Bab 17

Romance Series 23565

“Until you treat everyone as an equal, you have no right to complain about the treatment you receive from anyone.”

Aku buka mata dari lena yang panjang. Sakit betul leher aku. Kenapa macam sakit sangat eh? Aku dah terkena penyakit apa sampai leher aku terasa macam nak patah? Ke dah patah? Adoi. Kenapa ni? Perlahan-lahan, aku gagahkan juga untuk angkat kepala sedikit demi sedikit ke atas. Dengan pandangan yang masih berbalam, aku cuba untuk lihat pada sekeliling.

Ada meja. Ada kerusi. Ada katil. Ada tilam. Ada cermin. Ada almari kecil. Macam dekat hotel. Ke memang aku dekat hotel? Ini bukan bilik aku ni. Bukan. Bilik siapa ni? Ke aku dekat bilik orang lain? Dekat rumah siapa pulak? Aku kenal ke?

“Aduhhh... Sakitnya...” Aku gerakan kepala ke kiri sekali. Ke kanan sekali. Baru nak angkat tangan, terasa tangan macam tersekat. Terus aku tersedar dan lihat pada tubuh sendiri. Mata aku terbeliak besar.
Aku kena ikat?? Oh my god. Aku kena culik. Aku kena culik rupanya. Kena culik dengan siapa pula ni? Siapa yang culik aku? Aku takde duit kalau dia minta pampasan. HISH. Apa nak buat ni? Jerit? Jerit minta tolong? Gitu ke?

Krek. Pintu yang menghubungkan bilik air terbuka.

Aku bulatkan mata. Nahlan?? Terus bangkit nafsu marah aku dan semuanya sudah jelas ditontonkan pada aku akan bagaimana aku boleh datang ke sini. Lelaki keparat ini. Dan jelas sangat Nahlan yang pukul aku sampai aku tak sedarkan diri.

Kurang ajar.

Biadap.

Tak guna.

“Bangun dah?” Soal Nahlan tanpa pandang wajah Humaira. Dia bergerak mengambil telefon yang dicas di atas meja sambil membaca mesej satu demi satu.

“Buka tali ni.” Arah aku mengetap bibir.

Nahlan diam.

“Saya cakap buka tali ni!!” Bentak aku kuat.

Nahlan masih diam. Matanya masih tak lekang melihat pada skrin telefon. Membaca satu demi satu akan semua maklumat yang telah dia curi beberapa jam sudah di Ilson Fund.

“NAHLAN!” Jerit aku kuat.

Nahlan angkat kepala. Melihat pada sang pemanggil. “Oh. Kau panggil aku ke?” Tayang wajah selamba, Nahlan lontar soalan yang sengaja memang bertujuan dan berniat untuk sakitkan hati Humaira.

“Saya cakap buka tali ni! Eigh!!!”

“Tengoklah dulu...”

“Ha?? Bukalah tali ni. Awak ni kenapa nak ikat saya? Bukalah. Buka cepat!” Aku dah hilang sabar dengan perangai Wan Ahmad Nahlan. Ada yang free je kena makan kaki karang.

Dan sekali lagi, Nahlan diam. Dia labuhkan punggungnya atas hujung katil sambil menarik satu bungkusan makanan yang dia sempat beli tadi. Dibuka polisterin berwarna putih itu sebelum menyuap nasi goreng yang dipesan ke dalam mulut dengan tubuh menghadap Humaira. Kunyah dan terus kunyah.

“Nak?” Pelawa Nahlan setelah menyuap beberapa kali nasi ke dalam mulut.

“Huh!” Aku kalihkan kepala ke tempat lain. Malas nak hadap muka Nahlan yang memang menyakitkan hati. Dah lah aku tengah lapar. Kurang ajar betul lelaki ni.

“Aku beli satu je tau. Kalau kau nak, kau kena bagitahu cepat. Nanti habis aku makan.” Krup krap bunyi yang terhasil dari mulut Nahlan.

Aku gigit bibir bawah aku kuat-kuat. Mengganggu betul iman aku dengan bau yang enak tu. Patut ke aku minta sikit? Ke tak payah? Mogok lapar je. Nanti aku dah tak larat, mesti Nahlan akan lepaskan ikatan ni. Tahan Humaira. Tahan. Kau kena tahan. Macam mana kau tahan sabar dengan perangai Nahlan, macam tulah kau kena tahan rasa lapar kau. Jangan nampak sangat yang kau pun nak juga makanan dia. Dah jelas dia tak berniat nak bagi kau makan. Tanya setakat nak sakitkan hati. Sebab itu dia beli satu je.

Aku jilat bibir aku yang kering.

“Betul tak nak nie...?” Pancing Nahlan dengan keningnya yang tergerak atas bawah. Lucu melihat keletah Humaira yang menahan dirinya untuk tak minta makanan dari dia. Dah lah bunyi perut Humaira sampai ke telinga dia boleh dengar. Pun ada hati nak tahan.

Gulp. Aku telan air liur.

“Tak nak sudah! Aku habiskan je sor...”

“NAK!!” Pejam mata, aku jawab nak dengan kuat. Ah lantaklah. Aku lapar. Lapar giler pulak tu. Tak tahulah sekarang dah pukul berapa. Dekat jamuan tadi, aku sempat makan sikit je.

Nahlan senyum. “Apa dia? Tak dengar.” Nahlan korek telinga dengan hujung jari kelingking. Mendera dan terus mendera jiwa insan di hadapan.

Eighh!!! Kurang asam betul lah. Aku dah cakap kan tadi? Pekak ke apa lelaki ni?

“Nak ke tak nak?”

“Nak. Saya dah cakap saya nak tadi kan? Awak pekak ke?”

“Hurmm... Tak. Tak dengar. Sebab kau cakap kuat sangat. Kalau kau slow downkan sikit volume suara kau, mungkin aku akan dengar...”

“Nak.” Balas aku perlahan. Lantaklah malu ke... Tak tahu malu ke... Tapi perut aku memang tengah lapar. Apa pun, kena isi dulu.

“Lah. Nak ke? Kenapa tak cakap dari tadi yang kau nak. Nasib baik aku tak habiskan nasi goreng ni.” Nahlan bergerak mendekati Humaira. Dicangkungkan tubuhnya dengan mata tak lepas memandang wajah sang isteri.

“Nak makan dalam polisterin atau nak makan dalam pinggan?”

“Mana-manalah!” Jawab aku tahan bengang.

“Polisterin atau pinggan? Kalau kau tak jawab soalan aku, kau tak dapat makan.”

“Polisterin.” Balas aku sepatah.

“Okay. Nah. Makanlah.” Nahlan letak bekas polisterin yang dia pegang ke atas riba Humaira dengan sudunya sekali. “Makan sampai habis pun takpe. Sebab tak sedap sangat. Jadinya, kau habiskanlah.”

“Macam mana saya nak makan kalau awak tak buka tali ni?”

“Oh yelah. Kena buka tali kan? Baru boleh kau makan.”

Aku pandang je muka Nahlan. Aku sepak kang!

“Cepatlah. Buka tali ni.”

“To...long.”

“Ha?”

“Kalau kau letak perkataan tolong antara ayat kau, lagi cun aku rasa.”

“Kenapa pula saya nak kena minta tolong pada orang yang ikat saya?”

Nahlan jongket bahu. “Well... As you said.” Nahlan angkat tubuh dan beredar dari situ.

“Tolong.” Aku tahan Nahlan untuk dia tak pergi dari situ.

Nahlan pusing.

“Boleh tak tolong bukakan tali ni? Sebab saya nak makan? Please?”

Nahlan senyum. “Lahai. Kenapalah tak minta tolong dari tadi? Aku pun terfikir juga macam mana kau nak makan dengan tangan kau melekat je dekat bangku tu. Kejap. Aku 'tolong' bukakan tali yang ada.” Nahlan datang ke Humaira sekali lagi dan buka tali yang melilit pergelangan tangan Humaira. “Aku buka yang belah kanan je tau. Sebab kau makan guna tangan kanan kan? Yang kiri tu, satgi aku buka bila aku rasa nak buka.”

“Bila?”

“Bila aku rasa aku nak buka.”

Aku merengus. Malas aku nak balas lebih-lebih. Nak makan je kalau boleh. Nanti dah ada tenaga, aku balas pulak. Seketika, makanan dah selamat masuk ke dalam mulut aku. Ermm... Sedap je. Apa yang tak sedap dengan nasi goreng ni? Ke deria Nahlan dah rosak?

“Air nak tak?” Soal Nahlan. Asyik benar melihat pipi itu kembung kempis. Sekejap penuh dengan makanan. Sekejap kempis bila dah telan makanan. Comel. Setakat ini, dapat dia simpulkan yang Humaira sangat comel bila dia makan dalam keadaan yang tengah lapar giler.

“Nak.” Balas aku mengangguk sekali. Dah tak peduli dengan kehadiran Nahlan bila dah dapat makanan. Bila ada orang yang nak hulurkan air, aku angguk jelah tanda aku nak. Siapa pun lagi nak bagi air kat aku? Mamat selenga yang ada ni jer yang boleh bagi.

Nahlan sengih. Terus dia tuang air mineral ke dalam gelas yang ada sebelum diletakkan di tepi kaki Humaira. Karang tercekik, mampus aku.

“Takde terima kasih ke... apa ke...”

Aku geleng kepala laju-laju.

Nahlan tarik polisterin dan gelas itu semula.

“Terima kasih.” Laju aku ucap terima kasih pada Nahlan. Eeeiii... Buruk siku punya lelaki. Dah bagi, nak ambil balik. Apa punya lelaki lah mamat ni? Nyesal aku kahwin dengan dia. Takde lagi dalam dunia ni suami ikat isteri atas bangku macam aku. Nahlan sorang je lelaki dalam dunia ni yang buat isteri dia macam tu.
Tidak semena, jari Nahlan selitkan rambut Humaira yang berjuntai itu ke belakang telinga Humaira. Tapi dengan lekas aku elak dengan gerakkan kepala aku ke belakang.

“Tak payahlah kacau saya makan.” Marah aku bengang.

“Nanti kau termakan rambut kau sekali macam mana? Karang tak fasal jadi kes keracunan makanan pulak. Tengok rambut kau ni, aku dah boleh tahu yang kau memang dah lama tak shampoo...”

Aku jeling Nahlan tajam dengan mulut tak henti mengunyah makanan. “Saya dah ada tenaga nanti, siap awak saya kerjakan.”

“Yes sure. Can't wait for it.” Balas Nahlan seraya pergi dari situ.

Bengong. Bentak hati aku kuat.

“Saya dah habis makan. Saya nak pergi toilet.” Kata aku pada insan yang sedari tadi asyik sangat lihat pada telefonnya. Entah apalah yang kau tengok tu? Gaya sibuk si Nahlan ni, mengalahkan sibuknya kabinet-kabinet menteri yang dekat luar sana.

Nahlan bisukan diri. Fokusnya hanya pada skrin yang ada pada telapak tangan. Menghadap satu demi satu maklumat yang telah dia dapat awal pagi tadi.

“Saya cakap saya nak pergi toilet!” Kali ini aku jerit. Peduli apa kalau ada yang dengar. Kalau ada yang dengar, itu lagi bagus. Senang sikit kerja aku.

Dan sekali lagi, Nahlan hanya bisukan mulutnya sahaja. Sikit pun jeritan Humaira tak menyapa telinganya. Senang cakap, dia tak terkesan langsung dengan jeritan yang berterusan keluar dari mulut Humaira.

“NAHLAN!!” Aku hentak kaki aku kuat.

“Oh. Panggil aku eh?” Nahlan pusingkan kepalanya melihat Humaira yang tengah tahan marah.

“Habis tu? Ada orang lain ke kat sini? Ke awak ni sebenarnya hantu? Nama awak bukan Nahlan ke?”

“Ouh aah. Betul lah tu. Nama aku Nahlan. Nak apa eh? Panggil jerit-jerit macam tu? Memang tak reti nak panggil slow sikit ke apa? Ke waktu kecil kau telan mikrofon?”

“Saya cakap saya dah habis makan. Nak pergi toilet. Saya tak solat zohor lagi. Dah pukul empat dah ni. Nanti asar. Nanti saya terlepas zohor.” Cepatlah buka tali ni. Aku dah tak tahan nak ke bilik air. Dari tadi asyik tahan.

Nahlan bangkit dari duduknya lalu duduk berlapik lutut menghadap Humaira. “To...long.”

Aku ketap bibir.

“Tolong bukakan ikatan ni boleh tak? Wahai insan yang pemurah hati? Saya betul-betul nak pergi bilik air. Dah tak tahan sangat dah ni. Kalau saya terlepas dekat sini, awak juga yang tak tahan dengan bau dia.”

Nahlan sengih. “Nak pergi bilik air je ke, atau nak larikan diri diri sekali?”

“Pergi bilik air je.” Balas aku tanpa nada.

“Betul?”

Aku angguk.

“Betul?” Nahlan tanya untuk kali kedua.

Aku rapatkan wajah aku ke wajah Nahlan. Lepas itu aku rapatkan mulut aku pula ke telinga Nahlan.

“IYA!!” Jerit aku kuat.

“Aduiii...Kau ni kan...” Nahlan usap telinga dia beberapa kali. “Dasyat betul suara kau ek? Dah berapa kali kau asyik jerit hari ni? Mana datang tenaga kau nak jerit-jerit macam ni dalam sehari? Hairan aku. Badan dahlah kecil. Ringan pulak tu. Hurmmm...” Fikir Nahlan meletakkan dua jarinya ke dagu.

“Patut ke aku buka tali tu?”

“Nahlan please. Saya nak pergi toilet. Saya tak tipu. Betul-betul tak tahan ni. Lagipun saya tak solat lagi. Dah pukul empat lebih dah.” Rayu aku perlahan memandang mata Nahlan. Meminta simpati.

Nahlan anggukkan kepalanya beberapa kali. Dia taklah kejam mana kalau melibatkan perihal agama semua ni. Tapi masalahnya, susah betul dia nak percaya dengan Humaira.

“Aku kan...” Nahlan leraikan ikatan di tangan kiri Humaira satu demi satu. “...harap sangat boleh percaya dengan apa yang kau cakap. Tapi Humaira...” Nahlan kerlipkan matanya sekali. “Muka kau nampak sangat memang tak boleh percaya. Tapi takpelah. Aku buka juga semua tali ni. Jenuh pula nak jawab nanti kat akhirat sana sebab kenapa tak bagi kau solat sedangkan kau boleh nak solat dan takde masalah nak tunaikan kewajipan yang satu itu.” Kemudian, dia buka pula tali yang melilit kedua kaki Humaira.
Bap. Aku tolak tubuh Nahlan cepat dan terus berlari dengan tangkas ke dalam bilik air. Mahu menunaikan hajat yang sudah terbantut lama.

Nahlan geleng kepala.

Selesai semuanya, aku keluar dari bilik air dan terus tunaikan solat zohor. Awal teruk zohor aku hari ni. Jangan jadi asbab tak masuk syurga sudah. Mujur bilik ni ada sediakan telekung. Kalau tak, memang aku sepak terajang si Nahlan tu. Habis bagi salam, aku pandang ke arah katil. Melihat sekujur tubuh yang sedang terbaring lesu dengan satu lengan dia atas kepala.

Yup. Inilah masa yang dinanti-nantikan. Apa lagi? Cabut lari jom.

Satu langkah, dua langkah, tiga langkah. Aku dah sampai depan pintu. Baru nak pulas tombol, ada bunyi beep beep yang terhasil. Terus aku pandang Nahlan.

“Pintu tu kunci sampai esok. Kalau nak keluar kena ada cap jari aku. Hotel ni konsep dia self-check-in. Takde staf. Kalau kau book untuk 12 jam straight, esok pagi baru dia akan terbuka dengan sendirinya. Unless guna cap jari aku.” Kata Nahlan dengan mata yang tertutup rapat.

Aku pejam mata. Aku ketap bibir. Aku hentak sebelah kaki kuat. Hish. Bengong. Aku rasa macam nak cekik-cekik je leher si Nahlan tu. Kasi mampus lagi bagus.

“Dah tahu self-check-in, check in jelah sorang-sorang. Angkut saya buat apa??”

“Kau baru je solat. Habis pahala solat kau sebab dok kutuk aku.”

Aku mengap. Kena tegur direct dengan suami sendiri. Berbahang satu muka aku.

“Jangan buat bising ya. Aku nak tidur. Penat angkut kau sampai tingkat tujuh ni walaupun pakai lif.” Ambil bantal, Nahlan tekup seluruh wajahnya sebelum hanyut dalam tidur.

Aku pasrah. Nak buat apa lagi kalau dah kena kurung macam ni? Bukan boleh buat apa pun. Lalu, aku pergi ke arah beg tangan. Keluarkan telefon bimbit sebelum tekan punat on. Nampak sangat yang Nahlan off kan telefon aku.

Shit. Karisma. Ya tuhan. Sumpah aku lupa.

'12 missed call'

Terus aku telefon Karisma. Baru satu dering, suara Karisma dah pecahkan gegendang telinga aku.

“Kau pergi mana, gila?? Macam bodoh cari kau tadi?!” Marah Karisma membentak geram.

“Sorry. Sorry. Aku minta maaf. Aku betul-betul minta maaf. Madam cari aku tak? Yang lain cari aku juga tak??”

“Gila tak cari? Semua dok cari kau tahu tak! Mujur tak buat laporan polis. Kau patut berterima kasih kat aku sebab aku back up kau. Now. Tell me kau pergi mana?!”

“Aku tak sihat tadi. Lepas pergi bilik air, kepala aku pening semacam. Aku terus pergi ke kereta. Aku nak call kau bagitahu, tapi tak sempat. Bateri aku mati pulak.” Aku kena cipta alasan. Menipu sekalipun, aku kena juga cipta alasan. Takkan nak cerita fasal kena kidnap dengan suami sendiri? Karang kena cerita pulak yang kisah aku kena kahwin dengan Nahlan. Aduii... Ini semua Nahlan punya fasal.

“Sakit?? Sakit apa? Lepas tu, kau pergi jumpa doktor tak? Doktor cakap apa? Kau nak aku datang rumah kau? Ma dengan babah kau ada tak tu jaga kau??”

“Aaaa... takpe, takpe. Tak payah datang. Aku okay. Makan panadol tadi. Dah tidur kejap. Ni baru bangun.” Tipu aku lagi dan lagi. Bab tidur aku tak tipu. Tapi bab yang lain, semuanya aku tipu. Sorry Karisma. Aku tipu kau. Ada masa lebih baik nanti, aku cerita semuanya sekali kat kau.

“Hish kau ni... Buat risau aku je tahu tak. Aku ingat kau hilang. Kena culik ke sebab pakai cantik sangat. Lain kali bagitahulah. Jangan buat macam tu dah.” Tegur Karisma dengan nada yang sangat risau.

“Okay. Sorry again. Maaf tau. Aku hutang kau makan tengah hari untuk tiga hari. Amacam? Okay tak?”

“Lima hari.”

“Okay, okay. Lima hari. Mula esok.”

“Esok apanya...? Jangan nak mengarut. Kau tu tak sihat lagi. Nanti aku isi MC untuk kau. Tak payah datang esok. Kau bagi je aku gambar resit klinik. Nanti aku bagi madam.”

Ah sudah.

Apa aku nak jawab kalau macam ni? Nak hantar gambar apa sedangkan aku tak pergi klinik pun.

“Tak payah. Alah kau tahu jelah aku. Ubat aku paling mujarab adalah tidur. Ini kalau aku tidur sampai esok, confirm dah sihat. Aku rasa, aku ambil half day je kut. Nanti aku email ke bahagian HR. Kau jangan risau. Muka cantik aku, kau akan nampak esok.” Seloroh aku sengaja.

“Okay. Tapi kalau tak sihat esok, terus roger aku. Jangan dok simpan sorang-sorang.”

“Baik. Terima kasih tau. Jasa kau, akan aku kenang sampai liang lahad.”

“Tak payah liang lahad sangat. Esok kalau kau tak sihat, tunggulah bebelan aku tiga bulan tak henti.”
Aku senyum. Lepas tu aku berborak sikit dengan Karisma sebelum kami berdua matikan panggilan.

Sejenak, azan asar berkumandang. Aku pandang Nahlan sekali lagi.

“Patutlah perangai tak macam orang. Suka tidur asar rupanya....tsk tsk...”

Aku garu lengan aku. Aku garu leher aku. Ya tuhan. Rimasnya lahai. Sumpah aku rimas dari siang ke malam asyik pakai baju ni. Dress pulak tu. Lepas solat maghrib tadi, ingat nak mandi. Tapi terlelap pulak dekat atas sejadah. Sampailah pukul sembilan malam. Lengas satu badan dibuatnya. Nak minta baju dengan Nahlan? Dia pun entah ke mana? Biadap punya lelaki. Keluar tak ajak aku.

Krek. Pintu bilik dibuka dari luar.

“Nah. Aku beli baju untuk kau. Pergilah mandi. Bau dah macam apa. Kalah bau belacan.” Hulur satu beg plastik pada Humaira, Nahlan letak dua bungkus makanan atas meja.

“Boleh je kan kalau hantar saya balik. Apa masalahnya?”

“Masalahnya kita bukan dekat KL.”

“Bukan dekat KL?”

Nahlan angguk.

“Habis tu? Kita dekat mana?”

“Pahang.”

“Pahang??!”

“Yup. Pahang. Dekat dengan Pantai Cherating.”

Aku picit dahi aku. Ya tuhan. Macam mana boleh jadi macam ni? Setahu aku tadi, aku dekat area wangsa maju. Sebab bangunan Ilson Fund dekat dengan wangsa maju. Tiba-tiba malam ni aku dah sampai dekat Cherating? Ups silap. Petang tadi sebenarnya aku dah dekat Cherating. Kebodohan apakah ini?

“Saya ada kerja esok, Nahlan.”

“Baguslah. Aku pun ada kerja esok. Dan bukan kau sorang je yang ada kerja esok hari. Semua orang yang bekerja esok hari, semuanya akan bekerja esok.”

Tak payah nak loyar buruk sangat boleh tak? Saya cakap saya kena masuk kerja esok tepat pukul lapan pagi.”

“Subuh nanti, aku hantarlah kau balik.”

Aku picit dahi aku kali kedua. Mujur aku cakap dengan Karisma yang aku nak ambil half day. Boleh bingai pale hotak aku dok hadap mamat sekor ni.

“Whatever.” Aku angkat tubuh dan masuk ke dalam bilik air. Beberapa saat berlalu, aku keluar dari bilik air. Wajah paling bengis aku tayang kat Nahlan.

“Mana seluarnya?? Kenapa ada baju je?” Aku angkat satu baju itu tinggi ke udara.

“Aku jumpa baju je. Seluar tak jumpa.”

“Habis tu? Awak expect saya nak tidur malam ni pakai baju je ke??”

“Apa masalahnya ni?” Nahlan silangkan tangannya rapat ke dada. “Dah cukup labuh kan baju tidur tu dengan tinggi kau yang rendah ni? Cuba bersyukur sikit dengan apa yang aku dah bagi. Ingat senang nak cari baju tidur cantik macam tu?” Tipu. Dia tipu. Sengaja dia beli baju tidur yang labuh sampai ke lutut dengan corak kartun Shin Chan di hadapan baju. Nama pun Nahlan. Lelaki lagi. Tak sah kalau fikiran dia tak nakal-nakal sikit.

“Masalahnya...” Aku hentikan kata. Aku tarik nafas. Masalahnya dengan baju dalam aku. Takkan aku nak pakai yang siang tadi punya. Boleh jadi gatal tahu tak satu badan aku nanti. Eigh!!! Kenapalah aku boleh terjebak dengan kehidupan lelaki sewel ni?? Hish.

“Apa masalahnya?? Kalau nak sangat pakai seluar... ambil seluar aku tu ha. Pakej sekali dengan kain pelekat yang aku buat sembahyang.” Nahlan ketap bibir. Tahan tawa. Tahan gelak. Sumpah hati dia tergeletek lucu lihat wajah merah Humaira sekarang ni.

“Hish. Menyakitkan hati betul awak ni. Lain kali belilah baju yang elok sikit. Ingat saya ni budak-budak ke nak pakai baju tidur siap ada gambar kartun!”

Usai selesaikan solat isyak, aku bukak telekung dan sangkut pada penyidai. Lepas tu aku kerling lihat Nahlan yang dah berdengkur atas katil. Tidur mati agaknya lelaki ini. Dengan perlahan, aku tutup suiz lampu dan tinggalkan hanya satu lampu kecil sahaja yang menyala. Lepas tu, aku tarik makanan yang Nahlan beli tadi dan duduk di tepi tingkap. Aku rasa hotel ni jauh dari pantai. Sebab yang aku nampak hanyalah beberapa deretan kedai makan dan manusia yang lalu-lalang sahaja dan semuanya bersaiz kecil. Tak nampak pun kelibat pantai.

“Yeker aku dekat pahang? Entah-entah dia tipu aku.” Aku sumbat mee goreng ke dalam mulut usai baca doa. Kain pelekat yang aku sarung, aku betulkan sikit. Asyik nak melorot jatuh je. Ini kalau ada yang nampak apa yang aku pakai malam ni, mesti akan jadi bahan boneka. Paling sekejap satu bulan.

“Apesal makan tak ajak aku?” Soal Nahlan menarik satu kerusi sambil membuka bungkusan bihun goreng di dalam polisterin putih.

Eh kau. Bila bangun? Aku tak perasan pun. Ralit sangat tengok apa yang ada dekat bawah sana tu. Sampai tak perasan aku dengan mamat ni.

“Sejak bila awak suka makan dengan orang?”

Nahlan senyum sambil menggeleng kepala. “Kau ni bila nak penat eh? Asyik nak cari gaduh memanjang? Tak penat ke?”

Aku kulum lidah. Penat. Tapi dengan kau, aku sanggup jual penat aku semata-mata untuk gaduh dengan dia.

“Kenapa awak bawa saya kat sini?” Soal aku nak tahu. Petang tadi tak sempat nak tanya. Itu yang aku tanya sekarang.

“Saje.” Balas Nahlan sepatah. Bihun goreng yang ada, dia mula masukkan ke dalam mulut.

“Awak ni kerja apa sebenarnya?” Soal aku lagi.

Kali ini Nahlan teguk air pula dari botol mineral. “Perisik.” Jawab dia juga sepatah.

“Perisik?” Aku kerut dahi.

Nahlan angguk.

“Bukan polis ke? Ma saya cakap, awak polis. Mak awak pun cakap yang anak dia kerja polis.”

“Dulu je. Empat tahun aku jadi polis bawah siasatan jenayah berat. Lepas tu aku minta untuk tukar ke bahagian perisikan negara.”

“Apa beza dia??”

“Takde beza sangat pun. Cuma tak perlulah pakai unit seragam setiap kali ada function. Dan buat kerja waktu semua orang tengah tidur. Cari bukti. Cari maklumat. Biasanya sebab pihak polis tak boleh nak tangkap golongan yang susah nak digari. Kena guna cara lain.”

“Golongan susah digari tu, maksud awak macam Tuan Aswi tu ke?”

Nahlan angguk mengiyakan.

“Oh... Ada fungsi rupanya awak ni. Ingatkan tahu panjat rumah orang jerr...” Yang last tu, aku perlahankan sikit suara aku.

Kali ini Nahlan pula yang kulum lidahnya. “That's was a mistake. And I'm sorry for it, okay?”

Aku terdiam. Huish. Ini lain macam dah ni. Tak sangka lelaki ni boleh minta maaf dengan aku sambil makan bihun goreng. Fuiyyyoo... Berita hangat ni. Tak sempat pulak nak rakam. Mungkin sebab ego dia dah tak tinggi macam pokok kelapa kut. Tinggi macam pokok rambutan je.

“Apa-apalah.” Dah tak tahu nak kata apa sebab terperanjat dengan kata maaf yang Nahlan hulurkan, aku sepikan mulut sahaja. Makan mee goreng lagi bagus.

“Berapa kali kau kena macam tu dengan dia?” Soal Nahlan setelah menghabiskan separuh bihun goreng yang ada.

“Siapa? Tuan Aswi?”

Nahlan angguk. “Tak payah nak tuan sangatlah dengan dia. Meluat aku dengar.” Kulum lidah, Nahlan tayang wjah tak puas hati.

Ye tak ye ek? Aku pun meluat juga sebut tuan dengan dia sebenarnya. “Banyak kali dah kena. Itu bukan pertama kali kut dia buat macam tu. Banyak kali dah dia buat. Bukan kat saya je. Kat orang lain pun dia buat macam tu juga.” Terang aku meneguk air sekali.

“Dan kau masih datang situ?”

Aku angguk.

“Kenapa?”

Aku hentikan kunyahan sekejap. Mee goreng yang masih berbaki, aku kuis kiri dan kanan. “Entahla... Saya sebenarnya takde jawapan untuk yang tu. Cuma saya nak pelajar-pelajar saya diberikan perhatian sama macam dekat sekolah biasa. Kalau kata pelajar biasa dapat biasiswa dengan senang, pelajar sekolah khas pun patut dapat biasiswa yang sama juga. Hanya sebab diorang takde tangan, lahir buta, lahir tanpa kotak suara diorang tak boleh pegang sijil. Saya nak diorang rasa yang diorang pun layak untuk semua tu. Equality is what I fight for.”

“Equlity yang kau cakap tu, mana ada makna dah dekat dalam dunia sekarang.”

“Ya saya tahu. Tapi kalau bukan semua yang dapat, sorang yang dapat pun jadilah. Itu pun dah cukup untuk saya.”

Nahlan gamam. Tak sangka sinar mata Humaira sekarang ini tengah tunjuk yang dia sedang ikhlas buat semua itu. Pokoknya, tak kisah kena maki. Asalkan pelajar dia dapat hak yang sama rata dengan orang lain.

“Aku tak faham kenapa kau buat semua ni??”

“Sebab takde siapa sayang diorang.” Jawab aku menunduk kepala.

“Mak ayah diorang kan ada.”

Aku sengih. “Awak nak tahu?” Aku angkat wajah. “Boleh kata separuh dari pembangunan sekolah adalah datang dari duit PIBG. Yang disalurkan oleh mak ayah yang hantar anak diorang masuk ke situ. Duduk dekat situ. Makan dekat situ. Jalani kehidupan dekat situ. Tapi sekali pun tak pernah datang nak jenguk. Ada tu, hanya hantar takat depan pintu pagar je. Dan ada yang driver dia yang hantar. Ada yang hantar awal tahun. Akhir tahun cuti panjang baru nampak muka. Ahhh... Dan baru saya sedar lepas saya tengok sandiwara yang berlaku depan mata. Dengan duit yang jelas nak tutup suara kami untuk tak ceritakan pada pihak luar tentang kewujudan anak mereka. Saya sedar, apa pun title yang awak pegang dalam dunia ni, awak masih seorang manusia yang tak boleh terima yang tak sempurna tu ada depan mata tatkala jadikan duit sebagai yang menyempurnakan diri sendiri. Dan saya faham. Sangat faham apa perasaan kena tinggal dengan keluarga sendiri. Perit tak terkata. Sedih. Sedih sangat.” Mata aku mula bergetar dalam kesedihan.

Teringat memori aku pada usia yang sangat kecil. Kena tinggal dengan Kayla dekat belakang Chow Kit. Hanya sebab dia benci aku. Hanya kerana tak nak berkongsi kasih sayang ma dan babah dengan aku. Kata Kayla, kehadiran aku dalam keluarga itu menyusahkan dirinya.

“Kau pernah kena tinggal ke dengan keluarga kau?”

Aku tersentak. Lepas itu, aku kerutkan dahi. Eh lelaki ini. Gaya cakap macam tak tahu. “Dah terang kan yang kahwinkan saya tu bukan ayah saya. Ma saya takde cakap dengan awak ke yang saya bukan anak diorang?”

“Ada. Mestilah ada.” Balas Nahlan.

“Bijak juga soalan awak ni kadang-kadang tu...” Dengan selamba, aku hambur kata yang sangat enak pada Nahlan.

Nahlan hembus nafas. Sejenak, dia rapatkan bibir. Melihat pada wajah di hadapan. Yang sedang mengunyah dengan perlahan dan tertib. Mahu ditanya soalan demi soalan yang mula bertandang dalam akal fikiran. Tapi dia biarkan sahaja yang bertandang itu berlalu pergi. Masakan dia tak tahu. Ma kepada Humaira ini ada datang berjumpa dengannya beberapa hari sebelum mereka berkahwin.

“Aku tidur atas katil. Kau pergi tidur dekat tempat lain.”

“Saya tak cakap pun saya nak tidur atas katil.”

“Kain pelekat yang kau tengah pakai tu, tolong buka ya sebelum subuh nanti. Aku nak guna. Kalau tak, aku tarik waktu kau tidur nanti. Kasi telanjang.” Angkat tubuh, Nahlan bergerak ke pintu bilik air. Mahu membersihkan diri sebelum tidur.

Aku jeling pada Nahlan. Dia ni memang tak reti guna perkataan elok sikit bila bercakap dengan perempuan ke macam mana ek? Tak sopan betul. Perangai mengalahkan bau busuknya tahi kucing. Huh.

“Haih.” Keluh Nahlan sebelum mula menggosok gigi. Kenapalah pakai kain pelekat aku? Kan bagus kalau pakai baju tu je. Sekurangnya, sedap mata aku nak pandang malam ni. Hish. Terlepas lah pulak masa untuk cuci mata.

Aiyyo!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience