Bab 6

Romance Series 23565

“Maruah itu halus. Tak ternampak oleh mata kasar. Tak tergapai oleh tangan. Tapi yang halus itu, kesannya sangat besar. Pada siapa? Pada mereka yang merasakan maruah itu adalah satu tanggungjawab.”

“Kamu buat apa Nahlan? Anak dara orang tu?! Kenapa tak cakap dengan mak yang kamu suka dengan dia? Sampai nak panjat rumah bagai. Sejak bila mak ajar kamu panjat rumah orang lepas tu buat perkara tak senonoh macam tu?!” Tengking Anita kuat. Sakit hatinya bila si anak menelefonnya di malam hari mengatakan yang diri itu tersepit dengan masalah yang dia sendiri cipta dengan pecah masuk bilik si dara. Mahu tak sakit hatinya dengan perangai si Nahlan.

“Mana ada Nahlan suka dia.” Tidak Nahlan untuk keberapa kali sudah tatakala diasak dengan soalan yang sama sahaja. Dari malam tadi kena tahan dekat rumah Encik Yusuf. Gara-gara kelakuannya semalam yang menyelamatkan anak orang tu, dituduhnya berkelakuan sumbang dengan perempuan bernama Humaira. Pagi ini, baru mak dan ayahnya datang untuk selesaikan masalah yang dia sendiri cipta.

“Kalau tak suka, kamu panjat bilik dia buat apa?!” Kecewa sungguh dengan sikap si anak. Lepas subuh, terus datang ke sini. Bertemu dengan pemilik rumah yang sudah Nahlan pecah masuk. Yusuf bersama isterinya Khadijah. Berjumpa sekejap je tadi lepas mereka berdua mengatakan mahu berbincang dengan si anaknya di bilik atas.

“Nahlan ada kerja.”

“Jangan nak menipu mak, WAN AHMAD NAHLAN!!” Dah tak peduli di mana dia berada. Panas di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Sikit lagi, memang tangan dia naik tinggi kalau perkataan 'sabar' itu dan dikupas satu demi satu macam mengupas kulit bawang.

“Anita. Duduk dulu.Kita dekat rumah orang ni. Kut ya pun nak marah, balik rumah dulu. Baru nak marah. Kita tunggu diorang turun. Diorang pun pergi tanya semuanya sekali dekat anak diorang.” Pujuk Musa sang suami.

“Nahlan tak tipu, mak. Nahlan tak pernah nak tipu mak. Tapi Nahlan memang datang sini atas urusan kerja.” Nahlan pertahankan diri. Takkan dia nak cakap yang dia datang sini sebab nak ambil pendrive yang satu itu. Dan ini bukan kali pertama dia pecah masuk bilik orang yang takde kaitan dengan tugas dia atas urusan kerja. Tapi sumpah. Dia tak pernah berniat pun nak apa-apakan perempuan tu. Yang malam tadi itu pun dia hanya nak selamatkan perempuan itu sahaja. Takkan nak tendang pula si Humaira tu. Mestilah dia peluk kuat-kuat. Memang itu je caranya nak selamatkan tubuh yang sedang berdiri tanpa sebarang alat keselamatan.

Tapi masalahnya dia hancurkan meja dan semua barang yang ada di atas meja tersebut. Habislah bunyi bergema satu rumah. Itu yang tak sempat dia nak kalihkan tubuh, mak dan ayah si Humaira terus masuk dalam bilik. Makanya, dia dituduh dengan tuduhan yang bukan-bukan. Ada ke patut? Tak puas hati betul. Dia bukan buat jenayah kut. Dia selamatkan nyawa orang kan? Apesal kena tuduh berkelakuan sumbang pulak?
Hish.

“Kamu dengar ke tidak, Nahlan?!”

“Dengar.” Tunduk wajah, Nahlan tarik nafas dalam-dalam. Celaru. Serabut. Rimas. Tak tentu arah. Semuanya sedang berperang dalam hatinya.

“Itu tak dengar lah tu.” Pap. Dah geram sangat, Anita pukul bahu si anak.

“Nahlan dengar mak...” Sedih tengok maknya yang sedang diselaputi dengan rasa marah. Marah dan kecewa. Kalau marah sahaja, takpe. Itu boleh lagi dia terima. Tapi bila lihat mata mak dia yang sudah penuh dengan bibit-bibit kecewa, sumpah dia sedih. Itu sebab dia tundukkan wajah. Tak punya kudrat nak panah mata mak dia dengan sangat lama. Boleh pecah tangisnya nanti.

“Mak nak kamu berhenti kerja. Toksah nak kerja dah jadi polis apa semua tu. Orang jadi polis nak buat kerja baik. Kamu jadi polis, perangai makin TERUK.” Ditekankan perkataan teruk itu di hujung ayat. Mahu Nahlan tahu yang dia bukan cakap hanya di bibir sahaja.

“Mak. Apa ni? Nahlan memang nak jadi polis dari kecil kan? Takde kaitan langsung kerja polis dengan apa yang dah jadi. Nahlan dah cakap kan yang...”

“Habis tu?! Aah ya. Memang. Memang semua ni salah mak. Mak yang tak reti ajar kamu buat perangai elok sikit. Mak yang salah sebab mak setuju biar kamu jadi polis. Walaupun mak takut dengan kerja kamu tu, tapi mak izinkan juga kamu untuk jadi polis. Kamu kata nak jadi orang baik. Nak tangkap orang jahat. Tapi sekarang? Kamu yang buat jahat dekat orang lain. Siapa yang salah dekat sini? Mak kan? Mak yang salah. Mak yang salah sebab dari kecil mak tak ajar kamu jangan dok panjat rumah orang. Jangan dok masuk bilik anak dara orang. Jangan buat benda tak senonoh dekat orang lain. Mak yang salah dekat sini. Mak!! Mak yang salah!” Anita tepuk dadanya beberapa kali mengatakan semua yang berlaku ini adalah disebabkan kesalahan dari diri dia yang tak pandai nak didik anak.

“Mak...” Terus Nahlan pegang tangan sang ibunya kuat. “...Nahlan minta maaf.” Air matanya mula gugur melihat sang ibu yang sudah tidak keruan. Tak boleh nak tahan macam tadi dah. Air mata yang ini memang dia kalah. Mana mungkin mahu melihat maknya ini menitiskan air mata atas kerana kekhilafan yang terbit dari dirinya. Bukan kakinya sahaja. Bahkan, bau syurga pun takkan boleh dia hidu. Hanya neraka menjadi tempat bersemadi.

“Nahlan minta maaf, mak. Nahlan betul-betul minta maaf. Salah Nahlan semua ni. Ini semua salah Nahlan. Nahlan minta maaf, mak.” Dikucupnya tangan sang emak bertalu-talu dengan air mata yang mengalir deras di pipi. Terasa hatinya dirobek-robek dengan hujung pedang yang tajam. Anak derhaka kalau buat mak sendiri menangis. Tuhan laknat kut.

“Mak tak pernah ajar kamu buat semua tu, Nahlan. Apa nak jadi dengan kamu ni? Apa nak jadi dengan anak kita yang seorang ni, bang?? Anak dara orang tu...” Anita sembamkan wajahnya ke dalam pelukan sang suami. Terhinggut-hinggut bahunya menahan esak tangis saat merasakan yang ini semua terjadi atas kerana anak terunanya yang sudah dia didik dengan didikan agama sejak dari bangku sekolah lagi.

“Mak...” Nahlan kesat air matanya. Sumpah dia takut andai dirinya dicela dengan sang emak yang melahirkan. “...Nahlan minta maaf. Nahlan akan minta maaf dengan perempuan tu. Tapi sumpah. Nahlan tak buat semua tu. Nahlan nak selamatkan dia je.” Terang Nahlan bersungguh.

“Kamu minta maaf seratus kali pun Nahlan, orang dok cakap benda tak elok tau fasal dia. Maruah diri dia tu macam mana? Orang keliling dia macam mana nanti? Masa akan datang nanti macam mana pula?” Sayu. Sayu hatinya sebagai seorang ibu melihat tindakan anaknya yang tidak boleh diterima akal.

“Nahlan akan bertanggungjawab.”

Anita tolak tangan si anak. “Kamu ingat kamu bertanggungjawab, kahwin dengan dia semua tu... orang takkan cakap ke? Keluarga dia takkan malu ke? Macam tu? Macam tu ke? Apa? Kamu ingat dengan perkataan 'tanggungjawab' tu, semua perkara akan selesai? Keluarga kita macam mana pula? Ada kamu fikir yang tu?” Hambur Anita sayu. Kecewa. Sungguh dia kecewa dengan anak dia yang ini.
Nahlan ketap bibir.

“Senanglah. Kamu lelaki. Asal kata nak tanggungjawab sahaja, semua perkara akan selesai macam kamu petik dua jari kamu? Mak ni perempuan. Mak pun ada anak perempuan. Mak faham perasaan malu tu macam mana? Biarlah orang nak kata mak ni lapok ke apa ke... Tapi mak faham apa perasaan bila kena fitnah walaupun kamu kata tak buat apa-apa. Kalau kata benda ni jadi kat kakak kamu, cukup ke kalau kamu tengok aje...” Sambung Anita mengesat air mata yang tumpah.

“Sudahlah awaknya... Bawa bersabar dulu. Jangan bertindak melulu. Kita tak dengar lagi apa-apa dari pihak belah sana. Kita tunggu diorang turun dulu. Nahlan duduk dulu. Bawa bersabar. Kita bincang elok-elok.” Tegur Musa berhemat.

“Ayah percaya tak dengan Nahlan?” Kali ini Nahlan tarik tangan sang ayah pula. Meminta supaya mata ayahnya itu memandangnya dengan pandangan yang penuh dengan kepercayaan. Biarlah satu dunia menunding jari padanya. Tapi dia tak mahu andai mak dan ayah tidak percaya padanya. Kalau itu yang jadi, memang hidup dia akan hancur.

“Ayah tak tahu nak cakap macam mana? Tapi benda dah jadi, Nahlan. Kamu dengan dia sahaja yang tahu apa dah jadi. Kami tak tahu. Dan orang luar pun tak tahu. Semua yang keluar dari mulut kamu, kalau itu perkara yang betul insyaAllah malaikat akan catit benda yang sebenar walaupun seisi dunia tak berpihak pada kamu.” Nasihat Musa lagi dan lagi.

“Maksudnya...ayah percaya kan pada Nahlan?” Sekali lagi, Nahlan ajukan soalan yang sama. Pada sang ayah. Dia mahu walaupun sekurangnya, ada seorang manusia yang berpihak pada dirinya. Dan itu lebih bermakna kalau yang berpihak itu adalah sang ayah memandangkan maknya masih lagi diselubungi dengan rasa kekecewaan.

“Nahlan. Kita tunggu diorang turun dulu. Apa pun, berserah pada tuhan. Kalau kamu tak salah, benda ni akan diselesaikan dengan secepat mungkin.” Kata Musa.

Nahlan tunduk akur. Nak kata apa lagi? Nak sangkal macam mana lagi mengatakan yang semua ini terjadi disebabkan niat dia yang hanya mahu menyelamatkan perempuan itu dari tidak membunuh diri. Tapi salah dia juga. Dia yang mulakan semua perkara ini dulu. Kalaulah bukan sebab dia nak lari dari anjing tu dua malam yang lepas dan akhirnya masuk ke bilik perempuan itu. Kalaulah bukan sebab dia yang berdegil hati berkeras kepala mahu simpan pendrive itu dalam laci perempuan itu. Kalaulah dia tak datang ambil malam ini... Kalaulah... Kalaulah... Kalaulah...

Argh!!!

Benda itu semua takkan berpatah ke belakang. TAKKAN!!

“Puan.” Panggil Khadijah.

Serentak itu, tiga pasang mata yang ada di ruang tamu mengangkat wajah. Melihat pada si pemanggil.

“Saya rasa kita kena bincang perkara ni elok-elok.” Sambung Khadijah dengan Yusuf sang suami di sebelah.

“Ya. Saya faham. Saya minta maaf. Saya selaku mak Nahlan... Saya minta maaf pada puan dan keluarga. Saya boleh melutut minta maaf pada anak puan sebabkan saya yang tak reti nak jaga anak saya. Saya minta maaf sebab...” Anita hentikan katanya sejenak. Bercucuran air matanya mengalir ke bawah. Dia malu. Sungguh dia malu dengan perbuatan anaknya yang satu ini. Dia pun ada anak perempuan. Dia faham perasaan itu.

Bibir Nahlan bergetar. Nak celah takut akan terukkan lagi keadaan. Nak tanya pada perempuan bernama Humaira untuk dapatkan kepastian, bayang perempuan itu pun takde. Jangan cakap yang perempuan itu cerita benda yang bukan-bukan fasal apa yang dah jadi. Eh! Aku tak buat eh benda tak senonoh dengan dia. Solat aku cukup lima waktu tau. Didikan agama masih melekat teguh dalam dada.

“Takpe puan. Saya faham. Humaira dah cerita semuanya pada saya.”

Nahlan bulatkan mata. Dah cerita semuanya? Cerita apa? Sama tak cerita aku dengan cerita dia? Jangan tak sama sudahlah. Aduhai! Manalah perempuan tu! Apesal kau tak turun sekali??? Kalau ada sini kan senang. Kau yang nak bunuh diri, aku yang jadi mangsa sampai makan diri!

“Ini semua salah pihak saya.” Celah Anita. Dah malas nak dengar cerita siapa yang betul dan cerita siapa yang tak betul. Yang penting, maruah gadis itu harus dipelihara macam dia menjaga maruah diri anak dia.

“Takpe puan. Humaira dah cerita pada kami semuanya. Humaira kata ini semua salah faham. Nahlan hanya nak selamatkan diri dia sahaja. Malam tadi dia keluar berdiri atas palang beranda dengan niat hanya nak ambil angin sahaja. Tak perasan pula ada orang lain atas bumbung. Dia kata terima kasih selamatkan dia. Kalau tak, dia takkan hidup untuk hari ini. Salah anak saya juga puan. Bukan salah orang lain. Humaira ni kadang-kadang tu tak sihat sangat. Banyak kali juga dia lupa nak ambil ubat. Itu yang selalu buat perkara yang bukan-bukan.” Terang Khadijah telus.

Ha!! Dengar tu. Mak dah dengar kan! Bukan salah Nahlan. Bukan salah anak mak! Anak mak jadi sang penyelamat je!!! Jerit hati Nahlan kuat.

Seketika, Anita melabuhkan matanya kepada sang suami dan kepada si anak silih berganti.

“Tapi anak saya pun buat benda tak elok juga. Dia panjat rumah orang. Yang tu dia memang salah. Saya nak dia bertanggungjawab dengan apa yang dia dah buat.” Walau apa pun, dia mahu Nahlan bertanggungjawab dengan apa yang dah jadi. Dia tak kira. Kalau anak dia tak boleh jadi pelindung pada si gadis, biar dia sendiri yang melindungi anak itu.

“Maksud puan?” Anita kerut dahi.

“Saya nak Nahlan ambil Humaira sebagai isteri.”

Zap. Terus semua di situ terkejut dengan apa yang keluar dari celah bibir Anita.

“Mak. Kan diorang dah cakap yang...”

“Saya faham. Bukan senang nak terima semua ini berlaku. Saya percaya dengan apa yang Humaira anak puan dah ceritakan. Tapi anak saya masih salah. Dan saya tak nak cerita ini sampai ke telinga jiran-jiran yang ada. Saya faham puan. Saya perempuan. Dan saya ada anak perempuan. Kalau perkara ini jadi pada anak perempuan saya...saya akan buat perkara yang sama juga. Saya harap sangat puan setuju dengan semua ini. “ Kata Anita tidak peduli dengan perubahan ketara pada wajah si anak.

“Err...” Khadijah garu kepala. Dipandang sekejap kepada wajah suaminya.

“Saya tahu. Saya tahu bukan mudah nak buat semua ini. Dan kahwin itu bukan sesuatu yang main-main. Tapi andai ada asbab kebaikan yang terbit untuk hilangkan semua salah yang anak saya dah lakukan... memang saya nak Nahlan bertanggungjawab sebagai seorang lelaki. Saya tak memaksa untuk pihak puan setuju. Berbincang adalah perkara yang baik. Tapi andai menolak itu mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan Humaira, apa salahnya kalau kita tutup yang tak elok itu dengan satu kebaikan.” Pujuk Anita bertekad juga mahu Nahlan jadi manusia yang bertanggungjawab.

Dan sekali lagi, yang mendengar semuanya tercengang.

“Saya pun nak anak saya bertanggungjawab.” Kata Musa pula kali ini. “Kita tak tahu apa yang sebenarnya dah jadi. Dan kenapa anak saya panjat rumah encik dan puan. Tapi saya tak nak orang lain mengata Humaira disebabkan kecuaian dari anak saya sendiri atas alasan kerja. Anak saya polis. Ada integriti. Semestinya seorang yang beramanah. Dan saya yakin, dia seorang yang boleh berfikir dengan matang untuk setiap keputusan yang dia buat. Tapi saya tak boleh terima bila anak saya guna alasan kerja hanya semata untuk selamatkan anak puan dengan panjat rumah orang yang dia tak kenal hanya semata dia ada title polis. Kalau macam itu, semua orang yang ada pangkat polis boleh pergi panjat rumah orang sesuka hati.” Musa pandang pada wajah Nahlan yang jelas wajah itu sedang terkejut.

“Bagitahu kami semua dekat sini, kenapa kamu panjat rumah ni? Kerja apa yang kamu buat dengan berdiri atas bumbung rumah orang lain?” Tanya Musa mahukan kepastian. Bukan nak buat malu si anak. Tapi dia mahukan penjelasan. Memang dia malu. Tapi lebih malu kalau perkara ini ditayangkan depan semua orang dekat padang mahsyar nanti. Nampak macam mudah bukan? Tapi sebagai seorang lelaki dan seorang ayah, dia pun mahukan anak dia perjelaskan semuanya sebagai manusia yang ada tanggungjawab.

“Nahlan nak...” Nahlan telan air liur. Mampus. Aku nak jawab apa? Takkan aku nak cerita yang aku panjat bumbung tu dengan niat memang nak masuk bilik perempuan bernama Humaira. Kalau aku cerita yang itu, aku kena cerita yang fasal aku pernah masuk bilik dia dan buka laci perempuan tu. Laci yang dia simpan baju dalam pulak tu. Dan diorang akan tahu yang ini bukan kali pertama aku ceroboh masuk bilik orang perempuan yang sama. Mak dengan ayah tak tahu yang aku dah jadi perisik negara. Diorang hanya tahu yang jawatan aku hanya sebagai seorang polis berpangkat rendah sahaja.

Adus. Gawat.

Macam mana ni? Macam mana ni? Ya ampun.

“NAHLAN.” Anita mula hilang sabar.

Nahlan angkat wajah.

“Ayah kamu tanya. Kenapa kamu panjat rumah ni?! Jawab dengan elok sikit. Jangan bagi jawapan macam budak kecil!”

“Nahlan akan bertanggungjawab.” Pejam mata, dia kata je sebaris ayat tu demi tutup pekung di dada. “Kalau mak nak Nahlan kahwin dengan dia, Nahlan akan kahwin dengan dia. Dan kalau ayah nak Nahlan jadi manusia yang bertanggungjawab, Nahlan akan jadi manusia yang macam itu.” Dengan lancar, mulutnya tutur kata janji sekaligus menabur akad.

Semua di situ pula yang tergamam saat Nahlan berjanji untuk bertanggungjawab. Itu membawa maksud bahawa Nahlan akan memperisterikan Humaira.

“Eh tak payah. Saya tak minta pun sesiapa untuk kahwin dekat sini. Lagipun Humaira dah cerita semuanya dekat saya yang Nahlan tak salah dekat sini...” Khadijah pandang wajah sang suami. Minta untuk suaminya menyokong kata-katanya.

“Baguslah. Dalam dua minggu kami hantar rombongan ya.” Belum sempat Yusuf nak buka mulut, Anita dah tabur kata janji dengan mata tak lepas memandang wajah Nahlan.

Tunduk ke bawah, Nahlan kepal tangan seerat mungkin.

Ya. Semua dah jadi. Memang silap dia. Akur sahaja yang boleh dia lakukan sekarang. Berkahwin dengan Humaira. Sang gadis yang dia tak kenal. Tapi yang dia boleh simpulkan sekarang, bahtera rumah tangganya memang takkan semanis kurma macam orang lain. Mesti penuh dengan hempedu.

Pahit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience