Bab 27

Romance Series 23565

“Aku yang lemah tanpamu...”

Nahlan angkat kepala. Dahinya berkerut seribu.

“...aku yang rentan karena cinta yang telah hilang darimu...” Sambung Raiqal memegang botol air sambil dirapatkan ke mulut. Acah macam penyanyi handal. Sedangkan suara memang ke laut lah.

“Amende kau ni??” Kalau tadi dahinya berkerut tidak faham, sekarang Nahlan kerunyutkan seluruh mukanya tanda tidak mengerti langsung dengan apa yang Raiqal sedang nyanyikan.

“Yang mampu menyanjungku. Selama mata terbuka, sampai jantung tak berdetak, selama itu pun aku mampu tuk mengenang mu...Darimu, ku temukan hidupku...Bagiku... kaulah cinta sejati...ohhh.....”

Pap. Nahlan baling bantal yang ada pada muka Raiqal. Diangkat tubuhnya sebelum bergerak ke arah almari baju yang menempatkan semua pakaian. Sembunyikan rasa malu yang tiba-tiba datang bertandang. Ini mesti tak lain tak bukan, nak kenakan aku.

“Pergilah bagitahu dia oi. Bini sendiri pun tak reti nak ucap sayang.” Ambil semula bantal tersebut sebelum dibaling tepat pada belakang tubuh Nahlan.

“Mana ada aku sayang dia!” Bentak Nahlan menyangkal dakwaan Raiqal. Bantal yang terkena pada belakang tubuh, dibiarkan sahaja jatuh ke atas lantai. Macam rasa hatinya sekarang ini. Kian jatuh pada yang seorang itu. Pada sang isteri.

“Uuuu... Marah nampak? Kau marah ke bro?” Ejek Raiqal sambil melipat baju-baju yang berselerak atas lantai sebelum dimasukkan ke dalam beg.

“SHUT UP.”

“Hehehehe...” Raiqal sengih. “Ek eleh. Apalah kau ni bro. Simpan gambar isteri dalam fon sendiri. Lepas tu dok usha siang malam. Bila dia ada depan mata, nak marah tak ingat dunia. Lepas tu tak nak tengok muka dia konon nak buat surprise yang kau dah boleh jalan macam biasa. Kalau itu bukan tanda sayang? Tanda apa lagi?”

“Mana ada aku nak buat surprise. Aku tak nak susahkan dia sebab dia tak suka kalau aku suruh dia buat macam-macam. Nanti gaduh lagi. Penat hari-hari asyik nak bergaduh. Ingat aku ni robot cap gaduh ke? Penat juga nak melawan mulut dia hari-hari. Itu belum lagi dia ugut dengan nak racunkan aku. Memang taklah. Terpaksa terima pertolongan dari dia sebab kau lah! Kau yang tiba-tiba ada hal sampai seminggu dua. Semua ini salah kau.” Sembunyikan hakikat sebenar, Nahlan salahkan Raiqal atas semua yang dah terjadi.

“Eh. Eh. Hello. Cerita tu bulan lepas yang punya. Sekarang dah masuk bulan baru. Macam dah berkarat je cerita kau ni, bro? Sampai kaki kau dah pulih dekat seminggu pun, kau tak turun bawah juga. Takut eh nak bertembung dengan bini sendiri? Ke kau nak buat acah sakit lagi supaya isteri kau rasa kesian kat kau? Pastu bolehlah dia layan kau baik-baik. Elok-elok semua tu. Picit kaki lah... apelah... Ouh... macam tu rupanya kawan aku sorang ni.” Gerakkan kening ke atas dan ke bawah, Raiqal tayang wajah paling nakal.

“Mana ada! Mana ada aku acah-acah sakit. Bengong tahap petala langit ketujuh apanya kau ni? Takde kaitan langsung. Kau ingat aku takde kerja langsung nak buat dalam bilik? Banyak kut. Banyak giler kerja aku nak kena siapkan. Kau tu yang tuduh aku macam-macam. Padahal banyak kut yang aku kena selesaikan. Semuanya kalau boleh nak aku buat. Tengok team kita pun aku tahu yang diorang tak reti nak buat kerja. Campur sekali dengan kau. Memang terbebanlah kepala otak aku.” Lagi sekali dia menyangkal rasa yang dah melilit jiwa. Tak mahulah nampakkan sangat rasa itu pada Raiqal. Simpan sendiri je kalau boleh.

“Weh bro. Mengaku jelah yang kau dah mula sayang dekat dia. Apa salahnya kalau kau bagitahu dia? Tak salah pun. Lagi harmoni rumah tangga kau. Aku tengok Humaira tu pun setia je jaga kau. Takdelah pulak nak huha huha sana sini. Sopan pun ya. Tak cerita sikit pun perangai kau yang macam beruk ni kat orang lain. Pergi kerja. Balik kerja. Hujung minggu, duduk rumah. Tak duduk rumah, pergi keluar. Itu pun atas urusan kerja. Nak apa lagi kau? Tak faham aku.”

“Beruk kau cakap kat aku?”

Raiqal angguk. “Dah tu? Mulut kau sah-sahlah menyakitkan hati. Perangai pula? Kalah angin monsun. Campur sekali dengan semua bulu yang dekat badan kau, beruklah jelah yang paling sesuai kalau nak digambarkan keadaan kau. Binatang apa lagi yang sesuai dengan kawan aku sorang ni? Acer bagitahu aku.”

“Sewel doh. Bengong.” Kemudian, Nahlan diam. Serta-merta teringat pada sang isteri, Humaira. Hari ini hujung minggu pun Humaira takde. Semalam minta izin dengan dia nak ikut program anjuran sekolah. Jenuh tanya dengan siapa dia pergi? Berapa orang pergi. Lama ke? Sekejap ke? Anjuran apa? Dekat mana? Lepas tu Humaira tayang wajah bengang sebab tak cukup nafas dia tanya soalan pada perempuan itu. Terus dia izinkan. Tak sanggup dah nak bergaduh dengan Humaira. Boleh digerutu hatinya nanti dengan rasa sakit tak sudah.
Itu belum lagi dia tahu yang aku curi-curi gambar dia waktu dia tidur. Masuk bilik dia tengah malam. Lepas itu dok tengok dia tidur sebelum tangkap gambar dia. Kenapa aku buat macam tu? Aku pun tak tahu kenapa aku boleh buat macam tu. Serupa macam kali pertama bersua muka dengan Humaira sebelum kahwin. Bezanya sekarang, tak perlu nak panjat bumbung ataupun mana-mana jendela. Sebab dah duduk satu rumah. Tolak pintu bilik aje.

Aku suka dah ke eh dekat isteri sendiri? Eh. Takkan kut? Atas alasan apa aku suka dengan dia? Takkan sebab dia banyak cari gaduh denga aku je? Ish. Macam pelik sangat.

“Weh bro. Kenapa kau tak nak mengaku? Kau takut eh?”

“Takdelah. Nak takut apa?”

“Takut sebab kau rasa bersalah dengan diri sendiri. Selama ni kan kau tunggu perempuan tu. Berdoa supaya dia masih hidup. Tebus semula apa kau rasa selama ni dengan tunggu dia. Itu sebab kau tak kahwin. Ini dah kahwin, kau rasa serba salah dengan diri sendiri. Tak gitu ke?”

Nahlan diamkan diri sejenak. Perlahan-lahan dia ambil tempat di hujung katil. Meletakkan punggung di situ sambil berfikir dengan lebih dalam tentang apa yang Raiqal bicarakan.

“Kau tahu tak? Humaira kan...”

“Uh? Kenapa dengan dia?” Apa pula yang tak kena ni? Tanya soalan perihal orang asing, tapi yang dijawab mengenai perihal isteri sendiri. Dah kenapa dengan Nahlan ni oi?

“Pertama kali aku jumpa dengan perempuan yang tak reti nak berlapik waktu bercakap. Pakai sodok je nak cakap apa pun dengan aku. Berani tak kenal tempat. Aku pun tak berani nak baling duit dekat muka orang. Tapi dia buat.” Nahlan sengih. Kepalanya digeleng halus dengan minda asyik benar teringat pada wajah Humaira.

Raiqal juga tersengih apabila teringat kembali detik-detik kemarahan yang ditunjukkan Humaira beberapa bulan sudah.

“Aku terfikir kan... Perempuan ni tak takut ke kalau-kalau si Aswi tu ugut dia? Bagi amaran ke? She seem like a very crazy woman. And yes. She is crazy. Seem like she got nothing to lose. Kau fikir tak macam tu bro?”

Raiqal terdiam.

“Berbeza kan dengan kita. Aku dengan kau buat kerja semuanya belakang tabir. Kumpul bukti guna jalan yang susah. Tapi dia, terang-terang dia cakap yang dia memang tak suka. Tanpa rasa segan. Tak malu pun nak pertahankan apa yang dia rasa betul. Kadang tu aku rasa macam aku malu dengan dia. Mungkin yelah. Dia pun dah tak tahan kut dengan perangai Aswi. Itu yang meletup waktu tu juga.”

“Ya bro. Siapa je tahan dengan perangai manusia yang macam tu? Ada bagusnya juga apa yang Humaira buat. Kalau ikut aku, bukan duit je yang aku lempar pada muka dia. Sekali dengan meja aku baling kat si Aswi. Baru sedar sikit gamaknya...”

“Tau takpe. Mati-mati aku ingat Humaira akan menangis bila dia keluar dari pejabat. Tapi tak pun. Lagi dia marah adalah. Pelik betul lah perempuan tu.” Teringat kembali peristiwa sebelum berlakunya kemalangan beberapa bulan yang lalu. Jujur dia katakan bahawa yang Humaira tu jenis hati tisu. Jiwa tak sekental mana. Jenis yang macam perempuan lain. Bila marah je, nangis sebab rasa bodoh atas diri sendiri. Tapi tak sangka betul yang isterinya itu tak menangis pun. Lagi marah, adalah.

“Sebab pelik je kau suka dia?”

“Aku tak cakap pun yang aku suka kat dia. Kau jangan lebih-lebih. Aku buang kau dari tingkap ni karang.”
'Kenapa nak sangkal kebenaran pada hati sendiri Nahlan?? Kan dah terang sangat yang kau ada hati dengan isteri sendiri? Ke kau takut lagi dengan rasa yang tak pernah nak bertandang dalam hati? Makin menidakkan, makin kuat apa yang kau rasa.' Getus hati Nahlan berperang sendirian.

“Kau tahu tak? Mata kau bila bercakap fasal bini kau... Macam lampu kat kelab malam tu ha... Berkilau sampai pedih mata aku dibuatnya... Lip lap lip lap cahaya yang keluar. Ini kali pertama tau mata kau berkilau mengalahkan bintang yang berkelip. Jujurlah aku cakap. Kalau ini bukan tanda kau sayang dia lagi, maksudnya kaulah yang paling bengap dekat sini.”

Terus Nahlan mengusap belakang tengkuknya. Adus. Dia payah betul kalau nak cerita bab hati kut. Tapi sungguh. Itulah yang dia rasa pada Humaira sekarang ini. Nak kata sayang? Adalah sikit. Nak kata cinta? Macam belum lagi. Tapi dia pantang kalau Humaira tak menampakkan mukanya untuk satu hari. Waktu kakinya baru nak pulih, saban petang dok tunggu Humaira pulang ke rumah. Lihat melalui langsir di jendela. Bila Humaira dah sampai, rasa lega tu tuhan sahaja yang tahu.

“Itu sebab kau sembunyikan fasal kaki kau ni?”

Nahlan diam.

“Pergilah bagitahu dia.” Arah sang kawan dengan tegas.

“Patut ke?”

“Bodohnya soalan kau.”

“Tapi dia takde dekat sini. Dia dekat Janda Baik. Esok baru balik.”

“Nice sangat dah tu. Esok pun kan kita nak pergi lapor diri. Kau ada masa lagi kut. Pergi jelah jumpa dia petang satgi. Apalah sangat Janda Baik tu kalau nak dibandingkan dengan esok. Kau pergi jelah. Kut boleh ambik feel dan terus sampai apa yang kau nak cakap kat dia.” Cadang Raiqal dengan cadangan yang paling bernas serasanya.

“Aku tak retilah bab-bab macam ni.” Garu hujung kepala, Nahlan rasa semacam dalam hatinya tatkala mahu menyampaikan apa yang terbuku di dalam hati.

“Belilah bunga. Ais-krim ke... Teady bear ke... Coklat ke... Belon yang penuh dengan coklat ke. Sekarang kan banyak orang buat macam tu...” Cadang Raiqal lagi dan lagi.

“Macam pelik je aku nak beli semua benda alah tu. Eeeewww... Pelik siak.” Tak pernah langsung dia nak buat macam orang lain buat. Hanya kepada seorang wanita. Dia bukan jenis lelaki romantik. Pandai susun ayat romantis sampai boleh buat perempuan berderet mahukan dia. Pun bukan lelaki yang pandai ambil hati perempuan. Semua kawan dia, semuanya lelaki. Yang perempuan tu, semuanya beruniform sama macam dia.

“Dah tu? Kau nak bagi batu? Ais kepal? Rumput?? Apalah kau ni. Aku ketuk juga kepala kau. Susah sangat, kau nyanyi jelah kat dia. Macam yang aku nyanyi kat kau tadi.”

“Tak boleh pakai langsung semua cadangan kau.”

“Apa-apalah beruk. Aku nak ambil semua baju yang aku simpan kat sini.”

“WOI! Tolonglah aku.”

Hampeh punya kawan!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience