Bab 28

Romance Series 23565

Jealousy : A sentiment which is born in love and which is produced by the fear thinking that our love person would prefer someone else.

Nahlan ramas rambutnya kuat. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Wajahnya ditundukkan dengan kedua kaki yang bergerak dengan laju saat rasa berkecamuk dalam jiwa disusuli dengan rasa serba salah setelah berperang dengan rasa marah yang membuak-buak dalam diri. Sekejap melihat pada Humaira yang sedang terbaring lena atas katil. Sekejap, jarinya menarik kuat rambut yang ada. Lepas itu angkat kembali kepalanya dan melihat pada wajah insan di atas katil. Yang sedang tidur dengan kesan air mata di pipi.

Bodoh. BODOH. B.O.D.O.H.

Berbakul-bakul kata makian ditujukan pada dirinya sendiri. Khilaf yang terbit kesan dari rasa marah yang melampau menyebabkan kelakuannya yang disusuli dengan rasa marah berada di luar jangkaan. Sudahnya, amukannya yang tidak berasas menyebabkan Humaira menjadi mangsa. Mendera tubuh itu. Mendera jiwa itu. Mendera akal fikiran isteri sendiri. Kerana apa? Hanya kerana api cemburu yang melingkari seluruh jiwanya. Tanpa mahu mendengar sebarang penjelasan. Tanpa mahu memberi sekelumit harapan.

Sungguh benar apa yang Raiqal katakan. Bahawasanya rasa sayang dan cinta itu sudah mula wujud dalam dirinya pada sang isteri. Pada perempuan bernama Humaira. Baru dia faham apa yang dimaksudkan dengan makna cemburu itu. Rasa takut kehilangan seseorang. Rasa insecure bila melihat orang yang disayangi berada dengan orang lain.

Bagai nak luruh jantung dia saat melihat tangan Ilhan menarik kuat tangan Humaira ketika mereka berdua-duaan di kaki bukit. Kalau bukan atas sebab adanya iman yang tipis di dada berkat amalan dia yang sebelum ini, sudah dia bunuh insan itu tanpa peduli pada bebanan dosa dan hukuman undang-undang yang menanti.

Hish. Kau bodoh Nahlan. Sangat bodoh. Tak fikir langsung pada keselamatan Humaira. Tak fikir langsung akibat pada Humaira bila mana mata itu dibuka. Kau kata kau sayang. Tapi apa yang kau buat ni, semuanya menyakitkan Humaira. Takde satu pun tyang kau buat tadi menunjukkan kata sayang. Semuanya sebab kau marah dan kau cemburu.

Aku buka mata. Sekali. Dua kali. Kali ketiga aku terpandangkan pada sepasang mata yang garang itu. Yang sedang melihat ke arah aku. Terus aku menjerit ketakutan.

“Arrghhh!!!!” Bangun dari pembaringan, aku tekup kedua telinga aku rapat seiring dengan mata yang dipejam rapat. Nak-nak bila terperasan keadaan baju yang tersarung pada tubuh. Hanya baju. Tanpa seluar. Berdiri bulu roma aku akibat rasa takut yang melampau.

“Humaira...” Angkat tubuh, segera Nahlan mendapatkan sang isteri yang menjerit ketakutan. Takutkan apa? Semestinya takut pada dirinya. Kerana apa? Kerana kelakuannya tadi hampir sama macam binatang.

“Tak nak. Tak nak. Jangan!!” Geleng kepala laju-laju, aku gerakkan tubuh sehingga berlaga dengan kepala katil. Duduk dengan kedua lutut dirapatkan ke dada sambil menangis teresak-esak memikirkan perkara yang telah terjadi.

“Humaira.” Pegang tangan sang isteri, Nahlan tarik tubuh itu masuk ke dalam pelukannya. Tapi terus ditepis oleh Humaira.

“Kau jahat. Kau kejam. Kau bukan manusia, Nahlan!!! JAHAT!! KAU JAHAT!!!” Tolak tubuh itu, aku hambur segala jenis kata makian dengan rasa marah walaupun satu tubuh sedang menahan gigilan takut pada suami sendiri.

“Humaira. Dengar dulu... Aku...”

PANG!!!

Nahlan mengap. Bergegar seisi alam ini saat tangan itu kuat menampar pipinya. Sakit tak terkata. Tapi dia tahu yang lagi sakit sekarang ini adalah Humaira. Tapi dia akur. Andai tangan itu mahu menamparnya lagi dan lagi, dia akan menerima sepenuhnya tanpa sebarang suara.

“Aku haramkan kau sentuh tubuh aku...” Dengan nada yang terketar-ketar, aku gagahkan diri aku untuk mengatakan sesuatu yang bakal mengubah hidup Nahlan. “Sekali kau sentuh aku walau hujung jari, aku akan...”

“Humaira. Aku tak buat apa pun dengan kau.” Cantas kata-kata Humaira, Nahlan cuba jelaskan apa sahaja yang sedang bermain di fikiran sang isteri.
Bibir aku terdiam. Tapi dengan lekas aku kembalikan semula minda aku ke realiti. “PENIPU!!”

“Humaira. Aku tak buat. Sumpah aku tak buat.” Tarik kedua bahu itu rapat ke wajahnya, Nahlan lempar satu pandangan yang maha redup pada Humaira. Mahukan insan itu melihat dengan sangat dalam pada matanya. Mahu Humaira tahu yang dia sedang mengatakan sesuatu yang benar. Mengharapkan supaya Humaira percaya akan dirinya.

“Sumpah. Aku tak buat. Aku bersumpah dengan kau, isteri aku Humaira. Pada tuhan. Baju ni, aku tukar. Kan baju kau dah basah lencun sebelum kau pengsan tadi. Takkan aku nak biarkan kau tidur dalam keadaan baju yang basah. Nanti demam. Sebab itu aku tukar semuanya. Kenapa tak ambil baju kau? Sebab aku tak boleh nak fikir tadi. Aku ambil mana yang aku nampak depan mata je. Sebab aku risau tengok kau pengsan tiba-tiba.” Terang Nahlan panjang lebar.

Air mata aku turun. Hangat membasahi pipi. Dalam jiwa yang bercelaru dan berserabut, mana mungkin aku nak percaya bulat-bulat pada apa yang Nahlan terangkan. Entahkan lelaki ini mahu gunakan alasan itu hanya untuk tutup kesalahan diri sendiri. Sampai sekarang aku boleh ingat setiap detik yang berlaku tadi.

“Awak jangan tipu saya, Nahlan. Saya sesekali takkan maafkan awak kalau...” Belum sempat nak habiskan kata-kata, terus Nahlan peluk tubuh aku. Kuat. Dan erat.

“Aku minta maaf pada kau Humaira.” Digenggam bahu kecil itu dengan sebelah tangan manakala tangan yang lagi satu diletakkan pada belakang tubuh isteri. Dilekapkan di situ dengan penuh kelembutan. Mahu Humaira tahu yang dia sedang diburu dengan rasa bersalah yang menggunung.”Aku minta maaf aku hilang pertimbangan diri tadi. Aku minta maaf aku sakitkan tubuh kau. Aku minta maaf sebab aku marah kau. Aku jahat. Ya. Aku jahat. Aku bukan suami yang baik. Aku bukan yang terbaik untuk kau. Tapi aku betul-betul menyesal buat kau macam tadi. Maafkan aku Humaira. Maafkan aku...” Bisik Nahlan pada tepi telinga Humaira dengan rasa kesal yang berbukit-bukit.

Terus aku hamburkan semuanya sekali dengan bahu yang terhinggut-hinggut menahan sebak. Pada bahu Nahlan. Di sisi seorang suami.

“Awak...” Pap. Aku pukul belakang tubuh Nahlan. “...jangan buat saya macam tu...” Pap. Aku tumbuk belakang itu sekali lagi. “Kalau awak buat, saya akan benci awak seumur hidup saya...saya akan tuntut semuanya dekat padang mahsyar... saya akan tunggu depan pintu syurga tak bagi awak masuk.” Pap. Aku tumbuk lagi belakang tubuh itu dengan kuat.

“Jangan marah saya macam tu... Saya takut dengan awak, Nahlan. Saya takut kalau awak sakitkan saya tadi...Awak tak boleh buat macam tu dengan saya...isk...” PAP. PAP. PAP. Aku tumbuk dan pukul tubuh Nahlan beberapa kali bagi mengurangkan rasa yang berkecamuk dalam hati.

Nahlan ketatkan pelukan.

“Awak jangan... sesekali, buat macam itu lagi.” Tolak tubuh Nahlan menjarakkan badan, aku kasi amaran pada lelaki di hadapan dengan mata yang berkaca.

Nahlan diam. Diseka air mata yang gugur tanpa henti pada pipi si isteri. Macam manalah dia boleh terfikir nak sakitkan tubuh ini kalau tengok air mata pun hati dia dah pedih semacam dihunus dengan sebilah pedang yang tajam. Rasa cemburu yang merasuk jiwa dia tadi sampaikan boleh terfikir nak buat jahat pada isteri sendiri membuatkan diri dia alpa dengan rasa sayang yang kian bercambah.

“Maaf...” Dirapatkan dahinya dengan dahi Humaira. “Aku cemburu. Cemburu sangat tengok kau dengan lelaki lain. Aku tak tahu kenapa aku cemburu sangat. Maafkan aku Humaira. Aku betul-betul minta maaf.”

Aku tolak bahu Nahlan.

“Apa benda yang awak mengarut ni?? Apesal pulak nak cemburu? Saya bergaduh dengan dia lah. Bukannya saya pergi buat apa-apa dengan dia.”

“Tapi dia ajak kau kahwin.”

“Macamlah saya boleh kahwin dua.”

Nahlan tahan tawa. Dalam sedih, boleh pulak minah ni buat lawak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience