Epilog

Romance Series 23565

Riuh sungguh suasana yang kedengaran di hujung sana. Ada gelak tawa yang bergema kuat di sekeliling kawasan yang rumah. Dari suara orang dewasa yang bergema hinggalah suasana kanak-kanak yang bergelak riang. Dan suara bayi yang menangis. Semuanya bercampur menjadi satu. Di sudut ruang tamu itu.

Buk. Asri jatuh. Kereta mainan yang dipegang di tangan, terjatuh bergolek ke atas lantai. Terus, kepala didongak ke atas. Tersenyum sungging dia melihat gerangan yang dia langgar.

“Uit. Dengan opah kamu langgar ya...” Kata aku mengutip kereta mainan yang ada atas lantai dan beri pada cucu yang masih kecil.

“Hehehe...” Asri masih tersenyum sungging. Cepat-cepat dia mengambil apa yang opahnya hulurkan dan berlari mendapatkan adik-beradiknya yang lain.

“Mak.” Datang seorang perempuan dengan perut yang membuncit. “Ini untuk Mar ke?” Soal Mardiah pada sang emaknya.

“Aah. Mak potong dah mangga ni. Pergilah makan. Bawa ke depan. Ada lagi dekat dapur tu kalau kamu nak lagi.” Aku hulurkan piring yang diisi dengan beberapa potong mangga muda dan mangga masam.

“Okay mak. Mak. Abah mana?” Soal Mardiah.

“Hm? Abah? Abah takde kat depan ke?” Soal aku pelik.

Mardiah geleng. “Takde. Takde pun. Tadi ada kejap. Lepas tu tengok-tengok dah takde.” Disuapkan satu potongan mangga masam ke dalam mulutnya.

“Takpelah. Ada dalam bilik kut. Nanti mak tengok.” Kata aku sebelum berlalu pergi dari situ. Terbantut niat aku nak duduk bersama dengan anak-anak dan cucu. Takkanlah nak bergelak tawa tanpa suami di sisi.

“Abang...” Panggil aku menolak pintu bilik.

Nahlan diam diri. 

“Bang.” Aku labuhkan punggung dan duduk di sebelah Nahlan. Melihat pada wajah muram itu. Yang dah muncung sedepa. “Ini pasai apa ni? Buruklah dah tua bangka dok muncung sedepa.”

“Huh.” Nahlan pusingkan wajahnya ke tempat lain. Malas nak ambil peduli dengan isteri di sebelah. Sakit hatinya.

“Abang kenapa pulak? Itu hari dok bising suruh budak-budak tu balik rumah. Jenguk kita. Ini diorang dah ada, abang dok kurung diri duduk dalam bilik. Apalah awak ni. Dengan anak sendiri pun nak merajuk.” Tegur aku melihat wajah yang sudah tua dimamah usia. Sudah masuk angka enam puluh pun asyik tunjuk perangai budak kecil.

“Mana ada saya merajuk. Awak cakap elok sikit.” 

“Dah kalau bukan merajuk? Apa dia?”

“Anak awak tu tak reti nak hormat saya. Makin besar tak reti nak dengar cakap saya. Masak pun macam apa. Huh.”

Aku senyum. “Dia telefon awak lagi ke? Itu yang dok marah macam orang tak betul?” Tebak aku langsung mematikan kata-kata Nahlan.

“Iyalah! Asyik sangat dok telefon saya. Minta surat semua tu. Mardiah tu anak kita. Zariq pun anak kita. Yang dia dok telefon maki hamun saya, pasai apa? Dulu beriya tak nak diorang berdua. Buang sana sini. Lepas kita bela elok, siap dah ada cucu baru nak claim semua! Saya kalau ada senapang, saya tembak dah kepala dia.”

“Memang Mar dengan Riq anak dia pun.” Siapa lagi? Ini mesti ibu kandung kepada Mardiah dan Zariq menelefon Nahlan dan ugut mahu buat report polis. Bukan sekali kena ugut macam ini. Dah bertahun kena perkara yang sama. 

“Anak kita!!” Nada dia naik dua oktaf. Walaupun bukan lahir dari genetik dia, Mardiah dan Zariq dia ambil sejak berusia satu tahun lagi.

“Yelah. Anak kita.” Aku pegang tangan yang sudah berkedut itu. “Anak abang. Anak Mai. Tu cucu yang dekat depan tu pun, semuanya cucu kita.” Nahlan sejak dah pencen dan umur makin menginjak ke enam siri, cepat benar terasa hati. Kadang tu, marah tak bertempat. Ini kut orang kata. Sindrom orang tua. Hihi.

“Sekali lagi dia telefon saya, memang saya tak teragak-agak nak sumbat dia dalam penjara! Huh!” Turun naik dada dia melawan nafsu marah yang bermukim di dada. 

“Yelah. Sudahlah tu. Toksah dok marah-marah sangat. Awak tu ada sakit jantung. Karang kena masuk hospital, saya ni macam mana?” Aku usap pula lengan yang juga sudah berkedut. Beberapa puluh tahun hidup bersama, perangai Nahlan pun sudah berubah ikut peredaran masa. Yelah. Nama pun manusia. Nak lari mana lagi?

Nahlan diam.

“Yang awak duduk dalam bilik ni kenapa? Lepas tu dok tengok gambar diorang waktu kecil sorang-sorang? Orangnya dah ada dekat depan kan? Pergilah tengok dekat depan sana.”

“Mana ada saya tengok gambar diorang.” Tidak Nahlan pada apa yang isterinya sampaikan.

Aku sengih. Kemudian, aku kerling pada beberapa album kecil yang terselit di bawah bantal. “Abang risau apa sebenarnya? Takut diorang tak balik tengok kita? Gitu?”

“Umur saya ni dah tak panjang. Bila-bila tuhan boleh tarik. Macam mana kalau diorang tak ingat kita sebagai mak ayah diorang? Nanti, siapa nak doakan saya? Siapa nak doakan awak? Kalau kata saya yang pergi dulu? Siapa nak jaga awak nanti?” Bertubi-tubi soalan yang dia keluarkan dari mulutnya.

“Ish awak ni... Apa dok cakap macam itu.” Aku tepuk bahu Nahlan sekali. “Dah elok dah anak kita tu dok besar sampai dah ada keluarga sendiri. Awak juga yang didik dengan ilmu agama. Ilmu dunia. Ilmu akhirat. Walaupun diorang tak keluar dari rahim saya, saya tahulah yang diorang tu sayangkan kita berdua. Insya Allah kalau kita pergi nanti, si Zariq tulah yang jadi imam dan turunkan ke liang lahad.”

“Lagipun...” Aku tarik nafas. Memandang sepi pada lantai bilik. “...anak ni bukan hak milik kita. Semuanya tuhan yang punya. Rezeki kita dapat bela diorang. Rezeki diorang juga bertemu dengan kita berdua. Awak janganlah risau fasal siapa yang pergi dulu. Cukup dah dengan semua yang tuhan beri ni. Saya dah bersyukur sangat.” Kata aku tersenyum sendiri.

Umur dah tua ni, aku hanya mahukan yang terbaik sahaja untuk anak-anak aku. Supaya mereka gembira dengan kehidupan mereka. Supaya mereka menjadi manusia yang baik. Ada anak sendiri. Ada keluarga sendiri. Tak mahulah jadi bebanan pada anak-anak yang ada. Apa yang boleh aku buat sendiri, aku takkan susahkan mereka. Selebihnya, hanya berserah pada tuhan.

“Mai...” Nahlan pusingkan sedikit tubuhnya melihat pada isterinya. Yang juga sudah tua. Berkedut sana sini. Rambut yang putih pun lagi banyak dari rambut yang hitam. Tangan pun sudah berkedut macam dia.

“Hm?”

“Mai gembira tak hidup dengan abang?” Soalnya memagang tangan suam itu. Yang sudah dia pegang bertahun lamanya. Namun begitu, rasa suam itu tidak pernah berubah.

“Berapa kali nak tanya Mai? Iya. Mai gembira. Gembira sangat.” Jawab aku akan jawapan yang sama. Setiap hari, Nahlan akan tanya soalan ini. Dan setiap kali itu juga, aku akan jawab dengan jawapan yang sama. Ya. Aku gembira.

“Maafkan abang atas semua khilaf yang abang buat.”

Rutin kami setiap hari. Minta maaf pada wajah masing-masing. Penangan umur rasanya. Sebab tak tahu jemputan ajal itu akan datang bila? Tapi kalau ikut adat, memang tak lama dah.

“Iya. Mai pun. Maafkan Mai sebab tak dapat lahirkan zuriat untuk abang. Dan maafkan Mai dengan semua salah yang Mai dah buat pada abang...” Ucap aku memandang pada mata lesu tersebut. Mata yang sama pada waktu pertama kali aku bertentang mata dengan Nahlan. Sepasang mata milik Wan Ahmad Nahlan.

“Dah cukup dah ni. Abang bersyukur dapat hidup dengan Mai. Dapat besarkan Mardiah dan Zariq dengan Mai.” Nahlan genggam tangan itu sekuat hati. “Terima kasih Mai. Terima kasih ada dengan abang sampai abang tua. Mai isteri yang baik. Mak yang baik. Isteri yang diredhai suami.”

Aku senyum. “Awak masih dengan ayat manis awak kan? Dah tua bangka pun, suka guna ayat manis dengan saya. Tapi takpelah. Saya suka.” Aku tergelak kecil.

“Nanti duit kita, abang ingat nak wakaf ke rumah anak yatim yang kita ambil Mar dengan Riq. Mai setuju tak?” 

Aku angguk.

“Cuma syarikat tu, abang bagi diorang berdua aje yang uruskan.”

Sekali lagi, aku angguk.

“Kalau antara kita yang pergi dulu, Mai rasa kita jumpa tak dekat sana?”

“InsyaAllah. Kalau diizinkan. Tiada apa yang mustahil.”

Nahlan senyum. 

Tok. Tok.

Kami berdua senyum. Tanda dah ada yang memanggil.

“Opah. Tok.” Pintu dikuak perlahan dan kelihatan beberapa manusia bertubuh genit sedang menunggu dengan masing-masing tersenyum lebar.

“Iya sayang-sayang opah semua?”

“Jomlah makan. Mama panggil makan.”

Aku tarik tangan Nahlan untuk bangkit. Tongkat yang ada bersebelahan dengan katil, aku suakan pada Nahlan. Dulu boleh lagi nak berjalan macam biasa. Tapi disebabkan tulang dah jadi makin tak kuat dan ada kesan retakan akibat kemalangan yang dahulu, doktor sarankan hanya guna tongkat sahaja. Lebih mudah katanya.

“Yelah. Opah dengan atok nak keluar dah ni. Suruh mama tunggu kejap. Kaki atok bukan boleh berjalan laju.” Kata aku menunggu sau demi satu langkah Nahlan untuk bergerak ke pintu.

Melihat pada tubuh belakang itu, boleh aku kata yang aku dah berjaya hidup dengan nikmat kasih sayang yang tuhan berikan. Satu demi satu ujian yang mendatang, dapat kami lalui walaupun kadang itu terasa mahu sahaja mengalah. 

Dan untuk setiap saat yang berlalu pergi, aku hanya mampu titip kata syukur pada Yang Esa sahaja. Dah tua macam ini, malu pula nak cakap satu ayat itu. Tapi aku tahu yang Nahlan tahu. Daripada dulu sampai sekarang. Yang aku, cintakan dia.

Humaira cintakan Wan Ahmad Nahlan.

“Yang awak tercegat lagi dekat situ buat apa? Dah tadi suruh kita keluar. Awak pula nak berkurung dalam bilik ke macam mana? Saya dah takde kudrat tau nak layan awak dah. Kudrat lelaki saya dok habis ke awak je.”

Aku cemik muka.

“Mengarutlah orang tua ni!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience