Bunyi kicauan burung menyedarkan Iris dari tidur yang panjang. Dengan mata yang masih sembap dan muka yang kepucatan, Iris melangkah membersihkan diri di bilik mandi.
Dengan basmalah, dia mencuci kedua tangan sebagai permulaan berwudhuk. Cukup tiga kali, dia beralih mengumur mulut dan mengalirkan sedikit air ke dalam hujung hidung. Selesai melakukannya, Iris menyapu air ke muka dengan bacaan niat wudhuk di dalam hati. Dengan perlahan-lahan kedua lengannya dibasahkan hingga menyampai ke pusat siku. Kedua telinga disapukan sedikit air, cukup untuk membersihkan luaran dan diakhiri dengan kedua-dua kaki diberikan aliran air dari hujung jari hinggalah ke buku lali.
Selesai sahaja melakukan langkah pengambilan air wudhuk dan keluar dari bilik mandi, Iris mengangkat tangan membaca doa khusus lepas berwudhuk.
Kaki melangkah dan Iris duduk di tepi katil sementara menunggu azan subuh berkumandang. Peluang ini dia gunakan untuk berzikir kepada-Nya sebanyak mungkin. Genap lima minit kemudian, maka berkumandanglah azan suci. Menandakan telah masuk waktu solat pertama umat Islam di permulaan hari.
Subuh.
Iris membuka tingkap membiarkan alunan itu masuk dan angin sejuk pagi. Keduanya menyatu dalam kedamaian. Mendamaikan hati yang luka.
Iris tersenyum dan melangkah mengambil telekung yang berada di hujung bilik. Telekung berwarna biru tua dengan beberapa sulaman emas Iris sarungkan kepada kepala. Menutup auratnya dengan begitu sempurna.
Dengan angin pagi yang menemani, Iris mengangkat takbir dan mula mengosongkan fikiran dari hal duniawi. Untuk hal ini, Iris benar-benar berusaha untuk tetap istiqomah. Kedua terberat selepas takbir solat.
Cukup dua rakaat dengan bacaan Al-Fatihah, surah-surah yang dihafalnya serta bacaan doa qunut, Iris menamatkan rukun solat dengan salam di bahu kanan. Dan diakhiri dengan salam di bahu kiri sebagai penamat langkah sunat dalam solat.
Iris mengangkat tangan dengan mata yang berair memandang atas.
“Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.”
“Alhamdulillah atas nikmat-Mu yang tidak terkira dalam membenarkan insan ini untuk bangun dalam melakukan ibadah pertama di permulaan hari. Yang akan menjadi akar dalam hariku.”
“Ya Allah Yang Maha Mendengar.”
“Tenang di hati adalah milik-Mu. Luka di hati ini juga milik-Mu. Maka hamba bermohon pada-Mu, berikanlah ketenangan itu dan angkatlah luka ini. Diri ini benar-benar penat dan lemah dengan luka itu. Hati ini benar-benar dalam kesakitan, Ya Allah.”
“Sakit………..”
“Sakit………..”
“Sakit………..”
“Sakit………..” Rintih Iris.
“Moga diri ini akan diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini, Ya Allah. Semoga insan ini selalu ada dalam kasih sayang-Mu. Dilindungi-Mu. Dirahmati-Mu.”
“Dan cinta-Mu.”
Iris menyapu muka dalam esakan panjang.
“Aamiin Aammiin Ya Rabbal Alamin”
Share this novel