'If you are patient in one moment of anger, you will escape a hundred days of sorrow.'
“KAU KELUAR!! AKU TAK NAK TENGOK MUKA KAU!”
Air mata aku mengalir. Mangkuk yang berisi dengan bubur, aku pegang kuat-kuat kasi tak jatuh. Raiqal yang sedang mellihat, hanya mampu memilih untuk mendiamkan dirinya sahaja. Tak mahu masuk campur dengan urusan dan masalah rumah tangga sang kawan. Jenuh dia nanti.
“Saya nak bagi...”
“BERAMBUSLAH!!” Halau Nahlan untuk kali ke berapa entah.
“Tapi saya...”
PAP. Nahlan baling bantal yang dipegang ke arah Humaira dengan sangat kuat. Dengan kata lain. suara Humaira pun dia dah tak nak dengar.
Terus aku keluar dari bilik tidur Nahlan dengan bibir yang bergetar menahan rasa pilu.
“Mai...” Panggil Anita merapati Humaira. Diambil bubur itu dari tangan Humaira. Khuatir mangkuk yang berisi dengan bubur itu akan jatuh ke bawah pula. Buat naya je nanti kalau itu yang terjadi.
Aku tundukkan wajah. Meratapi kesedihan yang menjalar dalam hati satu demi satu. “Maaf mak... Ini semua salah Mai...” Aku kesat air mata yang turun dengan deras berkali-kali. Sumpah aku sedih. Kut ye pun nak marahkan aku, tak perlu kut nak marah sampai mak mertua aku boleh dengar. Aku tahulah itu mak kau. Tapi aku malu bila kena halau dengan kata-kata kesat. Si Raiqal pun ada sekali. Hish.
“Nahlan marah Mai lagi?”
Aku diam.
“Takpelah Mai. Dia tengah serabut tu. Jiwa dia masih kacau. Itu yang kadang-kadang dia marah tak ingat dunia. Dengan keadaan kaki dia lagi... Mai jangan ambil hati sangatlah...” Pujuk Anita menepuk bahu Humaira lembut. Sungguh dia kasihan tengok Humaira diperlakukan sebegini teruk oleh Nahlan. Tapi nak buat macam mana? Benda dah jadi? Bukannya boleh patah balik.
“Takpe... Mai faham. Memang ini semua salah Mai. Bubur ni nanti...” Aku pandang wajah mak. Confirm hidung dengan mata aku merah macam warna cili. Ah gasaklah. “...boleh tak mak hantarkan dekat yang dalam sana? Sebab yang dekat dalam sana, tak makan lagi. Mai rasa, anak mak tak suka tengok Mai sekarang...” Pinta aku bersungguh dengan tangisan yang tertahan-tahan.
“Boleh. Lagipun memang mak nak tengok Nahlan kejap sebelum balik ni. Ayah ada dekat bawah tengah bercakap dengan doktor yang cek Nahlan tadi. Mai bertabahlah ya... Fikir yang baik-baik sudah. Nahlan kalau marah memang macam tu... Semua disemburnya. Nanti kaki dia tu, eloklah. Biasalah... Nak sembuh ni, ambil masa. Bukan takkan sembuh. Emosi dia terganggu sangat. Cakap pun nak marah tak kira siapa. Kadang tu, dengan mak sekali Nahlan dok marah. Tapi nanti-nanti, eloklah tu. Doa banyak-banyak ya.” Nasihat Anita sebelum masuk ke dalam bilik sang anak.
Aku angguk. Lepas itu, aku bergegas turun ke bawah. Duduk dengan ayah dan dengar sendiri penerangan dari doktor yang merawat kaki Nahlan. Ini semua berlaku sebab aku. Gara-gara aku yang tak reti nak memandu dengan baik dan elok. Mujur tak kena potong kaki si Nahlan tu. Kuat kut hentakan yang berlaku itu hari. Sampai hancur kereta aku bahagian depan.
Kenapa Nahlan boleh jadi macam tu? Sebab ini semua salah aku.
Ya. Sebab aku. Ini semua sebab aku...
**********
“Humaira.” Panggil Nahlan.
Aku lajukan langkah kaki aku ke tempat parkir kereta. Malas nak hadap dengan wajah Nahlan. Baru kejap tadi aku marah dekat Ilhan. Ini ada pula yang menegur. Karang tak fasal, dia kena tengking dengan aku pula.
“HU. MAI. RA.” Nahlan tahan pintu kereta. Tak nak bagi isterinya masuk ke dalam kereta.
“Awak nak apa?” Soal aku lelah.
“Kau tengah marah.”
“Yes. I am. So?”
“Bak sini kunci tu. Biar aku bawa.”
“Tak payah.” Aku tolak tubuh Nahlan supaya tubuh itu ke tepi. “Saya tak nak awak naik kereta saya dah. Cukup-cukuplah dengan perangai yang awak dah buat sebelum ni.” Dengan cepat, aku loloskan tubuh dan masuk ke bahagian pemandu.
“Tak payahlah. Saya cakap tak payah!” Tengok Nahlan dah ada di sebelah, mencanak naik pula rasa marah aku. Eeeiii!! Lelaki ini kan! Tak sah kalau tak cari gaduh dengan aku. Huh!
“Kau nak drive sangat, silakan drive. Aku nak duduk dekat sebelah ni.” Kata Nahlan tak peduli langsung dengan amukan yang jelas terpancar dari wajah sang isteri.
“Yang awak nak duduk dekat sini, buat apa? Saya takde apa pun nak cakap dengan awak. Boleh keluar sekarang dari kereta saya. Sekarang!” Halau aku menolak bahu Nahlan sekali.
Nahlan diam. Hanya membatu tanpa sebarang kata.
“NAHLAN!” Jerit aku kuat.
Buat tak dengar, Nahlan keluarkan telefon bimbitnya. Melihat apa sahaja yang boleh dilihat melalui skrin telefon yang ada. Suara yang menjerit memanggil namanya di sebelah, dia buat tak tahu. Yang penting, dia nak duduk dalam kereta ni. Biarlah apa pun yang jadi. Dia tak nak Humaira memandu bersendirian tanpa peneman di sisi.
Risau? Ya. Kalau ini bukan risau? Apa lagi yang perlu dia kata?
“Fine.” Aku tekan pedal minyak, aku keluar dari tempat parkir. Lepas tu, aku masuk ke lebuhraya utama. Kaki yang ada di pedal minyak, aku tekan dengan lebih dalam.
“Humaira. Please slow down.” Kata Nahlan melihat kereta yang dipandu Humaira dah macam nak race dekat litar Sepang. Gusar pula dia tengok. Kang terbabas macam mana?
Aku buat tak dengar dengan apa yang Nahlan katakan. Lepas itu, aku bagi signal kanan, aku potong kereta yang ada di hadapan dengan sangat laju. Lepas tu, aku tekan pedal minyak dengan lebih dalam. Peduli apa aku. Ingat aku takut?
“Humaira.” Nahlan dah kecut perut. Bukan sebab dia takut keadaan kereta yang dipandu laju. Tapi kecut melihat isterinya yang sedang memandu dalam keadaan marah. Bahaya kut kalau sesiapa memandu dalam keadaan yang tidak sedar macam yang dekat sebelah dia ni. Membahayakan nyawa sendiri dan juga membahayakan nyawa orang lain.
“Saya suruh awak keluar tadi, awak tak nak! Ha. Hadaplah. Nak sangat naik kereta dengan saya.” Balas aku dan sekali lagi aku potong kereta di hadapan. Kali ini aku tak bagi signal.
“Kau kalau nak marah, bukan macam ini caranya.” Bentak Nahlan kuat. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja menolak tangan itu dan biarkan tangan dia sahaja yang memegang stereng. Tapi nanti, boleh cetuskan perbalahan yang lebih teruk dan andai itu berlaku nescaya kemalangan maut boleh terjadi.
“Mana ada saya marah!” Aku tekan lagi pedal minyak ke dalam. Sampai mengaum bunyi enjin kereta yang terhasil.
“Humaira. Slow down your car. Kalau kau buat macam ni, kau ingat si Aswi tu nak bertanggungjawab ke? Dia tepuk tangan jelah kalau apa-apa yang buruk jadi kat kau.” Dalam mengarah, Nahlan selit sekali kata nasihat. Kut boleh lembutkan sikit hati yang tengah keras akibat bahana marah yang melampau.
“ARGHH!!! PERGI MAMPUS DENGAN DIA!!” Aku hempuk stereng kereta kuat-kuat. Teringat apa yang terjadi dekat pejabat Ilson Fund tadi. Kalau ada insan bernama Aswi di hadapan, nescaya aku langgar dah. Biar mati bersepai dekat tengah jalan raya lagi bagus.
“Humaira, berhenti. I said stop.” Arah Nahlan senada. Depan belakang, kiri kanan Nahlan dok tengok. Kut-kut ada kereta yang menghampiri. Tapi semua kereta macam menjauhi kereta Humaira. Takut barangkali dengan kelajuan yang terhasil.
“Berhenti Humaira. Aku cakap berhenti!” Dah bengang sangat, Nahlan tarik tangan Humaira kuat. Dia tak mahu apa-apa yang buruk berlaku pada isterinya. Mahupun pada orang lain.
Sementara mereka berbalah mulut dengan aksi menolak sana sini, tak sedar bunyi hon dari arah belakang sehinggalah kereta yang dipandu Humaira melanggar pada tiang jalan.
BANG!!
Gelap.
***************
“Isk...” Aku kesat air mata. Dah satu bulan kemalangan itu berlaku. Disebabkan aku yang memandu dalam keadaan marah. Lepas itu, kami berdua dikejarkan ke hospital. Entah kenapa bukan kaki aku yang tersepit. Tapi kaki Nahlan yang tersepit sehingga pihak bomba mengambil masa selama dua jam untuk keluarkan Nahlan dari kereta.
Sampai dekat hospital, doktor kata keadaan kaki Nahlan dah teruk. Patah. Kena masukkan besi. Aku pula hanya mengalami cedera yang ringan. Hanya berdarah di kepala dan berlaku pendarahan di lengan dan kaki. Sikit je. Tak macam Nahlan. Kena tahan dekat hospital selama satu bulan. Bila balik rumah, sekalipun tak pandang wajah aku. Naik ke bilik pun Raiqal yang angkat. Sebab tak boleh nak angkut sekali dengan kerusi roda.
Doktor kata, nak pulih macam biasa kena ambil sekurang-kurangnya enam bulan paling minima. Lepas tu nak kena pergi terapi lagi. Itu semua Raiqal yang tolong. Raiqal datang pagi. Raiqal hantar Nahlan pulang petang. Kadang tu, doktor sendiri akan cek kesihatan Nahlan kalau Nahlan tak larat nak pergi buat terapi dekat hospital. Ataupun kalau Raiqal ada kerja lain nak buat, doktor akan datang ke rumah. Buat apa yang patut pada Nahlan. Seminggu yang lalu, mak dan ayah ada datang teman Nahlan. Itu pun sekejap je. Sebab ayah masih bekerja lagi. Tak boleh duduk sini dengan kerap sangat.
Aku??
Aku macam orang bodoh dekat rumah ni. Nak masuk bilik tu, Nahlan tak bagi. Nak bagi dia makan, ketuk pintu pun dia tak peduli. Semuanya Raiqal yang buatkan. Entah apa yang ada dalam bilik tu, aku dah tak tahu. Nahlan makan apa? Macam mana dia makan? Minum apa? Semuanya aku tak tahu. Langsung tak tahu.
Bodoh kan aku? Ya. Aku memang bodoh. Suami sendiri pun tak boleh nak jaga.
Krek. Pintu bilik Nahlan terbuka. Aku pandang Raiqal.
“Errmmm... Macam mana dengan...” Mata aku dah jadi hangat sebelum meneruskan bicara. Aku tahu aku yang salah dekat sini. Aku tahu Nahlan jadi macam tu disebabkan kelakuan aku yang teramatlah bodoh. Aku tahu semua itu.
“Arrmmm... Nahlan okay je setakat ni.” Garu hujung kepala, Raiqal tayang wajah serba salah. Dia pun tak tahu nak cakap apa dengan si Humaira. Bukan dia tak tahu amarah Nahlan tu macam mana kalau tahu yang dia bercakap dengan Humaira. Tapi Humaira ni kan, isteri Nahlan. Dan ini pun, bukan rumah dia. Nak tak nak, kena hadap juga dengan wajah Humaira.
“Okay tu, macam mana?” Aku mahukan penerangan dengan lebih tepat tentang keadaan Nahlan. Cubalah cerita dengan lebih banyak. Janganlah jawab macam itu aje. Aku dok gelisah macam kucing hilang anak dok tunggu berita tentang keadaan manusia yang ada dekat dalam bilik sana. Boleh pulak Raiqal keluar hanya jawab dengan kata okay sahaja?
“Errmmm... Nahlan okay. Saya rasa, awak tak perlu risau sangat dengan dia. He's healing very fast and very good. Cuma... emosi dia macam tak stabil lagi.”
Aku tundukkan wajah sikit. Sedih dengar perkataan emosi itu. Yelah. Kalau aku ada dekat tempat Nahlan pun, mesti emosi aku akan terganggu juga. Nak-nak penyebab berlaku semua ini ada depan mata.
Mengamuk sakan lah jawabnya. “Nahlan dah makan?” Tolak tepi kejap rasa sedih, aku cuba gagahkan hati untuk tanya makan minum Nahlan pula.
“Belum. Saya nak pergi beli kejap.”
“Boleh tak... awak tak payah beli dah.”
“Nahlan tak nak makan...”
“Ya. Saya tahu. Saya tahu dia benci saya sampai dia tak nak makan apa yang saya masak. Tapi awak janganlah bagitahu dia yang saya masak. Nanti saya bungkus macam yang dekat kedai. Dia takkan tahu...”
Raiqal dan mula serba salah. Gundah jadinya hati dia memikirkan apa yang Humaira katakan. Takkan nak tolak? Isteri Nahlan kut. Kalau setuju, nanti apa pula kata Nahlan? Hish. Tersepit.
“Saya tak mampu nak tolong suami saya macam yang awak tolong dia. Saya dah tak tahu nak tolong macam mana lagi... Saya sangat-sangat bersyukur Nahlan ada sahabat sebaik awak. Tak berkira pun nak datang sini setiap hari. Tapi saya masih rasa serba salah...Tak boleh ke kalau awak bantu saya sikit??” Air mata aku mula mengalir.
Ah sudah. Raiqal dah rasa semacam. Dia tak boleh tengok perempuan dok nangis depan mata. Rasa longlai jiwa dia. Dia bukan hati keras macam Nahlan. Boleh jerkah bini sendiri depan orang lain. Aiyyoo!
“Ya. Saya tahu ni semua salah saya... Saya tahu. Semua yang jadi pada Nahlan, semuanya salah saya. Tapi saya minta satu je. Boleh tak bagi Nahlan makan apa yang saya masakkan? Itu je. Boleh ya? Boleh ya Raiqal?” Pinta aku dengan harapan yang menggunung.
Raiqal tarik nafas dalam-dalam. Berat rasa di hati dengan pintaan dari Humaira. Tapi akhirnya, dia mengalah. Satu anggukan dia beri kepada Humaira menandakan yang dia setuju pada apa yang Humaira pintakan.
Aku senyum. “Okay. Kejap tau. Saya pergi panaskan lauk kejap. Lepas tu saya keluar beli plastik untuk bungkus semua tu.”
“Tak payah. Itu saya pergi beli kejap. Memang nak keluar pun. Ada urusan sikit. Nanti saya balik, saya ambil dekat dapur.”
Aku angguk. “Okay...” Huish... Gembira bukan kepalang tatkala Raiqal setuju untuk terima cadangan aku. Sekurangnya, ada jugalah kan part aku untuk berbakti pada suami sendiri. Walaupun yang itu nampak macam simple je. Aku harap Nahlan akan cepat sembuh.
Share this novel