Bab 35

Romance Series 23565

Pen yang dipegang di tangan, aku pusingkan ke kiri. Kemudian ke kanan. Lepas itu, aku ketuk lembut atas meja. Kepala pula, aku gerakkan ke bawah dan ke atas sambil mulut mengikuti rentak lagu yang dimainkan di dalam radio yang dipasang. Kalau makin rancak alunan melodi yang terhasil, makin kuatlah pergerakan kepala aku.

“...hm....hm...hm...” Ikut aku pada apa sahaja yang sedang aku dengar melalui corong radio yang dimainkan. Lagu tahun 90 an. Tak ingat apa tajuknya. Tapi masih sedap didengari walaupun dunia sudah memasuki arus permodenan yang sebegitu canggih. Sedang dok larit mendengar alunan muzik yang diputarkan, terdengar semacam nama aku dipanggil kuat. Kemudian, aku angkat wajah sikit usai perlahankan bunyi yang ada. 

“Ya umi?!!” Laung aku kuat.

“Turun. Makan. Umi dah siap masak ni...”

Aku senyum. Terus aku matikan radio dan angkat punggung menolak kerusi. Pintu bilik ditarik dan terus aku berlari ke bawah dengan laju saat hidung menangkap bau yang teramat sedap.

“Umi masak apa??” Soal aku menelan air liur.

Noraini senyum. “Masak apa lagi?? Masak makanan kegemaran Mai lah. Ada udang masak cili. Ada ayam bakar madu. Ada karipap umi buat sendiri.” Kata Noraini sambil menunjukkan beberapa menu yang sudah terhidang dan yang sudah dia letakkan di atas meja.

“Ha. Yang ini abi buat tau.” Datang Osman membawa beberapa roti gulung berinti sardin yang dicelup dengan telur sebelum digoreng hingga berwarna keemasan.

Aku telan air liur untuk kali kedua. “Wahhh... Banyaknya makanan hari ini. Ada nak celebrate apa-apa ke??” Soal aku pelik. Tapi dalam masa teruja sebab semua makanan yang terhidang semuanya memang makanan kegemaran aku. Macam tahu-tahu aje yang aku memang tengah lapar. Bertambah lapar bila melihat asap nipis yang keluar dari semua menu yang dimasak.

Fresh.

“Yelah... Umi dengan abi nak celebrate sebab Mai dah berjaya masuk universiti. Umi bangga sangat dengan anak mak. Kan abang??”

Osman angguk sebelum memeluk sekejap sang anak. Tanda dia bangga dengan pencapaian yang telah Humaira berikan. “Abi bangga dengan Mai sebab Mai dah dapat apa yang Mai idam-idamkan dari kecil. Semua penat lelah Mai dan dijawab oleh tuhan. Siang malam umi dengan abi tengok kamu belajar tak henti. Mai nak jadi peguam kan?? Esok hari pendaftaran untuk masuk ke universiti. Umi dan abi masak banyak-banyak sebelum Mai masuk universiti nanti. Supaya nanti, takdelah Mai rindu nak makan masakan dekat rumah.” Balas Osman girang.

Aku kerut dahi. Masuk universiti?? Peguam?? Apakah?? Aku dah kerja kut. Jadi cikgu lagi. Apesal nak jadi peguam pulak? Macam tak boleh brain je?? Apakah?

“Tapi Mai...”

“Tak payah nervous sangat. Duduk dulu...” Osman dudukkan Humaira ke atas kerusi yang ada. “Biasalah tu Mai... Dulu abi pun macam nervous juga bila nak daftar dekat universiti. Sampai malam tak boleh nak tidur. Tapi dalam masa sama excited juga. Dapat jumpa kawan baru. Dapat jumpa ramai orang. Dapat pengalaman yang baru. Tapi paling excited dapat jumpa umi kamu lah kat sana...” Osman senyum sambil menjeling manja melihat sang isteri.

Noraini sengih. “Eleh. Excited lah sangat... Awak tu kan ramai orang nak... Keliling pinggang perempuan dok menepek. Asyik dok buli saya je siapkan awak punya kerja. Huh...” Balas Noraini sambil kepala mengimbau semula apa yang telah terjadi berpuluh tahun yang lalu.

Osman ketawa. “Alahh... Diorang ikut aje. Bukannya suka sangat dengan saya. Mujurlah awak banyak sabar dengan saya. Itu yang buat saya sayang kat awak...”

“Hurm.” Noraini pandang Humaira. “Itulah abi kamu. Mulut manis mengalahkan tebu. Ada-ada je yang dia nak kata tu...”

Aku ketawa. Suka melihat kemesraan yang terjalin pada kedua orang tua aku walaupun usia dah semakin lanjut. Entah apalah kisah mereka sampaikan boleh terjalin ikatan cinta? Kalau aku tanya, jawab macam tak nak jawab. Mungkin nak simpan untuk diri sendiri aje kut...?

“Nanti kamu nak cari suami, jangan cari yang mulut manis ya, Mai...” Pesan Noraini sengaja berseloroh sambil memandang kepada Osman.

Aku lebarkan senyuman. Mulut manis? Aku rasa Nahlan bukan jenis yang mulut manis. Setakat ni, aku rasa mulut Nahlan paling menyakitkan hati. Kalau bukan bergaduh, mesti berbalah. Kalau bukan aku yang maki dia, mesti dia yang dok maki aku cakap benda entah apa-apa.

Eh kejap. Umi dengan abi tahu tak yang aku dah kahwin? 

Eh kejap? Siapa Nahlan ya??

“Mai...” Noraini pegang tangan anaknya.

“Ya umi?” Soal aku blur.

“Mai nervous sangat ke untuk esok? Macam menung jauh sangat je tu? Mai okay tak?” Tanya Noraini berkerut dahi.

Aku senyum. “Eh tak. Mai okay.” Jawab aku memandang umi dan abi silih berganti. “Cuma Mai rasa, banyak sangat barang Mai yang tak siap lagi...” Sambung aku dengan perasaan yang gelisah. Gelisahkan apa? Entah. Aku tak tahu. Rasa macam semua depan aku ini adalah mimpi. Tapi dalam masa sama, aku mahu semua ini menjadi satu realiti.

“Takpe. Abi ada ni. Boleh tolong Mai kemas barang Mai dekat atas tu...” Kata Osman menyenduk nasi sebelum diberikan kepada Humaira sang anak.

Aku ambil huluran tersebut dan mula mengambil lauk-lauk yang ada di depan mata. Tapi fikiran masih tak boleh lari memikirkan siapakah gerangan lelaki bernama Nahlan yang nama itu asyik benar meniti dalam benak kepala? Aku rasa aku dah kahwin dengan lelaki bernama Nahlan. Tapi aku tak ingat siapa dia tu dan bila aku kahwin. Yang aku ingat, aku pernah gaduh dengan dia sebab atas alasan yang sama. Sebab kahwin. Ke aku memang kahwin dalam mimpi ek?

Ada ke orang kahwin dalam mimpi?

“Umi dengan abi kenal tak dengan Nahlan?” Soal aku tiba-tiba. Entah mana dapat keberanian dan kekuatan untuk tanyakan tentang perihal lelaki bernama Nahlan pun, aku tak tahu. Disebabkan kepala otak aku tak boleh nak berhenti memikirkan tentang sebaris nama itu, adalah lebih elok aku tanyakan terus pada umi dan abi. Sekurangnya, kurang sikit rasa bebanan di kepala otak tentang siapakah itu Nahlan.

Kutlah aku salah ingat. Kadang tu kepala aku ni memang sweng sikit.

“Ha?” Noraini pandang Osman sebelum dihalakan wajahnya tepat pada Humaira. “Siapa?” Soalnya sekali lagi.

“Nahlan. N-A-H-L-A-N.” Aku eja sebaris nama itu.

Noraini kerlipkan matanya sekali. Lepas itu dia pandang wajah sang suami semula. “Kawan abang ke? Atau abang ada kenal sesiapa dengan nama Nahlan?”

Osman geleng. “Takdelah pula. Abang takdelah kenal dengan sesiapa yang nama macam itu. Kalau ada pun, Nuaimi... Norehan... Nadiwahab. Najmi. Itu jelah. Nama Nahlan tu, pertama kali juga abang dengar...” Jawab Osman sambil berfikir kut dia ada dengar nama Nahlan sepanjang dia hidup. Tapi, takdelah pulak. 

Aku hela nafas. Kan aku dah cakap. Mesti aku salah ingat. Haih.

“Amboi anak umi... Belum masuk universiti lagi dah kenal dengan seseorang... Siapa tu?” Noraini gerakkan keningnya ke atas dan ke bawah. Mengusik dan terus mengusik sang anak.

“Hish umi ni... Mana adalah.” Tidak aku laju walaupun hati dah penuh dengan rasa was-was. Aku rasa, memang aku kenal dengan lelai bernama Nahlan. Tapi tak ingat langsung dekat mana aku ada kenal dengan dia. Dan aku rasa, aku dah kahwin dengan lelaki tu. Kalau tak, masakan aku boleh ada memori tentang perbalahan kami berdua dalam bilik dia. Atas katil siap. Ye dak?

“Iye ke tu...” Giliran Osman pula mengusik anak daranya. Satu-satunya anak yang dia ada dalam dunia ini. Kasih dan sayangnya dia pada Humaira, tak boleh nak diungkap dengan kata-kata sahaja. Andai dia mampu  untuk pertaruhkan nyawanya, dia akan buat tanpa berfikir walau sekali pun untuk anak kesayangannya ini.

“Iyalah abi...” Jawab aku yakin. Sekaligus menyembunyikan rasa pelik ke belakang. 

“Habis tu? Siapa Nahlan yang Mai cakap tadi?”

Aku garu kepala. Fikir dan terus berfikir. Sumpah aku tak ingat. Dan tak tahu nak beri kata jawab yang macam mana pada abi dan umi tentang siapakah Nahlan? Seingat aku, memang aku dah kahwin. Bersama dengan lelaki bernama Nahlan. Tapi takkan umi dan abi tak tahu pula? Gaya diorang cakap tadi, ibarat Nahlan sepertinya seorang yang sangat asing dalam keluarga kami. Rasanya tak perlu lagi kut aku utarakan tentang perihal lelaki bernama Nahlan di hadapan abi dan umi lepas ini.

“Mai rasa...” Come on Mai. Ciptalah apa jua alasan yang boleh diberi kepada sang umi dan abi. Apa sahaja. Asalkan bukan mengenai perkahwinan. Mahu terkejut beruk umi dan abi nanti. Tak fasal, kena halau dari rumah sebab dah kahwin secara senyap dalam alam mimpi. “...Mai silap kut. Mungkin sebab Mai baca banyak sangat novel. Itu yang terbawa-bawa sampai ke meja makan. Hehe...” Aku sengih tayang gigi. Harap menjadi.

“Lahai... Ingatkan bakal menantu umi lah tadi. Rupanya watak dalam novel aje. Kamu ni lah Mai... Macam-macam perangainya... Boleh pula terpengaruh dengan novel sampai macam itu sekali. Itulah... Lain kali jangan baca novel sampai tengah malam. Pukul dua tiga pagi dok baca sampai tak boleh tidur. Mengalahkan orang yang tengah hangat bercinta.” Tegur Noraini sebelum masukkan nasi ke dalam mulutnya.

Aku ketawa. Lepas itu, Osman dan Noraini turut ketawa senang melihat perihal anak yang tersenyum gembira.

Perlahan-lahan, aku diamkan diri. Hanya mendengar celoteh yang keluar dari mulut umi dan abi. Orang kata, gaduh manja. Tak pernah aku terfikir untuk dapat duduk dengan mereka berdua dan makan sekali. Melihat umi dan abi bahagia macam takde apa yang berlaku. Ini impian aku. Dari kecil lagi. Nak duduk dengan umi dan abi. Makan sekali dan bergelak ketawa tidak memikirkan apa pun. Walaupun hanya tiga orang, aku tetap rasa bahagia. Biarlah andai ada yang tak puas hati melihat kemesraan keluarga kecil kami. Tapi cukup yang aku tahu apa itu makna bahagia, itu sudah memadai.

Rasa macam nak senyum dan ketawa macam ini sahaja setiap hari. Boleh tak??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience