“Mai sihat??” Tanya Syafina setelah menghirup air yang dipesan.
“Sihat alhamdulillah. Ibu sihat?” Soal aku gembira. Lama sungguh tak jumpa insan ini. Sekali jumpa, memang aku senyum sampai ke telinga.
“Sihat. Sihat sangat. Dah lama kita tak jumpa kan? Tak silap ibu ada dekat sepuluh tahun jugak kan? Ke tak ya?”
Aku angguk. “Aah. Mai pun rasa macam dekat sembilan atau sepuluh tahun dah tak jumpa dengan ibu. Kali terakhir jumpa dengan ibu waktu Mai baru nak masuk universiti. Itu pun jumpa kejap aje. Dekat kafe dekat dengan tempat Mai belajar.”
“Aah yelah. Waktu tu Mai baru sangat nak sambung belajar. Ibu pulak ikut suami ibu pergi luar negara. Dia kena posting ke sana pulak. Mai macam mana? Kerja okay?” Tanya Syafina lagak seperti seorang ibu kepada Humaira. Lepas kejadian hitam yang berlaku pada Humaira sewaktu kecil, entah kenapa dia tak boleh nak lupa dengan insan ini. Sampai keluar dari hospital pun, dia masih berhubung dengan Humaira. Sampailah saat ini.
“Okay. Alhamdulillah. Mai dapat kerja dengan apa yang Mai dah impikan. Mai nak tolong seberapa banyak anak-anak kecil yang dekat luar sana tu untuk capai apa yang diorang cita-citakan. Walaupun ada sesetengah dari diorang memang tak mampu. Tapi takpe. Mai akan cuba. Macam mana ibu tolong Mai untuk lupakan apa yang dah jadi, Insya Allah Mai akan terus menyokong dengan apa yang mereka inginkan.” Salah satu sebab kenapa aku kerja jadi cikgu bagi golongan istimewa sebab aku faham perasaan diorang. Ada yang dihantar kesana takde cacat dan cela. Tapi akibat dari penderaan seksual yang datang dari ahli keluarga sendiri.
Kasihan bukan? Tapi itulah realiti.
Nak cerita ke orang lain, akan malukan seisi keluarga. Nak buat laporan polis, takde bukti yang kukuh. Sudahnya, ibu atau bapa mereka mengambil kesempatan dengan menghantar anak mereka ke sekolah tertutup hanya demi menutup malu sekaligus menutup dosa. Mengatakan bahawa anak mereka tidak sempurna dari aspek mental. Macam mana boleh diluluskan oleh pihak doktor pun, sampai sekarang aku tak tahu. Gamaknya dunia dah betul-betul di penghujung zaman. Kalau bumi ini boleh bercakap, mesti tiada kata yang mampu diungkapkan melainkan air mata yang mengalir tanda kesedihan melihat manusia yang makin lama makin suka dengan dosa yang dilakukan.
“Macam mana dengan tidur Mai? Dah okay? Atau masih sama macam dulu?”
Aku senyum. Jujur aku katakan, bahawa yang hitam dan gelap itu takkan mungkin aku boleh lupa sampai bila-bila. Hujan itu masih satu potret hitam yang sentiasa ada dalam bingkisan minda aku. Digantung pada dinding minda sekali dengan wajah aku yang sedang menahan sakit saat diseksa dengan sebegitu kejam.
“Masih consume ubat?”
“Dah tak. Mai dah tak ambil ubat tidur dah. Dah lama dah tak ambil. Mai cuba untuk tidur sendiri tanpa ubat. Tapi bila hujan tu, adalah juga terbangun sendiri.” Cerita aku perlahan-lahan. Ingat senang nak lupa?
“Doktor Mai cakap apa?”
“Doktor cakap, Mai punya peningkatan melawan trauma sangat mengagumkan. At first, dia terkejut juga bila Mai kata nak stop ambil ubat tidur. Since Mai memang tak boleh tidur dengan baik dalam beberapa tahun. Tapi bila Mai kata Mai dah tak consume ubat tidur dalam seminggu macam tu, dia kata tak perlu ambil dah. Hanya ambil bila perlu sahaja. Dan alhamdulillah. Setakat ini Mai tak ambil sampai sekarang. Cuma kalau ada hujan yang tak berhenti Mai kena ambil juga. Itu pun hanya satu pil sahaja. Sebab memang tak boleh tidur. Takut jejaskan kerja Mai pula esok harinya.” Terang aku juga dengan perlahan-lahan.
Syafina angguk. Tanda memahami dan sebagai tanda dia faham apa yang sedang jiwa itu lalui.
“You strong enough, Mai.”
Aku diam. Kuat? Aku kuat? Entah ya betul ke tidak aku ini seorang yang kuat? Umur belasan tahun didiagnos dengan kemurungan pada tahap satu. Menyebabkan aku kena pindah sekolah dekat sepuluh kali. Hanya sebab aku takut dengan semua cikgu lelaki yang ada di sekolah. Masuk umur dua puluh an, kemurungan aku menjadi lebih teruk. Tak boleh nak tidur malam, sampai tengah belajar, boleh pengsan tiba-tiba. Lepas itu ibu Syafina ini yang banyak tolong aku dengan merujukkan nama aku kepada mana-mana doktor psikiatri. Mujur banyak kenalan ibu ini adalah dari kalangan doktor. Kesan menjadi jururawat kut pada masa dulu.
Kenapa tak bagitahu pada ma dan babah? Sudah. Sudah berjuta kali aku adukan hal ini pada ma dan babah. Boleh kata, tiap kali pulang dari sekolah aku akan mengadu mengatakan yang aku tak boleh nak belajar macam orang lain. Menangis macam orang gila pun pernah. Tapi mereka hanya kata yang aku sengaja mahukan perhatian yang lebih daripada Kayla. Menyusahkan diri mereka hanya untuk pindah dari satu sekolah ke sekolah yang lain. Sudahnya, aku ambil keputusan untuk tidak bercerita lagi pada mereka. Mendiamkan diri supaya yang sakit itu tidak akan dilumur dengan garam. Bertahan atas sokongan dari ibu Syafina dan bertahan demi masa depan yang aku inginkan sahaja. Bersyukur sangat tuhan hadirkan insan ini untuk membantu aku.
“Entahlah ibu... Macam ibu cakap sebelum ni...” Jari aku bermain-main di muka cawan yang ada. Memikirkan macam mana aku lalui kehidupan aku yang dulu. Sampai boleh duduk di sini berjumpa dengan ibu Syafina. Dengan keadaan yang waras. Dan tenteram. “...yang kelam itu akan berlalu. Macam mana berlalunya suatu masa, macam itulah kegelapan itu akan berlalu tanpa kita sedari. Mai akui Mai bukan manusia yang kuat untuk lalui semua ini. Ada masa, kecundang juga. Ada masa, Mai akan menangis juga. Seorang diri. Tapi nak buat macam mana? Mai tak nak apa yang jadi pada Mai akan jadi pada anak-anak kecil yang lain juga. Nampak macam mudah perkara ini dan boleh aje kalau nak teruskan kehidupan seperti biasa. Tapi dalam dunia ni, takde apa pun yang mudah. Dan tiada apa pun yang percuma.” Ujar aku dengan wajah yang ditundukkan ke bawah.
“Ya. Ibu faham. Itu sebab ibu sokong sepenuhnya dengan apa yang Mai buat. Kadang-kadang manusia ni suka tunding jari pada orang lain. Suka salahkan apa sahaja yang jadi pada orang lain sebab diorang tak lalui apa yang Mai lalui. Memang fitrah manusia macam itu. Hanya melihat pada yang luaran sahaja. Nanti bila kena dekat batang hidung sendiri, barulah diorang akan faham maksud perit tu.”
Aku diam. Mungkin lah kut betul apa yang ibu Syafina katakan. Ujian manusia ni lain-lain. Lain masa. Lain tempat.
“Ma dengan babah Mai macam mana? Sihat? Ke macam dulu juga??”
Aku sengih. Masakan aku nak sembunyikan macam mana layanan ma dan babah kepada aku dari pengetahuan ibu Syafina. Dari dulu lagi memang aku bercerita kelakuan mereka berdua pada ibu Syafina. Dan macamlah aku tak tahu yang ma dan babah itu ada agenda tersembunyi untuk menjaga aku sampai umur aku menginjak dewasa. Tapi masih, aku diamkan mulut. Aku butakan mata. Aku pekakkan telinga.
“Sihat dan masih macam dululah...” Balas aku tersenyum panjang. Cukup mengundang sengihan dari bibir ibu Syafina dengan jawapan yang aku berikan.
“Itu sebab ibu cakap Mai seorang yang kuat. Kalau ibu dekat tempat Mai, mungkin ibu dah lari dari rumah.”
Aku tarik bibir. “Lari? Mai tak boleh lari ibu. Bila lari, Mai akan fikir siapa yang akan bagi Mai makan? Siapa yang akan beri Mai tempat tinggal. Walaupun rumah tu Mai tahu milik Mai sendiri, tapi Mai masih rasa yang itu semua bukan milik Mai. Ibu tahu tak...” Aku angkat wajah, lihat pada yang ada di luar melalui tingkap lutsinar yang dipasang. “Bila Mai cuba lari dari rumah, rasa lapar tu, tak terkata langsung. Umur waktu tu, kalau bukan pergi sekolah mesti akan jadi pengemis. Siapa yang akan beri Mai makan? Beri Mai minum? Walaupun sekali pun ma dan babah tak pernah layan Mai macam anak diorang, tapi bila Mai dah besar macam ni, baru Mai faham tanggungjawab orang dewasa tu macam mana? Jadinya... Mai pilih untuk hidup macam angin sahaja. Diam pada kebanyakan masa. Bercakap bila perlu. Sebab dunia dekat luar sana, sangatlah menggerunkan.” Terang aku panjang dan lebar.
Syafina diam. Hangat matanya bila menatap mata Humaira yang kosong itu. Kalau boleh dia bawa Humaira duduk dan tinggal dengan dia, sudah dia buat tanpa mengambil peduli pada hak jagaan undang-undang. Tapi nak buat macam mana? Dia bukan seorang penjaga pada insan ini. Hanya manusia asing yang tuhan hantarkan kepada dia untuk dia menilai sendiri sifat seorang manusia itu macam mana? Dan nyata. Semuanya sudah diperlihatkan kepadanya dengan sebegitu jelas.
“Sebenarnya, dah lama juga Mai tak jumpa dengan diorang. Balik adalah juga sekali dua. Tapi diorang takde pun dekat rumah. Banyak berjalan entah ke mana. Ada tu, Mai singgah je. Niat nak ziarah. Tapi ma je yang ada. Kayla dah dapat kerja. Babah pula selalu dekat pejabat dia. Buat bisnes dia. Borak gitu-gitu jelah dengan ma. Tak tidur sana pun. Sebab bilik Mai dah dikosongkan. Dah jadi bilik untuk Kayla buat kerja dia.” Aku tukar topik. Malas aku nak panjangkan topik bila mana mata di hadapan sudah semacam mahu menghamburkan tangisan. Biarlah yang sedih itu aku tanggung dengan kedua bahu aku sahaja. Berjumpa berdua macam ini, cukup buatkan aku rasa bersyukur sangat-sangat. Tak nak yang lain dah.
Syafina angguk. Tanda faham dengan haluan topik yang diubah. “Itu hari Mai kata babah Mai tak sihat? Dah elok ke dia?”
“Dah. Alah biasalah. Umur macam tu. Adalah yang tak kenanya... Itu yang singgah sekejap.” Hanya sekali dua sahaja aku ada balik rumah ma dan babah lepas aku berkahwin. Itu pun hanya singgah sebab balik dari tempat kerja.
Macam biasa. Tiada siapa yang menanti. Kosong bila balik rumah tu. Sekurangnya rumah sekarang ni, adalah juga manusia yang aku boleh berbalah mulut bergaduh sakan. Tapi bila balik rumah ma dan babah, apa pun takde. Macam jadi manusia yang asing pada rumah sendiri pun ya. Sebab itu aku hanya singgah sahaja. Air pun buat sendiri. Itu pun mujur ma pelawa untuk aku duduk. Kalau tak, mungkin aku hanya minum berdiri aje sambil berasa kekok dalam rumah sendiri.
“Manusia ni susah nak berubah. Apa yang dia nampak depan mata, itulah yang dia nak nampak sahaja. Tapi tak selamanya mereka takkan berubah. Mai jangan simpan dendam atau ambil hati dengan mereka. Lambat-laun, dengan keizinan tuhan mereka akan sedar dengan apa yang mereka lakukan.” Nasihat Syafina lagi dan lagi.
“Baiklah ibu. Terima kasih dekat ibu sebab dah banyak sangat tolong Mai. Tak tahulah nak balas macam mana lagi...”
“Ermm...” Syafina letak dua jarinya di bawah dagu. Digerak-gerakkan sambil berfikir sebelum bersuara. “...kalau macam tu, Mai boleh belanja ibu kek jelah...”
Aku lepas tawa. “Hahaha...boleh. Boleh sangat. Makanlah semua kek yang ada dekat kedai ni. Nanti Mai bayar...” Aku sambung tawa disusuli dengan tawa ibu. Ah. Dah lama tak ketawa macam ni. Betul orang cakap. Ketawa dapat hilangkan stres. Walaupun takkan sesekali boleh hilangkan masalah.
Sampai depan rumah, aku raba mencari kunci rumah di dalam beg tangan. Penat dok bergelak sakan dengan ibu dari petang tadi sampailah maghrib. Elok sangatlah ada azan yang berkumandang menandakan waktu solat dah masuk. Kalau tidak, mungkin sampai esok aku akan berborak sakan dengan ibu. Yelah. Dah lama tak jumpa. Semua kalau boleh, nak diceritakan satu hari. Mana cukup. Bagi sebulan pun takkan cukup aku rasa kalau nak berborak mengenai perihal wanita.
Baru nak pusing kunci, aku kerut dahi. Hairan datang menyapa tatkala tangan menolak pintu rumah dengan sangat senang.
'Ouh. Nahlan dah balik ke?' Getus hati aku menyoal sendiri. Tapi takde pun kereta dia parking dekat depan ni. Kereta aku memang kat bengkel lagi. Tadi balik pun naik grab.
Masuk aku menolak pintu usai memberi salam. Lepas itu, tekan suis lampu. Sekali, dua kali. Tapi tak menyala pun.
“Rosak ke memang blackout?” Pun aku tanya pada diri sendiri.
“Nahlan.” Panggil aku sekali. Kut kalau dia nak terkejutkan aku, memang aku sepak je dia nanti. Lelaki tu bukan boleh harap sangat. Dah lah tadi mesej aku suruh balik rumah cepat-cepat. Lepas itu asyik telefon aje. Entah macam mana dia dapat nombor telefon aku pun aku tak tahu. Hish. Rimas pula bila fikir semula.
Prang!!
“Nahlan.” Kus semangat aku dibuatnya. Terus aku berlari ke dapur. “Awak o...” Kata-kata aku terhenti tatkala bersabung mata dengan mata yang gelap. Bahkan, pakaiannya dari atas sampai ke bawah berwarna hitam. Seperti satu bayangan hitam dalam kegelapan tanpa sebarang cahaya. Terus getaran takut menyelubungi seluruh tubuh.
Lelaki itu senyum. Tanpa menunggu sesaat, terus diterpa ke arah wanita di hadapan sebelum menikam tubuh itu menggunakan pisau di tangan.
Sekali.
Mata aku terbeliak.
Dua kali.
Tangan aku mengigil saat merasakan ada basah darah yang mula mengalir.
Tiga kali.
Seluruh tubuh aku terkaku dengan sendiri tatkala merasakan tikaman itu bertubi-tubi ditikam dan dihunuskan ke dalam perut tanpa sedikitpun ada belas dan kasihan.
Empat kali.
Aku tarik baju itu kuat dengan perasaan yang bercampur-baur. Sakit tak terperi.
Lima kali.
Aku rebah.
“Cakap dengan Nahlan...” Tarik baju Humaira ke atas, didekatkan mulutnya ke telinga itu. “...ini hanya permulaan. Jangan riak sangat. Nanti makan diri.” Sudah suara itu dengan sengihan yang lebar menghiasi seluruh wajah.
Pap. Mata aku tertutup.
Share this novel