Bab 1

Romance Series 23565

“Lagi tujuh minit, roger.”

Nahlan rapatkan benda kecil yang disumbat ke dalam lubang telinganya usai mendengar perkataan tujuh itu. Eh lelaki ini. Kemain kau sampai tujuh minit. “Kau bawa lori ke sampai nak kena ambil masa tujuh minit?” Soalnya pada suara di belah sana. Geram.

Terdengar gelak tawa dari suara belah sana.

“Ke kau bawa kapal layar dekat atas jalan darat?” Ejek Nahlan tidak henti.

“Oi. Kira baiklah aku tolong kau malam ni, bro. Kalau tak, tersadailah kau dekat atas bumbung tu sorang-sorang. Ceit!” Balas suara yang sama mengetawakan Nahlan tadi.

“Cepat.” Arah Nahlah sepatah.

“Lagi 3 minit kau turun bawah. Aku tak nak angkut kau dari atas bumbung sana. Berat nak mampus satu hal. Keras mengalahkan batu pun satu hal yang lain juga. Roger.”

Pap. Nahlan matikan talian. Boleh bengong kepala otaknya dengan perilaku dari sang kawan bernama Raiqal. Mujur hanya pada Raiqal sahaja yang boleh dia minta tolong pada malam ini. Dan mujur hamba tuhan yang seorang itu tidak tidur lagi. Lepas selesaikan misi dia tadi, terus berlari menyelamatkan diri. Semua dah cun. Takde siapa nampak waktu nak selamatkan diri. Tup tup ada pulak anjing liar yang menyalak tak tentu fasal dekat luar rumah ahli parlimen tu. Kantoi sudah. Apa lagi? Cabut. Plan A ke mana. Plan B pun hancur. Plan C memang tak pernah ada. Akhirnya, tersadailah dia atas bumbung dekat salah satu rumah yang ada dekat kawasan perumahan ini.

Jenuh dok panjat sampai ke bumbung rumah siapa entah. Dia tak tahu. Sebab dalam kepala otak hanya mahu selamatkan diri sahaja dari anjing liar yang mencari. Nasib malang apalah dia pada malam ini boleh terjumpa dengan anjing tidak bertuan. Betul-betul lepas tamatkan misi dia. Pertama kali kut kena macam ini.

Tit. Tit. Tit.

Alah!! Hujan pula. Memang nasib tak menyebelahi diri dia langsung malam ini. Dah jatuh, ditimpa tangga pulak. Hish.

Nak buat apa ni? Nak buat apa? Adoi. Fikir. Fikir.

Beberapa saat berlalu, kepala otaknya sudah memberi satu cadangan. Apa lagi? Terus dibawa turun badannya ke bawah dan melewati beberapa tingkap yang ada. Dipegang kuat tangannya pada tiang rumah yang ada sebelum bergerak dengan cepat ke salah sebuah balkoni yang punya tingkap. Seketika, Nahlan hentikan sekejap langkah kakinya. Berfikir sejenak.

Hati penasaran mahu masuk atau tidak ke dalam bilik rumah asing ini? Takkan nak gantung diri macam ni saje? Serupa macam bunuh diri di tengah lautan. Kalau ada yang lalu-lalang, mesti kecoh satu taman mengatakan yang dia ini adalah seorang pencuri. Kalau bukan pencuri, perompak. Kalau bukan dua-dua itu, mesti penjenayah yang baru terlepas dari kandang. Jenuh pula nanti nak jawab apa dengan bos dia.
Haiseh! Masak. Masak.

Tidak semena, matanya tertancap pada seekor anjing liar.

“Shit. Kau ikut aku rupanya.” Omel Nahlan bengkek dan terus tangannya menarik tingkap empat segi yang ada. Dah tak peduli andai ada yang menyaman dia kerana pecah masuk rumah orang. Kerana yang penting, dirinya mesti diselamatkan terlebih dahulu. Kalau nak tahu, bahaya anjing yang menyalak ni lagi bahaya dengan manusia yang ada dalam rumah. Dan dia yakin takde siapa yang tengah berjaga waktu jam 2.30 pagi ni. Pasti punya!

Bup. Nahlan masukkan tubuh ke dalam satu bilik. Bilik tidur. Ada selimut atas katil. Dan dia yakin ada orang dalam selimut tu. Yang tengah tidur berselimutkan comforter memandangkan hujan gerimis sedang berlaku di luar sana. Fuh. Lega. Ditilik sekejap pada anjing yang sedang berjalan mencari dirinya itu. Mujur hanya lalu sahaja. Dan mujur tingkap ini boleh dibuka dengan luas. Takde jaring pulak tu.

“Werrkkkk!!!” Ejek Nahlan menjelir lidah pada sang anjing. “Pirah punya anjing. Aku menang kut! Huh. Ada hati nak menyalak nama aku. Ini Nahlan okay. N.A.H.L.A.N. Perisik nombor satu dalam team aku. Setakat kau yang berekor tu, aku tak batak tau!” Omel Nahlan sambil mata meliar melihat kawasan bilik yang dimasuki.

Perempuan.

Nahlan yakin bilik ini kepunyaan bilik perempuan. Sebab apa? Sebab cat dinding adalah warna pink. Keadaan bilik yang sangat tersusun dengan semuanya berada dalam keadaan bersih. Dan satu yang membuatkan dia lebih yakin bahawa dia sudah masuk ke dalam bilik perempuan adalah kerana terdapat beberapa helai tudung yang tersangkut pada tempat penyangkut. Mana ada lelaki yang pakai tudung. Yang tukar jantina pun, takde lagi kes diorang yang jadi perempuan semata untuk pakai tudung. Semuanya nak tayang walaupun semuanya itu adalah palsu.

Sesaat, Nahlan sengih. Kerana apa? Kerana melihat beberapa deretan komik di atas meja yang ada. Bukan sebab dia takjub, tapi sebab kebanyakan tajuk komik yang dia lihat itu pernah menjadi pujaannya satu masa dahulu.

“Tak sangka perempuan baca juga ek komik slum dunk macam ni. Aku ingat lelaki je yang suka baca tajuk-tajuk macam ni.” Baru nak pegang buku komik, terdengar pintu bilik ditolak.

Krek.

Shit. Terus Nahlan loloskan seluruh tubuhnya ke bawah katil yang ada. Sumpah dia ingat ada orang atas katil tu. Dalam selimut. Tengah tidur. Takde rupanya. Sesaat, bunyi orang panjat katil kedengaran. Lepas itu, dengar pulak bunyi orang menguap. Dalam hati, tuhan sahaja yang tahu betapa kencangnya degupan jantung dia yang sedang berdetak. Mengharapkan yang insan itu lekas-lekas tidur kembali. Masak dia kalau manusia di atas katil itu menjenguk dirinya di bawah ini.

Seminit, dua minit... Nahlan hanya sepikan diri menunggu sehingga manusia itu tidur. Tidak semena, ada panggilan yang masuk. Nahlan tunggu. Dan sekali lagi, panggilan dari Raiqal bergetar dengan getaran yang sama. Nahlan tarik nafas. Usai memastikan bahawa telinganya mendengar dengkuran halus yang terbit, dia tekan punat on.

“Oi! Mana kau?!” Soal Raiqal mengetap bibir.

“Bawah katil.” Jawab Nahlan berbisik.

“Bangang apa kau? Kau jangan buat benda tak elok la gila!” Bentak Raiqal mendengus tidak puas hati.
“Sabar. Lima minit. Kau pergi buat satu pusingan taman dulu. Cukup lima minit, jumpa aku depan rumah yang aku cakap tadi.” Kata Nahlan juga berbisik.

“Sengal.” Pap. Talian mati.

“Haih.” Keluh Nahlan. Tak betah nak tunggu lagi, terus dia undurkan tubuhnya keluar dari bawah katil dengan perlahan-lahan dan sangat cermat. Tak mahu mengejutkan manusia yang sedang tidur di atas katil. Diangkat tubuhnya untuk berdiri dan terus melihat pada wajah yang sedang tidur dengan sangat lena.
Dengan mata yang sedang tertutup rapat. Kulit wajah yang sawo matang. Kutlah sawo matang. Sebab nampak waktu gelap macam ini kan. Lepas tu, alis bibir yang nipis. Hidung yang elok terletak. Dan kedengaran dengkuran halus terbentuk saat sang gadis ini tidur.

Eh. Sang gadis. Aku masuk bilik anak dara orang rupanya. Oi Nahlan! Berbakul-bakul dosa dah kau buat malam ni. Dahlah pecah masuk rumah orang yang kau tak kenal. Lepas tu dok tenung anak dara orang yang tak pakai tudung tu dengan penuh nafsu. Terus Nahlan jarakkan dirinya dari katil. Mak pernah pesan, pada makhluk bernama perempuan harus diletakkan kehormatan yang paling tinggi tak kira apa status perempuan ini. Dan mak juga ada pesan, jangan buat perkara yang melampaui syariat kita sebagai orang Islam. Nanti tuhan murka. Nak jadi nakal, boleh. Tapi sikit-sikit sudah. Jangan sampai nakal tu, bertukar jadi sesuatu yang jahat.

Mujur masih melekat nasihat mak padanya. Kalau tak, tak tahulah apa bakal jadi dengan nafsu dia yang sememangnya wujud sejak azali lagi.

Dikerling pada jam yang dililit pada pergelangan tangan. Tinggal lagi satu minit. Kemudian, Nahlan tarik bibir ke tepi tatkala kepala otaknya mencadangkan satu idea yang sangat bernas. Dikeluarkan satu pendrive kecil dari poket seluarnya. Lalu bergerak ke arah almari yang ada. Ditarik akan satu laci yang penuh dengan baju dalam kepunyaan sang gadis. Kemudian, Nahlan senyum. Sebab dia rasa, laci yang menjadi tempat penyimpanan pakaian dalam adalah kawasan yang paling selamat untuk dia sembunyikan barangnya.
Usai menyembunyikan pendrive di dalam laci, sekali lagi Nahlan tolak tingkap. Mahu meloloskan tubuhnya keluar pula. Sempat dikerling pada wajah sang gadis yang tampak polos semasa tidur itu.

“Terima kasih. Kau penyelamat aku. Nanti aku datang ambil semula ya. Cantik kau wahai sang gadis. Suka betul aku dengan bulu mata kau.” Titip Nahlan bersama kata pujian sebelum keluar dari bilik itu melalui balkoni kecil. Sudah tamat malamnya ini seperti malam-malam yang lain. Cuma pada malam ini, ada sedikit yang berbeza.

Dan yang berbeza itu, dia suka. Huhu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience