2 bulan. Tempoh penenangan untuk Iris. Tapi juga merupakan tempoh yang paling membuatkan jantungnya berdegup agak kencang saban hari. Menunggu keputusan itu, hanya Allah yang tahu betapa gelisahnya dirinya saat ini. Penentuan masa depan. Mungkin tidak bagi sesetengah orang tapi bagi Iris, ya. Walau bagaimanapun, dia menghargai pendapat masing-masing.
Selama tempoh dua bulan ini, Iris dan Nada telah mengambil satu keputusan untuk membina satu pengalaman kerja sementara menunggu keputusan SPM dikeluarkan. Mereka berdua melakukan kerja separuh masa di Beauty’s On You. Ianya adalah merupakan satu jenama kecantikan produk tempatan yang mula menjadi tumpuan sejak setahun lepas dalam kalangan para remaja Malaysia. Harganya yang sangat berpatutan dan kualiti yang amat memberangsangkan amat sesuai untuk para remaja yang masih bersekolah atau dalam perkuliahan. Nada juga amat meminati bidang kecantikan. Justeru, dia ingin menimba ilmu mengenai bidang kecantikan secara langsung dan Iris cuma mengikuti Nada sekadar untuk mengisi masa lapang di samping menjana sedikit wang ringgit dalam masa yang sama.
Sekarang, tanpa dirasai, telah genap dua bulan lebih. Hari yang ditunggu-tunggu oleh kesemua bekas pelajar Tingkatan Lima telah tiba. Setelah lama juga Iris menjejakkan kaki kembali ke dewan tersebut. Dewan yang menyimpan sejarah terhebatnya.
“Wah………” Bagaikan ada pertunjukan fesyen yang sedang berlangsung. Ada yang berbaju kebaya moden, berkot dan banyak lagi yang beraregam warna. Cantik dan menawan. Menunjukkan aura dewasa masing-masing. Iris menunduk memandang baju yang menutupi tubuh. Sehelai dress labuh biru gelap kosong yang dilitupi dengan beberapa butiran sulaman benang emas berkristal serta dipadankan dengan sehelai tudung yang bernoda sama di kepala.
Selesai memandang baju di tubuh, Iris mula meliarkan mata. Mencari satu-satunya sahabat terbaik yang sudah lebih seminggu tidak bersemuka secara langsung.
Secara maya? Sampai sudah naik jemu.
“Iris! Iris! Sini. Sini.” Bunyi yang sangat lantang tersebut membuatkan kepalanya terpaling ke satu arah. Speak of the devil! Teruja benar lambaian tangan yang dilayangkan Nada. Cantik berblaus merah dan berskirt putih. Iris cuma mengangkat kedua-dua kening dan senyum sebagai tanda balasan. Tak nak dirinya menjadi monyet di situ.
Sambil Iris melajukan langkah, tidak semena-mena dia bertentang mata dengan Daria. Seperti Iris dan Nada, seperti itu juga Zuyin dan Daria. Muka Daria yang kemerahan apabila melihat dia, Iris cuma biarkan berlalu. Matanya yang penuh berapi lebih dari cukup memahamkan.
“Iris!” Pantas Nada menarik tangan duduk.
“Kau okey? Panas berapi Daria tu tengok kau.” Ucap Nada sambil mata masih belum lepas dari memandang tempat duduk Daria.
“Aku okey. Jangan risau.” Iris membalas sambil menepuk bahu Nada halus.
“Ehem. Ehem!” Bergema seisi dewan. Terus Iris dan Nada menumpukan perhatian ke arah dewan pentas. Cantik dihiasi bunga-bungaan yang Iris yakin adalah bunga hidup dan para guru sebagai permaisuri dan rajanya. Indah duduk berbaris mengikut jawatan yang dipegangi masing-masing.
Dejavu.
“Assalamualaikum w.b.t insan-insan atau bekas para pelajar…….”
“SMK Pelangi Raya!!!“ Kuat bergema dengan jeritan nada teruja dari MC yang bertugas.
Riuh satu dewan dengan tepukan-tepukan dan siulan. Perasaan bangga menjadi ‘anak SMK Pelangi Raya’ bagaikan membuak-buak di dalam hati pada saat ini.
Bangga. Sangat bangga! Para guru juga bagaikan terhibur dengan saat ini.
“Anda pasti tertunggu-tunggu akan saat ini, betul?”
“Betul!!!”
“Baiklah. Untuk memulakan majlis, tanpa membuang masa, dipersilakan Guru Besar SMK Pelangi Raya untuk memberikan sepatah dua kata. Dipersilakan!” Bergema tepukan gemuruh menyambut ketua yang telah sehabis baik menjaga para pelajar sepanjang lima tahun lamanya.
“Kau yakin ke hanya sepatah dua kata, Iris?” Nada berbisik.
“Kau tak cukup pengalaman lagi ke?” Iris dan Nada menahan tawa.
Betulah. Setelah genapnya 30 minit, barulah tamat ucapan yang diberikan oleh Guru Besar. Namun di sebalik itu, kata-kata nasihat yang diberikannya akan pasti bermanfaat hingga ke hari tua.
“Baiklah… Baiklah. Saat yang paling ditunggu-tunggu. Sesi pengumuman nama untuk para pelajar lepasan SPM yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang! Haruskah kita mulakan?” Tepukan demi tepukan tanpa henti.
“Saya telah diberitahu. Antara 85 pelajar yang telah melibatkan diri dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini, yang berjaya mendapatkan kesemua A adalah seramai 20 orang.” Dewan yang sebelumnya bergema dengan tepukan dan jeritan, tiba-tiba mulai menjadi sepi. Walaupun angka tersebut adalah lebih baik berbanding tahun lepas, namun tiada siapa yang dapat menafikan keinginan masing-masing untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Termasuk juga dengan dirinya, Iris.
Iris tanpa sedar memegang tangan Nada. Dapat dirasakan kesejukkan di antaranya. Mereka berdua cuma tersenyum nipis. Faham akan kegelisahan yang mula meyelubungi diri masing-masing. Iris dan Nada makin mengeratkan pegangan.
“Dipersilakan! Pelajar pertama yang berjaya memperoleh keseluruhan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2023! Dijemput Nur…….”
Satu persatu nama disebut. Sudah lima belas yang disebut. Yang tinggal hanya lima. Makin lama Iris makin menundukkan kepala. Makin memohon dan bertasbih kepada Sang Pemberi Rezeki.
Tak henti-henti dirinya memohon.
Lima. “Dipersilakan pelajar…..”
Empat. “Dipersilakan Siti…..”
Tiga. “Dipersilakan Muhammad…..”
Tinggal dua lagi tempat. Bohong kalau dia menafikan degupan jantung yang tengah berdegup kuat menyakitkan. Makin lama makin kuat. Makin menyakitkan.
“Dipersilakan……. Nada Talina Binti Emir!!!!”
Terdongak kepala Iris yang sedari menunduk. Mata? Berair dahsyat. Pantas Iris menarik Nada ke dalam pelukan. Bergemuruh tepukan diselangi dengan tangisan kedua sahabat.
Iris dapat merasakan degupan Nada yang tenang.
Nada dapat merasakan degupan Iris yang kencang.
“Dipersilakan Nada Talina Binti Emir ke pentas untuk menerima slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia beserta dengan pingat khas.” Iris melepaskan pelukan dan mengelap air-air mata yang menuruni wajah Nada.
“Go.” Iris memberikan kata semangat. Nada memberikan pelukan sekali lagi sebelum laju melangkah ke pentas. Melihatnya tersenyum bangga melihat hasil titik peluhnya sendiri selama lima tahun membuatkan Iris juga merasakan yang sama.
“Baiklah! Sembilan belas tempat telah dipenuhi. Tinggal. Cuma, Satu. Sahaja. Lagi.” Iris memandang sekeliling. Semua sama. Sedang melihat pentas dengan mata yang penuh dengan pengharapan.
‘Biarlah aku yang terakhir itu’. Bicara mata-mata itu.
“Ya Allah… Ya Allah….” Mata makin bergenang. Tangan mula menunjukkan getaran.
“Baiklah. Sebelum saya mengumumkan nama terakhir, izinkan saya untuk sedikit berbicara.” Nada suara yang hiba.
Kelihatan Cikgu Mustaffa selaku MC pada majlis hari ini berusaha mengambil nafas seperti cuba mencari ketenangan yang seakan-akan telah melayang pergi dari dalam diri.
“Saya yakin. Semua sedang mengharapkan benda yang sama.” Cikgu Mustaffa terdiam sesaat.
“Tapi ingatlah. Jalan di depan masih panjang. Jalan masih panjang. Jalan masih panjang. Dan jalan masih lagi panjang.” Tiga kali Cikgu Mustaffa mengucapkan ayat tersebut. Jelas getaran di suara itu.
“Walau apa pun yang berlaku, berehatlah. Tapi untuk berhenti? Jangan pernah sesekali. Insya-Allah. Seperti nama sekolah ini, akan ada pelangi yang sedang menanti di penghujung jalan.” Bunyi hiba tangisan Cikgu Mustafa terpancar jelas mengisi seluruh dewan. Akhirnya, tangisan guru itu dan semua bekas pelajar di bawah menyatu. Pengumuman nama terakhir yang seharusnya berlangsung terhenti seketika digantikan dengan bunyi hiba tangisan.
Lima minit berlalu. Ketenangan mula memancari seluruh dewan. Apa jua keputusannya nanti, Iris redha dan akan meneruskan perjuangan diri yang seterusnya. Dia yakin dia tidak sendiri.
Irama muzik yang sedari awal membangkitkan nada denyutan nadi, mula berkumandang kembali. Cukup sembilan belas kali telah dimainkan. Dan ini adalah irama yang terakhirnya.
“Baiklah! Ucapan tahniah setinggi-tingginya! Mempersilakan pelajar terakhir yang berjaya memperoleh kesemua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia untuk tahun ini.” Makin kuat irama muzik tersebut. Begitu juga denyutan nadi.
“Pelajar kebanggaan SMK Pelangi. Lee Iris Erina!!!!! Setinggi-tinggi tahniah diucapkan!!!”
“Allah……” Hancur. Habis pecah takungan air mata yang cuba Iris jaga sedari tadi. Tak henti bibir mengucapkan syukur ke hadrat Maha Esa.
Kaki yang terasa lemah cuba dikuatkan melangkah ke pentas. Deraian air mata cuma biarkan. Biar ianya menjadi saksi. Saksi atas segala kepahitan dan kesakitan yang terpaksa dirinya tempuh semata-mata hanya untuk mewujudkan hari ini.
Kesakitan yang membahagiakan.
Sepanjang melangkah ke pentas, sungguh dunia terasa sunyi. Ya. Iris tahu seisi dewan sedang gamat dengan tepukan-tepukan yang sangat gemuruh, diberikan untuknya. Namun, telinganya seakan-akan kosong. Pandangan yang kabur Iris cuma tujukan pada pingat yang sedang berdiri indah di atas pentas. Pingat pelajar cemerlang. Buruan para pelajar sedari detik awal jejaknya kaki di zaman sekolah menengah.
“Tahniah Iris! Bravo!!!!”
Linangan air mata langsung tidak berhenti menjatuhkan diri. Bagai memahami diri.
“Arghhhhh!” Iris sudah tidak mampu untuk mengerakkan kaki. Separuh tubuh sudah bersatu dengan hamparan bumi. Perasaan yang dahsyat menusuk ini membuatkan badannya lemah.
Tangisan Iris makin berapi. Segala-gala yang telah dia tempuh sepanjang lima tahun di sini mulai bermain di fikiran bagaikan video rosak. Berulang-ulang. Termasuk di hutan itu.
“Iris!” Nada berlari memeluk. Seperti tadi, sekali lagi tangisan mereka bersatu. Nada mengeratkan pelukan dan mengelus lembut tubuh belakang Iris. Menyalurkan ketenangan.
“Tahniah Iris. Tahniah.” Iris boleh rasakan kesebakan yang mendalam dari suara sang sahabat.
Iris juga makin mengeratkan pelukan. “Tahniah Nada. Tahniah.”
Satu tepukan.
Dua tepukan.
Dan akhirnya ianya bersatu. Mengiringi tangisan mereka berdua.
“Jom?” Nada menghulurkan tangan.
“Jom.” Dan Iris menyambut. Bersama senyuman. Menuju ke pentas itu.
Share this novel