Bab 3

Romance Series 23571

“Pada manusia, jangan kau letakkan rasa sayang yang melampau. Belum tentu yang kau sayang itu akan dibalas dengan bahasa sayang juga. Kerana itu, berpadalah dalam bersayang.”

Nahlan goyangkan kakinya ke sana ke sini. Ke kiri ke kanan. Bila lenguh sebab asyik letak kaki kanan atas kaki kiri, dia alihkan pula kaki kirinya supaya berada di atas kaki kanan dan goyangkan semula macam yang dia buat tadi. Mata pula, hanya merenung kosong pada makanan yang tersedia di depan mata.

Bihun sup.

Bukan tak sedap. Bahkan, sangat sedap. Air tangan si ibu kut. Apa je yang tak sedap? Nasi goreng 'bodo' pun sedap. Tapi entah kenapa tekaknya tak rasa macam nak habiskan semuanya sekali? Mungkin kerana dalam kepala hanya penuh dengan apa yang sudah jadi sahaja. Keadaan rumah yang meriah dengan bermacam suara tidak langsung dia endahkan. Macam jadi halimunan pun ya dekat sini. Bukan dia tak suka nak makan malam dengan semua ahli keluarga yang ada. Cuma, fikiran dia serabut. Serabut sangat pulak tu.

Macam-macam yang dia fikirkannya. Fasal Tuan Iqmal. Fasal pendrive. Fasal video yang dia terlihat. Fasal misi dia yang hanya separuh lengkap sahaja.

“Huh.” Nahlan hembus nafas perlahan.

Hatinya yang berat dengan bermacam perkara hanya sedang menghitung detik sahaja untuk tamatkan semua ini. Keluar dari rumah ini secepat mungkin dan terus pergi ke rumah itu. Mengambil kembali barang yang telah dia tinggalkan di sana. Dalam laci yang penuh dengan pakaian dalam sang gadis yang berwarna-warni. Kutlah berwarna-warni. Dia pun takdelah nampak sangat dengan jelas. Tapi yelah. Nama pun perempuan. Baju pun penuh dengan warna. Takkanlah pakaian dalam dia ada hanya satu warna sahaja. Tak gitu?

'Aduhai. Bila lah nak habis? Tak boleh ke kalau makan tak ajak aku? Aku ada kerja kut. Hish. Karang tak balik rumah, mulut mak pula bising. Bila dah tayang batang hidung, suruh tunggu sampai semua habis makan. Aku takde fungsi kut kat sini.' Jerit hati Nahlan.

Pap. Terasa hujung kakinya disepak kuat.

Nahlan angkat kepala memandang kepada sang abang. “Apa?” Soal Nahlan pelik.

“Tu...” Juih mulut Naufal sang abang dengan mulut yang penuh dengan makanan.
Nahlan toleh ke kirinya.

“Wan Ahmad Nahlan memang suka berangan. Dari kecil memang macam itu. Kadang dekat sekolah dulu, sampai cikgu tegur sepuluh kali baru nak menyahut. Ada sekali tu, panggil seratus kali pun tak dengar-dengar. Telinga tu dah penuh dengan taik telinga gamaknya. Harap muka jelah handsome macam orang arab. Tapi kadang tu, memang ikut kepala dia jelah.” Bebel Anita. Ibu kepada Nahlan.

Nahlan tarik bibir. Dah kena setepek, dua tepek, tiga tepek dekat muka. Depan semua mata yang melihat. Tapi, takkan nak menjawab pula kan? Senyuman yang kacak jelah yang boleh dia beri. Lepas tu, tundukkan muka sebab nak sorok rasa malu.

“Mak tanya apa tadi?” Soal Nahlan tersenyum sungging. Terserlah terus barisan giginya yang tersusun cantik.

“Ya Allah budak ni. Bukan mak yang tanya. Si Zahidah ni yang tanya.” Nada Anita naik satu oktaf. Kalau boleh dia ketuk kepala anak terunanya yang satu ini, dia ketuk dah guna sudip kayu yang ada dekat dapur tu.

Nahlan pusingkan kepalanya melihat pada perempuan yang sedang duduk bersebelahan dengan kakaknya. Yang sedang tayang wajah manis bertudung litup. Terserlah semua keayuan yang ada pada raut wajah sang gadis yang bernama Zahidah. Bukan kali pertama mereka bertentang mata bersua muka. Bahkan, Zahidah dan keluarganya sudah kenal sejak sekolah lagi. Ayah mereka pula memang berkawan rapat. Maknya pula, dah macam geng kampung pisang. Pokoknya, dua keluarga ini memang rapat. Itu kadang dok jemput untuk makan sekali. Borak sekali. Gelak sekali. Semualah nak buat sekali kalau boleh.

“Ouh. Apa tadi? Sorry. Tak berapa nak dengar.” Kut ya pun kau terpaksa tayang muka terpaksa, janganlah dok nampak sangat yang kau tu terdesak nak keluar dari rumah!

“Takpe. Ida tanya, Abang Nahlan kerja dekat mana?” Tanya Zahidah ingin tahu. Bukan dia tak tahu si Nahlan ni kerja sebagai apa. Saja nak tanya bagi lelaki tu buka mulut sikit. Selama dia kenal dengan Nahlan, belum pernah Nahlan tanya dia apa-apa. Serasanya, mulut dia je riuh nak bertanya itu ini. Macam syok sendiri pun ada.

“Dekat sini-sini je. Takdelah jauh sangat dengan rumah sewa. Ida kerja dekat mana dah sekarang?” Soal Nahlan hemat. Sungguh dia tak beminat nak ambil tahu tentang perempuan ini. Bagi dia, Zahidah hanya seorang perempuan yang dia kenal dari kecil. Ibarat kenalan tapi bukan kawan. Rapat sebab mak ayah dia rapat dengan mak ayah Zahidah. Dan dia hormat Zahidah macam mana dia hormat orang lain. Itu je.

Zahidah tarik bibir. Ditundukkan wajahnya sedikit melihat isi mangkuk yang masih berbaki dengan separuh sup separuh bihun. Ini dah masuk kali kelima Nahlan tanya dia soalan yang sama. Setiap kali mereka datang ke rumah Nahlan, setiap kali itu juga soalan yang sama Nahlan akan tanyakan. Nampak sangat yang dia terhegeh-hegeh sendirian pada lelaki bernama Wan Ahmad Nahlan. Mujur mak dan ayahnya ada di hadapan sana. Di ruang ruang tamu berborak sakan sambil makan buah. Kalau boleh, dia nak makan berduaan dengan Nahlan sahaja. Tapi tak manis pula kalau buat macam itu.

“Ida kan kerja dengan papa. Abang Nahlan dah lupa ek?” Ada rajuk di situ. Kalau boleh nak Nahlan pujuk. Tapi dia rasa, spesies lelaki macam Nahlan ni, memang cepat benar lupa.

“Oh.” Oh Nahlan. “Baguslah...” Dan terus memasukkan tauhu bergedil bersama sos kicap pedas ke dalam mulut. Sup yang masih berbaki ditolaknya jauh dari tangan. Maka dengan itu, berakhirlah perbualan antara dia dan Zahidah bila mana Nahlan bangkit dari duduknya dan pergi bermain bersama tujuh orang anak buahnya.

Usai mengemaskan semua pinggan yang ada di dapur, Nahlan bergegas keluar dari perkarangan rumah. Tak sempat langsung nak bersalam tangan berlaga pipi dengan mak dan ayahnya. Diambil terus helmet yang memang diletakkan di luar rumah yang ada. Niat di hati bukan nak berlaku kurang ajar dengan meninggalkan tetamu yang ada, tapi dia perlu bergerak sekarang untuk selesaikan misi. Kira okaylah kan dia makan dan minum bersama tadi. Jenuh nak tunggu lagi lama. Sebab nanti nak kena jumpa dengan Raiqal dahulu. Ke patut dia pergi je dengan Raiqal ek?

“Abang Nahlan.” Panggil Zahidah.

Nahlan pusing.

“Kenapa Ida?”

Zahidah ketap bibir. “Abang Nahlan nak ke mana?” Soal Zahidah sedikit gugup. Nak cakap macam mana eh? Bukan dia tak nampak yang sikap acuh tak acuh Nahlan ni sebenarnya membuatkan diri dia sentap. Tapi dia mahukan satu jawapan. Jawapan yang tepat dan benar.

“Ada kerja sikit. Biasalah kerja macam ni. Kadang-kadang masa memang tak menentu.” Balas Nahlan lembut. Entah kenapa rasa serba salah mengetuk hatinya tatkala melihat wajah Zahidah yang penuh dengan harapan. Bukan dia tak faham atas alasan apa mak dan ayahnya mengajak mereka selalu makan di sini. Tapi entah kenapa pada matanya, Zahidah ini dia hanya boleh melihat atas dasar seorang adik sahaja. Hatta, panggilan abang yang keluar dari mulut Zahidah itu pun tidak menggugahkan nalurinya sebagai seorang lelaki.

“Errmm... Ida nak tanya...fasal...” Diramas jarinya kuat. Muka dah jadi merah semacam. Ya. Dia tahu. Dia tahu Nahlan takde rasa macam yang dia rasa. Boleh nampak kut muka terpaksa Nahlan setiap kali mereka bertentang mata. Tapi kalau tak tanya, nanti orang kata bagai menunggu bintang jatuh ke bumi. Adalah lebih baik dia tanya.

“Ida nak tanya...Abang Nahlan dah ada...” Zahidah hentikan katanya sejenak. Jantungnya pula tengah buat kerja semacam. Tak tenteram pula tubuhnya bila mana menghadap pada lelaki yang berjaya buatkan dirinya lemah semacam. Debar.

“Ada apa?” Nahlan kerut dahi.

“...ada...” Sekali lagi, Zahidah hentikan kata-katanya. Tak punya kudrat pula nak teruskan ayat dengan soalan yang satu itu. Kalau tanya, nampak terdesak sangat ke?

“Abang Nahlan dah ada...”

Grrr... Telefon Nahlan bergetar. Terus diangkat fon itu dan suakan ke hujung telinga sekaligus mematikan soalan yang Zahidah mahu tanyakan.

“Okay okay. Aku otw. Bisinglah kau. Macam mak nenek.” Kata Nahlan segera bergerak ke arah motor besarnya. “Ida. Maaf ya. Nak kena pergi lah. Ada orang dah bising sebab abang tak sampai-sampai lagi. Apa yang Ida nak tanya tu, rasanya tak payah nak tanya dah pun takpe. Ida pun dah besar. Dah boleh faham. Ida ni macam adik pada abang. Adik abang yang cantik. Dan sopan. Tapi, sekadar adik sahaja pada abang. Tak lebih tak kurang. Abang hormatkan Ida macam yang Ida hormatkan abang. Kalau Ida ada masalah, telefon je abang. Abang akan datang dan abang akan tolong.” Senyum Nahlan sebelum beredar meninggalkan perkarangan rumah mak dan ayahnya.

Mata Zahidah bergetar. Kena reject mentah-mentah dari manusia yang dia sudah taruh hati dengan sangat lama. Sejak dari bangku sekolah lagi. Bukan mak dan ayahnya tak cakap tentang hal ini, tapi dia berkeras juga nak menunggu Wan Ahmad Nahlan bersama dengan segunung harapan. Salah kah ada perasaan macam ni pada seseorang lelaki yang layak?

“Nahlan memang macam tu. Nanti mak cik pujuk dia.” Entah dari mana datang Anita, tiba-tiba dia ucap kata pujuk pada Zahidah. Entah apa yang buat anak teruna dia yang seorang itu keras hati sampai semua orang ditolaknya. Nak kata Zahidah bukan perempuan yang baik, dah terlebih baik dah anak dara sorang ni. Tapi Nahlan macam tu jugak. Sepi. Keras kejung. Macam takde perasaan.

“Takpe mak cik. Saya takde apalah. Saya... saya... saya hormat makcik sekeluarga.” Balas Zahidah menyembunyikan air mata yang sikit lagi nak tumpah. Sedih. Sedih bila mak kepada Nahlan ini pun perasan yang dia menaruh hati pada yang tak sudi. Agak-agaknya, orang lain perasan juga tak ek?

“Takpe. Nanti mak cik pujuk dia. Ida toksah risau. Degil nanang dia tu. Tapi kalau pujuk, cakap baik-baik... Lama-lama dia fahamlah tu... Jom masuk. Kita bungkus apa yang Ida boleh bawa balik sikit. Jangan sedih sedih dah.” Pujuk Anita lagi dan lagi.

Zahidah angguk. Entah apa yang dia anggukkan itu pun dia tak tahu. Tapi dia dah tak nak letak harapan manis pada lelaki bernama Wan Ahmad Nahlan. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau takde, takpelah. Tak nak hanya kerana dia yang tamak pada perasaan sendiri, hubungan dua keluarga yang sudah lama terjalin ini jadi porak-poranda.

Kesian nanti kepada mak dan ayahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience