Bab 44

Romance Series 23565

“Eh abang. Bukan macam ni.” Aku tarik tangan Nahlan laju-laju. Mujur sempat. Kalau tidak, habis ikan aku kena tibai dengan tangan Nahlan.

“Kata nak potong tadi. Ini abang nak potonglah.”

“Takpe, takpe. Biar Mai potong aje ikan ni semua. Abang pergi duduk, lepas tu potong bawang.” Arah aku lembut. Dari tadi lagi aku dah tegah Nahlan untuk tak tolong aku masak di dapur. Tapi lelaki ini bertegas juga nak tolong aku masak. Sudahnya, ruangan dapur ini dah macam tongkang pecah. Serabut kepala aku.

“Kejap. Bubur ni nak letak gula merah ke? Abang letak eh??”

“Eh tak payah. Itu bubur jagung. Takde orang letak gula merah. Jangan nak cipta resepi yang pelik sangat.” Aku tarik sekali lagi tangan itu dan terus dudukkan tubuh Nahlan di atas kerusi. Lelah dibuatnya aku dengan perangai yang seorang inilah.

“Asyik potong bawang aje dari tadi. Abang nak juga tolong Mai masak.” Dia muncungkan mulut. Tak puas hati sebab dari tadi asyik sangat kena suruh potong bawang. Dah bertan-tan air mata dok keluar dari matanya tadi. Bila nak buat benda lain, kena halau pula. Tak acilah macam ini.

“Ya Allah abang... Abang tahu tak? Abang duduk diam-diam dekat sini, dah banyak sangat membantu Mai. Percayalah cakap Mai.” 

“Macam perli je...” Nahlan sepetkan matanya.

Aku simpul senyum. “Bukanlah... Mai tak nak abang rosakkan menu ni semua. Nanti mak dengan ayah nak datang makan, kata Mai tak reti masak pula. Hish dia ni.” Aku cuit hidung Nahlan perlahan dan lembut.

“Mana ada. Diorang tahulah kalau ada yang tak jadi tu, mesti air tangan abang.” Balas Nahlan membalas dengan mencuit hidung sang isteri dengan manja.

“Semalam Mai nak cerita apa? Abang dah tidur pulak.” Teringat tentang perihal semalam. Balik aje dari rumah dah tengah malam. Tengok Humaira tengah siapkan kerjanya yang tertangguh. Lepas itu niat memang nak dengar isterinya bercerita mengenai sekolah yang bakal ditutup. Tapi separuh aje yang dia dengar. Selebihnya, dah masuk mimpi.

“Semalam??” Soal aku pelik.

“Aah. Semalam. Kan malam tadi Mai cerita apa entah. Tapi abang dah tertidur. Tak dengar dah apa yang Mai cuba ceritakan.”

“Ouh... fasal Ilhan.”

Terus Nahlan bangkit dari duduknya dan mencekak pinggang. Mata pula dihalakan kasar kepada sang isteri yang terkejut melihat perubahannya. “Ulang sekali lagi apa yang Mai cakap tadi?” Soalnya dengan wajah yang garang. Menggelegak pulak hati dia bila mana nama lelaki lain meniti di bibir sang isteri.

Aku telan air liur. Wajah Nahlan, aku pandang tanpa kerlip. Semalam aku rasa aku dah cerita perihal Ilhan pada Nahlan. Mungkin sebab lelaki ini dah tertidur sampaikan dia tak dengar langsung apa yang aku dah ceritakan semalam.

“Jangan buat muka macam tu boleh tak?!” Volume suara dia dah naik satu oktaf. Geram punya fasal. 

“Abang salah faham ni...” Aku pegang lengan Nahlan lembut. Tapi dengan cepat tangan itu menepis tangan aku.

“Oh. Sekarang ni abang yang salah faham! Ada abang suruh Mai pergi jumpa dengan dia?? Ha?! Ada?! Kalau nak cari gaduh dengan abang sekali pun, jangan carik gaduh fasal hal ni boleh tak?!” Mata dia dah mula menyinga. Rasa marah beransur-ansur memakan diri bila mana perihal Ilhan menjadi isu.

“Eh tak. Bukan...” Kali ni aku tarik tangan itu dengan lebih kuat dan dudukkan semula ke atas kerusi. Lalu aku labuhkan punggung aku atas riba Nahlan. Tangan pula aku lekapkan atas dada yang sedang naik dan turun dengan laju di situ.

Aku tahu lelaki bernama Nahlan ini punya dinding ego yang tebal. Pantang dia kalau ada yang tak kena pada matanya. Kesan sebab dah lama jadi perisik atau memang perangai dia macam itu. Tapi kalau romantik, memang buat aku cair gila.

“Abang ni...” Aku usap dada itu perlahan sambil mencari anak mata Nahlan yang dari tadi asyik benar palingkan wajahnya ke tempat yang lain. “...janganlah cemburu sangat.” Kata aku memujuk perlahan.

Nahlan muncungkan mulut. Sakit hati dia bila mana hal macam ini dibuat gaduh dengan sang isteri. Apa nak buat? Dah sayang. Mestilah ada rasa cemburu pada isteri sendiri.

“Abang janganlah marah-marah macam ni...” Pujuk aku menarik pipi itu lembut supaya mata itu melihat kepada aku. “Kitorang bukan cakap fasal apa pun. Semalam ada jamuan dekat sekolah sebab sekolah nak tutup. Dia jadi wakil dari Ilson Fund. Lepas tu dia minta maaf pada Mai sebab dah libatkan Mai dan abang dalam hal yang berlaku tu. Itu aje abang...” Cerita aku mengenai perihal yang semalam.

Terus Nahlan pandang pada wajah isterinya yang dekat dengan wajahnya. Mengamati pada kedua mata itu dengan sangat dalam. “Itu aje??” Tanya Nahlan menginginkan kepastian walaupun dia tahu apa yang Humaira katakan adalah benar sama sekali.

Aku angguk mengiyakan.

“Lepas tu adalah dia minta maaf lagi sebab minta Mai teruskan hubungan dengan dia dulu sebab dia tak tahu Mai dah kahwin. Urm... dia cerita fasal ayah dia dan dia suruh Mai carikan jodoh untuk dia.” Tak payahlah nak cerita details sangat pada Nahlan. Karang dia marah lagi sekali, jenuh pulak aku nak hadap.

Nahlan leretkan bibir. “Ha baguslah tu. Bagus sangat. Suruh dia pergi kahwin cepat-cepat. Lega hati abang bila dia dah kahwin.” Nahlan tarik pinggang itu mendekatinya.

Aku senyum. “Tulah. Lain kali dengarlah dulu Mai nak cerita apa. Ini tak. Terus nak marah Mai macam tu.” Aku cubit lengan Nahlan. Baru lepas rasa geram aku sikit.

Nahlan sengih. “Alaa... Mai tahu kan abang pantang benda-benda macam ni.” Dia labuhkan bibir dia atas dahi sang isteri. “You know how much I love you...” Ucapnya penuh syahdu. Walaupun ungkapan itu dia ucap saban hari, tapi masih dia nak ucap juga. Biar sampai jemu pun takpe. Tapi dia nak Humaira tahu yang dia sungguh-sungguh sayangkan perempuan di hadapannya.

Aku senyum. Hati bersorak girang bila mana suara itu mengucap kata sayang. Kan aku dah cakap. Kalau lelaki ini romantik, memang boleh buat aku cair. Tapi kalau datang mood dia lain macam, mendiamkan diri itu adalah pilihan yang paling baik.

“Ya. Mai tahu. Mai pun sayang kat abang...” Luah aku membalas kata sayang pada Nahlan.

Nahlan lebarkan senyuman. Dia tatap mata itu dengan sangat dalam.  Dia suka tengok mata itu. Yang penuh dengan diri dia dan nama dia sahaja.  Dan hanya ada kata sayang dan cinta pada diri dia sahaja.

“Abang. Kalaulah kan...”

“Hm??” Nahlan jongket kening.

“Kalaulah...” Aku hentikan sekali lagi kata-kata aku.

“Kalau apa sayang?” Dia selitkan helaian rambut sang isteri ke belakang telinga dan betulkan duduk Humaira yang berlapikkan peha dia.

“Katalah...kalau...” Aku telan air liur. “...abang jangan marah eh??”

Nahlan angguk laju-laju.

“Betul ni??”

“Iyer. Abang tak marah. Just talk to me. What is it, sayang??”

“Okay macam ni.” Ah gasaklah. Kalau Nahlan tak suka, takpelah. Janji aku dah cakap. “...katalah kalau lagi setahun kita tak dikurniakan anak lagi, nak tak kalau kita ambil anak angkat??” Soal aku berdebar-debar.

Nahlan besarkan mata.

“Mai bukan tak nak mengandung. Seribu kali Mai sudi. Tapi abang pun tahu keadaan Mai macam mana. Umur abang lagi empat tahun nak masuk empat puluh. Mai pun bukannya muda sangat. Dan Mai pun kalau boleh, esok juga nak mengandung. Tapi macam abang cakap, rezeki itu tuhan yang bagi. Kalau kita dah usaha tapi takde juga, abang kisah tak kalau-kalau kita ambil anak angkat?” Fuh .. Lega. Sejak minggu lepas lagi nak tanya Nahlan perihal ini. Tapi aku takn reti nak karang ayat biar nampak sedap sikit. Alang-alang dah ada masa yang sesuai, aku sampaikan terus hasrat di hati. Lagi senang.

“Itu aje??” 

Aku angguk.

Nahlan tarik nafas dalam-dalam. “Ek eleh. Abang ingat, apalah tadi.”

Eh?? “Abang setuju?”

“Kalau itu buatkan Mai bahagia, abang sejuta kali sudi Mai...”

“Maksudnya abang tak kisah??”

“Hurmm...” Nahlan pegang tangan Humaira kuat-kuat. “Kalau tuhan nak jadikan kita sebagai seorang mak dan ayah kepada anak sendiri, abang terima. Kalau tuhan nak jadikan kita seorang mak dan ayah kepada anak yang lain, pun abang terima. Ada kala Mai, tuhan uji kita dengan bermacam-macam ujian. Kita aje yang perlu belajar untuk terima dan tak salahkan tuhan. Boleh jadi kebaikan untuk masuk syurga tu datang dari anak yang kita ambil. Setengah orang tak boleh terima dengan kehadiran anak angkat dalam kehidupan diorang. Tapi bagi abang, abang lihat dari sudut positif aje. Semua ini bersebab Mai.”

“Kenapa abang boleh jawab tenang sangat??” Soal aku tak percaya. 

“Sebab abang dah lalui perkara yang lebih buruk, Mai. Bertahun abang fikir kenapa abang yang jadi mangsa culik dan semua itu dan apa yang dah jadi pada Mai. Dan sepanjang abang jadi perisik, macam-macam manusia dah abang jumpa. Ada yang anak ramai, tapi jadikan mak ayah sebagai patung sahaja. Ada yang hidup takde anak, tapi diorang bahagia walaupun hidup hanya berdua sampai hujung hayat. Ada yang sangat bahagia bila ambil anak angkat. Senyum sampai ke telinga. Benda baik Mai... Apa salahnya kalau memang takdir kita macam itu. Yang buat susah adalah mulut orang lain. Itu aje.” Balas Nahlan lebih tenang dari tadi.

Mata aku hangat. Sumpah aku terharu dengan ayat yang keluar dari mulut Nahlan. Terus aku peluk tubuh itu sekuat hati seerat raga. Syukur sangat-sangat tuhan hadirkan Nahlan pada aku.

“Sudahlah Mai... Jangan fikir sangat benda yang kita tak dapat lagi.” Nahlan usap belakang tubuh itu perlahan dan lembut. “Tengok apa yang dah ada di sekeliling sahaja. Kalau kata anak angkat itu tuhan hantarkan dan jadi penyeri hidup kita, then kita akan berusaha untuk jaga dan asuh anak tu elok-elok. Sampai dia besar dan sampai dia  boleh doakan untuk kita.”

Air mata aku tumpah. Setitik demi setitik.

“Lahai Mai ni...” Nahlan tarik wajah itu menghadap kepadanya. “...baru cerita fasal anak, dah menangis. Belum lagi pergi ambil anak angkat. Entahkan, meraung pula nanti.” Usik Nahlan menyapu pipi yang sudah basah dengan air mata.

Aku tarik nafas. Sekali. Dua kali. “Mai terharu bila abang cakap macam tu... Mai ingat abang tak suka kalau Mai nak ambil anak angkat...”

“Lebih baik Mai cakap fasal anak angkat daripada Mai cerita fasal lelaki lain. Itu memang mengundang kemarahan abang kalau Mai nak tahu.” Cantas Nahlan laju-laju.

Aku tergelak. Tak habis lagi dengan cemburu dia. Haih.

“Kan bagus macam tu. Gelak dan senyum. Tak mahulah asyik menangis aje. Nanti kita usaha untuk dapatkan anak. Andai tuhan kata takde rezeki, mungkin rezeki kita dengan anak yatim yang lain. Besar tau pahala besarkan anak yatim.” Kata Nahlan lagi.

Aku angguk. “Okay. Terima kasih abang sebab terima Mai... terima diri Mai...”

“Hep, hep. Jangan cakap macam tu.” Nahlan apit kedua pipi Humaira kuat. “Jangan cakap macam tu. Abang tak suka. Cakap yang baik-baik sudah. Yang dah lepas, kita biar jelah. Yang penting sekarang, kita kena bahagia. Peduli pada mulut orang lain. Diorang tak tahu apa yang Mai dan abang dah lalui. Cukup Mai ada pada sisi abang, itu dah memadai. Dan abang rasa cukup dengan semua yang tuhan dah beri. Tak payah nak bezakan sangat diri kita dengan orang lain. Abang sayang Mai dan Mai sayang abang.” Dibawa bibirnya menyentuh bibir sang isteri sesaat. Menyalurkan rasa sayang yang tiada henti.

Aku angguk lagi sekali. Lepas itu kami berdua menyepikan mulut.

“Ini nak tengok abang sampai bila?? Karang mak dengan ayah datang, diorang kenyang tengok kita aje ke macam mana??” 

“Hahaha.” Aku lepas tawa dengan sangat kuat. “Mai nak sambung masaklah ni. Abang duduk diam sini. Jangan kacau Mai. Nanti semuanya tak jadi.” Aku bangkit dari duduk di atas peha Nahlan dan mula memotong ikan yang Nahlan sikit lagi nak hancurkan tadi.

Nahlan garu kepala. “Habis tu?? Kerja abang memang potong bawang aje ke??” 

“Aah. Itu aje.” Balas aku dengan bibir tak lekang dari senyuman.

“Hurmm... Nampak gayanya abang kena sediakan tisu banyak-banyak sebelah abang.” Kata Nahlan pasrah.

“Kahkahkah!!!” Sekali lagi tawa aku meletus. Kali ini dengan lebih kuat. Aduhai. Nahlan ooo Nahlan. Kerja dengan Interpol. Training kemain dahsyat lagi. Tapi bila bab potong bawang menangis macam kena dera. 

“I can hear you, Humaira. Jangan dok kutuk abang.”

Ups...

“Mana ada Mai cakap apa-apa.”

“Bohong. Tak baik bohong suami.”

Aku ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience