Raiqal angkat kening. “Apa?” Popcorn yang ada pada tangan dilambung rendah sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
“Aku nak pergi semula rumah tu malam ni.” Kata Nahlan juga menyumbat mulutnya dengan popcorn yang ada di tangan.
“Kau pergi sendiri. Aku tak nak ikut dah. Cukup-cukuplah kau dah menyusahkan hidup aku selama dua malam ni. Eh. Kau kira beruntung tau Tuan Iqmal tu kena pergi persidangan luar selama satu minggu. Dan pastinya, minggu depan baru dia akan ada dekat pejabat dia. Kalau tak... Memang kepala kau jadi nahas pistol dia, bro. Kau nak main sembunyi-sembunyi, kau mainlah sorang-sorang. Aku malas dah nak layan perangai kau yang memang bazir tenaga aku.” Balas Raiqal tak puas hati.
“Aku tak ajak pun kau. Aku nak bagitahu je. Lagipun bukan malam ni kau kena tahan dengan perkataan bernama 'shift' ke dekat ofis tu? Tengok CCTV sambil cari manusia yang terlibat dengan kes langgar lari dekat simpang mana entah. Dekat sebulan lebih kan kes tu tertangguh?” Kata Nahlan sambil mata tak lepas melihat pada dua gerangan manusia yang sedang asyik menonton wayang di hadapan sana.
“Ye tak ye lah. Aku pun dah lupa. ISH kau! Apesal ingatkan aku. Takpelah. Aku sanggup teman kau dari kerjakan shift aku.” Nak elak shift punya fasal, Raiqal sanggup perjudikan nasib dia sekali lagi dengan perangai Nahlan yang sememangnya gila.
“Eh kau! Tak payah. Aku pergi sorang malam ni. Aku nak setel cepat. Aku tak kira dah. By any means, aku akan dapatkan pendrive aku malam ni juga. Kalau tak, aku bakar rumah tu.” Dengan mata yang membara, Nahlan titip kata janji pada dirinya.
Raiqal sengih. “Kesian kau kan? Pergi malam tadi nak dapatkan barang sendiri. Tiba-ti ba kau kena tahan diri kau sebab perempuan tu menangis. Ke kau koyak sebab tengok air mata perempuan...” Tebak Raiqal pada Nahlan.
Nahlan gamam sekejap. Koyak? Jiwa dia koyak ke semalam sebab nampak air mata yang turun dari pipi sang gadis asing itu? Macam tak je... Takkanlah jiwa dia koyak kut hanya sebab air mata perempuan yang dia tak kenal? Mengarut sangat dah tu.
“Seriuslah kau koyak?” Terkejut, Raiqal ternaikkan nada suaranya sedikit. Habis mengundang mata-mata yang ada dalam pawagam ini melihat ke arah mereka berdua dengan pandangan yang tajam. Terus, Raiqal tundukkan wajah.
Nahlan pun ikut sekali tundukkan wajahnya ke bawah.
“Lain kali boleh kuat lagi kut volume suara kau.” Kata Nahlan separuh berbisik.
“Tak. Maksud aku...betul ke kau tak masuk bilik perempuan tu semalam sebab kau kesian dengan dia? Sebab dia menangis? Takkanlan kau yang takde hati ni boleh cair sebab tengok perempuan yang kau tak kenal menangis depan mata? Wau. Ini berita menarik.” Takjub Raiqal dengan mata yang membulat.
“Memang taklah. Kau dah kenapa?” Dalam perlahan itu, sempat Nahlan hambur nada geram. Dia bukan macam tu okay! Setakat air mata... Memang dia takkan koyak kut!
“Habis tu? Apesal tak tunggu je malam tadi?”
“Kan aku cakap sebab tingkap tu berkunci.”
Raiqal cebirkan mulut. “Macamlah kau pernah ada masalah dengan tingkap yang berkunci? Boleh je kan kalau kau masuk dari bawah? Macam tak biasa buat kau ni...”
“Gila kau! Takkan aku nak ceroboh masuk rumah dia betul-betul? Aku nak ambil pendrive aku je kut. Takkanlah sampai nak buat jenayah macam tu...”
“Habis tu... Yang kau buat semalam tu, bukan satu bentuk jenayah ke?” Soalan dibalas soalan.
Terus, Nahlan mengap. Aah ek. Jenayah lah tu kan sebab aku dah pecah masuk dalam bilik anak dara orang. Dan itu bermaksud, aku pecah masuk rumah orang. Hish. Memang satu bentuk jenayah dah tu.
“Itu lain...”
“Ceh.” Raiqal betulkan posisi duduknya dengan mata kembali menghadap kepada layar pawagam yang sedang berlangsung.
Seketika, terbit rasa tak enak dalam hati Nahlan. Entah kenapa rasa tidak enak itu diselang-selikan dengan rasa serba salah. Kalau ikutkan, kelebihan dia sebagai seorang perisik yang memegang title polis, harus digunakan dengan sebaiknya demi kemeslehatan sejagat. Tapi sekarang ini, macam dia tengah ambil kesempatan dalam misi yang dia sedang jalankan menggunakan semua kelebihan yang dia ada. Bercanggah betul dengan etika dan angkat sumpah yang pernah dia buat sebelum diberikan jawatan ini.
Terang-terang kut yang dia telah buat satu jenayah pada orang awam. Haih.
“Jap. Mana satu yang drug dealer ni? Yang lelaki ke yang perempuan?” Nahlan tukar topik. Nanti rasa tidak enak dan rasa serba salah itu mula bersawang di hati, jenuh pula nak laksanakan misi pada malam nanti. Justeru, ditolak tepi semua yang sedang dia rasa saat ini. Biarlah. Yang penting, dia kena ambil juga pendrive yang dia dah tinggalkan dalam laci bilik sang gadis asing.
“Yang perempuan.”
“Nice. Aku tunggu luar. Kau tengok cerita ni sampai habis. Kut dia lari waktu nak keluar nanti, aku dah standby dekat luar sana. Apa-apa hal, bagitahu aku. Kau jangan tidur. Cerita hantu tu. Kalau kau tidur juga, aku tak tahu nak cakap apa dah dengan kau.”
“Roger.”
Kemudian, Nahlan berlalu keluar. Berdiri di salah satu sudut dengan modus operasi yang sama. Sejak jadi penyamar bawahan gara-gara satu pendrive tu, Tuan Iqmal dah tak bagi dia masuk campur dengan urusan jenayah yang melibatkan orang berkepentingan dalam hal politik dan negara selagi bukti tak sampai ke Tuan Iqmal. Itu sebab dia kena buat kerja yang macam ini dengan si Raiqal yang jadi peneman. Habis dia dah susahkan kawan sehati sejiwa dia. Ikut membuta tuli pada manusia yang punya rekod dengan dadah. Atau mencari penjenayah yang hanya terlibat dengan beberapa sindiket yang bukan melibatkan jenayah berat.
Naik serabut kepala otaknya buat kerja macam ini. Yelah. Dah biasa buat kerja dengan kaedah perisikan yang berbahaya. Naik rumah VVIP sana. Masuk rumah YB sini. Panjat bangunan itu ini. Tup tup kena ambil alih tugas macam ini pula. Yang santai dan yang tak perlu keluarkan peluh langsung. Minda pun macam tak berfungsi sangat. Aduyai. Boleh muntah hijau kalau setiap hari kena macam ini. Aku kena juga ambil pendrive tu malam ni. Tak tahan dengan kerja yang asyik makan tak henti. Boleh naik berat badannya nanti.
Tidak semena, fikirannya kembali pada wajah yang semalam. Wajah gadis yang asyik menangis tak henti. Menggigil ketakutan semacam sedang dikejar. Seakan baru bangkit dari mimpi yang paling buruk. Entah mengapa pada sekeping wajah itu membuatkan matanya tidak mampu untuk lelap pada malam semalam. Sudahnya, sampai saat ini dia tak boleh tidur. Ada apa pada tangisan si gadis yang menyusahkan malamnya itu? Nama pun tak tahu.
Ke memang aku koyak?
Apa benda ni? Serabut kepala aku.
Hish. Siap kau wahai si gadis malam ini. Kau menangis ke? Tak menangis ke? Meraung ke? Peduli apa aku. Aku nak juga pendrive aku. Jaga kau!
Tiba malam hari, Nahlan datang semula ke tempat yang sama. Kali ini dia bawa kereta. Bukan tak nak bawa motor. Tapi sebab mata dia dah lama tak tidur, takut terbabas pula bawa motor yang besar macam itu dekat tengah atas jalan raya. Jenis motor besar ni, bukan kau boleh perlahan-lahan. Asyik nak mengaum je kerjanya.
Nahlan keluar dari perut kereta usai parkir di tempat yang agak jauh dan berjalan laju menuju ke kawasan rumah itu. Rumah berkembar dua tingkat. Di kawasan Putrajaya. Dikelilingi dengan satu taman yang ada sistem keselamatan yang teguh. CCTV ada di setiap pelusuk rumah. Tapi sikit pun tak ganggu gerak-gerinya untuk melewati semua CCTV yang ada tanpa sedikit pun dinampakkan bayangnya. Dia dah biasa dengan ini semua. Dah tahu masa dan saat yang perlu dia tunggu dan detik yang perlu dia bergerak dengan tangkas.
Kemudian, usai pastikan yang malam ini hanya diam seperti malam sebelumnya, Nahlan mula memanjat ke arah balkoni rumah bernombor 109. Bilik yang menghadap ke bahagian belakang rumah. Kali ini dia datang lewat sikit tak macam dua hari lepas. Kut nanti terjaga pula manusia yang ada dalam tu, buat naya je.
Baru nak jejakkan kakinya ke atas balkoni, tingkap bilik itu dibuka lagi sekali macam semalam. Terus Nahlan panjat naik ke atas bumbung dengan tertib. Tanpa bunyi. Penuh hemat. Dadanya dah mula berkocak ganas. Kus semangat dibuatnya dengan kelakuan perempuan yang suka buka tingkap tengah malam. Tak takut ke kau wahai perempuan? Kut ada jelmaan yang menakutkan tatkala tingkap itu dibuka? Hish. Menyusahkan betul lah.
Aku tolak tingkap. Kemudian, aku panjat hujung tingkap. Aku meloloskan diri keluar dari bilik ini. Dua tiga malam ini asyik benar tidur aku terjaga dengan ulangan mimpi yang sama bermain di minda. Entah apa yang merasuk? Aku pun tak tahu. Yang pasti, aku tak tahan dengan mimpi yang sama itu. Yang dipertontonkan pada aku satu demi satu dengan berulang kali. Jadi takut pula nak tidur lepas ini. Lebih baik aku berjaga je sepanjang malam. Itu lagi bagus serasanya.
Hesh. Susah pula nak panjat tingkap ni. Dengan kudrat yang aku ada, aku keluarkan tubuh juga dari tingkap lepas berusaha dengan gigih dengan menggunakan kerusi sebagai medium untuk aku memanjat dengan lebih tinggi. Jenis babah ni memang semua balkoni dalam rumah ni dia takkan letak pintu. Entah kenapa dia buat macam tu pun, aku tak tahu. Tapi takpelah. Boleh juga guna skil aku nak panjat sana sini.
“Ieee...yah!” Aku loncat sehingga kaki cecah pada lantai jubin yang sejuk. Lepas tu aku rapatkan tubuh ke balkoni rumah. Melihat rumput yang ada di bawah dengan pandangan mata yang berbalam-balam sebab asyik menangis dari tadi. Rumput yang hijau. Dikelilingi dengan bermacam pokok bunga. Ditanam oleh mak. Tapi antara semua bunga yang ditanam itu, satu pun tak pernah nak menambat hati aku sehingga aku boleh cipta sebuah senyuman hanya kerana melihat bunga. Sebab bagi aku, semua bunga adalah sama. Tiba masa, akan layu juga. Dan yang cantik itu pun akan diganti dengan yang lebih cantik dan yang lebih wangi.
Sesudah itu, aku mendongak kepala melihat pada kegelapan malam yang luas terbentang pada hamparan langit yang hitam dan gelap. Cantik. Ya. Memang cantik. Cantik pada mata yang memandang. Hamparan langit yang dihiasai dengan berjuta-juta bintang. Dengan bulan menjadi perencah rasa. Membawa seribu satu makna keindahan pada sesiapa yang melihat. Tapi antara keindahan yang terhasil dari kerlipan cahaya bintang dan bulan itu, sedikit pun tidak mencuit hati aku yang sedang lara dimamah dengan mimpi buruk.
Mimpi itu, masih ada. Masih datang menghantui hidup aku saban hari. Tidak pergi walau aku berkeras mahu menghalau. Ada dia di situ dengan bayangan kelam sehingga mampu menghancurkan sekeping jiwa aku. Rapuh. Ya. Jiwa aku rapuh.
“Isk...” Tangis aku pecah lagi. Berjujuran air mata yang keluar dari dua mata. Bencinya aku dengan perasaan yang bercelaru macam ini. Rasa macam nak panjat lepas tu terjun dari balkoni. Lepas tu larikan diri dari kehidupan aku sendiri. Mahu tinggalkan semuanya ke belakang. Kalau boleh aku tinggalkan diri aku, nescaya aku dah buat.
Disebabkan fikiran sudah bercelaru, aku angkat kaki tinggi. Pergi naik ke atas penghadang beranda. Menggunakan kedua kaki dan kedua tangan yang ada, akhirnya kaki aku selamat berdiri di atas penghadang yang lebarnya hanya lima ke tujuh centimeter. Baru nak angkat tangan sedepa yang luas, tidak semena ada yang menolak tubuh aku kuat.
Prang!!
Buk. Tubuh aku terhentak kuat atas lantai manakala kepala pula terasa dipegang oleh tangan seseorang. Aku buka mata. Nahlan angkat wajah.
“Nak mampus awal ke?” Soal Nahlan sinis dengan keadaan dadanya yang berkocak ganas.
Baru sedar yang aku sudah ada dalam pelukan seseorang lelaki dengan si dia yang sedang memeluk aku. Baru nak angkat tubuh, terdengar pintu bilik ditolak kuat dan terus, lampu dinyalakan.
“HUMAIRA!!!”
Mata aku bergetar sebelum aku tahu semua ini tidak akan berakhir dengan baik.
Share this novel