Bab 36

Romance Series 23565

Aku tundukkan wajah ke bawah. Menyembunyikan rasa suram dan sedih. Dah dekat tiga puluh minit kereta ini diberhentikan di depan bangunan universiti. Tapi kaki tak dijejakkan langsung ke atas tanah. Hanya diam menyepi di dalam kereta.

“Sudah lah tu Mai... Toksah lah dok nangis lagi. Mai pergi belajar kan...” Pujuk Noraini menepuk belakang sang anaknya.

Aku kesat air mata aku yang turun bertali arus di pipi. Sedih. Sumpah aku sedih. Tak tahu kenapa aku rasa sedih yang melampau tatkala memikirkan yang aku akan berpisah dengan umi dan abi sebentar lagi. Walhal, pergi belajar aje pun. Ramai aku lihat dekat luar sana berpusu-pusu nak mendaftarkan diri dengan senyuman yang tak lekang langsung dari bibir. Tapi aku masih di sini. Bersedih tatkala mengingatkan yang aku bakal tinggalkan umi dan abi. 

“Mai kenapa sedih sangat ni??” Tanya Osman pelik. Dari tadi asyik menangis tak henti. 

“Tak tahulah...” Aku ambil tisu, aku lap semua hingus yang ada.

“Kan ramai tu yang nak daftar. Nanti ada lah kawan Mai. Bukannya Mai sorang-sorang.” Pujuk Noraini lagi dan lagi.

“Tapi Mai nak duduk dengan umi dengan abi...” Rengek aku tak ubah macam anak kecil. Yang menyampaikan hasrat di hati sekaligus mahukan kemahuan aku dipenuhi.

“Tak boleh lah macam tu. Kan Mai nak kena duduk hostel. Belajar macam orang lain. Lagipun semua yang masuk universiti semuanya akan duduk hostel. Mai janganlah menangis macam ni...”

“Tak boleh ke kalau Mai tak masuk?” Soal aku polos.

“Hish. Mai jangan mengarutlah. Penat dok kemas semua barang dari semalam. Ini kan impian Mai. Impian dari kecil...”

“Tapi Mai tak nak berpisah dengan umi dan abi...” Entah kenapa aku rasa macam ini kali terakhir aku akan bersemuka dengan umi dan abi. Walhal, jarak antara tempat ini ke rumah kami tidaklah sejauh mana. Dalam sejam setengah dah boleh sampai.

“Sekejap aje... Nanti minggu depan umi dengan abi datang tengok Mai...”

“Betul ke?” Aku angkat kepala. Melihat umi dan abi silih berganti.

“Iya...” Osman pegang tangan anaknya. “Nanti minggu depan, umi dengan abi datang sini lagi. Tengok kamu.”

“Abi janji?” Aku pegang tangan abi aku kuat-kuat. Aku mahukan kepastian dengan apa yang abi dah janjikan. Walaupun separuh dari hati aku mengatakan yang aku takkan jumpa dengan umi dan abi lepas ini lagi. Firasat itu, kuat benar. Entah mengapa?

“Janji. Abi janji. Tapi Mai kena janji dengan abi dan umi untuk jalani hidup dengan baik. Jangan sesekali lihat pada yang belakang. Kalau Mai kotakan apa yang Mai janjikan, dengan izin tuhan abi dengan umi akan jumpa dengan Mai lagi...”

Aku kerut dahi. Tak boleh nak hadam dengan apa yang sedang abi sampaikan. Tapi dalam masa sama hati aku bersorak gembira tatkala umi dan abi berjanji untuk datang dan menjenguk aku minggu hadapan. Terus aku peluk tubuh umi yang ada dekat sebelah. Kemudian, aku angkat tubuh dan terus peluk tubuh abi yang ada dekat ruangan memandu. 

“Ingat ya sayang... apa pun jadi, abi nak Mai kuat. Sebab abi tahu... anak abi ni kuat orangnya...” Dikucup dahi sang anak dengan sangat telus. Air mata yang ada, dia tahan supaya tak gugur menyembah bumi.

Aku angguk. “Abi janji kan akan jumpa dengan Mai minggu depan??”

Osman angguk. Dia kesat saki baki air mata yang ada pada pipi mulus anaknya. “Iya. Abi janji.”

“Umi pun?” Aku beralih pada umi yang sedari tadi asyik mendiamkan diri.

“Iya Humaira. Dengan izin tuhan, tiada apa yang mustahil.” Jawab Noraini tersenyum lebar.

Sesaat sesudah itu, terasa tubuh aku ditarik kuat oleh sesuatu. Menyebabkan seluruh badan aku terhuyung-hayang. Bergerak ke sana ke sini. Terus aku ketatkan tautan aku pada tangan umi dan abi. 

“UMI!!! ABI!!!” Jerit aku kuat. Tapi entah kenapa bunyi itu langsung tak dengar pada kedua telinga aku. “Umi...abi... jangan tinggal Mai...” Jerit aku kali kedua tatkala merasakan satu gegaran yang menghentak hebat pada seluruh tubuh aku. Serentak itu, bayang umi dan abi makin lama makin hilang ditelan angin yang datang dan berputar dengan sebegitu laju. Seakan sama seperti puting beliung.

Aku ketatkan lagi pegangan aku.

“Jangan tinggalkan Mai...” Jerit aku kali ketiga sebelum semuanya lesap ditelan bumi. Akhirnya dalam sekelip mata, semuanya menjadi putih. Tiada bangunan universiti, tiada lagi kereta, tiada lagi umi dan abi. Semuanya tiada. Hanya ada aku dan bayang aku sahaja.

Terus, aku mencangkung di situ. Duduk menangis sambil mengenangkan nasib sendiri tatkala merasakan yang aku kena tinggal. Macam mana Kayla tinggalkan aku pada saat itu, macam itulah rasanya hati aku pada saat ini. Tak tahu nak ke mana? Tak tahu nak minta pertolongan dari siapa? Dan tak tahu dengan siapa sepatutnya aku bercakap.

“Humaira.” Panggil satu suara.

Aku angkat kepala. Melihat pada suara yang memanggil. Tapi apa yang aku lihat, sama macam tadi. Putih semuanya. Tiada apa yang berubah. 

“Humaira.” Suara yang sama memanggil lagi.

Kali ini aku angkat tubuh. Berdiri dengan lurus sambil kaki terarah pada satu cahaya. Cahaya yang samar. Antara nampak dengan tak nampak. Cahaya itu macam meminta untuk aku bergerak ke arahnya. Dan dengan perlahan-lahan, aku tarik kedua kaki aku ke arah cahaya itu. Dan makin aku dekat, makin terang cahaya yang ada.

“Umi?” Soal aku sekali. “Abi?” Soal aku lagi sekali. Tidak semena aku toleh ke belakang saat merasakan yang ada satu bayang hitam mengejar aku.

Aku kaget. Rasa takut mula menyelubungi diri. Terus teringat pada pesanan abi yang memberi pesanan untuk aku tidak melihat ke belakang walau apa pun yang jadi. Terus aku pasungkan langkah dengan lebih laju. Meninggalkan apa sahaja yang ada di belakang. Berlari dari sesiapa sahaja yang sedang mengejar dengan sangat laju dari arah belakang.

Sesaat, dua saat, tiga saat... aku perlahankan larian. Tak mampu nak lari dengan lebih laju. Penat tak terkata. Mengah satu badan jadinya. Berharap yang bayang hitam itu tidak mengejar lagi. Tapi aku pasti, derapan bunyi yang mengejar itu semakin lama semakin hampir dengan aku. Baru nak angkat kaki dan berlari lagi sekali macam tadi, terus dengar nama aku dipanggil dengan suara yang sama. 

“Humaira.”

Seperti ada tangan yang menghulur, terus aku capai tangan itu laju sebelum merasakan tubuh aku diangkat dengan sebegitu tinggi.

PAP.

Mata aku terbuka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience