Prolog 1

Romance Series 23565

“Kita nak ke mana, kak?” Tanya aku melangut kepala sedikit. Melihat pada perempuan yang sudah aku anggap sebagai kakak. Walaupun status itu bukan kakak kandung, tapi sebab dia tua dari aku jadi aku memang panggil dia kakak.

“Kau diamlah. Tak habis-habis dengan soalan kau tu. Bebal betul kepala otak aku.” Marah Kayla. Seorang kakak kepada Humaira. Atau lebih tepatnya, sepupu. Umur dia tua empat tahun dari umur Humaira. Tapi, tak pernah nak anggap Humaira sebagai seorang adik kepadanya. Ini keluar rumah pun, mak dan babah tak tahu. Ah. Peduli apa. Yang penting, hati dia puas.

“Nanti mak dan babah cari kita.” Terkial-kial tangan dan tubuh aku mengikut tangan yang menarik hujung lengan aku dengan sangat kuat. Sejak naik bas tadi, sampailah ke kawasan yang ramai dengan orang, tangan itu asyik benar menarik hujung lengan aku dengan sangat kuat. Entah ke manalah dia nak bawa aku? Dah lah aku tak sempat nak makan tadi waktu nak keluar dari rumah. Perut pun dah bunyi macam apa.
Kayla jeling tajam pada Humaira. Menggelegak pula salur darahnya dengan suara yang seakan rengekan terbit dari celah bibir itu. Dihentikan sekejap kakinya daripada terus melangkah dan berpusing menghadap Humaira yang tika ini hanya berusia tujuh tahun. Pendek pulak tu daripada dia.

“Mulut kau jangan sampai aku lempang. Itu mak dan babah aku. Bukan mak dan babah kau!” Tengking Kayla sedikit kuat. Ditolak tubuh Humaira sekali tanpa mempeduli pada beberapa pasang mata yang sedang memandang.

Terus aku tundukkan wajah. Takut dan gerun menjadi satu. Takut dengan wajah yang menyinga dan gerun andai tubuh aku akan diapa-apakan.

“Mak bapak kau dah mati. M.A.T.I. Faham! Bodoh!” Ditolak tubuh Humaira sekali lagi tanpa sedikit pun rasa bersalah. Bengang sejak daripada Humaira jejakkan kaki ke dalam rumahnya lagi. Mulai saat itu, semuanya harus dia kongsi dengan si kecil ini. Termasuklah kasih sayang mak dan babahnya. Itu pun dia kena kongsi walaupun dia anak tunggal. Benci sungguh dia dengan rasa itu. Kalau boleh, dia tak nak kongsi. Sebab itu, mak dan babah dia. Bukan mak dan babah orang lain.

Mata aku hangat. Bergetar dalam rasa kesedihan. Diselang-selikan dengan rasa yang kecewa. Dan semua itu, berhimpun menjadi satu. Masakan aku tidak faham dengan erti 'mati' itu apa? Sungguh, aku faham makna itu sedalamnya.

“Dah mati, tak reti pulak nak angkut kau sekali. Menyusahkan hidup aku. Semua benda aku kena kongsi dengan kau. Menyampah tahu tak! Menyampah!!” Jerit Kayla dengan lebih kuat. Bengang dan geram. Kalau boleh dia bunuh si Humaira ni, memang dia bunuhkan sahaja manusia yang suka sangat rampas kebahagiaan hidup dia.

Terus, air mata aku mengalir. Berjujuran dengan bahu yang terhinggut keras. Menampakkan pada semua yang melihat bahawasanya, aku sedang digamit dengan rasa sedih. Digerutu dengan perkara yang menyayat hati di mana semua ini datang dari mulut yang sudah aku anggap insan itu seperti seorang kakak. Seorang keluarga. Tapi kata-kata dia, sikit pun tak pernah nak jaga hati aku. Jauh sekali nak berlapik bila bercakap. Ada sahaja yang tak kena.

“Menangis pulak!! Mengada betul lah dia ni!” Disambar lengan Humaira dan bawa tubuh itu ke lorong yang sedikit tertutup. Nanti tak fasal, ada yang melihat dia. Karang, tak jadi nak tinggalkan Humaira dekat sini. Atau lebih tepatnya, dia nak buang si Humaira ni jauh-jauh. Kalau rumah dia dekat dengan tasik, nescaya dia tolak dah Humaira ke dalam tasik. Biar sampai bila-bila takkan jumpa mayat dia.

Tapi nasib memang menyebelahi dia bila mana mak dan babah meninggalkan dia dan Humaira di rumah dan keluar berduaan. Terus dia bawa Humaira ke kawasan Chow Kit ini menaiki bas percuma yang ada. Nak buang. Biar Humaira tak balik rumah dah.

“Akak kenapa nak marah Mai? Mai minta maaf kalau akak tak suka Mai...” Dalam rasa sedih, aku pinta sebuah kemaafan pada wajah di hadapan. Entah mengapa setiap kali diherdik dengan segala kata caci makian, aku akan minta maaf pada mulut yang mengherdik. Mungkin kerana, aku takde tempat unuk mengadu domba seperti kanak-kanak yang lain yang ada tempat untuk mereka luahkan rasa yang terbuku di hati.

“Memang aku tak suka kau! Daripada dulu sampai sekarang, aku tak pernah suka kau. Sejak kau datang dalam hidup aku, semua benda aku nak kena bagi kau. Apa yang aku ada, aku kena kongsi dengan kau. Eh. Aku bencilah nak buat semua tu. Benci. Muka kau pun aku benci nak tengok. Sepatutnya...” Ditolak kepala Humaira sekali. “...semua tu tak patut aku kongsi dengan pengemis macam kau...” Ditolak kepala Humaira sekali lagi. “Sekali dengan mak dan babah akan belikan barang untuk kau kalau diorang keluar. Dan aku tak suka bila diorang buat macam tu dengan kau. Kalau kau takde, diorang hanya akan tumpu pada aku je tahu tak!”

“Isk...” Yang aku mampu, hanya menangis sahaja.

Ditarik rambut Humaira kuat sekuat hati yang sedang dililit dengan rasa marah yang melampau. Dia betul-beul benci dengan wajah ini. Benci. Dan masih benci.

“Sakit kak...” Rengek aku hiba.

“Kau dengar sini. Mulai saat ini, kau jangan ikut aku dah. Aku tak nak kau ikut aku. Jangan kau sesekali nak ikut aku. Kau duduk sini sampai ada orang yang nak kutip kau! Pandai-pandai kau lah nak hidup sendiri. Aku tak kira. Kau ikut aku, aku sepak kau. Aku tendang kau!! Aku pukul kepala kau sampai berdarah!!! Kau dengar tak ni!!!”

Aku pejam mata saat merasakan rambut yang ditarik kuat itu, macam dah nak tercabut. Atau mungkin, memang ada yang dah tercabut.

“Tak nak. Tak nak akak. Janganlah tinggalkan Mai dekat sini...” Aku tarik lengan Kayla kuat. Mengharapkan yang aku tidak akan ditinggalkan dekat sini. Dekat kawasan yang asing ini. Yang penuh dengan orang ramai yang lalu-lalang. Tapi antara ratusan yang sedang berjalan itu, satu wajah pun aku tak kenal. Yang aku kenal, insan yang mengatakan bahawa dia mahu meninggalkan aku seorang di sini.

Buk. Kayla tolak tubuh Humaira dengan kuat sehingga tubuh kecil itu jatuh ke bawah.

“Pergi mampus. Aku benci kau. Dan selamanya aku akan benci kau. Kau jangan sesekali ikut aku! Kau duduk dekat sini dan pandai-pandai kau lah nak hidup macam mana. Baru kau sedar sikit yang semua kau ada tu semuanya aku yang punya. Bukan kau. Kalau kau mati sekali pun, memang lagi bagus! Huh!!” Terus Kayla berlari meninggalkan Humaira di belakang tanpa sempat Humaira mengejarnya.

Aku jadi kaku. Imun. Dan takut. Lagi takut melihat keadaan sekeliling yang sangat asing. Terketar-ketar tubuh aku dek dikuasai dengan rasa takut yang melampau. Nak berlari mendapatkan Kayla, bayang itu dah tak kelihatan saat tubuh itu hilang di celah orang ramai. Nak gerakkan kaki ke mana bila semuanya terasa asing? Sudahnya, aku hanya berdiri di tempat yang Kayla suruh berdiri.

Seminit berlalu, terus aku berjalan ke satu sudut dan duduk mencangkung di situ. Mengharapkan yang Kayla akan balik semula ke sini. Berdoa supaya Kayla akan bawa aku pulang ke rumah dengan selamat. Berharap semuanya ini adalah satu mimpi sahaja. Mimpi buruk. Bila bangun nanti, aku kat dalam bilik tidur. Bangun macam biasa. Lepas itu, turun ke dapur dan bantu mak dan babah apa sahaja dengan kerja rumah sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Isk...” Tangis aku lagi dan lagi.

Tolong!!! Jerit hati aku.

Bergegas Yusuf berlari ke arah bilik wad yang menempatkan Humaira. Anak kepada kakaknya. Satu-satunya anak saudara yang dia ada. Terkejut tatkala mendapat panggilan dari pihak polis mengatakan yang seorang kanak-kanak berlumuran darah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di salah satu lorong Chow Kit di ibu kota. Katanya, mereka dapat nombor telefon dari secebis kertas yang digenggam erat oleh tangan yang berdarah.

Patutlah dia tak nampak langsung Humaira daripada semalam. Bila ditanya kepada Kayla, anaknya yang satu itu, Kayla hanya jongket bahu. Tanda tak tahu. Puas dok cari satu taman perumahan. Tapi masih juga tak jumpa. Ini tengah hari baru dok dapat panggilan dari pihak polis dan pihak hospital mengesahkan yang Humaira ada di dalam bilik wad.

Adus.
Memang tak patut dia tinggalkan Kayla dan Humaira berduaan. Bukan tak tahu perangai Kayla itu macam mana? Sering sangat tak puas hati dengan si Humaira. Ada sahaja yang Kayla mahu salahkan atas apa yang Humaira lakukan walaupun Humaira tak pernah nak buat apa pun yang menyakitkan hati sesiapa.

“Encik Yusuf?” Sapa seorang jururawat. Pada tag nama itu tertulis dengan nama Syafina.

“Ya. Saya penjaga kepada Humaira. Anak kecil yang dibawa polis. Erm... Tak pasti bila. Tapi saya ada dapat panggilan dari pihak polis dan hospital tadi mengenai Humaira yang dibawa ke sini. Ke hospital ini.” Jawab Yusuf sedikit mengah dek berlari tak cukup tanah tadi. Dia tak nak apa-apa yang buruk jadi pada Humaira. Nanti hidup dia susah. Hidup dia sekarang, dah cukup susah dah. Tak nak keruhkan keadaan lagi dengan kes Humaira, si anak kecil. Payah jadinya nanti.

“Ya. Saya nak bagitahu encik, anak encik dalam keadaan kritikal. Sekarang ini pihak doktor tengah berbincang sesama mereka untuk melakukan beberapa pembedahan bagi Humaira. Boleh tak encik sign dekat sini? Sebagai jaminan dan sebagai kebenaran untuk kita lakukan pembedahan supaya...”

“Eh!” Cantas Yusuf cepat kata-kata sang jururawat, Syafina. “Saya tak nak sign lah semua surat-surat ni. Saya takde duit nak bayar semua tu.” Muka Yusuf mula menyinga. Ah sudah. Lepas satu masalah timbul, timbul pula masalah yang lain. Hish. Serabutnya!! Kenapalah hidup dia sesusah ini? Tak senang macam orang lain??

Syafina jadi gamam. Kelu sekejap lidahnya. Tapi dengan cepat menarik nafas bagi menghalau semua yang sedang ditahan di pekung dada.

“Encik kena sign surat ni. Sebagai kebenaran untuk membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan dekat anak encik.” Tegas Syafina sekali lagi. Geram sebab kata-katanya kena potong tadi, dibiarkan dahulu. Kerana yang penting sekarang adalah pesakit.

“Dia bukan anak saya. Awak tak dengar saya cakap tadi! Saya hanya penjaga. PEN-JA-GA. Mak bapak dia dah takde. Hanya penjaga sahaja. Bukan saya yang bertanggungjawab dalam nak uruskan semua hal yang berkaitan duit dengan dia.” Yusuf dah mula naik angin. Sakit hati dengan apa yang sedang berlaku. Dia hanya kerja kilang sahaja. Mana ada duit beribu-ribu nak bayar semua itu. Kejadah apanya.

“Encik. Anak encik dekat dalam tu tengah...”

“Kan saya cakap dia bukan anak saya. Tak payahlah nak bedah sana sini. Biar saya bawa dia balik rumah. Saya jaga sendiri lagi bagus!” Cantas Yusuf pada kata-kata sang jururawat sekali lagi.

“ENCIK!!” Dah tak tahan sangat, ditengking terus manusia yang ada dekat depan ni. Peduli apa kalau ada yang melihat dia sekarang. Dahlah potong cakap dia dua kali. Huh. “Yang dekat dalam sana...” Tangannya diangkat tinggi dengan hujung jari telunjuk dihalakan ke pintu bilik yang tertera dengan perkataan ICU.
“...tengah berperang dengan nyawa dia. Polis jumpa dia dekat dalam tong sampah. Dengan kepala berdarah. Dengan pendarahan dekat bahagian kemaluan... tubuh membiru sebab kena pukul... yang memang nyawa dia senipis kulit telur waktu dia dibawa ke sini... encik boleh cakap macam encik tak kenal dia??!!” Syafina tarik nafas.

“Dekat sepuluh orang doktor tengah fikir cara yang macam mana untuk selamatkan nyawa budak kecil itu mengharapkan pembedahan yang berlaku takkan mengganggu tubuh itu untuk berfungsi dengan normal. Macam orang lain. Encik ingat, doktor dekat dalam tu kenal ke dengan Humaira?! Tak. Diorang tak kenal. Tapi diorang tengah fikir berjam-jam hanya nak selamatkan satu nyawa yang diorang tak kenal. Tapi encik datang sini bagitahu tak nak sign dan tak nak bertanggungjawab pada manusia yang encik sendiri kenal!! Apa jenis manusia encik ni sebenarnya?!” Tengking Syafina kali kedua. Huish. Berasap betul teliga dan hidung dia bila perlu untuk berhadapan dengan manusia yang jenis memang pentingkan diri.

Mata Yusuf bergetar. Tak tahu nak kata apa. Tapi dia malu diperlakukan sebegini di hadapan orang yang melihat. Walaupun tak ramai yang sedang melihat itu, tapi dah kena tengking macam ini, memang tak boleh nak sorok muka kat mana-mana kut. Hadap jelah sambil letak dinding malu dekat seluruh wajah.

“Maaf ya cik jururawat. Mungkin sebab cik jururawat tak faham apa yang saya lalui. Tapi saya memang takde duit nak bayar semua tu! Saya bukannya kerja macam cik duduk dalam aircond. Senang macam ni!” Yusuf balas dengan satu memberi tengkingan juga. Sikit pun tak peduli dengan apa yang jururawat ini jelaskan tentang keadaan Humaira yang jelas, anak kecil itu sedang berperang dengan sakitnya maut.

“Sebab itu saya suruh encik sign. Dan encik patut berterima kasih dekat jururawat yang lain sebab mereka sanggup guna masa diorang untuk cari siapa Humaira ini sebenarnya. Dan mujur...” Syafina tarik beberapa helai surat yang sedang dia genggam di tangan. “...mujur mak ayah Humaira ni yang dah mati dah insuranskan semuanya sekali kalau-kalau ada apa-apa yang buruk berlaku kepada anak diorang. Dan untungnya Humaira ni, sejak bayi lagi ada insurans yang cover mula dari kepala dia sampai hujung kaki dia.”
Mata Yusuf membulat. Tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Tapi tangan masih mengambil helaian kertas itu dan mata pula mula membaca satu demi satu apa yang tertulis pada sekeping kertas itu.
“Memang patut pun encik jadi penjaga dia sahaja. Sebab nak jadi ayah pada anak kecil untuk Humaira.... yang hanya pentingkan diri, konon boleh jaga dia sendiri...” Syafina tengok Yusuf atas dan bawah. “...memang tak layak pun. Ini kalau nak jaga diri sendiri pun belum tentu mampu.” Sudah Syafina dengan menghadiahkan satu jelingan maut pada insan di hadapannya.

'Kurang ajar betul.' Maki Yusuf pada Syafina dalam hati.

“Signlah cepat! Tunggu apa lagi?!!” Kalau tadi dia tengking, sekarang dia jerkah pula. Kalau boleh nyaringkan lagi suara dia, memang dia akan nyaringkan lagi. Kasi bergema satu hospital ini pun tak apa. Biar lelaki ini tahu yang dia bukan tengah bercakap tentang nyawa seekor nyamuk. Dia sedang pertahankan nyawa seorang manusia kut. Anak kecil lagi.

Cepat-cepat Yusuf sign semua surat yang dibawa kepadanya. Dalam hati, tak henti dok ucap kata makian kepada insan di hadapan. Lepas habis sign, bergegas Yusuf meninggalkan perkarangan ICU itu. Malas nak bersemuka dengan doktor mahupun jururawat yang lain. Dah elok sangat dia datang sini nak tengok si Humaira. Tapi panas pulak hati dia dengan sikap jururawat yang langsung tak mesra alam.

Balik lagi bagus!

Syafina geleng kepala. Kesal pada sikap segelintir manusia yang memang perangai mengalahkan makhluk yang bertanduk dua. Kalau bukan kerana dia melihat Humaira itu seperti anaknya yang juga sebaya Humaira, memang dia maki cukup-cukup dah lelaki itu. Tua tak tua. Dia bedal kasi terasa sampai hujung hayat. Itu lagi bagus serasanya.

“Apa punya manusia lah...” Omel Syafina sendirian sebelum bergegas pergi ke kaunter yang menempatkan beberapa jururawat yang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience