Tidak lama selepas itu, Iris memperkenalkan Afnan kepada keluarga dan begitu juga sebaliknya. Dan dengan izin Allah, segala urusan sangat dipermudahkan. Dari saat itu hinggalah saat ini. Tak lepas bibir dari menyebut kata kesyukuran atas nikmat Ilahi.
Seperti yang dijanjikan oleh Afnan dan juga dipersetujui oleh Iris, mereka berdua akan melangsungkan pertunangan dalam tempoh enam bulan. Pada penghujung cuti semester kelak. Mereka bersetuju untuk melakukan acara tersebut secara ringkas dan hanya keluarga kandung yang akan mengetahui. Kesepakatan telah dipersetujui untuk merahsiakan hubungan pertunangan dari saudara yang lain sehinggalah tarikh perkahwinan ditentukan apabila tiba masanya nanti.
Ini juga adalah merupakan permintaan khusus dari Iris dan juga Afnan. Demi untuk mengelakkan isu duri dalam daging.
Isu antara Afnan dan Iris telah selesai dengan jayanya. Tapi masih tidak lagi antara Iris dan Amira Sofea.
Lagi seminggu pertandingan penulisan terbesar universiti akan berlangsung. Hari ini kesemua peserta yang mendaftarkan diri diberikan taklimat penuh mengenai syarat-syarat dan juga proses yang akan berlangsung pada hari tersebut. Iris mendengar dengan teliti dan mencatat isi-isi penting yang harus dia berwaspada sebaik mungkin.
Habis sahaja sesi taklimat, Iris mengemas barang-barang seperti alat tulis dan melangkah keluar dewan dengan tenang.
“Lee Iris Irina.” Dingin.
Tiada lagi ketenangan.
“Amira Sofea.” Dua kali ganda dingin.
Tepat Iris memandang wanita itu yang sedang elok mendapangkan tangan menghadang jalan.
“What?” Iris mengeluarkan telefon dan memandang Amira Sofea bersilih ganti secara sinis. Tanda sila cepat berambus.
“Aku dengar kau masuk hospital.”
“Ya.” Mata memandang telefon. Skrol dan skrol tanpa henti.
Amira Sofea membuat muka serba salah. Dan dengan gagap mengutarakan ayat “A.. ku… min.. ta.. maaf.”
Iris menjeling sesaat sambil mengangkat kening. “Atas sebab?” Telinganya sekarang begitu benar ingin mendengar alasan yang bakal terkeluar dari mulut wanita itu.
“Sebab tak jenguk kau. Dekat hospital.”
Literally….. What?
Iris menahan lucu dan memaksa bibir menguntumkan sedikit senyuman. “Tenang. It’s okay. Kita pun bukan cukup rapat untuk sanggup buat benda tu, kan?”
“Awak masuk hospital sebab sandwich saya tu ke?” Amira Sofea menundukkan kepala sambil memegang kedua tangan dan Iris cuma melihatnya. Queen drama rupanya.
Okay! Let’s play.
Sepertinya, Iris pun menundukkan kepala. Tidak lupa juga, dengan sedikit bunyi esakan. Cukup untuk menarik perhatian sekeliling.
Amira Sofea terkejut dan terus menarik Iris ke suatu penjuru. Cuba untuk lari dari pandangan orang ramai yang berada di situ.
“Eh Iris. Kenapa menangis?” Mendengarnya, Iris terus mengeluarkan bunyi esakan yang makin kuat.
“Iris!!” Amira Sofea melenting tinggi.
‘Hai? Cepat buka topeng?’ Iris pantas menyembunyikan tawa dan mengangkat kepala. Memandang dia yang sedang berwajah panas kemerahan.
Tanpa sebarang niat untuk menghentikan esakan tersebut, Iris menjawab. “Saya sebenarnya takut nak beritahu dan tuduh awak. Saya takut awak terasa. Saya sangat minat akan awak dan tak sanggup kalau awak menjauhkan diri disebabkan kesalahan saya sendiri.” Reverse psychology.
Iris makin menguatkan esakan. Sengaja. Dalam diam Iris menjeling mata-mata yang sedang memerhati dan berbisik. Mission accomplished!
“Okay, okay! Saya faham maksud awak. Sebenarnya saya yang bersalah. Sebenarnya saya yang terletak sekali wasabi dalam telur tu.”
Iris pantas menayangkan riak wajah terkejut. “Wasabi? Wasabi dalam sandwich?”
Masa kejadian tersebut, Iris seakan-akan boleh merasa kewujudan wasabi waktu gigitan pertama. Namun oleh kerana ketidakpastian dan kenaifan dirinya sendiri, Iris tetap meneruskan juga hingga ke gigitan kedua. Yang akhirnya membawanya ke hospital dan menyebabkan dirinya ditahan untuk beberapa hari. Walau tidak dinafikan ada kejutan manisnya di situ.
“Saya jenis lain sikit. Saya sebenarnya suka gaulkan telur dengan sikit wasabi semasa menggoreng. Saja. Untuk menaikkan selera.” Tanpa perasaan bersalah, Amira Sofea mengutarakan ayat tersebut sambil tersenyum.
Mendengar alasan gila tersebut dengan langsung tiada sebarang riak serba salah di wajahnya membuatkan Iris benar-benar makin panas hati.
Muka Iris maniskan tapi hati cukup sedang bersumpah ranah.
‘Banyak la kau punya selera!’ Hati Iris menjerit kepanasan.
“Saya betul-betul minta maaf, Iris.” Berjuntaian air mata yang turun. Adegan yang begitu menakjubkan!
Iris terus menariknya dan memeluk. Amira Sofea terpaku bagaikan langsung tidak menjangkanya sama sekali. Sungguh mereka berdua adalah pelakon yang sangat berbeza taraf. Iris menjeling mata-mata yang melihat sekali lagi sebelum memeluk Amira Sofea lebih erat. Mereka semua bagaikan kagum melihat adegan penuh kasih sayang itu hinggakan ada yang diantaranya menepuk tangan sambil berdiri.
Standing ovation.
“Tak apa, Amira. Saya yang salah sebab tak mampu ikut selera awak.” Kuat Iris mengucapkannya dengan harapan insan di hadapannya masih ada sel otak yang bersambung. Moga hadam.
“Betul ni, Iris?” Amira menolak bahu Iris dan membebaskan pelukan. Bersama tangisan semestinya. Mungkin dirinya terlupa atau mungkin juga kerana sengaja, namun kejengkelan di wajah itu sangat-sangatlah ketara.
“Ya.” Iris memberikan senyuman yang sangat manis hingga menampakkan kedua-dua barisan gigi.
“Terima kasih.” Pantas Amira mengembalikan pelukan antara mereka berdua. Semakin itu juga bergemuruh tepukan di sekeliling. Iris yang memang sedang menghadap mereka cuma memberikan senyuman di sebalik pelukan itu.
“Sama-sama.” Kali ini diri Iris pula yang membebaskan pelukan.
“So, peace?”
Iris tidak menjawab dan hanya memberikan senyuman.
“Friend?”
“Friend!” Sengaja dia kuatkan nada. Biar jelas di pendengaran para penonton. Dibuktikan berjaya apabila makin berganda gemuruh tepukan yang diberikan berbanding tadi. Iris perasan riak wajah Amira Sofea yang sempat berubah sesaat sejurus itu. Apa lagi? Makin lebarlah senyuman Iris.
“Okay la, Iris. Saya ada kelas lepas ni sebenarnya. I really need to go now. Bye. Jumpa lagi waktu pertandingan nanti. Fighting!” Amira Sofea melambai sambil melangkah pergi. Dia juga sempat melambaikan tangan dan menundukkan badan berulang kali kepada penonton yang setia menonton sedari tadi. Ada yang ketawa melihatnya. Mungkin sepemikiran dengan Iris. Tindakan itu sangat cukup lucu hingga membuatkan Iris terpaksa membalikkan badan untuk menyembunyikan tawa yang semakin berusaha untuk meluncur keluar dari mulut.
Beberapa langkah, di penghujung jalan, Amira menoleh memandang. Sempat Iris menangkap senyuman sinis di hujung bibirnya. Dan ini adalah Iris. Sepantasnya, dia juga memastikan dia juga sama.
Share this novel