Iris melangkah pulang dengan kaki yang melangkah perlahan.
Dan semakin menjadi perlahan apabila dia melihat kereta itu di halaman rumahnya, dari kejauhan.
Kereta yang sangat dikenalinya.
Milik ibu Afnan.
Iris tahu semua yang berada di rumah sudah dapat merasa kewujudannya dari kejauhan. Dan Iris juga tahu Afnan juga sedang memandangnya.
Dengan bacaan basmalah, Iris memberi salam. “Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.” Iris menunduk menyalami setiap tetamu yang hadir. Lebih-lebih lagi wanita yang melahirkan lelaki kesayangannya ke dunia. Ibu. Yang kuat memeluknya dengan tangisan.
Air matanya sudah kering, puas mengalir di pantai. Dan kerana itu, Iris cuma tersenyum dalam pelukan itu. Langsung tiada air mata hatta setitik.
Setelah Ibu mulai tenang, Iris melepaskan pelukan dan duduk di sebelah mamanya.
“Ma……” Iris menyedarkan Mama yang sedang memandang Afnan tajam.
“Adam Afnan. Ingat lagi janji Afnan masa minta keizinan mak cik untuk pinang Irina?” Sudah hilang panggilan ‘mama’ untuk Afnan.
“Mak cik tanya sekali. Ingat lagi, Adam Afnan?” Mama mengeraskan suara.
Iris melihat Afnan yang duduk tidak jauh. Menundukkan kepala dengan tangan yang digenggam erat oleh Ibu.
Iris tahu dia patut berusaha dalam menyejukkan suasana yang sedang begitu ketara panas. Namun, maaf. Dia sekarang langsung tidak berkeinginan.
“Ingat.” Dengan kepala yang masih menunduk, Afnan menjawab perlahan.
“Jadi?”
“Maaf, ma. Kami sudah tiada jodoh.” Afnan mengangkat kepala dan memandang tepat pada mata Mama.
“Kenapa? Dan bagaimana?” Mama terus mengintegorasi Afnan. Masih dengan suara yang keras. Ibu lebih memilih untuk diam membisu. Membiarkan Afnan sendiri yang memberikan penjelasan atas segalanya.
Afnan merenung dalam diam. Dan kesempatan ini Mama gunakan sepenuhnya untuk mendedahkan lebih dalam, supaya semua telinga dapat mendengar dengan jelas tentang apa yang sebenarnya telah berlaku. Dari mulut Afnan sendiri.
“Siapa Amira Sofea?”
Afnan memandang Iris seperti tidak percaya. Mungkin dirinya berfikir Iris akan merahsiakan hal tersebut, berdasarkan pada personaliti Iris yang diketahuinya. Namun, sayangnya Iris bukan malaikat. Iris benar-benar menginginkan semuanya akan terdedah dengan jelas. Sepenuhnya.
Dia hancurkan dirinya. Dirinya akan hancurkan dia berkali-kali tanpa belas kasihan.
Dalam diam, Iris menguntumkan senyuman sinis pada Afnan. Cukup hanya untuk pandangan Afnan.
“T.H.R.U.T.H.” Iris menyebutnya tanpa suara. Kali ini dengan riak muka yang kosong.
“Sebenarnya….. Sebenarnya…..” Afnan tergagap. Berulang-ulang kali.
“Go on.” Mama bersuara. Menanti dengan sabarnya. Lagak seorang psiko.
“Amira Sofea adalah bekas tunang saya…..”
“Dan bakal isteri saya.” Afnan menyambung laju. Tanpa langsung serba salah.
“Bekas tunang? Bakal isteri? Iris?” Mama benar-benar tergamam. Tangan Iris digenggam kuat tanda meminta penjelasan.
Ya. Satu-satunya perkara yang Iris rahsiakan sepenuhnya dari Mama. Dia hanya memberitahu sekadar nama dan serba-serbi sedikit kewujudannya dalam cerita mereka. Namun, tidak diceritakan siapa Amira Sofea yang sebenarnya.
“Apa sebenarnya semua ini, Puan Nafisa?!” Mama sudah tidak mampu menahan sabar. Jeritannya pada Ibu benar-benar mengejutkan Iris dan semua yang berada di situ.
“Akak. Saya mohon untuk bersabar.” Ibu cuba memeluk Mama.
‘Sabar apanya?! Anak awak putuskan pertunangan semata-mata untuk bekas tunang! Bekas tunang! Awak faham tak?!” Mama menepis kuat.
“Akak. Saya…..” Mama mengangkat tinggi tangan tanda meminta Ibu mendiamkan diri. Kini, matanya merenung tepat pada lelaki yang telah mengkhianati anaknya.
Dengan mata bulat yang merah menyala, Mama bertanya. “Afnan. Mak cik tanya untuk kali yang terakhir. Irina atau Amira Sofea?”
Afnan dengan perlahan-lahan mencabut cincin di jari dan meletakkan di sisi meja yang berhadapan.
“Untuk cincin itu, saya hadiahkan untuk awak, Iris. Sebagai tanda kenangan.”
Iris memandang Afnan tidak lepas, kosong dalam kemarahan. Lantas dia bangun dan mencabut laju cincin yang juga di jari.
Iris berjalan melepasi Afnan dan berdiri di hadapan Ibu. Tangan Ibu ditarik lembut dan dengan sedikit senyuman, Iris meletakkan cincin. Ibu menarik Iris laju ke dalam pelukan. Keluar air mata dari kedua mata itu. Mendengar Ibu yang menangis teresak memohon maaf, Iris juga tidak mampu untuk menahan tangisan.
Tak lama, Iris pantas melepaskan pelukan dan menyalami tangan Ibu dan terus meluru pergi. Namun, sempat dia berhenti sesaat di sebelah tepi Afnan.
“Terima kasih. And please go.”
Dan pintu bilik dikunci rapat-rapat. Bersama sang pemilik yang sedang menahan tangisan sekuat-kuatnya, di sebalik pintu.
Share this novel