Maka hari itu pun tiba. Hari tersebut. Hari yang paling ditunggu-tunggu,
Pertandingan novel. Antara pertandingan terbesar Universiti Aura. Yang sedang dalam perhatian warga Asia.
“Para peserta. Sila duduk di meja masing-masing dan tolong nyalakan komputer riba yang ada di atas meja.” Penyelia pertandingan memberikan arahan sejurus sahaja kesemua peserta mula melabuhkan duduk di tempat masing-masing.
Termasuk Iris dan Amira Sofea.
“Seperti yang dipaparkan di skrin komputer masing-masing, sila masukkan ID nombor dan pengecaman wajah di kamera.”
Iris mengisi ID nombor yang diminta dan mendekatkan wajah ke kamera untuk pengecaman.
“Sebaik sahaja pengecaman selesai dilakukan, satu layar putih kosong akan terpapar di skrin. Ianya berfungsi hampir seperti aplikasi Microsoft Word, namun dengan fungsi yang terbatas.”
Iris melihat skrin tersebut. Terpampar jelas satu layar putih atau dalam kata lainnya, satu dokumen digital kosong. Iris cuba untuk mengubah fon dan saiz. Namun ianya adalah satu usaha yang sangat sia-sia. Fungsi tersebut telah dikunci. Manakala ketebalan fon pula hanya dapat digunakan untuk menulis tajuk novel dan nombor bab. Yang benar-benar menarik perhatian dirinya, apa sahaja yang ditulis dalam aplikasi ini tidak akan dapat disalin ke dalam sebarang fail komputer. Di mana ianya bermula, di situ ianya berakhir. Kata-kata yang amat bersesuaian untuk menggambarkan aplikasi ini.
“Pelayaran internet telah disediakan dan ditetapkan dalam komputer masing-masing. Tapi telah disaring cuma untuk penggunaan pencarian maklumat sahaja. Sebarang laman web berbentuk komunikasi telah disekat sepenuhnya seperti contoh media sosial. Jika ada yang ingin mendengar lagu, di dalam setiap komputer telah dimuat turun satu aplikasi lagu. Dalam bentuk mp3. Laman web Youtube juga telah ditetapkan sebagai laman web berbentuk komunikasi. Jadi sila lupakan niat untuk melayarinya. Jika berniat.”
Tegas. Pertandingan dan penyeliaan yang sangat tegas.
“Headphone telah disediakan di bawah ruang meja. Sila gunakan sekiranya ada sebarang keperluan. Proses pertandingan novel ini akan mengambil masa selama sembilan jam termasuk dengan waktu rehat. Proses pertandingan dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama adalah berlangsung selama empat jam iaitu sekarang. Sesi kedua pula akan berlangsung setelah waktu rehat selama satu jam tamat.”
“Sebarang masalah berbentuk penciplakkan adalah tidak perlu untuk dikhuatiri sama sekali. Komputer riba yang disediakan hanya akan dapat ditutup dan dibuka dengan nombor ID dan pengecaman wajah yang telah dilakukan oleh semua para peserta sebentar tadi. Dewan ini juga tidak akan dibenarkan untuk dimasuki oleh sesiapa pun sepanjang sesi rehat termasuk saya sendiri sebagai penyelia. Dan tidak cuma itu.”
Penyelia menunjukkan jari ke arah syiling dewan. Di keempat-empat penjuru.
“Kamera keselamatan telah ditempatkan di setiap penjuru dewan. Segala aktiviti dan pergerakan telah dirakam sebaik sahaja kalian melangkah masuk ke dalam dewan dan hanya akan berakhir apabila kesemua lampu dan penghawa dingin di dalam dewan dimatikan sepenuhnya. Saya yakin anda semua di sini memahami maksud ayat tersebut.”
“Ya.” Semua menyahut serentak.
Sambil menguntumkan senyuman dan bacaan basmalah, maka tibalah pengisytiharan arahan terakhir. “Dengan ini, saya Dr. Riana Mikayla selaku penyelia, merasmikan pertandingan novel Universiti Aura edisi yang ke-25! Dengan ini……”
Satu demi satu dari peserta mula meletakkan jari di papan kekunci.
“Empat jam bermula sekarang!”
===================================================================
Semasa taklimat yang telah diadakan seminggu sebelum pertandingan ini berlangsung, kesemua peserta telah dimaklumkan dengan dua perkara yang merupakan syarat paling terpenting dalam pertandingan sebagai langkah untuk para peserta melakukan persediaan awal. Ianya adalah….
Isu utama penceritaan dan jumlah patah perkataan.
Jumlah patah perkataan yang telah ditetapkan adalah sebanyak sepuluh ribu dan ianya harus disiapkan dalam tempoh lapan jam. Tidak boleh terkurang mahupun terlebih hatta satu perkataan. Penulisan novel akan terbatal secara automatik sekiranya ianya terjadi. Adalah sangat mustahil dalam waktu yang terhad namun itulah syarat dan kriterianya. Selain kreativiti, ketahanan mental akan menjadi satu aspek kritikal khusus untuk pertandingan ini. Dilakukan untuk mencari emas terbaik di sebalik gumpulan emas.
Yang kedua.
Isu yang telah ditetapkan untuk penceritaan edisi pertandingan kali ini adalah….
‘Dendam’.
Genre adalah bebas. Sama ada seram, aksi, pencintaan, kekeluargaan atau yang sewaktu dengannya. Para peserta bebas untuk memilih. Asalkan tunjang utama penceritaan yang akan ditulis adalah isu dendam.
Berbeza dengan edisi lepas. Tunjang utama penceritaan adalah tidak ditetapkan tetapi genre. Dan seram adalah genre yang ditetapkan. Iris telah membaca novel tersebut. Ianya sangat membuatkan dirinya terbuai menjadi watak utama sehingga menyebabkan dia berada pada tahap susah untuk membezakan antara realiti dan fantasi ketika dalam tempoh membaca novel tersebut.
Itulah penangan Gold Novel.
Dan itulah apa yang sedang Iris cuba lakukan sekarang. Mencipta legasi baru. Menjadi penulis Gold Novel yang seterusnya. Seorang pencipta penulisan yang mampu untuk memerangkap pembacanya ke dalam sebuah imaginasi liar hingga tiba di titik noktah terakhir.
Share this novel