“Afnan! Afnan!” Lelaki itu berlari mengejarnya. Afnan yang seperti tidak mendengar suara itu, hanya terus melangkah laju.
“Adam Afnan! Stop right there!” Serentak kaki itu menghentikan langkah seiring dengan jeritan itu.
Afnan memusingkan badan. Menghadap insan itu dengan pandangan mata yang kosong.
“Adam.”
Adam terus mencengkam baju leher lelaki di hadapannya itu dengan pandangan mata yang berapi memandang tepat. Dia langsung tidak memikirkan akan keadaan mahupun pandangan sekeliling. Sungguh dia tiada masa untuk semua itu. Lelaki yang bernama Adam Afnan ini lebih memerlukan perhatiannya.
“Sungguh?”
“Apa?”
“Yang kau tinggalkan Iris demi Amira.”
Afnan diam memandang Adam. Bibirnya tidak bersuara namun matanya cukup sedang memberikan jawapan. Dan itu membuatkan Adam benar-benar tergamam. Dirinya bagaikan tidak dapat mencerna dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini.
Afnan tinggalkan Iris semata untuk Amira? Adam ketawa separa lucu tidak percaya.
“Hei. Dari dulu berulang kali tau. Berulang kali kau sebut depan mata aku cukup-cukup. Yang kau tak cintakan Amira. Takkan pernah walau sedetik! Takkan!”
“Dulu. Itu kata kuncinya. Bukan sekarang, Adam. Bukan sekarang.” Afnan membalas dengan pandangan mata yang makin dikosongkan kepada Adam.
“Tak mungkin, Afnan! Kau tak cintakan Amira. Kau tak…….”
“Cukup.”
“Afnan…….” Adam benar-benar merintih. Hati cukup berkecai dan langsung tidak percaya.
“Aku cintakan Amira. Dari lubuk hati paling dalam.” Afnan membiarkan dan menepis kasar tangan di leher.
Kali ini, dia pula membalas. Kuat cengkamannya di leher Adam.
“Ini urusan aku, Amira dan Iris. Kau, Adam…...” Afnan memandang sang sahabat dari atas hingga bawah dengan pandangan yang jijik berulang-ulang kali.
“Tiada kaitan sama sekali.” Kasar dia melepaskan genggaman di leher lelaki itu dan terus laju melangkah pergi. Meninggalkan Adam sendirian yang terpinga. Juga kemarahan. Bisikan demi bisikan kuat kedengaran dari orang sekeliling yang melihat dari awal pertengkaran antara mereka.
Sebuah drama swasta yang menghiburkan. Siapa sahaja yang tidak mahu menonton? Cuma tinggal menambah bertih jagung di tangan.
“Maaf, Afnan. Kau sendiri yang wujudkan pilihan yang sebolehnya aku elak dari dulu. Kau kena ingat. Kau sendiri. Diri kau sendiri yang berikan keizinan. Untuk aku ambil pilihan itu tanpa rasa serba salah.” Seperti Afnan, Adam juga melangkah pergi walau bukan menuju pada destinasi yang sama.
Dua destinasi yang sangat berbeza. Menuju juga pada orang yang sangat berbeza.
Satu kepada Amira Sofea.
Dan satu kepada Lee Iris Irina.
Adam dan Afnan menuju pada destinasi yang berbeza. Yang akan membawa kepada pengakhiran yang berbeza.
Satu akan menjadi sekuntum mawar yang indah.
Satu akan menjadi mawar yang melayu.
Satu akan menjadi racun.
Dan satu akan menjadi air.
Namun, siapa itu di antara mereka?
Siapakah……
Share this novel