Bab 21

Romance Series 23565

Aku ketap bibir. Aku gigit hujung telefon. Lepas tu, aku kuatkan gigitan aku pada hujung telefon. Masak aku. Memang masaklah aku nak kena hadap segala jenis makian dari bilik hadapan. Waktu inilah mak mertua aku dok kirim makanan siap dengan pesanan lagi untuk pastikan Nahlan makan apa yang dia bagi. Lepas itu si Raiqal pula mesej aku mengatakan yang dia tak boleh nak datang untuk seminggu akan datang. Ada kerja kena pergi mana entah? Lepas itu dari pukul sepuluh tadi aku tunggu kut ada doktor yang datang untuk cek Nahlan macam sebelum-sebelum ini. Tapi usahkan bayang, bunyi enjin kereta pun aku tak dengar.

Patut ke aku masuk bilik Nahlan? Kalau dia kunci macam mana? Patut ke aku ketuk dulu? Ke tak payah? Rempuh je? Ke macam mana? Masuk, lepas tu letak je makanan atas meja. Lepas tu aku blah? Takpe, takpe. Aku cuba ketuk pintu dulu.

Takpe Humaira. Apa pun, cuba dulu. Macam tak biasa kena maki dengan dia kan? Bukan telinga kau dah biasa kena marah dengan dia ke? Kalau dia halau, kau blah jelah. Yang penting, amanat mak yang diberikan, aku wajib laksanakan dengan baik sekali. Nanti bila mak tanya, takdelah aku terkial-kial seorang diri macam orang tak betul.

Aku anggukkan kepala. Tanda beri semangat pada diri sendiri. Angkat tubuh, aku gegas bergerak keluar dari bilik. Lepas tu, aku hentikan kaki aku depan pintu bilik Nahlan. Baca ayat kursi sekali, lepas tu aku baca potongan ayat dari surah yasin. Berdoa agar yang di dalam sana berlembut hati dengan kehadiran aku. Entah apa-apa betul. Padahal yang dekat dalam tu adalah seorang manusia. Title suami lagi kut. Apehal sampai kena baca macam-macam ayat?

Baru nak ketuk pintu, terdengar ada benda yang pecah berderai ke lantai.

Terus aku tolak pintu bilik Nahlan.

“Nahlan.” Panggil aku spontan. Sejenak, kami berdua bersabung mata. Aku tengok Nahlan, Nahlan tengok aku.

“Kau buat apa dalam bilik...”

Tak sempat Nahlan nak habiskan kata-katanya, terasa tubuhnya ditolak lembut oleh sepasang tangan yang halus. Terus berderau darahnya naik ke wajah. Terasa macam ada elektrik mengalir saat kulit lengannya disentuh lembut oleh kulit sang isteri.

'Apa hal dengan aku?' Getus hati Nahlan.

“Awak jangan gerak. Saya bersihkan gelas ni kejap.”

“Tak payah. Kau ke...”

Zup. Hilang dah bayang isterinya dari pandangan mata. Beberapa saat berlalu, Humaira kembali masuk ke dalam biliknya dengan penyapu di tangan kanan manakala penyodok di sebelah kiri. Lepas itu, dia lihat tangan itu terkial-kial menyapu serpihan gelas kaca yang terjatuh atas lantai bilik. Niat di hati nak minum air, tapi entah macam mana boleh terjatuh pula gelas itu ke atas lantai. Bergemalah jawabnya satu rumah dengan bunyi kaca yang terhempas kuat ke atas lantai.

Usai kemaskan semuanya, aku turun ke bawah. Lepas tu aku bawa satu jag air yang lain dengan cawan yang lain pula. Cawan plastik je. Tak nak bagi dah gelas kaca pada Nahlan. Bahaya kut. Nanti boleh jadi macam tadi. Buat naya aje.

“Nah. Awak nak air ke? Saya tuangkan untuk awak.” Hulur cawan pada Nahlan, aku larikan pandangan aku tatkala melihat wajah Nahlan yang langsung tak terurus. Jambang dah penuh dekat muka. Itu belum lagi aku cerita fasal keadaan bilik Nahlan yang penuh dengan baju yang belum dibasuh. Ini semua salah aku.

“Saya tak letak racun dalam ni...” Sambung aku melihat huluran aku tak bersambut.

Perlahan-lahan, Nahlan ambil huluran tersebut sebelum meneguknya rakus. Lepas itu, dia pandang wajah Humaira. “Kau boleh keluar dari...”

“Ermm... Mak ada bagi sesuatu kat awak...” Aku letak beberapa bekas yang berisi dengan makanan ke atas meja yang ada. “...awak nak makan yang mana satu dulu? Ada ketam masak lemak. Ada ayam masak merah. Ada kerabu sotong. Ada sambal belacan. Ada kangkung goreng belacan. Daging salai pun ada. Awak nak makan yang mana satu dulu? Saya pergi panaskan kejap kat bawah.” Kata aku sambil tunjuk bekas yang berisi dengan pelbagai makanan. Mengharapkan maklum balas dari mulut di sana. Tapi hampeh. Kerling pun Nahlan dah tak mahu.

Nahlan diam. Wajahnya hanya melihat pada langsir yang terbuka dengan separuh menampakkan apa sahaja yang ada di luar. Melontar pandangan entah ke mana. Yang pasti, dia takde kudrat nak pandang wajah Humaira. Sakit di hati masih berbekas.

Aku gigit bawah bibir kuat-kuat. Air dah mula penuh dekat hujung mata. Entah kenapa aku sedih tatkala melihat belakang Nahlan yang lemah itu. Mulut pun diam je... Selalu asyik nak kenakan aku. Maki ke... Tak puas hati ke... Apa-apa jelah. Aku lagi suka kalau dia dok marah aku itu ini dari diam tak cakap apa.

“Saya...minta...maaf...Nahlan...” Air mata aku dah mula gugur satu demi satu. Entah berapa kali aku minta maaf pada Nahlan berkenaan dengan kejadian yang sudah sebulan lebih berlaku itu. Tapi sekali pun Nahlan tak cakap yang dia dah maafkan aku. Perit jiwa aku tahu tak kalau macam ini. Nak pergi kerja pun tak tenang. Nak makan pun asyik teringat pada Nahlan. Pokoknya, semua yang aku nak buat semuanya aku akan teringat pada Nahlan terlebih dahulu.

Nahlan hela nafas berat.

“Saya betul-betul minta maaf. Ini semua salah saya. Awak nak saya buat apa? Saya dah tak tahu nak buat macam mana lagi kalau awak diam macam ni je. Saya tahu... saya tahu tak mudah untuk awak maafkan saya. Sebab semua yang berlaku pada awak, semuanya berpunca dari saya. Tapi saya...” Aku kesat air mata yang turun. Aku tekup seluruh wajah aku dengan kedua tangan.

“Maaf Nahlan... Saya minta maaf...” Kata aku dengan bahu yang terhinggut-hinggut.

Nahlan masih diam. Benci betul dengar esak tangis dari suara yang sedang menangis. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja menghalau pergi insan ini. Biar tak jumpa sampai dia sembuh pun takpe. Tapi entah mengapa hati dia terubat sedikit tatkala bersengkang mata dengan sepasang mata yang bundar itu. Kenapa eh? Kenapa lah hati dia macam ni? Berlembut hati pada manusia yang buatkan dia sakit sampai macam ini sekali. Sepatutnya dia kena keraskan hati. Biar jiwa di sana terdera dengan cukup. Sampai dia rasa puas. Tapi antara semua yang dia nak buat itu, terbit dengan rasa tak sampai hati pula.

Sihir apa yang dah jampi diri dia ek? Sampi sebegini sekali kesannya.

“Nak ketam.” Balas Nahlan dua patah.

Aku angkat wajah. “Ha?”

“Tak payah nak jadi pekak sangatlah. Aku cakap aku nak makan ketam. Lagi sekali kau tanya, mohon beredar dari bilik aku.”

“Oh.” Oh aku tersentak dari lamunan. Cepat-cepat aku angkat semua bekas makanan yang ada dan bawa turun ke dapur. Panaskan lauk ketam masak lemak dan letak nasi ke dalam pinggan. Lauk ketam yang dah panaskan, aku letak dalam mangkuk yang lain usai pastikan yang lauk itu telah dipanaskan dengan sebaiknya. Lepas tu, aku ambil sudu dan garfu sebelum berjalan laju naik ke bilik Nahlan.

“Ni. Saya dah panaskan.” Mengah aku dibuatnya dok berkejar ke sana sini. “Saya letak atas riba awak eh.”

Berjalan menghampiri Nahlan, aku letak pinggan berisi nasi ke atas ribanya. “Tunggu kejap. Saya keluarkan isi ketam ni untuk awak. Nanti susah pulak awak nak makan.” Duduk berlutut atas lantai, aku keluarkan semua isi ketam yang ada sebelum letak ke dalam pinggan Nahlan. Kuah lemak, aku tuang sikit pada nasi.

“Dah. Dah boleh makan.” Ujar aku memandang Nahlan.

“Kau basuh ke tidak tangan kau sebelum kau keluarkan semua isi ketam tu?” Soal Nahlan tanpa nada, juga tanpa riak.

“Basuh, okay!” Aku tayang wajah bengang campur tak puas hati.
Nahlan cebirkan mulut, cemikkan wajah. Lepas itu, dia angkat sudu dan masukkan makanan ke dalam mulut. Satu suap, dua suap, tiga suap. Lepas itu, dia teruskan makan tanpa peduli dengan mata yang sedang memandang.

Tangan yang kotor, aku lap dengan tisu yang ada sebelum mata dipakukan pada Nahlan yang sedang makan. Lelaki ini... berapa lama dah dia tak makan ek? Ke sebab air tangan mak sendiri buatkan lauk tu jadi lagi sedap? Atau memang dia tengah lapar? Ye tak ye jugak ek? Dah dekat pukul satu kut. Mesti lapar giler lelaki ini. Kan bagus kalau aku masuk bilik ni dari awal? Sekurangnya, takdelah Nahlan nak tahan lapar berjam-jam lamanya.

Dan lagi sekali, aku dah buat hidup Nahlan jadi susah. Hurm... Apa nak jadi dengan aku ni? Asyik nak menyusahkan orang je. Gamaknya, takdir hidup aku memang macam ini kut. Susah dan menyusahkan, memang tak boleh lari dari kamus hidup aku.

“Kau dah takde kerja lain nak buat ke selain usha aku makan?” Tak selesa kalau kau nak tahu kena tenung macam itu je. Naik berbahang mukanya nanti kalau lagi lama kena tenung. Nak tenung, sikit-sikit dah lah. Ini tidak. Macam nak tercabut bebola mata tu sebab asyik dok tengok dia. Nak makan pun tak selesa dibuatnya.

“Ha? Ada. Mestilah saya ada kerja. Saya rasa... saya nak basuh semua baju dalam bilik ni. Dah banyak sangat yang bertimbun.” Ujar aku dengan mata melihat pada timbunan baju yang menggunung. Nampak sangat yang Nahlan memang dah lama tak basuh baju. Yelah kan. Mesin basuh dekat bawah sana. Dia mana boleh jalan lagi. Apelah aku ni!

Nahlan diam. Mulutnya masih mengunyah makanan yang ada. Tapi mata tak lepas memandang Humaira yang sedang mula mengemaskan biliknya satu demi satu. Dengan lambakan baju yang bertimbun. Susunan buku yang tak tersusun. Nak sapu pun dia tak boleh sebab keadaan kaki dia yang tak mengizinkan.

“Banyak juga ek buku awak...” Sambil susun buku, sambil aku bercakap. “Awak memang suka baca komik ke? Kalau nak bandingkan buku biasa dengan komik, macam banyak lagi je komik yang awak ada. Eh? Wau... Awak pun baca juga komik ni...” Aku tarik satu komik yang tertera dengan perkataan slum dunk dekat salah satu barisan rak yang ada.

“Memang awak kumpul ke macam mana?” Soal aku membelek-belek komik yang dipegang.

“Hm.” Balas Nahlan hanya berdehem.

“Nak pinjam.”

“Tak boleh.”

Aku pusingkan tubuh aku ke Nahlan. “Kedekutnya...”

“Aah.”

“Hish.” Tak puas hati, aku campak komik tu ke atas buku-buku yang lain. “Kedekut ya amat. Menyesal aku minta dengan dia.” Monolog aku sendirian dengan sangat perlahan. “Saya pun ada jugalah komik macam ni. Lagi banyak dari awak.” Kali ni, aku tutur dengan sedikit kuat. Biar lelaki tu tahu yang aku tak batak dengan apa yang dia ada.

“Dah tu? Pergilah baca sendiri. Minta dengan aku buat apa?”

Aku jegilkan mata memandang Nahlan. Huh! Nyesal aku bagi kau makan. Kalau dia tak makan lagi, mesti takde tenaga nak berbalah mulut dengan aku.

Nahlan simpul senyum dalam diam. Puas hatinya dapat kenakan Humaira. Bukan apa? Rasa tepu kepala otaknya bila mana asyik sangat berborak dengan Raiqal. Nak juga dengar suara Humaira walaupun kesan kemalangan masih berbekas di hati.

“Eh? Awak nak pergi mana?” Soal aku pelik.

“Aku pergi tandas pun kau nak tanya juga?”

“Awak boleh pergi tandas sorang-sorang? Meh sini saya tolong.”

“Tak payah.” Tegah Nahlan tegas.

“Takpelah. Apa masalahnya? Saya boleh tolong. Meh sini saya tolong.”

“Aku cakap tak payah, kau tak payahlah buat.”

Aku cekak pinggang. “Apa masalahnya ni? Saya ikhlas kut nak tolong. Macam lah awak boleh tolak pintu tu elok-elok. Saya tahulah awak tak suka dengan saya. Tapi saya takdelah kejam sangat sampai nak biar awak terkial-kial seorang diri.” Berjalan ke arah Nahlan, aku tolak kerusi roda itu ke pintu bilik air.

Nahlan mengap. Ah sudah! Jangan cakap si Humaira ni nak masuk bilik air sekali dengan dia? Buat hal betul lah perempuan sorang ni.

“Ini saya dudukkan awak dekat atas toilet ni, awak peluk saya tau.” Arah aku dan terus memeluk tubuh Nahlan kuat. Dengan lekas, aku angkat tubuh dia. Tapi tubuh Nahlan tak terangkat. “Nahlan. Kalau awak tak bagi kerjasama dekat saya, saya tak boleh nak angkat badan awak yang berat ni...”

Nalan telan air liur. Sumpah dia gugup. Peluk Humaira? Macam pelik weh? Selalu Raiqal yang tolong dia dengan semua ni. Ini nak peluk isteri sendiri buatkan dia rasa macam pelik sangat. Sungguh-sungguh pelik. Macam berdebar pun ya. Hish.

“Awak nak urusan awak selesai dengan cepat, tolonglah bagi kerjasama. Saya bukan nak tengok awak buat apa dalam bilik air ni. Saya hanya nak tolong awak sebabkan saya, awak jadi macam ni.” Terang aku lagi.

Terus Nahlan bawa tangannya ke belakang tubuh Humaira. Dipaut tubuh itu kuat sebelum Humaira bantu dia untuk duduk di atas toilet.

“Nanti dah siap, panggil saya. Saya tunggu kat luar.” Kata aku sebelum menutup pintu bilik air dengan rapat. Tunggu dan terus menunggu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience