“Jika hati kita berat untuk memuliakan orang lain, sekurang-kurangnya jagalah lisan kita dari menghina orang lain.” (Habib Ali Zaenal Abidin)
Riuh suasana petang ini dengan kedatangan abang dan kakak Nahlan. Nahlan ni anak bongsu. Tiga beradik semuanya. Kedua-duanya dah kahwin dan masing-masing dah ada anak-anak. Kalau aku kira, cucu dalam rumah ni ada enam orang. Cucu paling besar berumur 11 tahun. Paling kecil umur lapan bulan. Menyusu lagi. Comel je aku tengok. Tapi tak berani lah nak agah macam rapat sangat.
Waktu akad nikah aku hanya sempat bergambar sahaja dengan ahli keluarga yang ada. Takdelah nak borak beriya memandangkan semua dok pandang aku semacam. Mungkin sebab pelik kut kena kahwin macam itu dengan Nahlan. Tapi setakat ni takdelah mereka tak hiraukan aku. Borak alar kadar sahaja dan bercakap hanya yang perlu. Mungkin semua dah besar dan matanglah gamaknya. Itu yang masing-masing pandai jaga tepi kain sendiri. Takdelah pula nak melebih-lebih macam mulut murai yang tak reti nak berhenti cakap.
Tapi yang sorang tu, aku tak kenal pun. Cantik orangnya. Manis. Siap ada lesung pipit lagi kalau dia senyum. Siapa ya perempuan ni? Perlu ke aku tegur? Ke tak perlu? Tapi karang, tak tegur dikatanya aku berlagak. Macam mana eh?
Tegur?
Ke tak payah tegur?
Hish. Payahnya. Isunya, tegur aje pun. Bukannya kena buka sepuluh fail untuk isu yang satu ini.
Melihat perempuan itu pergi ke dapur, aku turut bawa diri aku ke dapur. Mahu hulur salam perkenalan. Biarlah kita yang mula dulu. Kalau dia tak nak kenal, takpelah. Sekurangnya, aku dah buat part aku.
“Takpe. Pinggan ni biar je. Nanti saya basuh.” Tegur aku ramah. sambil bibir mengukir senyuman manis. Kenapa aku tegur? Sebab aku ahli baru dalam keluarga ni. Tak baik pula kalau tak tegur. Lagipun yang aku tegur, adalah perempuan. Bukannya lelaki.
Zahidah pusing. “Oh. Isteri abang Nahlan ek?” Soal Zahidah.
Aku angguk mengiyakan. Fuiyyo. Perempuan ni panggil suami aku dengan panggilan abang. Aku pun tak dapat lagi nak panggil suami sendiri dengan panggilan abang. Hebat cik adik ni. Aura apa yang dia pakai ek?
“Saya Zahidah. Kawan abang Nahlan dari kecil. Keluarga kitorang rapat. Dari kecil memang kenal. Dulu satu sekolah dengan abang Nahlan. Tapi sekejap jelah sebab waktu tu abang Nahlan dah jadi senior. Lepas tu banyak juga keluarga kitorang makan sama-sama. Datang sini. Borak-borak. Makcik Anita pun memang dah kenal sangat dengan saya. Pak cik Musa pun dah tak kisah kalau saya datang sini borak dengan anak-anak dia. Kakak dengan abang kepada abang Nahlan pun dah kenal dengan saya. Kitorang pun rapat juga. Dulu saya selalu datang sini teman mak cik Anita. Tolong apa yang patut. Masak ke... apa ke... Pokoknya kitaorang memang rapat.” Tutur Zahidah panjang.
“Oh.” Oh aku mengangguk sekali. Ramah juga dia ni eh? Dok cerita semua benda kat aku. Seronok juga kalau buat kawan. Boleh borak-borak. Takdelah aku bosan sangat. Macam muda lagi dari aku. Ke sebaya aku?
“Dulu ibu dengan ayah saya nak kahwinkan dengan abang Nahlan. Tup tup dia kahwin pula dengan orang lain.” Sambung Zahidah keras.
“Oooooooo....” Oh aku panjang. Aku tarik balik kata-kata aku tadi. Tak jadi nak ajak berborak dan buat teman untuk bersembang. Sebab gaya dia macam tengah marah aku. Erm... satu perkara yang baru juga ni. Kena letak nota lah lepas ni aku rasa kalau nak tahu dengan lebih banyak tentang Wan Ahmad Nahlan. Tapi disebabkan aku macam tak nak tahu lagi, aku simpan dalam telinga jelah. “Err... maaf.” Pinta aku. Kenapa eh aku minta maaf dengan dia? Mungkin sebab aku rasa serba salah atas kejadian yang menimpa aku dengan Nahlan sampai kami kena kahwin? Ke sebab aku kesian tengok muka dia macam tengah acah tahan nangis?
Like seriously? Takkanlah this girl nak menangis bila bercakap tentang lelaki yang tak cukup bulu tu? Macam tak perlu jer.
Zahidah ketap bibir. “Ramai rupanya kan yang jadi perampas dalam dunia ni?”
Eh? Aku bulatkan mata. Sumpah aku terkejut. Terkejut sebab aku tahu perkataan perampas tu sememangnya ditujukan kepada aku. Aku tahulah maksud perampas tu apa? Tapi tak sangka seumur aku hidup sampai umur 30 tahun, ada juga mulut asing yang cop aku dengan perkataan yang satu itu.
P.E.R.A.M.P.A.S.
“Maaf. Saya... takde niat pun nak...”
Pap. Zahidah hempas pinggan yang ada ke dalam sinki. Mujur tak pecah.
Aku dah kaget. Ah sudah. Janganlah jadi drama TV3 atau Astro Ria kat sini.
“Mungkin sebab dalam dunia ni, manusia boleh fikir dia boleh buat apa je yang dia nak. Yelah. Sekarang ni setakat muka je dah tak jadi asbab untuk seseorang tu berkahwin. Benda tu dah lapok. Dah ketinggalan zaman. Orang dah tak pakai dah alasan yang tu. Trend orang sekarang kahwin sebab konon nak jaga maruah diri. Konon nak jaga imej yang bertudung litup. Acah buat cerita sebab nak selamatkan diri sendiri. Nak selamatkan keluarga. Tapi who knows?. Apa yang jadi kita tak tahu. Orang yang ada dalam situasi tu jelah yang tahu.” Turun naik dada Zahidah muntahkan apa yang sudah dia pendam sekian lama saat dia dikhabarkan dengan khabaran mengatakan yang Nahlan itu akan berkahwin dengan orang lain. Bukan dengan dirinya.
Betul. Hati aku mengiyakan. Betul apa yang perempuan ni katakan. Jelas tanpa simpang dan siur. Langsung tak kabur. Aku faham dan aku sangat faham.
“Tapi...”
Aku kerlipkan mata. Menanti ayat yang seterusnya. Sumpah aku kesian dengan perempuan ni. Boleh nampak kut kesedihan dalam benak mata dia bila mana perihal Wan Ahmad Nahlan dibicarakan. Tsk tsk... Apalah yang kau dah buat pada perempuan ni ya Nahlan? Sampai dengan aku pun dia dok marah walaupun ini pertama kali aku dengan dia berjumpa? Apa jenis lelaki yang aku kahwin ni sebenarnya?
“...tapi hidup ni ada pasang surut tau. Tak selamanya kita akan dapat apa yang kita nak. Dan tak semua yang kita ada tu, akan ada dengan kita sampai bila-bila. Tunggu masa je untuk hancur. Tak kisahlah hancur sebab apa. Kalau suatu perkara yang mula dengan cara tak elok, pengakhiran dia pun akan jadi tak elok. Sama juga dengan nasib dengan orang yang suka merampas hak orang lain. Hidup memang takkan tenteram. Kacau bilau. Silap haribulan, mati pun takde orang nak kuburkan sebab suka sangat buat jahat bila hidup dekat dunia.” Nada Zahidah naik satu oktaf.
Aku ketap bibir. Ewah kau. Macam melampau je nasihat kau. Nak nasihat ke nak maki aku? Ke memang cara kau nasihat kau selit sekali dengan kata maki yang berlapik? Gitu?
Sejenak, kami diam. Tapi dalam diam, aku fikir apa yang Zahidah katakan dengan hati tak henti ucap kata sabar. Sabar untuk tak marah. Dan ya. Aku tak marah. Entah kenapa aku tak marah? Jauh sekali nak bidas kata-kata dia. Aku rasa, terguris teruk hati perempuan ni bila dapat tahu yang Nahlan kahwin dengan aku. Dan semestinya, keakraban dua keluarga ini semestinya sangat akrab. Sampai sebab aku kahwin dengan Nahlan pun dia boleh tahu. Tak gitu ke?
“Maaf Zahidah. Jadi perampas dalam hidup awak. Saya tak...” Aku telan air liur. “...saya tak terfikir pulak nak jadi perampas dalam hidup orang lain. Tapi yelah. Betul juga apa yang awak cakap tu. Nikmat jadi manusia ni, fitrah dia macam itulah. Ada time dia pasang... Ada time dia surut. Dan benda merampas ni pun sesuatu yang baru untuk saya. InsyaAllah saya akan cuba untuk hidup dalam dunia yang dikatakan perampas ini macam mana.”
Zahidah imun. Terkedu mendengar apa yang keluar dari mulut isteri abang Nahlan.
Eh kejap. Apa benda yang aku cakap ni? Macam tak kena je. Kejap. Kejap. Aku rasa, aku salah cakap. Kena susun semula ayat aku wei. Nanti jadi salah faham pula.
“Eh. Maksud saya...” Aku tarik nafas.
“Ada juga ek orang yang bangga sebab dia jadi perampas. Dunia dah terbalik agaknya. Atau mungkin, rasa malu dah takde dalam diri manusia. Sayang seribu kali sayang. Gamaknya sekarang, ukuran iman dah tak boleh ukur dengan manusia yang bertudung atau labuhnya tudung yang orang tu pakai. Pun tak boleh nak ukur dengan kelembutan yang dipamerkan. Hati dah tak bersih kut. Banyak sangat syaitan yang bertenggek.” Sinis. Sinis sungguh kata-kata yang Zahidah lontarkan pada Humaira.
Gulp. Aku telan air liur. Gosh. Dah salah faham dah ni.
“Bukan awak. Awak salah faham. Saya tak bermaksud pun dengan apa yang saya cakap tadi. Saya cuma nak leraikan salah faham dengan apa yang dah jadi. Buruklah perangai bila bergaduh fasal lelaki.” Tegur aku.
Eh. Kejap. Apa benda yang aku cakap pula kali ni??!!! Adus. Aku nak cakap fasal hal yang lain. Entah kenapa boleh keluar benda yang lain pulak. Aduyai....
“Huh!” Rengus Zahidah kuat. “Tak payah acah baik dekat sini. Kalau bukan sebab perampas macam kau, abang Nahlan tu dah jadi Zahidah yang punya. Sedarlah sikit diri tu. Tak malu ke masuk keluarga orang macam ni? Ingat eh. Hubungan manusia ni kalau ada yang tak redha, kau fikirlah sendiri pengakhiran dia macam mana? Jangan ingat sebab mak dengan ayah abang Nahlan boleh terima dengan perkahwinan ni, itu bermaksud abang Nahlan akan terima kau jadi isteri dia. Zahidah sesekali takkan biarkan abang Nahlan hidup dengan orang yang macam kau. Bangga dengan maksiat sendiri. Riak dengan hati sendiri. Huh.” Dilanggarnya bahu Humaira sebelum melangkah keluar dari dapur.
Aku picit dahi aku kuat. Ya tuhan. Subahanallah. Jujur aku kata yang aku tak berniat pun nak ejek ke... apa ke... Serius takde niat. Aku hanya mengiyakan apa yang Zahidah katakan sahaja tadi. Dan sebenarnya, aku nak sambung cakap dengan dia yang aku tak kisah andai satu hari nanti jodoh dia dengan Nahlan disatukan dengan ikatan yang halal. Soal jodoh kan... We never know. Kadang tuhan hadirkan sekejap je. Kadang tuhan hadirkan dengan sangat lama. Dan kadang tuhan ambil dengan cara yang paling kita tak jangka. Dan aku...
Aku harap sangat-sangat perkara ini akan selesai dengan secepat yang mungkin. Masak aku kalau jumpa perempuan bernama Zahidah selepas ini lagi. Boleh jadi penyebab untuk tercetusnya perang antara dua keluarga. Dan itu sama sekali akan memutuskan jalinan silaturrahim antara dua buah keluarga.
“Humaira okay?” Soal Anita masuk ke ruang dapur.
“Okay mak. Humaira nak basuh pinggan kejap. Mak nak apa-apa ke? Humaira boleh tolong buatkan.” Cepat-cepat aku kembali kepada dunia realiti. Takut dihidu oleh sang mak yang selalu tahu sahaja dengan apa yang jadi.
“Takde. Takde apa pun. Cuma tadi mak nampak Zahidah keluar dari ruang dapur. Sajalah tanya kut ada apa-apa ke yang jadi...? Zahidah tu kawan rapat kami. Ayah dia kawan dengan ayah Nahlan dekat tempat kerja. Kawan lama. Memang kadang-kadang tu kami ajak diorang datang makan sekali dekat sini. Lagipun abang dengan kakak Nahlan pun kenal rapat dengan Zahidah. Ingatkan dia datang dengan mak abah dia tadi, datang sorang pula. Humaira jangan terasa ya.” Pujuk Anita. Dia pun pernah lalui situasi yang macam ini. Dia faham.
“Eh. Takdelah mak. Humaira okay je. Baik Zahidah tu.” Cuma sebab dia tengah marah. Marah yang amat pula tu. Pada aku yang sangat biasa ini. Kalau aku senyum selebar dunia pun, memang takkan ada lesung pipit macam dia. Jauh sekali nak putih macam susu. Jangankan susu, putih macam cat pun memang taklah macam si Zahidah yang sedia manis. Sambung aku dalam hati.
Anita senyum. “Humaira pun baik juga.” Puji Anita telus. Jujur dia kata yang dia suka dengan perwatakan menantu dia yang seorang ini. Yang dia tak suka tu, hanya benda kecil sahaja. Tolak tepi sudah. Biasalah, manusia mana ada yang sempurna. Diri dia sendiri pun jauh dari sifat kesempurnaan.
“Errr... Humaira biasa je mak. Takde yang...” Segan pula bila ada yang puji aku ni baik. Kalaulah mak mertua aku ni tahu apa yang jadi pada aku sampai aku rasa nak bunuh diri, agaknya Puan Anita ni nak puji aku macam tu tak ek?
“Nanti Humaira tidur sini ya. Dah nak maghrib pun. Esok ahad. Bukannya kerja. Nanti sebelum tidur, pergi makan dulu. Tak payah tunggu si Nahlan tu. Mak mesej, tak balas. Mak call, tak angkat. Entah pergi manalah budak sorang tu.”
“Baik.” Balas aku angguk sekali. Kan aku dah cakap. Semua benda mak mertua aku ni tahu. Mana dia tahu aku tak makan dari tadi semata-mata nak tunggu Nahlan pun, aku tak tahu. Memang niat aku nak tunggu Nahlan balik. Boleh makan sama-sama. Kutlah dia balik. Tapi gaya mak cakap, macam Nahlan tu takkan balik. Takkan aku nak tahan lapar pula demi menunggu bayang yang takkan muncul? Orang puasa pun tak macam ni lah aku rasa.
Hurmmm... Tadi macam lapar. Sekarang dah kenyang. Mungkin dah kenyang dengan kata perampas tu tadi kut. Entahlah...
Takpelah Humaira. Kau tahan jelah. Bila ada orang nak tegur, kau balas. Bila ada orang nak maki, kau telan. Bila disuruh tidur dekat sini, kau tidurlah. Bila kau kena suruh untuk makan, kau melantaklah sampai kau kenyang. Selagi dia tak halau, kau ucap kata syukur sudah. Nanti-nanti, diamlah tu.
Nama pun manusia. Mestilah ada sifat manusia. Ye dak?
Share this novel