Bab 39

Romance Series 23565

“Awak ajak dia datang ke sini ke?” Tanya Musa berbisik pada telinga sang isteri.

“Takdelah. Tak ajak pun. Itu hari bersembang dengan Fareha. Dia minta maaf dengan saya sebab kelakuan si Ida ni. Saya pun tak tahu yang Ida nak datang sekali hari ini. Kalau saya tahu, memang saya minta datang hari lain.” Balas Anita juga berbisik pada si Musa.

“Dah tu? Kita nak buat apa ni? Abang tak sukalah bila Ida datang sini. Yang awak setuju untuk dia ikut sekali dengan kita, buat apa?” Baru aje keluar rumah tadi, kereta milik Zahidah sudah terpacak depan mata. Yang isteri dia ni pun satu. Pergi ajak Zahidah ikut sekali datang menjenguk. Kononnya kata nak melawat Humaira. Tapi bila sampai ke sini tadi, terus masuk mencari Nahlan. 

“Hish. Kenapa abang cakap macam itu? Kan dia datang sini nak tengok Mai. Saya rasa Ida dah tak macam itu kut...” Yeke tak macam itu. Kalau tidak, kenapa sanggup datang jauh hanya semata nak datang jenguk Humaira, menantunya? Lagi satu, tak naik pun ke bilik melihat Humaira di atas. Tapi terus masuk ke dapur katanya nak tolong Nahlan apa yang patut.

“Awak ni kan... Dari awal kahwin sampailah dah bercucu pun masih dok buat baik dengan semua orang. Cubalah jangan jadi pembaris sangat.” Tegur Musa pada Anita. Salah satu perangai isterinya yang tak boleh bawa bincang langsung. Baik tak bertempat. Semua orang yang buat baik padanya, semuanya dikatakan baik. Kalau kena ambil kesempatan pun, Anita takkan perasan. Katanya mungkin orang tak sengaja nak buat diri dia macam itu. Haih.

“Dah tu? Takkan nak halau pulak? Orang tu dah datang. Lagipun elok aje Nahlan pelawa Ida masuk tadi. Kalau kata Ida datang sebab anak kita, takkanlah dia nak buat benda tak elok. Kan kita ada dekat sini. Awak ni... Janganlah buruk sangka sangat. Memanglah sebelum ni si Ida tu ada buat salah. Tapi mana tahu? Dia nak pergi minta maaf dengan Nahlan.” Balas Anita memikirkan kebaikan yang pernah Zahidah lakukan. Takkanlah dia nak menghukum pada seorang manusia hanya sebab manusia itu pernah lakukan hanya satu kesalahan?? Biasalah. Orang muda. Banyak perkara yang tak nampak.

“Nahlan pelawa sebab nak jaga hati kita. Bukan dia nak sangat si Ida tu datang sini. Awak ni... Takkanlah tak nampak muka Nahlan macam terpaksa aje tadi??”

“Esh. Ke situ pulak abang ni. Takdelah. Takkanlah sampai...”

“Err... Mak dengan ayah dah minum?” Tanya aku menggaru atas kepala yang tak gatal. Kut ye pun nak berbisik, tengoklah dulu kiri kanan. Aku ada dekat belakang ni dari tadi lagi. Ingat nak mencelah dengan lebih awal, tapi macam kurang ajar sangat. Bila terdengar soal Zahidah dan Nahlan berbangkit, aku terus pasang telinga dengar semuanya sekali.

“Eh Mai.” Anita bangkit dari duduk dan terus bergerak ke arah Humaira yang sedang berdiri. “Kenapa keluar dari bilik? Mak baru aje nak masuk bilik tengok Mai.” Tapi sebab tak boleh nak tinggal Zahidah dengan Nahlan dekat dapur dua orang aje, itu yang dia duduk dekat bangku ruangan tamu kejap. Sambung Anita dalam hati.

“Eh takpe. Mai dah boleh gerak dah sikit-sikit. Dah lama pun tak gerak sana sini.” Balas aku mengambil tempat di sisi mak dan ayah. Disebabkan ruangan dapur itu terletaknya di bahagian bawah, aku hanya menekur melihat ke arah lantai sahaja. Kepala pula tak boleh lari dengan bermacam-macam persoalan tentang dua makhluk yang ada dekat dapur di bawah sana.

Tengah berborak ke?

Atau tengah buat air?

Ke tengah berbincang mengenai hal yang sebelum ini??

Luahan hati Nahlan seminggu lepas masih melekat dalam kepala otak aku. Lepas Nahlan cakap yang dia sayang kat aku, lebih lembut layanan dia pada aku. Semua dia buatkan. Kerja pun minta tangguhkan dulu hanya sebab nak jaga aku sampai betul-betul sembuh. Tipulah kalau aku cakap yang aku tak terbelai dengan rasa indah dari kelembutan yang Nahlan hulurkan. Rasa macam diri dihargai pun ya juga. Sebelum tidur, mesti kucup dahi aku dulu. Lepas itu, usai bangun pagi mesti dia akan angkat aku masuk bilik air. Mesti solat dengan dia. Habis solat, Nahlan akan pergi ke dapur. Siapkan apa sahaja untuk makan pagi. Skil masak Nahlan pun dah boleh aku terima.

Rasa macam permaisuri kut. Indah tak terkata. Kadang tu, rasa segan juga. Tapi Nahlan kata, jangan buat sendiri selagi mana tak sembuh sepenuhnya. Kalau nak buat apa-apa pun, minta je dari dia. Sanggup dia bersusah payah untuk aku walaupun kadang tu memang aku nampak muka penat dekat wajah Nahlan. Dan sepanjang seminggu ini, hati aku betul-betul tersentuh dengan layanan yang Nahlan berikan. Terharu pun ya. Perkara kecil pun Nahlan ambil berat. Itu belum lagi masuk bab-bab yang lain. Jujur aku cakap yang aku memang terharu. 

“Luka Mai macam mana?” Tanya Musa memahami kebisuan yang Humaira sedang pamerkan. Isteri mana aje yang suka kalau ada perempuan lain dalam rumah? Nak-nak perempuan tu memang ada hati dengan anak lelaki dia. Siap pernah minta kahwin lagi dengan Nahlan. Kalau dulu dia tak kisah andai Zahidah dijodohkan dengan Nahlan. Tapi lepas Nahlan dikahwinkan dengan Humaira, hati dia tersentuh bila melihat perubahan demi perubahan yang Nahlan tonjolkan. Itu sebab kadang itu dia sangat berterima kasih pada Humaira.

Aku tarik bibir. Tayang senyuman palsu. “Okay. Alhamdulillah. Mai dah boleh jalan sikit-sikit. Luka pun dah banyak sembuh.” Jawab aku pasrah. Apalah yang diorang buat dalam dapur sana? Kenapa tak keluar lagi? Perlu ke aku pergi? Tapi itu hari aku juga yang kata ya bila Zahidah minta untuk jadi isteri Nahlan? Dan sekarang, aku rasa menyesal sangat sebab jawab macam itu. Boleh tak kalau nak undur masa sikit? Nak tarik semula kata-kata aku mengatakan yang aku tak nak berkongsi Wan Ahmad Nahlan dengan orang lain. Ish. Serabut.

“Nahlan jaga Mai dengan baik tak? Ke dok marah-marah macam dulu juga?” Soal Musa lagi dan lagi. Dia nak tahu kut ada yang fiil Nahlan menyebabkan Humaira tak boleh nak terima lagi. Perkara kecil, dia tak kisah. Takut ada benda besar yang Nahlan buat sampai Humaira tak boleh lagi nak terima anaknya yang satu itu.

“Baik. Alhamdulillah. Takde nak marah-marah macam dulu. Okay je.” Balas aku perlahan.

“Baguslah tu... Itu tempat Mai kerja, diorang suruh Mai masuk kerja bila pulak?” Tanya Anita tentang hal kerja. Dia tahu apa yang sedang menantunya itu perangkan dalam hati. Mimik wajah muram itu jelas menunjukkan yang Humaira tak suka akan kedatangan Zahidah ke sini. Lebih-lebih lagi bila mana kelibat Zahidah tidak ternampak di depan mata. 

“Erm... Ikut surat doktor. Setakat ni okay aje. Itu hari ada bagitahu pihak sekolah tentang keadaan Mai. Diorang faham dan minta untuk masuk bekerja semula lepas semuanya dah elok.” Balas aku lemah. Aku masih tak boleh lagi nak lari untuk berfikir perihal dua manusia yang ada dalam dapur. Tentang perempuan bernama Zahidah semestinya. Terus aku angkat punggung. Berdiri serba tak kena.

“Mai pergi ambil air kejap ya.” Kata aku dan terus pergi meninggalkan mak dan ayah duduk di atas sofa. Tak betah nak fikir benda yang entah apa-apa. Tengok dan lihat sendiri depan mata lagi bagus. Disebabkan ruangan dapur ini memang terletak di tingkat bawah, aku turun dengan perlahan-lahan. Nak dengar sendiri tentang apa yang mereka bicarakan.

“Abang Nahlan dah fikir ke tentang apa yang Ida cakap itu hari?” Tanya Zahidah memandang wajah Nahlan yang sedang sibuk membuat air dan memanaskan beberapa makanan yang ingin dia hidangkan pada mak dan ayah.

Nahlan diam. Tangan masih ligat membuat kerja tanpa peduli pada suara yang ada di sebelah. Kalau bukan sebab dia hormatkan Zahidah dan keluarga yang dia kenal sejak kecil, memang dia takkan bagi sesiapa selain ahli keluarga untuk jejakkan kaki ke rumah ini. Hell no. Cukup dengan apa yang dah jadi sebelum ini. Takkan sesekali dia percaya pada orang luar walaupun dah kenal berabad lamanya. Pada Raiqal pun dia hanya maklumkan untuk pindah rumah yang terletak sangat jauh dari rumah yang sebelum ini. Alamat penuh belum lagi dia beri.

“Abang Nahlan.” Tarik tangan Nahlan, Zahidah panggil  Nahlan dengan suara yang maha lembut meminta supaya tubuh itu berpusing dan menghadap ke arahnya.

Pap. Nahlan tepis tangan yang memegang tangannya. Lepas itu, dia tarik nafas. Menahan sabar di dada. Mujur sangat dia tak tolak terus tubuh itu kuat supaya menjauhi dirinya. Walaupun sabar itu memang nipis di dada, tapi dia tak nak jadi manusia yang sakitkan tubuh perempuan. Dia tak nak jadi macam itu. Tapi perempuan ini memang mencabar betul tahap kesabaran dia dan tahap kewarasan akal dia. 

“Zahidah. Tolong eh!” Nahlan tarik nafas lagi sekali. “Tolong jangan buat benda tak senonoh dekat dalam rumah abang. Abang bagi Zahidah masuk sini sebab Zahidah kata nak tengok Mai. Nak melawat kut isteri abang dah sihat ataupun belum. Nak tolong apa yang patut. Jadinya, tolonglah buat perangai elok sikit. Kalau ikutkan hati abang, memang abang tak nak Zahidah masuk sini. Abang buat ni sebab isteri abang aje. Kalau Zahidah rasa tak nak melawat atau tak nak tolong apa yang patut, silakan balik. Jangan sampai abang halau untuk kali kedua.” Ugut Nahlan menuangkan air panas ke dalam jag yang berisi gula bersama dengan satu uncang teh.

Sabar Nahlan. Sabar. Anggap je ini satu ujian. Ya. Ya. Ujian. Kau boleh bersabar bila kena herdik depan-depan. Kau boleh sabar bila kena ugut dibunuh. Dan kau boleh sabar dengan perangai manusia yang sememangnya tolol. Inikan hanya dari sang gadis yang buta untuk menilai di mana terletaknya nilai kasih sayang dan perasaan obses.

“Ida kan dah cakap yang Ida tak kisah untuk jadi isteri kedua. Ida janji Ida takkan susahkan abang lepas kita kahwin. Ida tunggu abang dari sekolah lagi. Kalau Ida tak kahwin dengan abang, Ida nak kahwin dengan siapa??” Wajah Zahidah dah mula menunduk. Tanda dia sedih bila mana Nahlan memang berniat nak halau dia dari rumah. Jenuh dia paksa sang ibu untuk menanyakan tentang perihal rumah baru Nahlan. Kedatangannya ke sini pun tanpa pengetahuan dari ibu dah ayahnya. Hanya membohong mengatakan mahu keluar berjumpa dengan klien.

“Eh. Kenapa Zahidah tak pernah faham?? Abang tak pernah nak cakap pun untuk ambil Zahidah sebagai isteri. Dan abang tak pernah terfikir pun nak ambil sesiapa jadi isteri abang yang kedua, yang ketiga... Abang dah ada isteri abang sendiri. Cukuplah Zahidah. Jangan nak cakap benda yang merapu. Nak tolong, buat cara nak tolong. Kalau tak nak tolong, pergilah naik atas. Duduk mendiamkam diri lagi bagus daripada acah nak tolong dekat dapur.” Tutur Nahlan dengan wajah yang tegang. Ish. Rimas betul! Karang aku tengking, mahu dengar dek mak dan ayah. Sejahat mana pun diri dia, mana mungkin nak cederakan tetamu yang datang.

“Tapi Ida sayang abang. Kenapa abang tak boleh nak faham?”

“Tak. Awak tu yang tak faham sekarang ni. Abang sayang dengan isteri abang. Sayang abang bukan pada orang lain! Cuba fikir matang sikit. Berdosa tahu tak kalau Ida suka kat suami orang. Huh!” Nada satu okaf suara dia. Ah lantaklah. Dah tak boleh sabar dah ni. Lagi bagus serasanya kalau mak dan ayah dengar suara dia. Sekurangnya dia akan kena marah aje. Dan automatik Zahidah akan pergi dari sini.

“Abang bukan kahwin dengan Humaira sebab abang suka dia pun! Lagipun isteri abang tu bukannya baik sangat. Kalau nak compare kan dengan Ida, Ida sepuluh kali lebih baik dari dia!” Hambur Zahidah mengepal tangan dengan sangat erat.

Muka Nahlan berubah seratus peratus. Mencerlung matanya melihat Zahidah atas bawah bila mana bibir itu membabi buta mengatakan sesuatu yang tak enak pada telinga dia yang mendengar. Pergi mampus dengan kata sabar. Memang dah tak boleh tahan. “Kau jangan sampai aku lempang mulut kau! Kalau kau datang sini sebab nak cakap benda buruk fasal isteri aku, lebih baik kau berambus. Aku memang dah tak tahan dengan perangai kau! Berambus kau dari sini!! BERAMBUS!!!” Hilang rasa hormat dia pada sang gadis di hadapan. Apa punya manusia lah datang ke rumah dia hari ini? Dah bukan macam Zahidah yang dia kenal. Ke yang datang kali ini memang bukan manusia??

“Ida cakap benda yang betul. Entah apa lah dia buat sampai abang terpaksa kahwin dengan dia. Kalau dia tak kahwin dengan abang itu hari, mesti Ida dah jadi isteri abang. Dia yang perangkap abang sampai mak abang setuju untuk kahwinkan dia dengan abang. Kalau tak, kita dah kahwin dah tahu tak.”

Nahlan kepal tangan dia kuat-kuat. Rasa marah dah mula menyelubungi hati. Mahu sahaja menempelak figura di hadapan dengan kedua tangan dia. Peduli apa dia. Kurang ajar tak kurang ajar. Cukup baik dia layan Zahidah macam tetamu walaupun dia tak suka dengan kedatangan gadis ini di depan mata. Memang mengundang betul rasa marah dia.

“Sekali lagi kau cakap fasal...” Nahlan terdiam saat Zahidah sudah memeluk tubuhnya.

“Ida sayang abang... Ida buat semua ni untuk abang... Untuk kita...” Peluk tubuh Nahlan kuat, Zahidah hambur semuanya sekali yang dia rasakan dengan sekian lama. Dia sayang pada lelaki ini. Sayang sungguh-sungguh. Pada lelaki lain, belum pernah dia sayang macam dia sayang pada Nahlan. Setiap hari asyik fikirkan tentang Nahlan. Jenuh dia cuba buka hati pada insan yang lain. Tapi semuanya tak jalan. Pada Wan Ahmad Nahlan juga hatinya digerakkan.

“Hesh! Kau ni apehal!!” Nahlan tolak tubuh itu kuat. Tapi lagi kuat dia tolak, lagi ketat pelukan Zahidah di tubuhnya. “Lepaskan aku perempuan!!!” Sedaya upaya Nahlan cuba meloloskan dirinya dari dipeluk oleh perempuan lain. Dekat rumah dia pulak tu.

“LEPASLAH!!!”

“Ida sanggup kalau kita kahwin senyap-senyap. Tak bagitahu orang lain pun takpe. Janji abang Nahlan akan kahwin dengan Ida... Boleh ya abang Nah...”

“ZAHIDAH!!!” Bergema satu rumah ni dengan lentingan dari Musa.

Terus terlepas pegangan tangannya pada tubuh Nahlan. Serentak itu semua mata memandang ke arah aku.

“Mai...” Sebut Nahlan perlahan sambil melihat mata sang isteri yang penuh getaran marah.

“Kamu buat apa dengan anak pakcik? Tak sedar ke yang Nahlan ni dah jadi suami orang?! Tak sedar ke yang kamu tu perempuan!! Kalau kamu tak reti nak jaga diri kamu, sekurangnya fikir sikit dekat mak ayah kamu. Otak letak dekat mana?! Lutut?!!” Lenting Musa menarik tubuh sang anak supaya menjauhi Zahidah.

“Tapi...”

“Ini suami orang. Kalau bukan suami orang pun, kamu tak patut buat macam ini. Peluk orang sesuka hati. Mana pergi akal fikiran kamu?? Belajar tinggi kemain. Tapi dosa dengan pahala pun takkan tak reti nak beza!?? Sedar sikit. Kamu jejak kaki sebagai seorang tetamu. Buat macam seorang tetamu. Jangan nak melebih-lebih.” Nah. Geram sangat dengan kelakuan dari Zahidah, disemburnya gadis muda itu tanpa lapik. Itu hari boleh lagi dia bersabar bila mana mulut Zahidah meluahkan hasrat di hati untuk berkahwin dengan Nahlan. Tapi ini hari, memang dah tak boleh sabar. Rasa mahu sahaja mengherdik gadis muda ini dan menghukumnya dengan sekeras-keras hukuman. Nasib baik fikirannya masih berada di tempat yang elok.

“Tapi pakcik, sebelum ni memang abang Nahlan dah janji nak kahwin dengan...”

“CUKUP!! PERGI BALIK!!”

Mata Zahidah dah berair.

“Pak cik kata pergi balik. Kamu pergi balik rumah kamu, toksah datang dah sini!! Kalau datang ke rumah pak cik sekalipun, mesti datang dengan mak dan ayah kamu!! Kalau tidak, jangan harap pak cik nak buka pintu hanya untuk kamu.”

“Isk...”

“BALIK!!!”

Tak mampu dah Zahidah nak tahan air matanya, terus dia angkat kaki melewati semua yang ada di situ. Sempat lagi untuk menjeling tajam pada Humaira yang hanya berdiri di hujung kaki anak tangga sambil melihat kepada dirinya.

“Huh.” Dan berlari meninggalkan semuanya sekali.

“Abang...” Panggil Anita. Gerun tengok suaminya dok marah macam orang tak betul. Dah lama tak tengok suaminya marah besar macam ini sekali. Kali terakhir adalah pada berpuluh-puluh tahun yang lalu ketika membesarkan anak mereka. Lepas itu takde dah.

“Sudah. Kita pun balik. Nahlan.” Musa pusing menghadap anaknya. “Kamu bincang elok-elok dengan isteri kamu. Jangan buat perangai yang tak serupa orang pulak. Humaira tu dah cukup baik. Sekali lagi benda ni terjadi, jangan harap nak jejak kaki ke rumah ayah lagi. Kamu tu lelaki. Ketua keluarga lagi. Ada isteri. Ada keluarga. Lain kali dengan orang luar, tegas sikit. Jangan dengan bini aje asyik nak tegas tak bertempat. Ingat tu.” Beri amaran pada anak, Musa tarik lembut tangan Anita dan bergerak dari situ.

“Mai pun. Jangan bertindak ikut emosi. Fikir elok-elok. Selesaikan baik-baik.” Pesan Anita sebelum hilang bayang mereka berdua dari rumah.

“Mai...” Nahlan bergerak merapati Humaira. “Abang tak berniat pun nak peluk dia. Sumpah bukan abang yang buat. Apa yang Mai nampak tadi...”

“Diam boleh tak?” Arah aku senada.

Nahlan diam. Bibir bawahnya diketap kuat. Dia tahu Mai tengah marah. Sedih. Dan kecewa. Tapi apa yang jadi tadi, semuanya bukan salah dia.

Aku hanya melihat tangan Nahlan yang berada di atas tangan aku. Memegang dengan lembut. Tapi kepala masih tak boleh lupa dengan kejadian yang baru beberapa minit berlaku. Depan mata aku. Masa antara insan bernama Zahidah memegang tangan Nahlan. Tangan yang sama sedang pegang tangan aku. Lepas itu adegan Zahidah memeluk Nahlan dengan sangat erat dan sebegitu kuat. Bangkit terus rasa marah aku.

“Mai...” Nahlan pegang bahu Humaira kuat.

Tak kata apa dah, aku tarik tangan Nahlan kuat dan naik ke atas. Ke tingkat dua. Ke dalam bilik. Terkulat-kulat tubuh Nahlan mengikut pada tangan yang menarik.

“Mai...”

“Awak diam!!” Aku tolak pintu bilik air sebelum aku lepaskan tangan Nahlan yang digenggam tadi. Tarik kepala shower, aku pusing pili ke tahap maksimum sebelum aku halakan air ke tangan Nahlan. Mahu menghilangkan kesan tangan Zahidah yang memegang tangan Nahlan.

“Humaira...” Sebut Nahlan akan nama itu untuk ke berapa kali sudah.

Aku diam. Hanya halakan air yang kuat itu pada tangan Nahlan. Habis basah seluar yang Nahlan pakai. 

“Dekat mana lagi dia pegang awak?” Soal aku tanpa melihat wajah Nahlan.

Nahlan diam kali ini. Gerun melihat Humaira yang sedang dikuasai dengan rasa marah. Marah bercampur cemburu.

“Dekat sini kan!” Aku campak kepala shower ke bawah dan terus buka semua butang yang ada pada baju Nahlan. Lepas itu aku baling ke mana sahaja yang boleh. Meninggalkan Nahlan hanya dengan berseluar sahaja.

“Saya benci tahu tak!!! Saya benci bila dia pegang awak. Saya benci bila dia peluk awak!!” Jerit aku kuat sebelum aku halakan air kepada tubuh Nahlan sekali lagi. Atas bawah aku basuh tubuh Nahlan. Marah dan geram bercampur sekali. Tak cukup dengan itu aku ambil sabun yang ada sebelum menggosok tubuh itu dengan kuat. Kut ada bau Zahidah yang melekat, dia nak hilangkan semuanya sekali. Kalau insan bernama Zahidah tu boleh dihilangkan, memang dia akan buat. 

Nahlan hanya diam macam tadi. Biarkan sahaja Humaira melepaskan rasa marah di hati itu pada tubuh dia. Ya. Dia tahu dia silap. Tapi dia pun tak sangka yang Zahidah berani bertindak dengan sebegitu agresif. Sampai peluk tubuh dia. Gosh... Memang terkejut. Mujur sangat ayahnya bertindak dengan segera. Kalau tidak, entah apa lagi yang Zahidah akan buat.

“Seronok ke kena peluk macam tu ha!!” Aku sembur air ke dada Nahlan. Habis basah satu tubuh Nahlan. Seluar jangan cakaplah. Dah lencun teruk.

Nahlan masih membisu. Tapi yang penting sekarang insan di hadapan dia. Yang tengah tahan rasa sedih di jiwa. Yang sedang tahan rasa marah di hatinya. Dia tahu. Kalau ini bukan tanda marah disebabkan rasa cemburu, tanda apa lagi? 

“Eigh!!!” Sekali lagi aku campak kepala shower itu ke bawah. Berdeting bunyi yang terhasil. Lepas itu aku tolak tubuh Nahlan kuat. “SAYA BENCI TAHU TAK!! SAYA BENCI!!” Pap. Pap. Aku pukul dada Nahlan dengan sangat kuat. Biar sampai Nahlan rasa sakit pun takpe. Sebab aku memang dah tak tahan dengan semua ini.

“Mai...” Nahlan tarik tangan itu. Tapi dengan lekas Humaira tepis. “Mai...” Sekali lagi Nahlan cuba hentikan tangan sang isteri yang tak berhenti memukul dada dia. Sakit. Memang sakit. Kuat tak terkata. Bila semuanya dibuat dengan keadaan marah, bertambah sakit jadinya.

“Mai please... listen first.” Rayu Nahlan menarik tubuh itu masuk ke dalam pelukannya. Tapi hanya sesaat sebelum tangan itu menolak dengan sekuat hati.

“Isk...” Aku tekup seluruh wajah aku dengan tapak tangan. Menangis terhinggut-hinggut di hadapan Nahlan. Hamburkan semuanya sekali. Marah. Geram. Benci. Celaru. Serabut. Semuanya menjadi satu.

Nahlan tarik nafas. Terasa hatinya dirobek-robek melihat air mata itu gugur satu demi satu ke bawah. Dengan seluruh wajah yang memerah. Hidung mengalahkan warna hidung badut. Suara pun tersekat-sekat. Sedih dia tengok keadaan isteri dia sekarang ini.

“Mai jangan macam ni... Luka Mai ni tak boleh kena air sangat. Habis basah dah baju Mai.” Nahlan tarik tangan itu supaya keluar dari bilik air. Risau tengok baju yang Humaira pakai dah basah lencun. Nanti terkena pada luka dia macam mana? Memanglah luka itu dibalut, tapi boleh jadi air itu akan meresap juga.

“Tak payah nak buat baik dengan saya!!” Aku tolak tubuh Nahlan dan terus keluar dari bilik air. Air mata yang ada, aku biar je meleleh ke pipi. Baru nak keluar dari bilik, terasa tubuh aku diangkat tinggi.

“Sini. Abang tukarkan balutan Mai. Dah basah dah tu. Abang risaulah...” Nahlan dudukkan Humaira dia hujung katil dan terus menarik baju yang dipakai Humaira ke atas sehingga meninggalkan Humaira dengan pakaian dalam sahaja. Lepas itu, Nahlan tarik selimut yang ada sebelum membalut tubuh itu sepenuhnya. Menutup apa yang perlu, dia selak sikit selimut itu demi melihat keadaan balutan yang sudah basah dengan air.

Aku ketap bibir.

“Abang lap bagi kering kejap. Kalau sakit, bagitahu abang.” Diambil sapu tangan yang ada dalam laci di tepi katil sebelum lap kesan air yang ada pada tubuh Humaira. Perlahan-lahan, dia buka balutan tersebut.

Tit tit tit... Menitik air mata Humaira di atas tangannya satu demi satu.”Kalau sakit bagitahu abang...” Tak pandang wajah Humaira, Nahlan teruskan apa sahaja yang sedang dia buat. Buang balutan yang dah basah. Sapu ubat. Lepas itu dia balut semula luka Humaira yang macam selalu dia buat.

“Hisk...” Tak boleh nak tahan dah, aku menangis aje. Sakit lagi hati aku kalau nak bandingkan dengan sakit akibat luka. Tak betah nak pandang wajah Nahlan lama-lama. Asyik benar teringat adegan tadi. Sungguh dia tak boleh nak lupa.

“Kejap. Abang tukar seluar.” Bangkit Nahlan dari duduk dan terus bergerak ke arah almari. Ditarik satu seluar yang ada dan terus memakainya. Tuala yang disangkut, diambilnya dan terus bergerak merapati Humaira yang sedang menangis.

“Nah.” Nahlan hulurkan tuala.

Aku hanya tunduk membisu.

“Ambil tuala ni.” Nahlan letak tuala atas tangan Humaira. “Tadi dah mandikan abang, sekarang lap lah badan abang sampai kering. Abang nak Mai yang lapkan, bukan orang lain.”

Terus aku peluk tubuh Nahlan kuat-kuat.

Mata Nahlan dah mula hangat. Sebak bila mana tangan itu memeluk tubuhnya dengan sangat erat. Perlahan-lahan Nahlan angkat satu tangannya dan meletakkan ke kepala Humaira. Diangkat tubuh itu sedikit supaya dapat memeluk Humaira dengan lebih erat. Dicium kepala itu berkali-kali demi menyalurkan rasa kasih pada sang isteri. Sungguh-sungguh dia kasihkan wanita ini dengan sepenuh hati dia. Mana mungkin nak menduakan isteri sendiri. Tak pernah langsung dia terfikir nak buat macam itu.

“Kan senang kalau Mai cakap yang Mai pun sayangkan abang.” Bisik Nahlan perlahan pada tepi telinga Humaira. Dibelai belakang tubuh itu semahunya.

“Tak. Saya benci awak.” Jawab aku tersedu-sedan.

“Kalau benci, kenapa nak cemburu? Kalau tak suka, kenapa nak marah sampai macam ini sekali? Takpe Mai. Abang tahu. Tak perlu Mai cakap, abang dah tahu...” Hangat matanya dengan air yang ada. Entah kenapa dia bersyukur melihat Humaira marah macam tadi daripada buat tak tahu aje. 

“Abang jahat...” Aku tumbuk belakang Nahlan sekali.

Bergetar naluri dia bila mana suara itu memanggil dia dengan panggilan abang.

“Abang jahat tahu tak!! Isk...” Aku ketatkan lagi lingkaran tangan aku pada leher Nahlan.

“Ya Mai. Abang memang jahat...”

“Mai tak suka kat abang...” Rengek aku memukul tubuh itu lagi sekali.

“Ya Mai. Abang tahu...” Ditarik wajah itu menjauhi dirinya dan labuhkan bibirnya pada bibir sang isteri. Kemudian, tubuh isteri ditolak perlahan ke atas katil sebelum mencengkam lembut pipi sang isteri. Terus, dia dalamkan lagi kucupannya.

Beberapa minit berlalu, Nahlan angkat wajah. Melihat pada biasan mata sang isteri yang penuh dengan kata cinta. Turun naik dada dia laju sama dengan Humaira. “Humaira. Please, be my wife. I need you. I really need you.” Dibawa telapak tangan sang isteri ke dadanya. Mahu Humaira mendengar sendiri detak jantung dia yang dah menggila menyeru hanya satu nama.

“Abang. Mai...”

“Shuhshh...” Nahlan letak jarinya pada bibir sang isteri. Merapatkan dahinya dengan dahi Humaira. Merasa nafas yang hangat itu menampar lembut pipinya. “Just say yes, please.” Tuturnya dengan mata yang dipejam rapat tatkala gelora cinta sudah membuak-buak dengan rasa keinginan yang menggunung. Mahu dia leraikan semuanya sekali. Mahu dia beri segalanya pada sang isteri tercinta. Semua yang dia ada.

“Abang... Mai...”

“Please Mai. Please.”

Aku kerlip mata. Lemah satu badan dengan rasa rayuan dari mulut Nahlan. Mahu kata apa lagi tatkala hati aku juga menyeru dengan nama di hadapan? Sekali dengan rasa sayang. Bersama dengan rasa cinta yang tuhan hadirkan dengan sebegitu hebat. Pada Nahlan. Sang suami. Tak mampu untuk menunggu lagi, terus aku pagut bibir Nahlan dan benamkan dengan sangat dalam. Menyalurkan rasa gelora yang menghimpit jiwa. Dan mahu meleraikan apa sahaja yang melilit kemas di dalam hati.

Dan untuk saat ini... aku sedar aku mahu menjadi insan yang dimiliki oleh lelaki bernama Wan Ahmad Nahlan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience