“Terima kasih untuk makan malam yang sangat cantik. I really love it.” Iris memberikan senyuman manis kepada Afnan sebelum turun di hadapan blok kolejnya.
“Iris……..”
“Herm?”
Afnan menyeluk sakunya sebelum satu kotak kecil berwarna merah rose diletakkan di atas tapak tangan Iris. Iris terpana dan memandangnya menunggu penjelasan. Namun dengan beberapa saat berlalu, tiada sebarang bicara yang keluar. Afnan cuma memandang Iris dan kotak di tangan bersilih ganti. Bagaikan memberi isyarat untuk Iris membukanya.
Jadi, baiklah.
Tangan kanan kukuh memegang kotak tersebut manakala tangan kiri mula menarik bahagian atas kotak berwarna merah rose tersebut.
Melihat sahaja hadiah yang diberikan, pantas mata Iris memandang mata Afnan. Menunggu penjelasan untuk maksud hadiah tersebut.
“Asalnya, saya hendak berikan cincin sebagai hadiah. Tapi bagi diri saya, cincin adalah hadiah tertinggi, yang datang dari hati insan bernama lelaki untuk dia yang bernama wanita. Khusus sebagai tanda terikatnya hubungan yang paling agung antara keduanya.” Mata Afnan terus tertumpu kepada gelang emas putih yang berada di dalam kotak di tangan.
“Kalau awak tanya kenapa bukan rantai, jujur dari hati saya hendak ianya adalah sesuatu yang halal untuk saya pandang tanpa sebarang dosa. Yang masih dalam batas agama. Jadi jawapan tepatnya adalah perhiasan gelang. Sesuatu yang bersesuaian untuk hubungan awal dan sesuatu yang halal untuk saya melihatnya.”
Afnan menarik keluar gelang tersebut dan memandang mata Iris. Tepat dan redup.
“Izinkan saya?”
Iris mengangguk perlahan. Tangan dihulurkan dan Afnan memasangnya penuh berhati-hati dan mata mereka berdua bersatu entah untuk ke berapa kalinya.
“Selagi Allah mengizinkan, sekiranya benar memang wujud adanya jodoh antara kita, pada hari pernikahan….. kita……” Mata Afnan bergenang. Masih setia tetap kepada wanita itu.
“Saya janji akan ada tanda cinta yang paling agung terindah untuk awak. Untuk saya.
“Untuk kita.” Dan akhirnya jatuh satu demi satu.
Keduanya teresak disaksikan oleh bulan dan bintang.
======================================================================
Iris daki tangga dengan perlahan-lahan. Mukanya memandang ke bawah. Menghadap tangga. Dan tangga. Satu persatu. Bukan untuk mengira jumlahnya semestinya.
Beberapa minit kemudian, Iris tiba juga di aras tiga. Aras kamarnya. Namun bukan bilik itu yang menjadi destinasi tujuannya sekarang. Iris melanjutkan langkah menuju ruang bebas aras yang berada di penghujung. Atau para pelajar di sini menggelarkannya dengan gelaran ruang gosip. Satu ruang yang dihiasi dengan lampu-lampu yang indah, berkerlip-kelipan dan diletakkan sebuah meja yang separa besar di tengahnya. Cukup memuatkan lapan orang pelajar dalam satu masa.
Iris duduk diam di tengah-tengah meja sambil mata memandang tepat ke atas langit. Bibir menguntumkan senyuman apabila melihat bintang-bintang yang menyinar jelas beribunya. Mengindahi kegelapan malam. Dan juga menjadi teman bagi bulan.
Kombinasi terbaik.
Tangan Iris halakan ke tengah-tengah kedua mata. Lebih tepat ke arah atas langit. Iris fikirkan cuma bintang dan bulan yang menyinari malam ini. Dia tidak menyangka ada satu juga yang sedang bersinar indah di tangan. Warna putih yang sangat ketara menyinari. Cuba menyaingi bulan dan bintang di langit kegelapan malam.
Cantik. Sangat cantik.
Iris elus gelang itu lembut. Sebelum jari terhenti kerana terasa bagaikan ada satu ukiran atau garisan halus di bahagian dalamnya.
Iris elus sekali lagi.
Dan lagi untuk memastikan.
Pantas Iris terus membuka gelang tersebut dan melihat dalamnya lalu terpana.
Melihat ‘itu’.
Jelas terukir.
Di sebelah kanan. ‘Iris’.
Dan di kiri. ‘Afnan’.
Terukir jelas dan indah dalam warna emas.
Melihat itu, satu demi satu titisan air mata Iris mengalir dan jatuh membasahi pipi. Tiada suara. Hanya tangisan dalam diam.
“Ya Allah. Ini adalah kali pertama hati ini melabuh rasa kepada seorang lelaki. Andai memang benar dia, izinkan diri ini untuk menjadi penerima tanda cinta teragungnya, darinya kelak. Tanda cinta yang halal antara seorang Adam dan seorang Hawa.”
Air mata itu mengalir dan terus mengalir. Bersama dengan iringan doa tulus dari seorang yang bernama Hawa.
======================================================================
“Ya Allah Ya Tuhanku. Sesungguhnya hati ini telah menjumpai pemilik keduanya.” Air mata berderaian jatuh. Disambut oleh tangan sang pendoa.
“Pemilik yang selalu ku sebutkan dalam doa sepertiga malamku tanpa mengetahui apakah ada kewujudannya dalam dunia. Pemilik yang selalu ku sebutkan pada-Mu tanpa sesiapa mengetahui. Yang namanya menemani saat hamba-Mu meninggalkan segalanya untuk melabuhkan cinta kepada-Mu. Menemai dalam setiap doa. Telah ku pertemukan Ya Allah. ” Jatuh dan terus jatuh membasahi pipi.
“Adakah benar dia pemilik separuh jiwaku? Adakah benar dia yang akan melengkapkan separuh imanku? Atau cuma satu persinggahan dalam perjalanan cinta? Sesungguhnya, hanya diri-Mu sahaja yang mengetahui wahai Sang Pemilik Cinta. Berikanlah diri ini petunjuk-Mu. Dan moga dia adalah jawapan cintaku di sepertiga malam. Bersama dalam mendapatkan cinta-Mu….”
“Dan juga Syurga Firdausi-Mu.”
Air mata itu tidak jemu mengalir. Bagaikan tiada ingin untuk berhenti.. Begitu syahdu esakan yang kedengaran. Cukup untuk menitiskan air mata yang mendengar. Bersama dengan iringan doa tulus dari seorang bernama Adam. Dalam mencari jawapan bagi persoalan di sepertiga malamnya.
Sejadah ini adalah saksinya. Saksi perjuangan untuk membawa cinta yang mula menekan menuju pada takhta teragungnya.
Dan inilah dia.
Satu perjuangan dalam membawa cinta abadi menuju cinta hakiki.
Share this novel