinganya.

"Siapa pulak yang datang tu?"

Dengan sedikit ada rasa kepoci, telinganya menangkap perempuan itu ada menyebut nama suaminya, dia bangun dan menghala ke arah dalam rumah.

"Pagi - pagi dah ada tetamu..." Sambil berjalan dia bercakap sendirian.


Kelihatan di depannya wanita cantik dan elegan. Serta - merta keningnya berkerut seribu. Macam pernah nampak dan familiar wajah perempuan itu.

"Akak nak cari siapa?" Tia menyoal lembut.

"Mana Hud? Aku nak jumpa dia. Tapi kejap, kau ni perempuan yang langgar aku dalam mall dulu tu kan? Aku cam muka kau perempuan kampung." Matanya dijegil. Rahangnya bergerak. Tubuh di depan matanya itu dia pandang atas bawah.

"Hud takde. Atas tujuan apa yer?"


Tia memberi isyarat mata pada Kak Maz supaya pergi dari situ. Kak Maz yang memahami akan isyarat itu terus sahaja melangkah pergi ke ruang dapur.

Tia berpaling semula ke arah perempuan itu. Dia senyum seakan menyinis.

"Mesti kau tak percayakan. Yer, aku perempuan kampung yang terlanggar kau secara tak sengaja di mall dulu." Tia membalas berani. Sengaja dia tekankan ayat tidak sengaja.

"Mana Hud? Aku nak jumpa dia." Tania berpeluk tubuh. Matanya melilau ke segenap ruang yang terjangkau oleh matanya. Senyap sunyi rumah ni. Mana yang lain - lain. Ingatkan ada rezeki dapat berjumpa dengan 'bakal mentuanya'. Susah payah dia mencari baju yang sesuai dan memakai baju kurung moden hari ni semata - mata nak nampak kelihatan manis di depan Dato' Huzairi dan Datin Malika. Hampa apabila dua figura itu tidak kelihatan di ruang tamu.

"Hud takde." Laju Tia membalas.

"Mana boleh dia takde, kereta dia terperuk je dekat garaj." Tania pula membalas.

"Abang Hud takde. Tak malu ke pagi - pagi datang sini cari laki orang." Entah dari mana datangnya keberanian, dia seakan tidak mahu kalah dalam menentang wanita ego di depannya ini.

"Laki... kau yang rampas dia dari aku, berani kau kata 'laki'. Dasar penyondol, perempuan kampung yang tak kenang diuntung." Tania mencerlungkan matanya. Hatinya sakit. Sepatutnya dia yang menjadi Puan Muda dalam rumah besar ini. Bukannya perempuan kampung tu.

"Cakaplah apa kau nak cakap. Aku tak peduli. Sekarang ni, kau yang penyondol bukan aku. Aku secara rasminya dah jadi isteri Abang Hud sebulan yang lepas. Malah dapat restu dari mommy dengan daddy lagi. Kauuu???" Sengaja Tia menaikkan lagi api kemarahan Tania. Dia tidak peduli. Dia akan pertahankan haknya selagi dirinya masih lagi memegang status isteri kepada lelaki itu.

Mommy daddy konon. Loya tekak Tania mendengar panggilan Tia kepada Dato' Huzairi dan Datin Malika. Langsung tak sesuai. Yang sangat sesuai adalah dirinya.

"Apa yang bising - bising ni?"

Masing - masing mengangkat kepala memandang ke arah bahagian tengah tangga. Ada Dato' Huzairi beriringan bersama Datin Malika sedang menuruni anak tangga. Serius sahaja wajahnya memandang terus ke arah wajah mereka. Masing - masing terus diam.

"Kamu datang sini buat apa pagi - pagi macamni?" Soalan dituju kepada Tania yang sudah keras macam patung cendana itu.

Pertanyaan daripada Dato' Huzairi benar - benar membuatkan Tania tersentak. Entah ayat apa hendak dia goreng. Takkan nak cakap yang dia datang sini semata - mata nak jumpa kekasihnya. Mesti kena basuh dia nanti. Mesti dicop perempuan gatal kerana dia terhegeh - hegeh ke sini mencari jantan.

"Cakap cepat..."

Terhinggut bahunya.Tiba - tiba pula menggeletar satu badan.

"Emmm, Hud minta Tania datang sini." Jawapan itu sahaja yang terlintas.

"Hud minta kamu datang sini?"

"Emmm, Tia mana laki kamu?"

Tanpa menunggu jawapan dari wanita itu, Datuk Huzairi terus mengajukan soalan lain kepada menantunya.

"Abang Hud pagi - pagi lagi dah keluar daddy. Tak maklum pula nak pergi mana." Tia menjawab jujur. Betullah tu jawapan yang dia beri. Memang tak nampak bayang lelaki itu selepas dia selesai mandi pagi tadi. Entah ke mana dia pun tak dimaklumkan. Hmmm, sudah dipesan di awal perkahwinan supaya jangan sibuk urusan lelaki itu. Jadi dia buat keputusan untuk tidak ikut campur apa jua urusan lelaki itu.

Tania terkedu. Hud ni pun satu. Keluar pergi mana - mana bukannya nak cakap. Tak pasal - pasal dia kena sound dengan orang tua ni. Tania mengomel. Pipinya sudah terasa seperti papan lapis. Malu yang teramat - amat dia rasa tika ini.

"Kamu ni pun satu Tia, suami sendiri pun tak tau ke mana. Macam mana tu?"

Tia terkedu memandang bapa mentuanya apabila lelaki itu menyebut namanya. Dia telan liur yang terasa kelat. Hanya diam tidak membalas.

"Kamu pula Tania, jangan suka - suka datang sini jumpa laki orang. Kamu taukan Hud tu suami orang. Mana letaknya maruah kamu. Kamu pergilah balik. Tak manis orang tengok." Dato' Huzairi memberi teguran tapi lebih kepada sindiran.

Kata - kata tajam itu begitu menusuk ke dalam hatinya. Tapi dia tidak peduli. Hud kekasihnya. Tapi dia sedikit kesal apabila Hud sudah beberapa minggu tidak menghubunginya sejak lelaki itu berkahwin, sebab itu dia tekad untuk datang ke sini. Tanpa pamit dia bergegas keluar dari rumah agam itu bersama satu jelingan tajam ke arah Tia. Dia benci perempuan yang tak sedar diri ini. Tersangat benci.

Happy reading ❤️ Es Lilin

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience