“Awal teruk kau datang.” Kata Raiqal sekaligus hambur kata ejek.
“Kurang asam.” Cebir Nahlan berwajah bengang.
“Hahaha. Kau kenapa lambat pulak kali ni?”
“Kena tahan.” Balas Nahlan meletakkan helmetnya di atas motor. Jaket yang tersarung pada tubuh, dibetulkan sedikit sebelum bergerak bersama-sama dengan Raiqal di kawasan tasik Putrajaya ini. Mahu membuang masa menunggu pada detik dua belas tengah malam. Baru senang sikit kerjanya nanti nak buat.
“Kau dari rumah mak kau ke?” Tebak Raiqal macam tahu.
“Yelah. Dah tu? Dari mana lagi? Kalau aku dari rumah aku, kau ingat aku akan awal teruk macam ni?” Sinis Nahlan balas pada Raiqal.
Raiqal sengih. “Sekali dengan bakal isteri kau ke?” Tebak Raiqal menggerakkan keningnya atas bawah.
Pap. Nahlan tampar belakang badan Raiqal kuat. “Cakap elok sikit bro. Dia bukan bakal isteri aku eh. Kau jangan macam-macam. Aku humban kau dalam tasik ni kang.”
“Ha ha ha...!! Kau juga yang cakap dia tu ada hati dengan kau. Wei. Tak baik tau mainkan perasaan perempuan macam tu. Tuhan tak suka tau. Berdosa besar. Kau kalau tak suka, kau cakap jelah tak suka. Janganlah bagi dia buat angan-angan sendiri sampai cipta istana yang tinggi membelah ke awan langit. Dia tu perempuan tu. Hati rapuh. Cepat koyak. Lagi-lagi perkara yang melibatkan perasaan ni. Kalau kau tak cakap benda sebenar, mana dia nak faham. Apalah kau ni.” Dalam nasihat, Raiqal hambur juga kata ejekan.
Nahlan garu kepala. “Aku dah cakaplah. Cuma aku bercakap jenis yang berlapik sikit. Karang aku sembur, mahu terloncat dia dengar suara aku. Kau juga cakap hati perempuan ni rapuh. Lembut macam tauhu. Aku jagalah hati dia tak nak bagi dia sentap dengan aku. Lagipun...” Nahlan telan air liur. Bibir yang kering, dia jilat kasi basah. “...keluarga aku rapat kut dengan keluarga dia. Mana boleh suruh shuh and blah macam itu je. Aku bukannya benci pada dia. Cuma aku takdelah suka sampai nak ambil dia jadi isteri.” Terang Nahlan telus.
“Ye ke kau ni? Takkanlah takde sikit pun rasa suka kau kat dia? Macam tak percaya je...??” Tanya Raiqal lagi dan lagi.
“Iyalah. Apesal pula aku nak tipu diri sendiri? Nak tipu kau? Memang tak lah. Aku memang takde perasaan macam tu kat dia. Aku harap sangat dia pergi kahwin cepat-cepat dengan orang lain. Yang pastinya, orang tu bukan aku.” Terimbau kembali tentang perkara tadi. Walaupun Zahidah tak habiskan soalannya, tapi dia tak bodoh untuk buat tak tahu dengan apa yang bakal Zahidah tanyakan. Kalau bukan soal hati, soal apa lagi?
“Tak cantik ke dia tu?”
“Cantik. Mata dia coklat.”
“Tak sopan ke dia tu?”
“Sopan. Manis je bila pakai baju kurung.”
“Dah tu? Apa yang tak kena?”
Nahlan diam. Dibawa matanya melihat pada air tasik yang nampak hitam walaupun secara azalinya air tasik itu memang sifatnya jernih. Tapi tak mungkin mampu untuk dia selam ke dasar yang paling dalam tatkala bayangan itu wujud diantara arus air yang menarik dirinya untuk tidak tenggelam. Hanya mampu untuk terapung di atas dasar air sahaja.
“Wei Nahlan. Benda dah lama lah. Sampai bila kau nak macam ni? Bukan salah kau benda tu berlaku. Kau pun kecil sangat kut waktu tu.” Dia tahu tentang apa yang sedang Nahlan fikirkan. Dan dia tahu kawannya ini masih teringat pada peristiwa yang berlaku pada umurnya hanya sepuluh tahun. Pada waktu mereka berdua masih kecil.
“Ya. Aku tahu.” Balas Nahlan dengan mata yang bergetar. Tapi aku, tak boleh lupa. Sambung hatinya mengatakan tentang sebuah hakikat.
“Kau tak boleh ubah masa lampau. Bagilah hati kau sendiri peluang. Kau pun berhak bahagia kut. Kadang-kadang kita tak nampak apa yang berselindung di sebalik sesuatu yang terjadi. Dan tak mungkin bayang yang hitam akan bertukar menjadi putih. Tapi bukan kebetulan kut kalau perempuan tu didatangkan pada kau. Mungkin ada baiknya. Tuhan ni bukan sengaja nak kita jumpa dengan manusia yang lain. Ada hikmah yang kita sendiri tak nampak. Boleh jadi kau takde hati dengan dia sekarang. Tapi mana tahu? Satu hari nanti kau yang terhegeh-hegeh dengan si Zahidah tu.” Nasihat Raiqal lagi dan lagi.
“Aku tak boleh lupa.”
Raiqal angguk. Memahami isi hati sang sahabat. “Yelah. Kalau aku kat tempat kau pun, aku pun takkan boleh lupa. Tapi kita ni dah 34 tahun Nahlan. Kau tak nak ke hidup macam orang lain? Pegang anak sendiri? Balik rumah ada isteri? Makan apa yang isteri masakkan? Kau tak teringin ke semua tu?” Sebab dia pun teringin juga. Naluri untuk menjadi ayah dah lama dia rasa. Nak-nak melihat kawan-kawan yang lain semuanya sudah kahwin dan punya anak sendiri.
“Kau rasa dia hidup lagi tak?” Nahlan balas soalan dengan soalan. Bukan tak dengar nasihat dari sang sahabat. Tapi malas nak ambil pusing. Nak buat macam mana lagi? Hati dia masih lagi berkeras dengan hal yang telah berlalu itu. Bukan dia tak cuba melihat sisi Zahidah itu sebagai seorang suri kepada hatinya. Dah cuba berkali-kali dah. Tapi, tak jalan juga.
“How can I know?” Raiqal jongket bahu. “Kau rasa, dia hidup lagi?”
“Aku yakin dia hidup lagi.”
“Kau yakin kau akan jumpa dengan dia?” Soal Raiqal berkerut dahi.
“Ya. Aku yakin.” Balas Nahlan penuh emosi.
“Kalau kau yakin, takpelah. Tapi nanti jangan lepas sepuluh tahun aku tanya soalan yang sama kau jawab yang lain pula. Waktu tu, padan muka jelah aku boleh cakap kat kau. Hehehe...” Tak nak beratkan hati si kawan, Raiqal cuba gembirakan hati si kawan.
“Sengal.”
“BTW, kenapa kau ajak aku jumpa kat sini?” Ubah topik lagi bagus. Soal hati ni, dia pun kadang itu payah nak cakap. Itu sebab sampai sekarang, tak kahwin lagi.
“Sebab rumah perempuan tu dekat-dekat kawasan ni.” Jawab Nahlan tanpa nada.
“Perempuan mana?” Kalau tadi Raiqal berkerut dahi, kali ini satu muka dia kerunyutkan. Sebab gaya Nahlan jawab, macamlah dia tahu tentang perempuan yang Nahlan katakan tadi.
“Eh? Ouh. Aku tak cerita eh?” Bulat mata, Nahlan tayang wajah pelik pada Raiqal.
“Cerita apa sewel? Aku dah cakap dengan kau kan? Jangan buat benda tak senonoh dengan perempuan Nahlan! Tak pernah kau cerita aku fasal perempuan selain si Zahidah tu, tup tup kau ajak aku pergi rumah perempuan lain pulak malam ni. Aku tak nak ikut kalau kau berniat nak jadi syaitan.” Pap. Raiqal tampar bahu Nahlan sekali.
“Amende kau ni! Bengong. Aku sorok pendrive tu dekat rumah dia. Rumah semalam yang kau datang selamatkan aku tu. Ni nak pergi ambil baliklah. Hish kau ni. Harap je umur dah 34 tahun. Tapi otak macam orang takde agama. Amende lah kau!”Sembur Nahlan geram. Aku cakap lain, dia simpang ke lain. Raiqal oooo Raiqal.
“Ouh... Eh! Yang kau pergi sorok dekat rumah dia apehal? Macam dah takde tempat lain. Ooooo... Itu ke maksud kau bila kau cakap kau sorok pendrive tu dalam laci? Dalam laci dalam bilik perempuan tu ke?” Raiqal bulatkan mata. Baru memahami apa yang telah Nahlan katakan siang tadi.
Nahlan angguk.
Pap. Raiqal ketuk dahinya kuat. “Aku tak fahamlah kenapa aku boleh berkawan lama dengan kau. Kalau masa boleh putar balik, aku akan nasihat diri aku yang lama supaya tak berkawan dengan kau kut. Perangai macam belut.” Raiqal geleng kepala. Tanda menyesal.
“Hehe...Pukul 1 pagi kita gerak.”
Tepat jam 2 pagi, Nahlan dah ada dekat dengan kawasan perumahan yang dia datang semalam. Motornya diparkir dekat dengan tasik dan dibiarkan di situ. Menumpang motor Raiqal supaya Raiqal dapat menjadi pemerhatinya. Kut ada anjing liar macam malam tadi, takdelah dia terkejut sangat. Lebih baik berdua daripada seorang diri. Itu lebih selamat serasanya.
Tak tunggu dah, Nahlan panjat rumah sang gadis. Melihatkan tiada lampu yang menyala di setiap pelusuk kawasan perumahan, dia yakin yang semua orang tengah tidur buat taik mata. Dengan sekelip mata, kaki dia dah jejak pada balkoni yang ada. Balkoni yang sama macam hari semalam. Balkoni yang takde pintu. Hanya ada tingkap sahaja. Terus dia lihat pada keadaan tingkap yang sememangnya tertutup rapat. Tak macam semalam. Sekali tarik, boleh buka terus.
Adus. Gawat. Nak masuk macam mana ni? Semalam tak berkunci pun. Tiba-tiba ini hari, berkunci pula. Terus dia keluarkan fon dan menaip sesuatu sebelum dihantar kepada Raiqal.
'Red Code.'
Sesaat berlalu, fonnya bergetar. Tanda mesejnya dibalas.
'Roger.' Balas Raiqal.
Maksudnya, Red Code yang ditujukan kepada Raiqal untuk memberitahu bahawa dia perlukan lebih banyak masa untuk duduk di sini mencari jalan supaya dapat masuk ke ruangan bilik itu. Dapat tarik laci dan ambil sahaja pendrive yang diselitkan semalam. Nampak macam mudah kan? Tapi sebenarnya, sangatlah susah bila mana tingkap ini dikunci kuat dari dalam. Habis tu? Takkan nak pecahkan pula? Giler apa?
Adui!! Ha. Padan dengan muka kau Nahlan. Nak sangat kan letak pendrive dalam laci orang tu. Hambik kau. Kan dah berkunci tu. Lain kali, otak tu kasi fikir dengan elok dulu baru buat keputusan. Ini tidak. Pakai terjah je kau ni lah! Maki Nahlan pada diri sendiri.
Baru nak lihat ke arah tingkap, tidak semena tingkap dibuka dengan kasar dari arah dalam. Terus Nahlan sembunyikan wajah dan tubuh rapat ke arah dinding.
'Ah sudah! Jangan buat gila. Mampus aku kalau ada yang nampak. Mampus wei! Kecut perut dah aku ni. Janganlah ada yang keluar dari celah tingkap tu. Kalau tak, memang aku kasi pengsan je orang tu.' Mohon Nahlan bersungguh dalam hati.
Seketika, terlihat ada sepasang tangan yang memegang pada hujung tingkap. Terketar-ketar tangan itu memegang hujung tingkap. Nak tengok dengan lebih jelas. Tapi kalau gerak sikit ni, memang boleh kantoi. Dan semestinya, semua tubuhnya akan terlihat dengan jelas sekali.
“Isk...”
Nahlan mengap. Itu bunyi orang tengah menangis. Dia yakin itu bunyi manusia yang tengah menangis. Atau lebih tepatnya, sedang menahan rasa tangis yang kian memuncak. Tak mahu orang lain dengar esak tangis dia. Tapi dalam masa yang sama, suara itu sepertinya mahu menghamburkan semuanya sekali tentang apa yang dia rasa sekarang.
“Isk...isk...isk...”
Alahai cik adik. Kenapa menangis tu? Kan semua perkara ada penyelesaiannya. Bahaya tau menangis sorang-sorang macam tu. Nanti kepala otak asyik fikir perkara yang tak elok je. Syaitan suka dengan manusia yang asyik menangis malam-malam seorang diri. Nak-nak waktu sekarang. Bermacam hasutan nanti dia hasut dekat kepala otak kau? Takkan tak tahu?
Boleh tak aku tanya macam tu? Gila lah kau Nahlan oi. Kau tak sedar ke kalau kau buat macam tu, serupa macam kau pergi tayang pada satu dunia yang kau tengah pecah masuk rumah orang. Pecah masuk bilik anak dara orang! Fikir kasi waras boleh tak? Jangan letak bodoh tu kat depan sangat. Adui.
Beberapa ketika berlalu, suara tangisan sudah mula mengendur. Tangan yang memegang hujung tingkap tadi, tidak lagi kelihatan. Terus, Nahlan ucap kata lega. Diangkat tubuhnya sedikit demi melihat pada gerangan yang ada di dalam bilik. Lalu, matanya tertancap pada susuk tubuh gadis yang sama macam semalam sedang menekup kedua telinganya dengan keadaan terduduk di atas katil. Dirapatkan kedua lututnya ke dada sambil memejam mata. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca sesuatu.
Tidak semena, terbit rasa simpati pada perempuan itu dalam hati Nahlan. Nak kata takut guruh? Hujan pun tak. Takkan takut gelap pula? Tapi elok je tu ha bilik dia tak buka lampu. Mimpi buruk ke? Sampai boleh berpeluh macam itu sekali. Dahi Nahlan mula berkerut bila mana sang gadis mula bergerak ke atas katil dan duduk dengan menyelimuti seluruh tubuhnya. Menggigil teruk tubuh itu semahunya sebelum lampu kecil di atas meja sebelah katil dipasangkan. Spontan itu, keadaan bilik menjadi sedikit cerah.
Nahlan sembunyikan tubuh terus dengan berpaut pada mana-mana bahagian yang dia boleh berpaut. Tak boleh nak tengok keadaan gadis itu dengan lebih lama. Bukan sebab rasa simpati tu, tapi sebab keamatan cahaya yang boleh menarik bayang dia untuk terhasil pada bilik sang gadis. Kalau itu yang terjadi, sumpah kepala dia kena pancung. Kalau bukan kena pancung dekat mahkamah, mesti kena tetak dengan si Raiqal.
Hish. Nak buat apa ni??
Usai berfikir, Nahlan ambil jalan selamat. Dikeluarkan telefon dan menaip sesuatu pada skrin telefonnya.
'Mission off.'
'Roger.'
Ya. Melarikan diri pada waktu ini adalah pilihan yang sangat tepat. Esok jelah dia ambil semula barang yang dia tinggalkan dekat dalam laci tu. Hish. Waktu inilah kau si gadis mahu bangun dan menangis macam orang tak betul. Malam sebelum-sebelum ni, kau tak nak buat pula. Waktu aku datang dengan rancangan yang sangat baiklah kau nak menangis bagai. Aiyo. Menyusahkan betul lah. Aku nak jawab apa wei dengan Tuan Iqmal esok?
Adus. Gawat.
Share this novel