BAB 39

Romance Series 23975

"Nureen balik bila?" Soal Tahir sekali lagi. Dia masih berdiri dan menunggu ayat balas dari isterinya.

"Baru je. Lain macam penat dia. Macam dia pulak yang bawak bas," tukas Rokiah.

"Emmm, bagi jelah dia berehat. Mungkin penat bekerja kot." Tahir menelah.

"Entah apa kerja yang dia buat kat bandar sana. Hasil pun tak nampak." Rokiah merungut. Yang dikhabarkan, Nureen bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat tetapi sehingga ke hari ini satu sen pun tak pernah dihulur. Sebagai ibu, teringin juga dia nak merasa. Tak banyak, sikit pun jadilah.

"Tak payahlah awak nak fikir yang bukan - bukan. Doa - doa yang baik -baik sudahlah." Tahir sehingga ke hari ini asyik membela anak daranya yang sorang itu.

Rokiah diam. Dia memalingkan kembali wajahnya pada kaca televisyen.

"Pergi buatkan abang teh o dengan cekodok ikan bilis. Selepas mandi abang nak makan." Tahir mengarah sebelum dia bergerak ke biliknya. Sekilas dia pandang ke arah pintu anak daranya itu.

Rokiah bangun walaupun wajahnya sedikit masam mencuka. "Tak boleh tengok orang senang sikit, ada je nak minta itu ini." Mulutnya mengomel tapi langkah tetap dibawa ke dapur.

Kelentung - kelentang dia bertukang di dapur. Hari ni dia sudah masak lauk tengahari bawak sampai ke malam. Dia bukan seorang yang rajin nak masak kerap kali. Untuk makan tengahari masak asing. Untuk makan malam pula masak asing. Tu bukan sifatnya.

Selepas waktu maghrib, Tahir turun ke dapur mahu makan malam pula. Dia buka tudung saji. Dia atur langkah ke arah meja makan. Tudung saji dia angkat mahu melihat apa lauk yang ada. Di bawah tudung saji masih ada berbaki beberapa ketul cekodok petang tadi.

"Kiah, bagi pinggan abang nak makan." Pintanya kepada isteri yang sedang sibuk mencedok lauk kari ayam ke dalam mangkuk.

Rokiah datang terkedek - kedek membawa mangkuk berisi kari ayam dan selepas itu menghala ke arah rak pinggan dan kembali membawa beberapa biji pinggan. Dia cedok dua tiga senduk nasi ke dalam pinggan suaminya.

"Nureen tak turun makan ke?" Pandangan dia hala ke bahagian ruang tamu atas rumah. Bahagian dapur sedikit rendah berbanding bahagian ruang tamu. Ada tiga anak tangga untuk ke ruang dapur.

"Entah, dah ajak, tapi diam je tak menyahut." Rokiah membalas malas.

"Entah???... Awak tak pergi tengok ke, entah pengsan ke budak tu kat dalam bilik." Tegur Tahir. Dia bangun dan menghala ke arah bilik anak daranya.

"Nureen. Jom makan. Kamu ni dari abah balik kerja petang tadi, berkurung je kat dalam bilik. Kenapa ni?"

Nureen yang sedang terbaring memandang lesu pada wajah abahnya.

"Nureen tak sihat. Takde selera nak makan. Abah makanlah dulu. Kalau nanti Nureen lapar, pandailah Nureen cari sendiri." Nureen membalas. Dia semakin memeluk bantal peluknya. Buat - buat tidur.

Tahir menggeleng - gelengkan kepalanya. Dia beransur pergi dari situ dan kembali menyambung makannya.

"Apa anak dara abang cakap?" Rokiah menyoal.

"Dia cakap dia kurang sihat."

"Hmmm..."

*******

Tahir menongkat motosikalnya di bawah pokok rambai yang sedang berjuntai - juntai buahnya. Dia memandang jauh ke arah batas - batas pokok - pokok sayur yang berada di depannya. Angin sesekali menghembus wajahnya.

Di depannya beberapa pekerja kebun sayur sedang leka dengan tugasnya.

"Buat apa abang long datang sini?"

Tahir urut dada. Suara sergahan yang datangnya dari belakang itu betul - betul membuatnya terkejut.

"Saja datang nak menyinggah. Nak tengok adik ipar. Takkan tak boleh." Tahir membalas. Sebatang rokok Dunhill dia nyalakan ke mulut.

Berkepul - kepul asap rokok terhembus dari mulutnya.

Sesekali Sakinah mengibas - ngibas mukanya dengan tangan apabila asap rokok itu mengenai wajahnya. Cukup rimas apabila ada yang tidak beradap menghisap rokok di depannya dan menghembus asap sesuka hati.

Sakinah melepas keluh. Abang iparnya ni kalau takde apa - apa yang penting, takdenya dia nak datang ke sini. Tau sangat perangai orang tua yang sorang ni.

"Tak payah datang pun takpe. Kalau datang sini pun buat jadi bahan umpatan orang - orang kampung buat apa. Bukan Kinah yang suruh abang long datang sini tapi yang dilabel perempuan gatalnya siapa? Kinah jugak. Sudahlah abang long, pergilah balik. Tak payah nak ganggu hidup Kinah lagi." Sakinah meluah apa yang terbuku. Sungguh dia tak berkenan apabila Abang iparnya ini datang ke sini atau ke rumahnya sesuka hati. Jiwanya sudah cukup tersakiti dengan kata - kata umpatan orang kampung. Yang salahnya dia dan yang dicop perempuan gatalnya dia juga. Emmm, semua yang buruk - buruklah tertuju padanya.

"Tak payah nak dengar apa yang orang kampung cakap. Buat pekak je."

Sakinah mencebik bibir. Meluat dia mendengar kata - kata dari mulut Tahir.

"Sudahlah abang long, pergilah balik. Tak payah nak rajin - rajin datang sini. Buat menyemak je."

"Buat menyemak kau kata. Makin berlagak kau sekarangni yer. Mentang - mentang kau dah hidup senang sekarang ni. Kau jangan lupa, kau hidup senang atas asbab aku." Ptuiii... Tahir meluah ludah.

"Asbab apa yang abang long nak banggakan sangat tu? Asbab jual anak buah sendiri dekat orang kaya. Sanggup abang long gunakan Tia semata - mata nak puaskan hati abang long. Paksa Tia kahwin dengan anak dato' tu semata - mata abang long nak ambil duitkan. Jangan ingat Kinah tak tau. Dah lama Kinah tahan semua ni. Tapi tula, Kinah patut ucap terima kasih pada abang long juga, kalau bukan sebab abang long kenenkan Tia, mungkin Tia sampai ke sudah tak dapat kahwin dengan anak orang kaya." Sakinah lagi mencurah minyak. Tapi hatinya belum puas untuk menghamburkan segalanya.

"Pergilah balik. Jangan ganggu hidup Kinah. Pergi jaga keluarga sendiri." Kinah berlalu. Malas mahu melayan. Dia melihat pekerja - pekerjanya yang sedang sibuk di batas sayur.

Tahir merengus. Dia memandang ke arah Sakinah yang semakin jauh ke depan.

"Jual mahal..." Tahir mendengus dan menghidupkan enjin motosikalnya.

Sampai di rumah, kelihatan Rokiah sedang terbongkok - bongkok menyapu daun kering di laman. Isterinya itu menghentikan sejenak kerjanya dan memandang ke arah Tahir.

"Mana santan dan gula melaka yang kiah minta abang belikan tu?" Rokiah menyoal setelah melihat suaminya hanya melenggang kangkung melangkah masuk ke dalam rumah.

Rokiah bercekak pinggang. Dia menggelengkan kepala.

"Apa kena dengan orang tua ni? Tetiba naik hangin." Rokiah menghempas batang penyapu ke atas tanah. Dia ikut masuk ke dalam rumah.

"Kenapa dengan abang ni? Tiba - tiba nak marah."

Tahir yang baru hampir nak ke pintu biliknya terhenti langkah.

"Santan dan gula melaka nanti abang belikan." Dia bersuara tanpa reaksi dan bergegas masuk ke dalam bilik. Mencapai Tuala dan keluar semula dari bilik menuju ke arah dapur.

Rokiah pelik. Tiada angin dan tiada ribut mood suaminya ini boleh berubah. Masalah di tempat kerja ke? Fikirnya.

*******

Malam semakin larut. Nureen memusing badan ke kiri dan kanan. Susah benar ingin melelapkan mata.

Dia bingkas bangun dan membuka jendela. Duduk berdiri di situ.

"Macam mana kamu buat kerja ni? Kamu tau tak, disebabkan kamu salah kira, saya dah rugi RM10K. Saya akan potong 20% gaji kamu setiap bulan. Selepas semuanya selesai, kamu secara rasminya akan di berhentikan dari syarikat saya. Syarikat saya tak perlukan orang yang cuai macam kamu."

"Saya minta maaf Dato' Dasuki. Saya akui salah saya. Banyak masalah saya sejak akhir - akhir ni. Tapi saya mohon jangan berhentikan saya. Saya perlukan kerja ni." Nureen merayu. Sudah bermain di benaknya, macam mana dia nak bertahan hidup di bandar ni jika dia tiada kerja. Nak bayar duit sewa. Makan pakainya lagi. Dengan nak hadap lagi satu masalah yang baru - baru ini dia terima. Masalah yang bakal menghancurkan hidupnya.

"Saya tak nak dengar apa masalah kamu. Dah banyak hal buruk saya dengar dari HR pasal kamu. Kamu datang pejabat ikut suka hati kamu macam syarikat ni bapak kamu yang punya. Kami ingat saya tak tau. Tu belum kira lagi kamu MC. Kejap - kejap MC. Sudahlah, ni surat kamu. Lepas settle semua kerugian ni, saya tak nak tengok kamu di pejabat ni lagi." Suara Dato' Dusuki naik senoktaf.

Nureen terkedu. Tiada alasan lagi untuk dia membela diri. Dia angkat kaki dan keluar dari bilik bosnya itu.

Angin malam menyapa wajahnya. Ingatan peristiwa beberapa bulan yang lepas menghilang dari ingatan. Kepulangannya ke sini adalah kerana tempoh pembayaran balik duit ganti rugi telah berakhir dua hari lepas.

Buat apa dia mahu tunggu lagi di bandar besar itu. Ada kekasih pun sudah pergi meninggalkan dirinya. Hadaplah masalah ini sorang - sorang. Lelaki semua sama. Tidak bertanggungjawab. Rengusnya.

Rasa pening di kepala datang menjengah lagi. Sejak akhir - akhir ini, kerap pula datang sakit kepala. Ikutkan hati mahu berbaring sahaja di atas katil.

Dia mengurut tekaknya yang terasa lain macam.

Air jernih gugur di pipi. Banyak sebab dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Hidupnya di bandar besar sana sudah tiada makna.

"Sampai hati you tinggalkan i macam tu je. Apa yang jadi ni bukan salah i seorang. Tergamak you tuduh i bukan - bukan. You taukan, lelaki yang sentiasa bersama i adalah you." Gumam Nureen. Dia kembali berbaring di atas katil.

Dalam melayan perasaannya sendiri, Nureen akhirnya tertidur.

Keesokan harinya, Nureen keluar dari bilik. Dia mahu mandi. Semalam sudah seharian dia asyik berkurung di dalam bilik.

"Abah mana mak?" Nureen menegur sejurus melihat ibunya sedang berdiri di depan mesin basuh. Mahu membasuh kain agaknya. Fikir Nureen.

"Haa, Nureen, baru nampak kamu harini. Berkurung je dalam bilik. Kamu ni kenapa?" Rokiah menegur. Soalan si anak tidak dia jawab. Dari balik semalam anaknya itu tidak keluar dari bilik.

"Nureen kurang sihat. Takde selera nak makan. Okaylah mak, Nureen nak mandi." Nureen membalas sambil berlalu mahu menuju ke bilik air.

"Kamu bercuti berapa lama?"

Langkah Nureen terhenti apabila mendengar soalan ibunya. Sungguh berat untuk dia jawab. Dia tarik nafas dalam - dalam.

"Nureen tak bercuti pun mak tapi Nureen dah diberhentikan kerja." Nureen membalas tanpa berpaling. Langkahnya ke bilik air dia teruskan.

"Berhenti kerja??? Baru setahun kerja dah diberhentikan." Soalan itu tidak mampu dia jawab. Sebelum ni pun sama juga, kerja tak sampai setahun dua dah berhenti. Hmmm...

"Kiah, ambilkan pinggan." Rokiah memandang ke arah suara yang berupa arahan itu. Batang tubuh suaminya dia pandang sebelum berlalu mendapatkan pinggan.

"Nureen mana, pintu bilik dia terbuka tapi orangnya takde dekat dalam."

"Mandi..." Balasan ringkas dari Rokiah. Dia bawakan sepinggan besar mihun goreng Singapore ke atas meja.

Air kopi panas yang pekat hitam dia tuang ke dalam cawan suaminya.

Mata Tahir tersorot ke arah pintu bilik air yang terbuka lebar. Wajah anaknya yang kelihatan sedikit memucat itu dia pandang.

"Nureen meh sini makan dengan abah. Kamu ni dari semalam tak jamah makanan. Kamu sakit ker?" Tahir menyapa anak daranya.

"Nureen kurang sihat. Abah makan dulu, Nureen nak siap - siap. Nanti Nureen datang." Balasnya dan segera berlalu ke biliknya.

Dari tadi dia tahan rasa kurang enak pada tekaknya. Pagi - pagi selalu buat hal. Segera dia sudahkan urusannya di dalam bilik.

Dia datang kembali ke meja makan. Abah dan maknya masih makan di situ.

Pinggan di atas rak dia capai dan kembali semula ke meja. Satu kerusi di sebelah ibunya dia tarik perlahan.

"Kamu nak pergi klinik ker? Teruk sangat muka pucat kamu ni. Abah boleh hantar kamu sebelum pergi kerja. Harini abah pergi lewat sikit. Dato' suruh datang tengahari," maklum Tahir.

"Takpe abah. Nureen dah makan panadol pagi tadi tadi selepas makan biskut. Nureen okay je. Mungkin sebab penat," balas Nureen.

"Cuti berapa lama?" Tahir menyoal.

"Nureen dah tak kerja lagi. Diberhentikan beberapa bulan lepas." Balasnya datar.

Tahir mengerut dahi. "Kenapa Diberhentikan? Kamu ada buat salah ke?"

"Syarikat nak kurangkan kos pekerja. Sebab tu ada beberapa orang staff kena diberhentikan dan atas sebab tu juga Nureen balik kampung. Nak cari kerja area pekan pulak." Nureen menerangkan walaupun sangat berat untuknya menuturkan. Dia berbohong??? Yer, dia berbohong. Dia tidak mahu dicop yang bukan - bukan oleh mak dan abahnya. Lagipun ada sebab yang lagi berat dia perlu pulang semula ke kampungnya. Dia sudah tiada duit simpanan. Duitnya sudah habis dikikis oleh lelaki bangsat yang suka berpoya - poya itu.

"Emmmm, terpulang pada kamulah. Mana yang baik untuk kamu, abah sokong. Dah... Makan." Begitulah seperti kebiasaannya, Tahir tetap akan menyokong anak daranya yang sorang ini.

Rokiah hanya diam. Tidak menyampuk sebabnya kalau dia cakap apapun, Tahir tetap menangkan anaknya itu. Sebab hatinya rasa tak sedap. Entahlah sepertinya semacam ada sesuatu yang tidak kena.

Nureen hanya menjamah sedikit mihun. Tekaknya tidak berselera. Apa yang ditelan semacam hendak terkeluar semula. Dia paksa diri menghabiskan semua mihun di dalam pinggan.

"Sikit je makan. Nikan makanan kegemaran kamu." Celah Rokiah sambil mata melirik pada anaknya.

Happy reading ❤️ Es Lilin

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience