BANG! Fail dihempas kasar atas meja. Cukup membuatkan beberapa pasang mulut terdiam dengan sendirinya. Masing-masing menundukkan wajah ke bawah. Akur dengan kemarahan yang jelasnya, memang terpancar pada raut wajah yang sudah berkedut itu. Mahupun begitu, ketegasan yang ditonjolkan membuatkan semua yang ada mendabik tinggi dengan kata hormat pada ketua mereka.
“Apa yang kau merepekkan ni Nahlan? Macam mana pendrive tu boleh hilang??!! Aku hantar kau pergi sana untuk cari bukti. Kumpulkan semua bukti yang ada macam yang kau biasa buat. Tak pernah langsung perkara ini terjadi sebelum ni. Jangan bagi aku alasan yang bodoh, Nahlan!” Pinggang dicekak kemas dengan keadaan dada yang turun naik dengan sangat laju mengalahkan lajunya kereta api yang sedang bergerak. Telinganya pula berasap teruk pabila perlu menghadap perangai anak buahnya yang seorang ini bersama alasan yang sangat tidak boleh diterima akal.
“Ada anjing, tuan. Saya larikan diri dari anjing tersebut. Mungkin waktu itulah pendrive itu tercicir dekat mana-mana kawasan yang saya tak pasti.” Jawab Nahlan dengan keadaan badannya yang tegak berdiri di atas lantai bilik mesyuarat di bangunan ibu pejabat polis. Kedua tangan diletakkan di belakang badan sambil mata lurus memandang kepada bosnya.
“Kau nak salahkan anjing tu pulak?!” Jerkah lelaki yang sikit hari lagi akan masuk ke umur pencen. Pada dada kirinya yang disarung dengan uniform lengkap berwarna biru pekat dan menyandang jawatan sebagai ketua bagi unit perisikan jenayah khas, tertulis dengan nama Tuan Iqmal pada tag.
“Anjing tu tiba-tiba sahaja datang tuan. Memang saya dah cek kawasan perumahan tu dan dah pastikan yang takde pun mereka pelihara anjing tersebut sebelum datang ke sana. Tapi entah macam mana boleh datang pulak anjing liar tu. Saya pun tak tahu dari mana anjing liar tu boleh sesat sampai ke kawasan perumahan tu. Er, maaf tuan.” Kali ini Nahlan perlahankan intonasi suaranya sedikit tatkala mahu meminta sebuah kemaafan. Nampak macam bodoh sungguh jawapan yang dia beri tadi. Tapi takkan nak cerita hal yang sebenarnya pula di mana dia pecah masuk bilik anak dara orang? Pada manusia yang menunggu hari untuk pencen di hadapan dia ini? Gila apa? Mahu kena sebat punggungnya nanti.
“Maaf takkan selesaikan masalah!” Tengking Tuan Iqmal memicit dahi. Tak pernah tak buat hal yang seorang ini lah. Sebelum ini boleh lagi dia bersabar dengan kerenah Nahlan ketika menjayakan misi perisikan demi mencari bukti tanpa bantuan dari mana-mana pihak dah mahu bergerak solo, tapi kali ini macam dah tak boleh nak sabar pulak. Sebab bukti yang dia mahukan itu dah hilang. Memang marahlah jawabnya. Berbulan kut nak merancang misi yang satu ini. Hish.
“Tapi tuan, saya boleh...”
“Tak guna betul lah!!” Marah Tuan Iqmal melenting kasar.
Dan sekali lagi, bilik pejabat menjadi diam. Nahlan diam. Raiqal yang sedang berdiri tegak seperti mana Nahlan berdiri pun tidak berani nak keluarkan waima sekelumit bunyi. Kalau boleh dia tahan nafas untuk tidak mengeluarkan bunyi, mesti dia akan buat punya.
Selang beberapa ketika, Nahlan tarik nafas sedalam mungkin. Mahu mencipta beberapa perkataan yang boleh dijadikan alasan untuk menyelesaikan masalah yang dia sendiri cipta. Bukan tak tahu dengan cara bekerja sepanjang menjadi anak buah kepada Tuan Iqmal. Sempurna itu yang pertama. Tanpa sedikit pun kesilapan itu, mesti letak pada tahap yang kedua. Kalau tak, memang teruklah kau kena. Sama ada kena maki, atau kena ugut dengan bermacam-macam ugutan.
“Kau buatlah macam mana pun. Tapi aku nak semula bukti yang kau dah hilangkan tu. Dua hari aku bagi dekat kau sebelum aku cerita benda ni pada pihak atasan. Kalau tak, aku keluarkan kau dari unit perisikan khas dan kau takkan boleh sertai dah penyamaran ni semua.” Amaran dikeluarkan dari mulut Tuan Iqmal.
Nahlan ketap bibir. Nak jawab apa lagi bila dah kena ugut macam itu? Dan selalunya, ugutan yang dikeluarkan dari celah mulut Tuan Iqmal ini akan dijayakan dengan sangat berkesan. Buktinya? Ni hah. Raiqal dekat sebelah. Lepas dia buat silap beberapa bulan yang lepas, habis jawatannya digantung selama satu bulan tanpa gaji. Jenuh nak hadap muka dia hari-hari kut. Kalau Raiqal ni lain spesies, takpelah juga. Takdelah muak sangat nak hadap.
“Huh! Ingat Nahlan. Kau yang minta nak masuk unit ni dan aku tak nafikan yang kau memang layak jadi perisik di bawah team aku. Dan ya. Aku juga yang luluskan atas sebab kreadibiliti kau menyelesaikan beberapa kes berat yang ada yang memang orang lain tak boleh buat. Antara anak-anak buah aku yang lain, kau memang hebat dalam laksanakan misi dan cari penjenyah berdasarkan maklumat yang kadang tu, aku sendiri tak tahu macam mana kau boleh dapat. Tapi kalau macam ni perangai kau, aku keluarkan kau terus dari siasatan dan aku akan letak kau bawah biro pengurusan trafik. Takde kompromi Nahlan.” Ugut Tuan Iqmal dengan mata tak lepas memandang wajah Nahlan.
“Kau akan pakai baju uniform tu 24 jam dan semua urusan yang dilakukan adalah secara rasmi. Takde yang tak rasmi macam ni dah. Walaupun on site kau memang power, tapi kalau bukti tu kau tak dapat dalam tempoh masa yang aku berikan...” Tuan Iqmal letak tangannya atas pipi kanan Nahlan.
Nahlan teguk liur.
Pap. Pap. “...tak guna pun untuk aku dan kau.” Ditampar wajah itu dua kali dengan sedikit kuat sebagai tanda yang dia memang tengah beri kata akhir pada Nahlan. Senang cakap, takde bukti, galang gantinya adalah dengan melepaskan jawatannya sebagai seorang perisik.
“Faham tuan.” Angguk Nahlan memahami apa yang sedang Tuan Iqma ini katakan.
“Faham, faham juga Nahlan. Tapi jangan disebabkan kau, semua yang kita buat merugikan.” Dan terus keluar dari situ dengan wajah yang masih tegang. Masih lagi tak boleh terima dengan alasan pendrive yang jatuh tercicir gara-gara seekor anjing liar yang entah datang dari mana? Takkan nak salahkan anjing tu pulak?!
Nahlan tarik nafas. Sekali. Dua kali.
“Yang kau pergi buat orang tua tu marah, kenapa?” Soal Raiqal melabuhkan hujung punggungnya ke atas meja yang ada. Kedua tangan disilang rapat ke dada dengan mata tak lepas memandang kepada insan bernama Nahlan.
Nahlan diam.
“Kau sorok bukti tu kat mana?” Tanya Raiqal sekaligus menebak akan apa yang telah sahabatnya, si Nahlan lakukan.
Nahlan angkat wajah. Muka paling terkejut dia tayang pada Raiqal.
“Kau tak payah buat muka macam tu lah. Kau ingat aku kenal kau baru sejam dua? Pirahhh!! Aku kenal lah kau lelaki. Cuma aku tak boleh nak hadam sangat dengan kepala otak kau yang memang gila tu. Kau sorok dekat mana benda alah tu? Kenapa kau sorokkan bukti tu? Tak pernah kau buat macam ni? Ada apa hal?” Kali ini Riqal sembur je apa yang dia rasakan sejak pagi tadi lagi.
“Tahu je eh kau ni. Hik.” Sengihan dikuir pada bibirnya.
“Sewel lah kau.” Raiqal tolak bahu Nahlan sekali. “Apesal kau sorok? Bagi jelah kat diorang. Kau jangan cari fasal lah!”
Nahlan masukkan kedua tangannya ke dalam poket seluar. “Sebab aku tertengok apa yang ada dalam pendrive tu.” Ujar Nahlan akan perkara yang terjadi semalam.
Raiqal bulatkan mata. “Yang kau tengok kenapa? Kau ni kan! Sejak bila peraturan kita bagi tengok sorang-sorang waktu kutip bukti? Kan memang kita kena tengok sama-sama sebelum buat serbuan. Memang itu kan caranya. Kau suka cari fasal lah!” Tak puas hati juga Raiqal dengan perangai Nahlan ni. Orang dok suruh cari bukti. Bukan pergi buat bukti sendiri. Haih.
“Kau tahu tak apa yang aku nampak?” Muka Nahlan jadi serius.
“Apa?” Raiqal bulatkan mata.
“Video.”
“Video?”
Nahlan angguk.
“Video tak senonoh ke?”
Raut wajah Nahlan berubah habis. “Kepala hotak kau tu jangan blue sangat boleh tak? Tulah. Orang soh kahwin, tak nak. Aku tak mention apa pun kan tadi? Aku cakap fasal video je kan!” Ditolak bahu Raiqal sekali. Kuat. Dan kasar.
Raiqal cemik muka. Seketika, diusap perlahan belakang tengkoknya. “Aku bukan tak nak kahwin. Aku manusia yang komited dengan kerja. What if nanti lepas kahwin aku abaikan isteri aku? Kan naya tu. Kau tahukan? Perempuan ni, suka perhatian. Kalau boleh, 24 jam mesti bagi perhatian kat diorang. Ikan hangus dalam kuali pun nak cerita. Eleh kau. Kau cakap macam kau dah kahwin.” Rengus Raiqal tak puas hati.
“Papelah! Video tu fasal apa tah aku tak tahu. Tapi yang pasti ada Tuan Iqmal dalam tu.”
“Whut!!”
“Ya. Ada Tuan Iqmal dalam tu. Jelas terpampang dalam skrin tu kut muka dia. Aku bukan nak tengok. Tapi tak sengaja nak tengok. Tertekan pula. Kau bayangkan kalau aku serahkan bukti tu bulat-bulat dekat team kita? Lepas tu team kita tengok ramai-ramai? Dan ada sesetengah dari diorang pergi simpan pula buat tatapan umum? Tak ke buat naya je ke Tuan Iqmal? Malu pun ya. Dia tu, dah lah bos kita. Disegani ramai pulak tu...” Balas Nahlan sambil kepala menerawang memikirkan tentang rakaman dalam video yang tidak sengaja dia putarkan semalam ketika sedang menunggu untuk maklumat di transfer sepenuhnya ke dalam pendrive.
“Wau. Ini benda baru.”
“Tau takpe.”
“Apa benda yang kau tengok? Sharing is caring.” Raiqal gerakkan keningnya atas dan bawah. Jelas sangat yang dia pun nak tahu apa yang Nahlan tertengok tanpa sengaja tu.
“Orang dah tak pakai lah ayat tu bro. Sekarang bukan zaman sharing is caring dah. Sekarang zaman sharing is a fault. Can be compound at least 10k seh...” Nahlan rahsiakan apa yang sudah dia lihat malam tadi. Pesanan mak dia selain menghormati wanita, aib orang jangan dibuka. Nanti tuhan akan buka aib kita dalam keadaan yang kita tak pernah nak jangka. Jadinya, biar dia uruskan hal yang satu itu terlebih dahulu. Lepas dah pastikan yang bukti itu adalah sahih, baru dia akan buka mulut. Kerana Tuan Iqmal itu, masih manusia yang dia hormati.
“Dah tu? Kau simpan dekat mana bukti tu?” Malas nak korek rahsia pada manusia yang asyik nak merahsiakan, Raiqal tanya soalan lain pula.
“Dalam laci.”
“Eh??”
“Ya. Dalam laci.” Balas Nahlan tersengih nakal.
“Laci mana?”
“Laci rumah.”
“Apa bendalah kau ni. Sumpah aku tak boleh brain dengan kepala otak kau, bro.” Geleng kepala, Raiqal bergerak ke arah pintu.
“Malam nanti aku ambil.” Sambungnya sesudah itu sebelum mereka berdua beredar meninggalkan bilik mesyuarat.
Share this novel