BAB 24

Romance Series 13768

"Dah bangun belum anak dara awak tu?"

Pertanyaan serius Dato' Rahim tanpa nada sambil jam tangan dia jeling sekilas.

Keluhan terlepas perlahan. "Belum lagi abang."

"Tengok - tengokkan sikit anak awak tu, jangan dibiar tanpa pengawasan. Nasib baik orang - saya maklumkan yang dia ada masuk tempat tu malam tadi. Nampak kereta dia bersidai kat tempat parking tepi pub tu," tegur Dato' Rahim.

"Kawan abang pun ada pergi ke tempat macam tu juga ke?" Datin Sofia menyoal.

"Tak pergi, tapi lalu kawasan tu. Dia kenal kereta Tania. Sebab selalu nampak kereta tu kat pejabat abang."

"Ooo..." Muncung mulutnya menyebut 'O'.

"Jangan nak fikir yang bukan - bukan pulak. Kawan abang tu orang masjid, tak perginya tempat - tempat macam tu." Dato' Rahim perbetulkan, risau jika isteri tersalah anggap pula, nanti dia juga turut terpalit.

"Emmm, sorry, pasal Tania tu, jangan harapkan saya sorang, abang pun kena main peranan. Buat anakkan sama - sama."

Kata - kata isterinya itu membuatkan dia mati kutu.

"Hmmm, takpelah abang nak pergi kerja. Nanti kalau Tania dah bangun, suruh dia datang pejabat. Pakai baju elok - elok sikit. Abang nak suruh dia kerja kat pejabat. Tak payah jadi model lagi," arah Dato' Rahim sebelum menyudahkan hirupan terakhir kopi panasnya.

"Nak ke dia kerja kat pejabat abang? Bukannya abang tak tau dia tak minat kerja pejabat." Datin Sofia menyoal dengan wajah sedikit berkerut.

"Abang tak peduli dia minat ke tidak. Dia tetap kena kerja di pejabat kita. Sampai bila? Syarikat kita kena ada pewaris. Dan, dia satu - satunya pewaris yang kita ada." Dato' Rahim hembus nafas. Dia mencapai briefcasenya dan berlalu keluar. Sani sudah setia menunggu di luar.

"Dah nak gerak ke tuan?" Sani pemandu yang sudah bekerja di rumah itu selama tujuh tahun menegur.

"Abang Sani dah sarapan belum?"

"Dah tuan, kat dapur tadi."

"Emmm, bagus, sebelum nak mulakan apa - apa kerja, sarapan dulu. Saya tak suka pekerja saya buat kerja dengan perut kosong." Dato' Rahim menegur. Senyuman manis terukir di bibir.

"Yer, saya faham tuan."

Di dalam bilik Tania...

Cahaya matahari yang mengenai wajah mengejutkan Tania dari tidur yang lena. Dia tak sedar dan tak ingat apa yang jadi malam tadi.

"Bangun, dah nak tengahari."

Suara mommynya menerjah ke gegendang telinga. Dia pandang ke arah mommynya yang sedang menolak langsir di dalam biliknya.

Tania menepuk perlahan tepi kepalanya yang terasa berat. Mungkin asbab air syaitan yang dia telan malam tadi.

"Kamu ni bila nak berubah. Kamu pun bukannya makin bertambah muda. Mommy risau tengok keadaan kamu ni." Datin Sofia sudah memulakan pemanasan enjin.

"Daddy dah pergi kerja ke mommy?" Soal Tania.

"Dah, bercakap pasal daddy, daddy suruh Nia pergi pejabat harini." Datin Sofia menyampaikan pesanan dari suaminya kepada Tania.

"Malaslah, Nia nak keluar."

Datin Sofia menggelengkan kepala.

"Daddy nak Nia datang pejabat. Sebelum daddy bising, pergi siap cepat," arah Datin Sofia. Geram pula dia dengan perangai anak daranya yang sorang ini.

Sebab tulah ada orang - orang tua cakap, lebih mudah menjaga lembu sekandang dari anak perempuan seorang.

Tania menghempas kaki di atas lantai. Tanda ingin protes. Tak sudah - sudah nak memaksa.

Kurang dari tiga puluh minit, Tania selesai bersiap ala kadar. Dengan memakai three piece suit yang berwarna grey.

Dia turun ke bawah dengan langkah malas.

"Haaa, siap pun, macamnilah. Kang bagus macam ni hari - hari. Nak makan dulu ke atau nak terus pergi?" Datin Sofia menyoal. Jam sudah menunjukkan pukul satu petang.

"Nia nak terus pergi. Nak tau kenapa daddy beria - ria nak Nia pergi pejabat."

Tania terus keluar dari rumah.

*******

"Encik Razif, terima kasih sebab bagi saya pinjam nota semalam. Saya dah siap buat salinan." Tia menghulurkan satu buku nota bersaiz A4 kepada pensyarahnya.

"Takpe, awak boleh simpan. Saya dah save dalam kepala semua nota - nota ni," sahut Razif bersama senyuman.

Sejak mengenali Tia, dia semakin bersemangat untuk hadir bertugas setiap hari.

"Saya balik dulu Encik Razif." Pinta Tia apabila melihat satu persatu kawan - kawannya keluar dari kelas. Amni tak datang kelas harini, kurang sihat katanya.

"Awal dah nak balik. Tak nak ngeteh dengan saya dulu? Jom teman saya minum, saya belanja," ajak Razif. Besar harapannya jika Tia sudi menemaninya minum pada petang itu.

"Errr, takpe, saya nak balik. Suami tunggu..." Dia terus diam kerana dah terlepas cakap.

"Suami???"

"Takkk, maksud saya, saya nak balik awal." Tanpa banyak bicara, Tia terus keluar dari kelas itu. Berdesup dia meninggalkan kelas, risau jika banyak pula soalan dari Encik Razif.

Razif hela nafas. Perkataan 'SUAMI' yang disebut - sebut Tia sebentar tadi bergema di cuping telinganya.

"Tia dah kahwin ke?" Persoalan yang ditanya tanpa jawapan.

Dia akhirnya juga bangun dan keluar dari kelas. Menuju ke biliknya.

Fikirannya kini berkecamuk memikirkan satu perkataan yang keluar dari mulut Tia.

'SUAMI'

Dirinya sangsi, adakah wanita semuda Tia sudah berkahwin.

Tia memandu secara santai. Tidak tergopoh - gapah. Sebenarnya dia rasa malas mahu pulang ke rumah.

Nak duduk rumah sewa pun Hud tak benarkan, siap ugut jika nak duduk rumah sewa juga, elaun bulanan akan ditarik.

Hmmm, kalau semua itu ditarik macam mana dia nak survive.

Dalam melayan perasaan sendiri, Tia sampai juga ke rumah.

Keadaan dalam rumah sunyi seperti tiada sesiapa. Kereta Hud juga tiada di garaj.

Tia melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Baru terasa penat satu badan. Harini satu hari full kelas, mana tak tepu kepala otaknya.

Masuk sahaja ke dalam rumah, mata Tia melilau ke segenap ruang.

"Mesti malam baru balik tu," ujar Tia sendiri.

Terus sahaja dia berlalu masuk ke biliknya. Mahu segera mandi dan solat... Bercakap tentang solat, bulan ini, periodnya belum lagi muncul. Terlewat dua hari...

"Assalamualaikum warahmatullah..."

Ucapannya salam diakhir solat. Selepas itu, dia menadah tangan berdoa. Kusyuk dan penuh kerendahan hati mengadap Pencipta yang abadi.

Perutnya sudah berkeroncong, dia berkira - kira mahu memanaskan lauk frozen yang telah dia buat stok untuk beberapa hari.

Jika hari rajin yang kebiasaannya hari minggu, dia akan memasak beberapa lauk mudah untuk difrozenkan, tips dia belajar dari Fac.

Biasalah, tugasnya sebagai pelajar sangat terbatas waktunya. Balik dari kolej dah penat, takkanlah nak makan mee segera hari - hari.

Dia mengeluarkan sambal sardin dari bahagian beku peti ais. Ada beberapa bekas lagi termasuk ayam masak merah dan ayam masak lemak cili api.

Usai defrost di dalam microwave dia panaskan pula dia atas dapur. Dengan tambahan menu telur dadar bawang dan sedikit sawi goreng tumis sudah cukup membuatkan perutnya kenyang hingga ke pagi.

Semua sudah terhidang di atas meja. Nasi juga sudah siap dia masak.

Tia berlalu ke arah kabinet, mencari satu jug untuk dia buat air ribena. Sengaja buat lebih kerana boleh disimpan di dalam peti ais.

Dalam keadaan mengadap sinki dan leka ingin memasukkan ais ke dalam mug, dia terdengar seperti ada dengusan nafas halus di tepi telinga di sebelah kirinya.

Dada Tia yang sudah berdebar kencang segera mencapai lesung batu. Sebagai langkah keselamatan diri. Walaupun dalam keadaan takut - takut, tetap juga dia palingkan wajah.

Mata Tia membulat besar, yang tercegat di belakangnya sekarang ini adalah suaminya. Masih berpakaian pejabat.

"Tia nak pukul abang ker?"

GULP!!!

Serta - merta terkedu sejenak apabila mendengar lontaran perkataan dari mulut suaminya.

'Abang!!!'

'Pelikkk...'

'Nak mati ke orang tua ni?'

Suara hatinya berpusu - pusu menerjah dari dalam dirinya. Hanya di dalam hati.

Mata Tia terkebil - kebil, dalam dadanya hanya Tuhan sahaja yang tau.

"Letak dulu lesung tu, serammm..." Suara garau suaminya bergema.

Apabila melihat isterinya itu kaku seperti patung cendana, dia capai lesung batu dari tangan isterinya lalu meletakkannya semula di tepi sinki.

"Kenapa ni? Pandang abang macam tengok hantu," soal Hud, matanya menjelajah ke segenap wajah isterinya.

Mata bening berwarna coklat itu dia pandang dalam - dalam.

Hud ketawa menggeletek di dalam hati apabila melihat Tia masih kaku dan tidak bersuara. Mungkin malu kerana tidak lama dia pandang mata cantik itu, Tia segera melarikan pandangan ke arah lain.

Cantik!!!

Ye, baru dia tau yang isterinya ini tersangat cantik. Betapa ruginya dia selama setahun ini tidak pernah menghargai kecantikan isteri yang Allah dah kurniakan kepadanya. Kecantikan palsu wanita lain pula yang didambakannya. Kenapa dia kata kecantikan palsu? Kerana cantik itu hanya disebabkan dengan solekan.

Sedangkan Tia, wanita ini begitu polos. Tanpa solekan tebal sudah terpancar kecantikan asli dari dalam diri wanita ini.

"Errr, maaf, saya nak masuk bilik." Tia gigit bibir, rasa debar di hati tidak juga menghilang. Dia sudah habis fikir mahu mencari alasan untuk melarikan diri.

Belum sempat beberapa langkah dia bergerak, sekali lagi kakinya bagai digam. Tangannya ditarik oleh Hud.

"Abang lapar, nak makan. Abang tengok atas meja ada lauk. Taknak ajak abang makan sekali ke?" Kendur suara Hud. Malu sebenarnya. Tapi dia tebalkan sahaja mukanya.

Niatnya cuma satu, mahu tarik perhatian Tia semula. Banyak dosanya dengan Tia.

"Encik Hud nak makan, makanlah, semua saya dah masak. Tinggal cedok jer. Emmm, maaf nak tanya, Encik Hud tak keluar makan dengan kekasih Encik Hud ke?"

"Dannn..."

"Tak geli nak makan masakan saya?" Tia memerli. Tidak pernah luput dari ingatannya, kata - kata hinaan suaminya.

Hud terkedu buat kesekian kalinya. Terus ingatannya menerawang ketika dia menghina Tia satu ketika dahulu.

"Abang minta maaf... Abang tau banyak sangat silap abang pada Tia. Abang nak betulkan balik hubungan kita."

"Memang abang fikir abang tak boleh nak terima Tia dalam hidup abang, tapi... Entahlah..." Sahut Hud, dia melangkah naik ke biliknya. Tidak jadi nak makan masakan Tia. Seleranya mati. Tapiii, dia sebenarnya lebih kepada termalu sendiri.

Tia menahan segala gejolak dalam dadanya. Jika diikutkan perasaan sakit hati dan kecewanya dengan layanan buruk Hud padanya, ingin sahaja dia hamburkan segalanya.

Takde angin dan takde ribut, lelaki itu tiba - tiba bersikap baik padanya.

Pelik... Memang dia pelik dengan sikap dan tingkah yang tidak dijangka suaminya itu. Dalam tempoh seminggu ini, tiada pula maki hamun dari mulut lelaki tu. Yang ada hanyalah tutur kata yang lembut yang tidak dia jangka dari seorang lelaki bernama Hud Husaini.

Keluar rumah seperti selalu pun jarang, memang masanya hanya dihabiskan di rumah. Sesuatu yang di luar jangkaan juga buat suaminya itu.

Tia geleng kepala. Risau pula dengan sikap pelik suaminya itu.

Biasanya kalau orang tiba - tiba bersikap pelik ni, takut tak lepas tiga kali Jumaat. Bulu romanya meriding. Seram sejuk pula apabila memikirkan sampai ke arah itu.

Sementara di dalam bilik. Hud berdiri di balkoni. Selepas mandi dan bersolat Asar terus sahaja dia menghabiskan sedikit waktu di situ.

Sudah lama dia tidak bersujud kepada penciptanya. Ada hikmah disebalik perpisahannya dengan Tania.

Masih dia ingat, kerana perasaannya yang terlalu kecewa melihat Tania curang di depan mata, hampir sahaja dia terbabas. Nasib baik dia kembali sedar dan dapat mengawal semula stereng keretanya.

Serentak dia beristighfar dan mengucap syukur kepada Allah kerana masih memberinya peluang hidup. Jika tidak kemungkinan dia sudah menjadi arwah atau cedera teruk dalam kemalangan.

Dia tau, semua itu adalah peringatan kepadanya yang sudah terlalu lama lalai dan ingkar akan perintah Allah SWT.

Yang dilarang itu juga yang dia buat. Sejak dari itu, dia kembali menunaikan apa yang telah dia tinggalkan.

Jiwanya kembali tenang. Tidak pernah dia rasa setenang itu.

Azan maghrib berkumandang. Usai mengambil wuduk, dia turun ke bawah.

Pintu bilik isterinya dia ketuk perlahan.

Setelah lima kali ketukan, pintu bilik itu dibuka oleh Tia.

Wajah tanpa riak terhidang di depan matanya. Tapi dia tetap melemparkan secebis senyuman manis buat isterinya itu.

"Jom kita solat berjemaah," ajak Hud, tangannya ligat membetulkan songkok di atas kepala.

"Solat???" Tia menyoal pelik.

"Ye, kita berjemaah sama - sama, dah waktu maghrib. Sejak kita kahwin, tak pernah sekalipun abang ajak Tia solat. Apakata kita mulakan bila ada kesempatan." Tutur kata Hud lembut.

Tia terasa hatinya seperti dijentik oleh suatu rasa. Betul - betul dah berubah nampaknya ni. Tia berdesis di dalam hati.

Dia menelan liurnya seteguk.

"Encik Hud pergilah solat dulu. Takpe tak payah berjemaah." Tia sebenarnya malu nak memaklumkan yang dia sedang kibarkan bendera merah sekarangni.

"Jomlah solat sekali dengan abang, waktu maghrib dah nak habis. Jom..." Hud memujuk. Keras betul hati Tia.

"Errr, sa... Sa... Saya tak boleh..."

"Tak boleh kenapa?"

"Sakit wanita..."

"Sakit wanita??? Tia sakit apa? Nak pergi klinik tak?" Hud menyoal risau. Wajahnya penuh tanda tanya.

Isyyy, susah betul nak faham. Kalau kata benak ubi marah. Takkan tak faham - faham... Marah Tia dalam hati.

"Sakit lagi ker? Nak pergi klinik tak?" Hud masih menyoal. Nampak terpancar sikap ambil beratnya.

"Saya period..."

Happy reading ❤️ Es Lilin

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience