Bab 34

Romance Series 23565

“Nahlan.”

Nahlan tarik kedua earphone yang melekat pada lubang telinganya saat mendengar namanya diseru kuat. Tak pandang pun pada wajah yang sedang berdiri di belakang. Hanya duduk di atas katil menghadap pada tingkap. Di dalam bilik yang Humaira gunakan untuk tidur. Di atas katil yang Humaira gunakan juga untuk tidur.  Memandang kosong pada apa sahaja yang ada di hadapan. Namun begitu, pemandangannya terbatas. Penglihatannya sudah kabur kerana asyik benar menahan tangis. Kerana yang ada di hadapan, hanyalah wajah Humaira. 

Hanya Humaira.

“Diam aje anak mak sorang ni...” Anita berjalan ke arah Nahlan sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah sang anak. Diangkat tangannya tinggi sebelum menepuk lembut tubuh itu berkali-kali. Dia tahu Nahlan sedang bersedih atas apa yang menimpa Humaira menantunya. Hampir tiga bulan Humaira tidak sedarkan diri selepas berlakunya kejadian di rumah ini. Nahlan kata kejadian rompakan dan kes pecah masuk rumah.

Nahlan tundukkan wajah sambil jari mengelus lembut pada earphone yang dipegang. Kepunyaan Humaira. Lagu yang dia dengar tadi pun adalah dari playlist yang ada dalam telefon sang isteri. Lepas itu, dia melihat pada semua barang yang ada di atas lantai. Semua barang itu, semuanya adalah kepunyaan Humaira juga. Ada yang masih ada dekat luar. Ada yang sudah dibungkus masuk ke dalam kotak. Doktor kata, Humaira akan bangun. Tapi tak tahu bila? Pembedahan demi pembedahan dijalankan ke atas tubuh Humaira sehingga Humaira disahkan koma akibat tikaman yang bertalu-talu dihunuskan di perutnya. Dengan itu, dia dah bertekad. Nak keluar dari rumah ini. Tak mahu dah hidup dalam rumah yang penuh dengan bayangan sang isteri. Itu sebab dia kemas semua barang yang ada. Nak bawa semuanya sekali.

Dialah orang yang pertama jumpa Humaira di dapur dalam keadaan satu badan itu penuh dengan darah. Masih terimbau kembali detik cemas ketika mahu menyelamatkan Humaira. Dia yang telefon ambulans. Dia yang tekan perut Humaira supaya darah takkan mengalir dengan lebih deras. Dia yang masuk sekali dengan ambulans semasa Humaira dikejarkan ke hospital. Dia juga yang tunggu di hospital selama lima jam. Antara semua detik itu, tak mungkin dia akan lupa walaupun sebentar. Berjuta-juta kali doanya dititipkan kepada sang isteri supaya isterinya dapat diselamatkan walaupun doktor kata peluang untuk Humaira selamat adalah hanya 30 peratus sahaja. Dan berjuta-juta kali juga bibirnya mengucap kata zikir demi menenangkan diri sendiri yang dilanda dengan badai tsunami.

Sekarang, baru dia mengerti. Baru dia faham apa yang dimaksudkan dengan kehilangan.

Kerana dia hampir sahaja kehilangan manusia yang penting dalam hidup dia. Hampir sahaja perkara itu berlaku.

Sumpah dia takut. Jujur dia akui, dia takut andai Humaira tidak sempat diselamatkan. Menggigil satu badan dia dengan rasa takut akan kehilangan seseorang di dalam hidup dia.

“Nahlan tahu... dulu waktu Nahlan kena culik waktu kecil kan...” Anita  tarik nafas. “...mak ingat mak dah hilang kamu. Mak ingat tuhan dah takkan temukan mak dengan kamu lagi. Tiga hari kamu hilang, tiga hari mak rasa macam nak mati. Mak siap doa lagi, biarlah mak yang kena culik kalau itu mampu untuk dapatkan kamu semula. Biarlah mak yang jadi galang gantinya kalau itu dapat kembalikan kamu ke sisi mak. Tapi, sekali pun mak tak pernah nak putus asa berdoa supaya tuhan temukan kamu dengan mak sekali lagi. Andai bertemu dengan mak dalam keadaan hidup atau tak hidup, mak nak juga kamu balik. Dalam keadaan apa sekalipun. Mak redha. Mak doa, jangan sakitkan anak mak kalau itu pengakhiran kamu. Jangan seksa kamu dan jangan datangkan ke mak hanya membawa berita sahaja. Tapi takde jasad. Mak nak juga tengok anak mak.” Air mata Anita mula turun ke pipi. Mana mungkin dia lupa kejadian yang menimpa Nahlan sewaktu Nahlan kecil. Hanya yang pernah merasai kehilangan anak sendiri aje tahu perasaan sedih di hati.

Tak boleh nak menandingi semua perasaan yang ada di dalam dunia.

“Alhamdulillah. Tuhan Maha Mendengar. Dia dengar doa mak. Dia hantar semula kamu ke mak walaupun badan kamu penuh dengan darah. Penuh dengan luka. Mak ingat lagi mata kamu waktu itu, Nahlan. Hanya takut dan takut sahaja yang ada. Takut akan apa yang telah terjadi. Walau sampai sekarang mak tak tahu apa yang dah berlaku pada kamu sepanjang tiga hari itu. Dan bila kamu pulang ke pangkuan mak, mak ingat semuanya akan jadi normal. Tapi tak. Kamu demam panas. Tak nak bercakap. Hanya diam sahaja. Dan itu, lagi perit untuk mak tengok kamu hidup dalam keadaan ketakutan.” Anita kesat air matanya yang turun bertali arus. Dia ingat lagi waktu Nahlan tidur. Saban malam Nahlan akan meracau macam kena rasuk. Mengigau menyebut apa pun dia tak tahu. Sebut aje nama hospital yang ada. Semua sudah dia bawa pergi jumpa. Dan jawapan yang dia dapat, semuanya sebab kesan dari trauma atas kejadian yang berlaku.

Putus asa nak kembalikan Nahlan seperti sebelum-sebelumnya. Akhirnya, dia dan suami bertekad untuk pindah rumah. Hidup di tempat lain. Yang ada sinar baru. Semuanya baru. Beberapa bulan pindah rumah, Nahlan menunjukkan perubahan yang baik. 

“Bila semua ini terjadi, mak baru sedar akan sesuatu perkara... Hidup ni, bukan hak kita. Jauh sekali nak claim yang kehidupan ini kita yang punya. Kamu keluar dari rahim mak sekalipun, kamu bukan hak mak. Bukan milik mak. Bukan milik sesiapa. Tuhan nak bagi pinjam sahaja. Bila-bila DIA boleh ambil. Kalau kata DIA nak ambil sekarang, DIA akan ambil sekarang juga. Tak kurang sesaat, tak lebih sedetik. Kalau kata DIA nak pinjamkan dengan lebih lama, lamalah kamu akan ada dengan mak.” Anita sandarkan kepalanya ke bahu sang anak. Anak dia ini, sudah besar. Cepatnya masa itu berlalu tanpa dia sedari.

Nahlan diam. Tidak menjawab apa pun. Hanya mendengar dan terus mendengar. 

“Kalau DIA izinkan Humaira untuk ada lebih lama dengan kita, maka itulah yang akan berlaku...” Dipegang tangan Nahlan kuat sambil menyalurkan kekuatan kepada jiwa sang anak yang sedang dilanda dengan dahsyatnya rasa kesedihan.

Bahu Nahlan tergerak ke atas dan ke bawah. Menitik air mata dia mendengar ayat maknya yang akhir itu. Dah tak mampu nak bendung rasa sedih bila mana kepala asyik benar teringat kepada Humaira yang sedang terbaring lesu di hospital. Kalau boleh, sesaat pun tak nak tinggal Humaira keseorangan di situ. Mahu berada di samping isterinya dua puluh empat jam. Hari-hari tanpa melihat Humaira macam dulu, rasa macam lukanya dilumur dengan garam berkali-kali. Sakit tak terperi. 

“...dan kalau yang sebaliknya, kita kena redha. Siapa kita nak melawan takdir tuhan, Nahlan.”

“Mak...” Nahlan baringkan kepalanya ke atas peha sang emak dengan air mata yang deras mengalir di pipi. “Nahlan...” Dia pejam matanya sesaat. Mengimbau kembali detik manis dengan Humaira. Bermula dengan pertama kali berjumpa perempuan itu ketika dia masuk ke dalam bilik Humaira, sampailah hari dia mengangkat akad demi memperisterikan Humaira dalam keadaan yang tidak dijangka. Sehinggalah dia mengaku pada dirinya sendiri bahawa rasa sayang dan cinta pada Humaira sudah tumbuh dan mekar di dalam hati.

“Nahlan...isk...” Dia kepal tanganya erat-erat. Dah tak tahu nak tenteramkan hati dia macam mana lagi. Pada insan yang bergelar emak itu, punya ketenteraman yang lain. Punya kehebatan yang lain pada dirinya, sang anak. Kali terakhir menangis depan maknya adalah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Dah tak ingat bila? Tapi hari ini, dia jadi macam budak kecil. Macam Nahlan yang berumur lima, enam tahun. Yang sedang sedih. Yang sedang lara. Mahukan belaian dari sang emak. Macam dulu.

Anita usap kepala anaknya. Sungguh dia sedih. Sangat sedih melihat keadaan anaknya macam ini. Bermacam-macam dugaan telah Wan Ahmad Nahlan ini tempuhi. Sedih dan sebak melihat hati dan jiwa anak yang sedang berbaring di pehanya ini menangis dan terus menangis. Apa yang mampu dia buat saat melihat wajah itu sudah penuh dengan air mata? Anita tahu jiwa Nahlan itu sedang dirobek-robek tanpa kehadiran isteri di sisi. Dia juga seorang isteri. Dia faham apa yang sedang Nahlan tahankan dalam hati. Kerana tempat seorang isteri, mestilah di sisi suami. Sudah termaktub dalam Quran bahawa kaum hawa itu adalah peneman kepada kaum adam.

“Sabarlah Nahlan...” Pujuk Anita.

Nahlan sembamkan wajahnya ke peha sang emak dengan bunyi tangisan yang tiada henti. Hatinya merintih. Jiwanya meraung hiba dalam ketandusan yang tiada penghujung. “Nahlan rindu...” Bahunya terhinggut keras saat bibir melontar kata rindu. Mengatakan bahawa hatinya sedang dibebani dengan bebanan rindu yang tidak tertanggung. Dan makin hari, makin berat rasa rindunya pada insan itu. 

“Nahlan rindu sangat-sangat...” Terus dihamburkan semuanya pada sisi emak. Dia tak boleh nak tahan dah. Sungguh dia tak boleh. Perit rasa rindu itu, tak boleh dia nak ungkap dengan kata-katanya sahaja. Betapa sakitnya bebanan rindu itu, hanya tuhan sahaja yang tahu. 

“Nahlan rindu dia mak... Nahlan rindu sangat dekat Humaira. Isteri Nahlan...isk...isk...” Nahlan angkat tubuh. Melihat pada sang emak dengan mata yang merah, yang penuh dengan bait kata rindu. Setiap titisan yang keluar dari mata itu, menunjukkan rasa rindu dan sakit itu tak boleh lagi dia nak melawan. “Macam mana Nahlan nak buat mak? Apa lagi yang Nahlan boleh buat mak?? Nahlan pergi mana-mana, Nahlan tak boleh lupa dengan Humaira. Nahlan pergi dapur, Nahlan nampak wajah dia. Nahlan pejam mata, Nahlan nampak Humaira. Nahlan buka mata, wajah Humaira ada depan mata. Nahlan...”

Terus Anita peluk anaknya itu. Kuat dan erat. “Sabar Nahlan. Sabar...” Ditepuk belakang tubuh itu berkali-kali bagi bagi menyalurkan kekuatan. Walaupun hatinya juga sedih mengingatkan kembali keadaan menantunya yang satu itu. Dia sayang Humaira macam dia sayang anaknya sendiri. Tak lebih tak kurang. Macam mana dia doakan anaknya, macam itulah dia doakan Humaira. Pun tiada yang lebih dan tiada yang kurang.

“Isk...” Nahlan ketatkan pelukan. “Nahlan nak minta maaf dengan dia, mak. Banyak dosa yang Nahlan dah buat kat Humaira. Dan Nahlan nak dia tahu yang Nahlan sayangkan dia. Nahlan cintakan isteri Nahlan mak. Tapi Humaira tak dengar. Mata pun tak nak buka... Berkali-kali Nahlan minta untuk Humaira buka mata. Tapi dia tak nak dengar. Dia marah sangat dekat Nahlan. Nahlan tahu. Itu sebab dia tak nak buka mata dia...” Luah Nahlan menyayat hati.

Sepanjang dia berada di hospital, sepanjang itulah dia menjaga isterinya. Badan itu, dia yang lap. Pakaian Humaira, dia juga yang tukarkan. Bercakap dengan Humaira walaupun terasa bercakap seorang diri. Boleh kata setiap hari dia buat macam itu. Mengharapkan yang Humaira akan bangun. Menjawab semua kata-kata dia. Bergaduh mulut dengan dia. Berbalah akan apa sahaja yang Humaira mahu balahkan. Menjeling dia dengan pandangan yang tajam dan mengutuk dia dalam hati. Tapi semuanya terasa macam sia-sia. Kerana yang memberi kata jawapan terhadap semua yang dia bicarakan hanyalah bunyi mesin yang ada. 

“Sabar... Banyakkan berdoa. Tuhan ada. Dan DIA dengar apa yang Nahlan doakan... Bawa bersabar Nahlan.” Dipujuk hati itu lagi dan lagi. Dia faham dan sangat faham. Lagi-lagi bila mana Nahlan meluahkan rasa sayang yang dia simpan pada Humaira. Dalam hati, Anita juga tidak berhenti untuk doakan kebaikan dalam rumah tangga anaknya, Nahlan.

“Kenapa tuhan uji Nahlan macam ni, mak??”

“Sebab DIA sayang...”

“Tapi kenapa bukan Nahlan yang terbaring dekat sana? Kenapa Humaira?”

“Sebab DIA sayang. Sayang pada Nahlan dan sayang pada Humaira.”

“Isk...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience