"Kenapa abang long beria - ria sangat nak carikan suami buat Tia? Tia masih ada Kinah sebagai ibu dia. Selama ni pun abang long tak pernah pun ambil tau hal Kinah anak - beranak. Kami ni sihat ke? Ada makan ke tak? Ada abang long tanya? Takde kan, jadi tak perlu nak lebih - lebih untuk tentukan jodoh anak kinah. Nureen tu ada, kenapa tak carikan laki untuk dia. Sibuk je dengan anak orang." Lancang mulutnya Puan Sakinah menghambur kata - kata. Sudah lama dia menahan. Orang tua di depannya ini sekali - sekala perlu juga dibidas.
Tahir mengepal tangan. Mengetap kuat bibirnya. Semakin hari semakin biadap pula adik iparnya ini. Rahangnya bergerak - gerak tanda dia sedang menahan marah.
"Kau jangan kurang ajar dengan aku Kinah. Suka atau tak suka, aku ni tetap wali anak kau tu tau. Siapa lagi yang kau ada untuk jadikan wali Tia? Si Taufiq tu, hmmm... Kecik lagi."
Sakinah menelan liur. Hal wali pula yang disebut - sebut. Memang awal - awal lagi dia dah kalah. Memang betul kalau ikut urutan tertibnya. Anak lelakinya ini masih kecil, dah tentu - tentulah tak layak. Baligh pun belum lagi.
"Jangan sebut hal wali jika tanggungjawab pun ke laut. Abang long takde hak. Biarlah Tia tak kahwin sampai ke tua pun." Puan Sakinah masih berani membalas. Dia sudah berdiri mencekak pinggang. Jika tadi dia duduk bertinggung mencabut rumput pada tanah di tepi pangkal pokok sayur bendinya, kali ini tidak betah pula dia berkeadaan seperti itu. Dia memandang tajam pada abang iparnya yang berdiri tegak di depannya itu.
Sakinah berdecit geram. Tak habis - habis nak sakitkan hatinya. Isu jodoh Tia juga yang disebut - sebut. Hal anak sendiri tak pula disibukkan. Entah ada udang disebalik batu agaknya nak sangat Si Tia tu berkahwin.
"Kau jangan buat - buat lupa Kinah. Laki kau pernah cagarkan tanah dan tapak rumah ni pada aku dulu. Hutang pun tak habis bayar dah mati. Jangan ingat aku tak boleh halau kau semua keluar dari rumah ni." Tahir mengugut. Rahangnya bergerak - gerak.
"Kinah tak pernah lupa. Mana hati perut abang long? Tia dengan Taufiq tu darah daging abang long. Tergamak abang long buat macamtu. Hmmm... Nanti cukup duit, Kinah akan langsaikan semua baki cagaran yang masih ada tu. Lagipun bukan Abang Din saja - saja nak cagarkan rumah ni, abang long pun taukan sebabnya, semuanya untuk rawatan penyakit jantung taufiq."
"Haaa, sedar pun diri. Dulu aku suruh kahwin dengan aku jadi bini aku, kau tak nak. Sombong. Jual mahal. Kalau tak, dah lama kau hidup senang, tak payah nak susah - susah hidup macamni. Kau memang sengaja tolak tuahkan." Cerita lama dia buka. Bukan main beria - ria dia memujuk adik iparnya itu untuk dijadikan isteri kedua selepas beberapa bulan habis iddah. Sudah lama sebenarnya dia menaruh hati pada Sakinah. Wanita yang masih lagi cantik dan menawan di matanya. Sudahlah dulu dia pernah kalah dengan adiknya. Entah apa lebihnya Si Tajuddin tu sampaikan Sakinah tak pandang akan dirinya.
Loya tekak Sakinah. "Lebih baik Kinah menjanda dari jadi isteri kedua abang long. Bini sorang pun tak terjaga, ada hati nak kahwin lain. Kerja driver tapi lagak macam orang kaya - kaya. Sudahlah abang long, biarkan kami anak - beranak hidup tenang. Hutang abang long tetap Kinah akan bayar. Tak pernah sekali pun Kinah lupa pesanan suami Kinah. Kinah janji akan tebus balik geran tanah tu." Dalam membalas kata - kata abang iparnya, tetap juga terselit perasaan risau. Suaminya memajak tapak tanah rumah ini bukan suka - suka tetapi kerana ingin membiayai pembedahan jantung anak bongsunya yang ketika itu masih kecil. Mereka sudah terputus harapan. Hanya itu sahaja caranya.
"Kau ingat yer, Tia tetap juga akan berkahwin dengan lelaki pilihan aku. Kalau tidak bersedialah untuk keluar dari rumah ni." Pak Long Tahir berlalu sejurus memberi sedikit ugutan, mencuka wajahnya. "Orang nak bagi hidup senang pun susah. Hmmm," dia mengomel.
Sakinah geleng kepala. Dia dengar. Jelas di telinganya apa yang diperkatakan oleh abang iparnya itu.
Tidak jauh dari situ ada Tia yang sedang berdiri menyorok disebalik pokok kacang botol yang merimbum pada kayu pancang. Dia sudah dengar semuanya. Hatinya sedikit terguris. Sampai hati Pak long. Entah apa yang merasuk pak longnya ketika itu, kenapa tak dicarikan laki buat Nureen. Nureen lagi tua darinya. Jiwanya pula masih muda dan ingin bebas serta tidak mahu terikat. Banyak yang belum dicapai dalam hidupnya. Walaupun sedar semua angan - angan dan impiannya itu ibarat seperti angan - angan Mat Jenin.
Mana betah dia memasuki alam perkahwinan diwaktu umurnya masih lagi terlalu muda. Terlalu mentah untuk dia mengambil tahu hal - hal yang berkaitan alam rumahtangga. Baru lapan belas tahun umurnya. Banyak lagi hal yang perlu dia lalui.
Dari balik pokok kacang botol itu dia memerhati tingkah ibunya. Kelihatan ibunya mengesat kelopak mata dengan hujung lengan baju kurung opah yang dipakainya. Rasa kesian datang bertimpa - timpa. Entah apa lagi kata - kata yang menyakitkan hati yang pak longnya itu katakan pada ibunya.
Perlahan dia keluar dari tempat sembunyi.
"Ibu..."
Sakinah yang berdiri membelakangi dirinya tersentak, lantas berpaling memandang si anak. Cuba mengawal sedikit riak gelabahnya. Risau jika anaknya itu dapat mengesan emosi yang sedang dia hadap ketika itu.
"Tia... Kamu dari mana?"
"Ibu, Tia terserempak dengan pak long..." Soalan si ibu dia tidak jawab.
"Hmmm, saja pak long datang nak tanya khabar kita."
"Tia dah dengar semuanya ibu... Tia dah dengar apa yang ibu dah bincang dengan pak long."
"Tapi kenapa harus Tia? Diakan ada anak perempuan... Kenapa hidup Tia juga yang dia nak sibuk - sibuk. Kalau dah kemaruk sangat nak bermenantu, bagi je pada Nureen." Tia melepaskan apa yang dia rasa. Terlupa yang dia hamburkan itu tertuju kepada bapa saudaranya.
"Tia, jaga mulut. Ibu tak pernah ajar Tia cakap bukan - bukan pada pak long kamu. Buruk - buruk perangai dia pun, dia tetap bapa saudara kamu. Darah daging Tia. Ingat tu Tia." Sakinah menegur. Risau jika akan ada lagi kata - kata yang tidak enak didengar keluar dari mulut anaknya itu.
"Maafkan Tia ibu. Tapi Tia dah banyak bersabar dengan sikap pak long. Selama ni tak pernah pun dia ambil tau pasal kita. Sakit demam kita pun tak pernah dia tanya, apatah lagi nak membantu. Alih - alih sesuka hati nak suruh Tia kahwin. Pak saudara apa macam tu." Sekali lagi dia hamburkan apa yang tidak puas hati dari dalam hatinya.
"Tia... Sudah... Pergi masuk rumah. Tolong panaskan lauk, sekejap lagi adik kamu dah nak balik sekolah."
Tia menghembus nafas. Dia mengalah. Lalu dia berlalu pergi dari belakang rumah ke pintu dapur. Sedangkan di dalam hatinya tak sudah - sudah dia menyumpah. Menyumpah bukan sebab benci tapi lebih kepada sakit hati.
Sakinah hanya memandang kosong pada batang tubuh anaknya yang semakin menghilang di balik pintu.
"Maafkan ibu Tia..."
Dia menghembus nafas panjang sebelum menyambung kembali tugasnya yang tergendala sebentar tadi. Segala pekerjaan yang dia lakukan sekarang ini serba tidak kena.
"Baik jadi macam kau kangkung, masa kecil dibelai - belai bila cukup besar kau dituai. Pastu tunggu masa je peraih datang ambil. Tak perlu fikir masalah dalam dunia tipu - tipu ni. Hmmm..." Sakinah yang sedang duduk dalam keadaan mencangkung mengintai ulat dan belalang di celah pucuk - pucuk hijau itu bermonolog seorang diri. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang dia ada sekarang ni, dia sangat - sangat bersyukur. Cukup makan dan ada tempat berteduh. Tapi apabila teringat akan kata - kata abang iparnya pasal hal cagaran sebentar tadi, jiwanya kembali bergolak. Rasa tidak tenteram menerjah ke seluruh jiwanya kini.
*******
"Kak long, ustazah minta duit untuk beli set buku latihan."
Tia Zahara yang baru selesai membancuh air sirap di dalam jag terdiam sejenak seraya melepas pandang kepada adiknya.
"Berapa ustazah minta?"
"Lima puluh ringgit kak long." Taufiq menjawab. Nasi yang berada di tangan dia suap ke mulut. Makan nasi berlaukkan telur dadar bersama sayur tumis sawi dah cukup sedap baginya. Sudah cukup mengenyangkan perutnya hingga ke petang.
Nafas dihela "Nanti kak long bincang dengan ibu." Matanya menjeling ke arah atas rumah. Ibunya masih belum selesai solat Zohor.
Lima belas minit berlalu...
"Taufiq dah siap makan?"
"Dah bu..."
"Solat???"
"Pun dah..." Tia membalas pantas. Ibunya yang baru jejak dua anak tangga memusingkan semula badannya masuk ke ruang tamu.
"Ibu tak makan dulu?"
"Tak pe, kamu makan dulu, ibu nak pergi hantar adik kamu ke sekolah agama. Dah hampir waktu nak masuk kelas ni. Nanti lambat pulak." Sakinah membalas tapi tidak berpaling ke arah anaknya.
"Ibu, Taufiq nak duit untuk beli buku..."
"Berapa?"
"Lima puluh bu..."
Sakinah angguk. "Emmm, Nanti ibu bagi..."
Timbul rasa kesian di hati Tia. Jika ayahnya masih ada, mesti ibunya tidak akan bersusah payah seperti ini, berat sungguh tugas dan amanah yang dipikul oleh ibunya. Tubuh ibunya yang sudah menghilang ke dalam rumah dia hantar dengan pandangan kosong. Sebab itulah dia dah tak nak sambung belajar. Malas nak menyusahkan ibunya. Biarlah peluang itu diberikan kepada adiknya. Harapannya satu hari nanti, Taufiq akan dapat merubah hidup mereka sekeluarga.
Tak sampai lima minit kedengaran bunyi ekzos motosikal meninggalkan perkarangan laman rumah.
Perut sudah berdendang. Tidak menunggu masa yang lama dia mencedok nasi ke dalam pinggan. Dari pagi tadi perutnya itu hanya menjamah dua potong kuih lapis. Memang tidak dapat menahanlah tahap kelaparan dia sekarang ini.
Jauh fikirannya melayang. Rindu ketika zaman persekolahannya dulu. Dia tersenyum. Banyak kenangan manis yang tersimpul ketika itu. Lagi membuatnya gembira apabila keputusan SPMnya mencatatkan keputusan yang cemerlang. Tapi sijilnya itu hanya berhabuk di dalam fail. Sedar diri yang keluarganya hidup susah.
Jika ayahnya masih ada, mesti kehidupannya tidak sesusah seperti ini. Mesti dia juga sedang belajar di menara gading sekarang ini. Bukan dia tidak mahu belajar lagi. Ibunya sudah penat memujuk tapi dia tak sampai hati mahu membebankan ibunya lagi.
"Ayah, semoga ayah tenang di sana. Sudah cukup segala ilmu dan didikan yang ayah dah bagi pada Tia. Tia sayang ayah." Dia tahan air mata dari bergenang.
Ingatannya mati ketika mengingat kembali kata - kata pak longnya kepada ibu pagi semalam. Dia ketap giginya. Sakit hati, geram, nak marah semua ada. Seorang bapa saudara yang tidak layak digelar bapa saudara. Ayahnya anak yang tengah. Ada seorang lagi pak sunya yang sekarang ini berada di Terengganu. Dah berjumpa jodoh dengan orang sana.
Jauh di sudut hatinya, dia berazam akan membantu ibunya untuk menyelesaikan hal geran tanah dengan pak longnya. Ye, dia dengar semuanya apa yang dibincangkan oleh pak long dengan ibunya siang tadi, termasuklah hal geran tanah.
"Aduhhh..." Bibirnya tergigit. Tulah sambil makan sempat lagi nak fikirkan hal lain. Tak fokus. Omel Tia pada dirinya sendiri. Dia selesaikan makan tengaharinya hingga ke suapan terakhir.
Rasa sejuk air sirap terasa segar melalui tenggoroknya. Dia bangun menuju ke sinki. Pinggan makannya dia cuci dan kemaskan meja makan selepas itu.
*******
"Kamu dari mana? dah dekat waktu subuh baru nampak muka." Dato' Huzairi menerjah. Matanya sekilas melihat jam besar di ruang tamu dan menfokuskan semula pandangan pada anak teruna di depannya ini.
Hud yang baru melangkah masuk ke dalam rumah berpaling. Ada pula daddynya dekat sini. Ingatkan masih dekat bilik. Mungkin bersiap - siap mahu ke surau. Salah percaturan dia balik pada waktu - waktu begini.
"Dari rumah kawan. Dia ada buat parti." Entah kenapa kedengaran jujur pula jawapan yang dia balas pada pertanyaan daddynya. Mungkin tidak mahu semakin banyak pula persoalan - persoalan lain yang akan terlontar dari bibir daddynya itu.
"Tak habis -habis berparti, bila kamu nak berubah ni Hud? Umur kamu bukannya makin muda. Pagi, petang, siang dan malam, yang kamu tau, enjoy. Cubalah fikirkan halatuju hidup tu sikit." Dato' Huzairi mula membebel.
"Bingitlah telinga Hud. Hud penat sangat ni daddy. Mata pun mengantuk. Hud nak naik atas." Hud Husaini menekup telinganya. Dia berlalu meninggalkan daddynya menuju ke arah tangga.
"Bila kamu nak mula kerja di syarikat daddy?"
Langkah Hud terhenti. Baru sahaja kakinya menapak ke satu anak tangga. "Hud penatlah daddy. Bagi Hud rehat. Penat otak time belajar dulu pun tak hilang lagi.." Bengang pula hatinya, sampai - sampai je ke rumah terus diasak dengan soalan yang sebegitu. Kepalanya juga sedikit pusing kerana entah berapa gelas dia minum air beralkohol di parti hari jadi rumah Tania sebentar tadi. Ni semua salah Tania.
"Dah enam bulan pun masih tak hilang lagi penat otak tu. Ke sampai ke tua otak kamu tu nak penat? Sampai ke dalam kubur ke?" Dato' Huzairi memperli. Dia sudah bercekak pinggang.
"Apa daddy ni? Tak kan sampai ke dalam kubur. Nanti sampai masanya Hud kerja di syarikat daddy. Tapi bukan sekarang." Dia teruskan melangkah. Panas pula hatinya. Pagi - pagi dah bergaduh dengn orang tuanya.
"Allahu akbar Allahu akbar..."
Kedengaran azan sudah berkumandang dari surau.
Tersentak Dato' Huzairi. Sepantasnya dia memandang ke arah jam besar di ruang tamu.
"Dah subuh. Hmmm, bertekak dengan budak bertuah ni sampai terlepas nak pergi solat subuh dekat surau." Dato' Huzairi membebel pada dirinya sendiri. Dia tepuk dahi. Kalau nak pergi pun dah tak sempat. Dia aturkan langkah ke arah mini surau di dalam rumahnya. Sebelum itu sempat dia mengejutkan Malika, isterinya untuk sama - sama solat subuh berjemaah.
Happy reading ❤️ Es Lilin
Share this novel