Empat bulan berlalu. Iris meneruskan kehidupan seperti biasa. Layaknya seorang pelajar sekolah menengah yang bakal menempuh ujian terbesar dalam kehidupan seorang pelajar sekolah menengah dalam era menuju alam dewasa, pada hujung tahun kelak. Kehidupannya sehari-hari penuh dengan aktiviti belajar. Diiringi dengan aktiviti belajar seterusnya. Diakhiri dengan juga aktiviti belajar. Lumrah fakta sebuah kehidupan untuk para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun semasa.
Penat? Bohong lah kalau dirinya berkata tidak. Dia adalah manusia. Jauh sekali robot AI. Sesungguhnya sel-sel kepala otaknya sudah masuk pada fasa nazak.
Zuyin?
Masih sama. Atau boleh juga dikatakan dirinya dan Zuyin makin dingin. Iris dan Zuyin memang dari azali sudah tidak sehaluan. Namun sejak kejadian pertandingan penulisan tersebut, malah bayangan diri mereka pun bagaikan tidak mahu menyatu. Agak ketara kelihatan Zuyin menghindar darinya. Dia lebih bahagia dengan ini. Sungguh aman dunianya.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, tidak lama lagi peperiksaan SPM akan berlangsung. Jadi, untuk menamatkan sesi ko-kurikulum sebagai pelajar tahun akhir, pihak sekolah telah melancarkan satu aktiviti berbentuk ‘survival camping’ sebagai penamat rasmi. Dan hari itu adalah hari ini. Yang berjarak cuma tiga bulan dari tarikh peperiksaan besar itu.
“Wei, Iris! Apa yang kau dok tercegat lagi dekat situ? Kau dah simpan beg ke belum?” Ya. Semestinya. Jeritan Nada yang sangat nyaring. Entah monyet mana yang jadi sahabat dirinya ni. Kadang-kadang menyesal pun ada.
“Belum.” Ujar Iris sambil menjeling tajam. Sipi sahaja lagi dirinya menjadi monyet.
“Ya Allah budak ni! Bas dah nak gerak dah ni. Cepat!” Tudia. Lagi lantang.
“Haipppp!” Tabik hormat diberikan. Nada cuma ketawa dan menunjukkan penumbuk kasih sayangnya lalu berlalu memasuki bas.
“Ha….. Selesai jugak!” Beberapa hari sahaja perkhemahan ini. Tapi tengoklah. Penuh tempat letak beg bas. Begitu susah dirinya mencari tempat kosong untuk memuatkan begnya.
Pap!
Iris memandang bulu tangannya. Berdiri tegak menajam. Entah kenapa dirinya tiba-tiba merasa….
Meremang.
Terus Iris memandang sekeliling. Mencari punca. Dan terhenti pada wajah seseorang yang sedang merenungnya di sebalik cermin.
Zuyin.
Melihat punca itu, Iris cuma memandangnya sekilas dan terus berlalu menaiki bas. Terus menuju kepada Nada.
Untuk melayan?
Dia haruslah sekurang-kurangnya setaraf.
===================================================================
Perjalanan yang selama 3 jam tersebut bagaikan langsung tidak terasa. Sebab? Mana tidaknya? Iris dan kawan-kawannya bergilir-gilir menyanyi. Dari seorang ke seorang. Dan seterusnya beramai-ramai. Bab makan pula usah ditanya.
Perfectly clean and clear!
Bagaikan kata-kata ‘Sesaat dia datang, sesaat juga dia pergi.’
Akhirnya, setelah beberapa kali melelapkan mata, mereka pun tiba di destinasi.
“Tapak Perkhemahan Khayalan.” Terpampang satu papan tanda yang agak besar di hadapan mereka.
“Selamat datang ke tapak yang penuh dengan kejutan…..” Iris membaca ayat yang berada di bawahnya. Saiznya agak kecil ketara yang dimana kalau dipandang cuma sekilas, memang tidak akan diketahui kewujudannya.
“Dan misteri.” Nada menamatkan.
Masing-masing mereka cuma memandang satu sama lain. Keheningan yang tiba-tiba menyapa sejurus sahaja Nada mengucapkan kata tersebut begitu amat terasa. Iris yakin ada di antara mereka yang telah mula memasang niat untuk kembali ke rumah.
Dan dia juga tidak akan nafikan bahawa dia juga salah seorang darinya.
“Sudah! Sekarang semua sila pasang khemah masing-masing. Satu khemah dua orang. Pasangan boleh dipilih secara sendiri. Tetapi kedudukan khemah adalah ditetapkan mengikut nombor secara undi. Sila pilih pasangan sekarang dan salah seorang dari pasangan minta maju ke hadapan untuk mencabut nombor.” Cikgu Mustafa lantang memberikan arahan. Di sampingnya, tenang Cikgu Arina berdiri.
Iris pandang Nada. Nada pandang Iris. Pandangan yang sangat arif untuk difahami. Nada terus menuju ke hadapan, ke arah Cikgu Mustafa untuk mencabut nombor kedudukan khemah mereka berdua.
Selang seminit kemudian, Nada kembali bersama satu helaian kertas bersaiz A4. Nada kelihatan mencari-cari sudut kedudukan khemah yang akan diduduki dan akhirnya terhenti di satu arah. Mata Iris terus menuju ke arah yang sama.
“Wo..Wo..Wo. Serius la, Nada?” Terpaku mata Iris memandang pokok-pokok besar yang berdiri di sekeliling. Di kawasan tapak perkhemahan itu, cuma disitu pokok-pokok yang tertanam. Di kawasan tapak perkhemahan yang paling hujung. Paling tersembunyi. Dan yang paling…..
“Menakutkan.” Mata Iris dan Nada bertembung. Kata yang dituturkan Nada sebentar tadi memastikan bahawa dirinya juga merasakan apa yang dirasakan dia. Sama-sama mula merasakan keremangan.
Akhirnya mereka berdua cuma mampu tersenyum ketakutan. Mustahil mereka dapat pindah tapak. Kalau penyelianya adalah Cikgu Mustafa dan Cikgu Arina, sila pendam niat tersebut. Sangat sia-sia. Dengan perasaan separa rela, kaki mereka berdua tetap melangkah.
Dan kedua mata Iris tetap terpaku memandang satu ranting salah satu pokok tersebut. Iris dan dia berbalas senyuman.
‘Jangan ganggu kami.’ Bibirnya berbicara tanpa sebarang suara.
Yang di atas cuma merenung yang di bawah. Melihat sahaja Iris dan Nada membangunkan khemah. Iris tahu tapi untuk memberitahu Nada?
Tidak. Tidak akan.
===================================================================
Malam pun tiba. Kesemua para pelajar berkumpul di sebuah dewan sejurus sahaja selesai sesi makan dan juga solat Isyak berjemaah. Dewan yang bagi Iris tidaklah begitu besar namun cukup untuk menampung kapasiti mereka satu batch. Sejujurnya dia tidak tahu apakah aktiviti yang akan mereka lakukan sepanjang perkhemahan di sini kerana mereka semua langsung tidak diberi sebarang petunjuk akan mengenainya. Semuanya pasrah. Mereka semua hanya mampu hidup dalam kekeliruan dan menunggu sehinggalah diberitahu hanya pada masa aktiviti tersebut akan dijalankan.
“Okay semua. Siapa yang bawa apa-apa barang seperti air mahupun yang lain-lain, sila berikan kepada kakak-kakak dan abang-abang fasi yang sedang memegang kotak. Sila tuliskan nama di atas kertas yang diberikan supaya tidak berlaku sebarang percanggahan pengembalian barang nanti. Para fasi, sila jalankan kerja anda sekarang.” Cikgu Mustafa mula memberikan arahan. Iris pantas meneguk beberapa tegukan air supaya tidak berasa dahaga di kemudian hari.
“Adik. Tolong bagi botol air dan barang lain sekiranya ada.” Iris menghulurkan botol yang sudah separuh kosong kepada fasi yang meminta. Beberapa barang lain juga Iris berikan. Nada yang berada di sebelah juga melakukan hal yang serupa.
15 minit kemudian, semua barang-barang telah berjaya dikumpulkan. Mereka masih menunggu penjelasan dan arahan selanjutnya dari guru. Lampu suluh dan loceng berbentuk rantai kunci yang berada di tangan Iris pandang keliru walaupun dia serba sedikit dapat mengagak apakah yang akan berlaku sebentar sahaja lagi.
Kalau betul, selamat datang ke mimpi ngeri.
“Semua dah berikan barang masing-masing?” Cikgu Arina memulakan bicara di hadapan dewan.
“Sudah!”
“Semua dah dapat lampu suluh dan loceng berbentuk key chain?”
“Sudah!”
Cikgu Arina tersenyum.
“Saya yakin ada di antara kamu yang mungkin sudah dapat meneka apakah aktiviti yang akan kita lakukan sekejap sahaja lagi. Lebih-lebih lagi yang selalu menyertai aktiviti berkonsepkan perkhemahan.”
Sunyi sepi seluruh dewan. Majoriti dari kami memang sudah mempunyai banyak pengalaman perkhemahan dari Tingkatan Satu lagi. Aktiviti ini sejujurnya kerap dijalankan di hampir setiap perkhemahan namun cara menjalankannya adalah berbeza mengikut orang yang mengaturnya. Boleh jadi hanya biasa. Boleh jadi sekadar sederhana. Dan boleh jadi yang paling menakutkan. Iaitu……
“Burung hantu tahap tinggi. Itu yang akan kita lakukan sebentar lagi. Khusus untuk pelajar tahun akhir seperti kalian.” Kedua Cikgu Arina dan Cikgu Mustafa tersenyum sinis.
Bingo!
Sudah pasti ini yang akan terjadi. Ini adalah aktiviti perkhemahan terakhir mereka sebagai pelajar sekolah. Tidak mungkin akan jadi hanya yang biasa-biasa.
The hell is coming. The world hell. Selamat datang kepada burung hantu!
===================================================================
“Untuk melepasi satu tempat, kamu harus selesaikan satu misi. Tak siap, tak boleh lepas. Semudah itu.”
“Ala…. Lari je lah!” Jerit sekumpulan pelajar sambil ketawa yang jelas agak mengejek.
“Cubalah. Kita tengok sama ada awak akan menyesal kerana berlari tanpa tuju atau tetap berada di tempat yang telah ditetapkan yang semestinya……”
“Selamat.”
Terus semua terdiam. Mereka semua faham maksud disebalik kata-kata itu. Kalau berada di tempat yang salah, tidak terjamin akan menjadi terjamin.
“Saya yakin kamu semua faham akan fungsi lampu suluh tersebut. Jadi saya cuma akan menerangkan mengenai ini.” Cikgu Mustafa mengangkat tinggi loceng yang berada di tangan.
Kring! Kring! Kring!
Kuat! Sangat kuat!
Terserlah jelas lampu yang berwarna biru muda keluar dari loceng tersebut. Lampu tersebut kelihatan begitu jelas menyala apabila lampu di dewan dimatikan.
“Terlalu kuat dan sangat jelas, bukan? Kenapa saya memberikan kepada kalian semua loceng yang sebegini?”
Tiada yang menjawab.
“Kecemasan.”
Kami semua memandang loceng masing-masing.
“Jika sesuatu berlaku, goncangkan loceng tersebut. Bunyi yang kuat dan lampu yang jelas menyala akan keluar secara automatik. Jika dalam masa 10 minit tiada sebarang bantuan tiba, tolong tekan butang yang berada di bawah loceng. Kedudukan jelas kamu akan terus diterima di jam ini.” Cikgu Mustafa, Cikgu Arina dan kesemua fasi menunjukkan jam tangan yang dipakai di tangan masing-masing.
“Seharusnya tiada sebarang masalah yang akan berlaku sekiranya kamu semua berada di tempat yang sepatutnya. Jadi, jangan pernah terfikir untuk lari. Faham?”
“Faham!” Semua pelajar menjawab serentak.
“Oh ya! Hampir saya terlupa. Sila perhatikan lampu suluh masing-masing. Jangan sebut dan baca hanya dalam hati!” Tegas Cikgu Arina memberikan arahan.
Iris pandang satu helaian kertas yang sangat kecil yang dilekatkan di tempat pegangan lampu suluh.
‘Hujan.’
Iris pandang lampu suluh Nada. Juga perkataan yang sama. Dirinya mula faham. Ini adalah kod pengenalan. Untuk membezakan yang ‘betul’ dan ‘salah’ atau ‘asli’ dan ‘palsu’. Diciptakan khusus untuk itu. Sewajarnya, memang tidak harus dituturkan. Kerana yang ‘salah’ atau ‘palsu’ mungkin sedang mendengar sekarang.
“Apabila nanti ditanyakan kod pengenalan, sebut perkataan tersebut. Tapi!” Lagi tegas nada suara Cikgu Arina.
“Sebelum kamu meyebutkan kod pengenalan tersebut, tanya terlebih dahulu kod pengenalan orang yang sedang bertanya. Perhatikan baik-baik perkataan yang tertera di belakang kertas itu. Sekali lagi, jangan sebut.”
‘Matahari.’
“Jangan sekali-kali sebutkan kod pengenalan kalian terlebih dahulu. Pastikan dahulu orang yang sedang bertanyakan. Saya yakin kamu semua faham akan maksud saya. Betul?”
Semua menganggukkan kepala.
“Ingat dan jangan sekali-kali hilangkan barang yang diberi. Khususnya loceng. Sekarang, gerak!”
Pantas semua mengatur langkah keluar dewan dan menuju ke destinasi yang akan menjadi tapak aktiviti burung hantu dijalankan.
“Berdisiplinlah. Maka kamu akan selamat.” Sayup kata-kata tersebut mengiringi langkah keluar mereka.
Share this novel