“Cik Iris mengalami tekanan. Tekanan yang agak kuat sehingga menyebabkan otaknya menghalang sebarang kawalan kendiri ke atas badan. Dia juga menghadapi gastrik. Mungkin kerana kelewatan pengambilan makanan. Jadi, selain pengambilan ubat-ubatan, pastikan pesakit menjaga pola pemakanan dan lebih-lebih lagi, elakkan dirinya dari mendekati perkara yang boleh menyebabkan dia mengalami stres untuk sekian kali.”
“Kalau….. Kalau dia mengalami tekanan sekali lagi atas perkara yang sama, adakah dia akan…..”
“Dia akan mengalami pemadaman memori. Manusia bertahan dari ketakutan trauma dengan kadangkala memadamkan memori buruk itu secara sendiri. Sebagai satu bentuk perlindungan diri. Dan dia juga berkemungkinan akan menghadapi penyakit mental tertentu sekiranya tidak dicegah dari peringkat awal.”
“Baik doktor. Terima kasih.” Keduanya saling menundukkan kepala dan doktor tersebut melangkah keluar.
Muka pucat yang menyebulungi keseluruhan matanya itu dia pandang dengan pandangan seribu satu makna. Bibir wanita tersebut langsung tiada sebarang warna. Benar-benar bagaikan satu kuntuman bunga yang telah kehilangan semua aura terindahnya. Melihat keadaan wanita itu, akhirnya keluar keluhan dari bibir. Dia menarik kerusi dan duduk di bahagian sebelah kepala katil. Tangan pemilik muka pucat itu benar-benar ingin dia sentuhi dan belai. Tanda apapun yang terjadi, dia ada di situ. Setia menemaninya. Namun, dia tahu batasannya. Dirinya amat menghormati wanita itu. Akhirnya, dia cuma mampu mengeluh lemah dan memandang muka itu dalam diam.
“Patutkah saya rampas awak dari dia, Iris?”
“……Patutkah?”
Dan mata Adam terus terpaku pada wajah itu.
=================================================================
“Urghh……..”
Kepalanya yang berdenyut dahsyat Iris pegang kuat. Cuba menghalau pergi dari dalam kepalanya. Dengan bacaan basmalah, Iris membuka mata perlahan-lahan. Syiling berwarna biru yang memenuhi matanya dia pandang tanpa berkelip dengan penuh kekeliruan.
“Aku dekat mana ni?” Ujar Iris sambil cuba membangunkan diri.
“Hospital.” Balas satu suara yang bertona senada. Terus matanya menangkap insan yang berada tidak jauh darinya. Sedang elok duduk di sebuah kerusi sambil memandangnya tajam.
“Adam?”
Adam bangun dan mendekati Iris.
“Ya, ini saya. Adam.”
“How can….” Terhenti.
Iris berdehem.
“Macam mana saya boleh ada dekat hospital? Dan macam mana awak boleh ada dekat sini?” Bertalu-talu soalan yang dilemparkan Iris. Manakan tidak? Dia sedang terbaring di satu tempat yang langsung tidak terbayang olehnya sama sekali. Lebih-lebih lagi bersama dengan orang yang langsung tidak diduganya.
“Hei. Hei. One by one, can you?” Adam mengambil duduk di kerusi di sebelah Iris dan mendekatkan diri.
“Pertama. Awak ada dekat sini….. Dekat hospital sebab awak pengsan.”
“Pengsan?” Iris langsung tidak dapat mengingatinya dan dia langsung tidak mempercayainya. Riak wajahnya cukup untuk menunjukkan segalanya.
Adam mengangguk. Adam tahu yang dia harus merungkaikan kesemuanya satu persatu.
“Awak dekat hospital kan? Ke… dekat restoran?” Adam mengekek mengetawai sang wanita itu.
Dan sang wanita itu cuma mampu untuk menjeling, tanda tidak berpuas hati.
Adam berdehem dan meneruskan untuk jawapan yang kedua.
“Kedua. Sebab saya yang jumpa awak semasa awak terbaring atas jalan. Terkejut tau tak.”
Iris membisu mendengarkan kata Adam. Dia langsung tidak mengingatinya sama sekali. Cuma hanya satu sahaja yang dia ingat. Suara lelaki yang tidak berhenti dari memanggil namanya. Dan yang lebih pelik, di saat-saat akhir sebelum dirinya benar-benar telah hilang kawalan, lelaki tersebut memanggilnya dengan satu nama panggilan yang pertama kali dia dengar.
Rosey.
“Oh ya! Iris, ada orang bagi bunga mawar dekat awak. Mawar merah dan putih.” Adam menghulurkan jambangan bunga tersebut kepada Iris.
“Siapa?” Iris cuba mencari-cari sekiranya terdapat kad yang terselit diantara kuntuman bunga tersebut.
“Not sure. Saya keluar kejap tadi. Balik-balik je nampak ada satu jambangan bunga dekat meja sebelah awak.”
Kad yang tersembunyi di bahagian hujung kuntuman bunga Iris tarik perlahan-lahan. Buka sahaja kad tersebut, semerbak bau manis harum menyelubungi seisi bilik. Bau yang sangat menenangkan. Tidak kuat namun langsung tiada aura lemah.
Dengan bacaan basmalah, Iris memulakan bacaan di kad.
Semoga bunga ini dapat memberikan kehangatan dalam diri awak.
Menenangkan dalam diam.
Menemani kala sunyi.
Menggantikan diri yang sedang tiada…..
Dalam kejernihan.
Soon.
Untuk yang terindah,
Rosey.
“Rosey……”
“Huh?”
“…… Kad tu tulis apa? Siapa yang berikan?” Adam menghampiri untuk melihat kad.
Pantas Iris menyembunyikan kad tersebut di bawah bantal.
“Nothing and no one.”
Iris kembali berbaring dan memejamkan mata serapat-rapatnya.
Ada satu yang asyik bermain di fikirannya.
Siapa Rosey?
“Sleep tight…..”
Dan semua kembali hitam.
Share this novel