BAB 32

Humor Completed 44234

"Penat la sayang, bila nak selesai ni?" rungut Shahir.

Macam orang mabuk je dia berjalan terhuyung-hayang di sebelah Nina. Kalau diikutkan hati nak saja punggungnya itu melabuh di mana-mana ceruk untuk merehatkan kakinya yang dah mula lenguh diheret ke sana ke mari menemani Nina. Aku pun tak tahu la.. macam mana perempuan ni boleh tahan meronda satu kompleks membeli belah. Shahir pura-pura mabuk penat.

"Hah, belum sampai sejam nak menjelajah kompleks ni, dah rasa penat! Macam atuk-atuk betul la abang ni," telah Nina.

Dia mencubit lengan Shahir yang pura-pura mabuk di sebelahnya. Mengalahkan tenaga perempuan pula. Atuk aku yang berusia tujuh puluh tahun pun masih aktif berkebun! Taktik la tu nak duduk makan layan perut. Kosong sikit perut mula la hilang kudratnya nak berjalan jauh, omelNina dalam hati. Tahu benar dia dengan perangai Shahir yang pantang berjalan kalau tak menyinggah dulu di kedai makan.

"Betul apa abang cakap, lenguh dah kaki abang ni, tapi...haa...sayang nampak tak baju-baju sana tu, comel sangat!" ujar Shahir.

Tangan Nina ditarik menuju ke arah kedai yang dimaksudkannya itu. Apa angau pula dia ni, tiba-tiba begitu teruja nak masuk kedai, buang tabiat ke apa! Fikir Nina.

"Baju baby ni! memang comel bang tapi kita ni tak kahwin lagi la bang, malulah orang tengok."

Nina menarik tangan Shahir keluar dari kedai itu seperti mengheret seekor lembu yang enggan menuruti tuannya. Tergelak Nina melihat aksi tunangnya yang seakan tak mahu keluar dari kedai itu. haih.. orang tua ni, berangan nak baby pula, entah cukup ke tidak duit hantaran nak kahwin, dah nak pasang angan lain pula.

"Nina! Aku rasa tak silap. Nina, kan?" panggil seorang wanita sambil tersenyum manis.

Langkah kakinya menuju ke arah Nina dan Shahir berdiri.

"ya saya, err...siapa ya?"

Nina mengerutkan dahinya sambil memutar-mutarkan jari telunjuknya dekat kepala, cuba mengerah mindanya untuk mengingati wajah wanita yang ada di hadapannya, namun mindanya gagal memutarkan slaid memori yang telah tersimpan untuk salinan wajah wanita di hadapannya itu.

"aku la..Diya! apesal susah sangat nak mengingat muka aku ni?"

Diya menunjukkan muka manjanya. Dibiar lama-lama pun tak juga mengecam muka kita. Rasanya dia lagi banyak perubahan aku tengok, tapi boleh pula aku cam dia. Macam je muka aku ni muka plastik, omel hati Diya.

"Laa...Diya rupanya...alahai, dah tua sangatkah aku ni hingga dah tak boleh ingat muka engkau lagi," ujar Nina sambil menepuk dahinya.

Seketik mereka berpelukan dan bersalaman. Lama benar dua sahabat ini tak bertemu. Sejak Diya pindah sekolah sehingga Nina bergelar guru. Inilah pertemuan pertama mereka. Rajuk Diya dulu tiada siapa yang tahu sebabnya. tiba-tiba pula bawa diri. Ingatkan nak hilangkan diri selama-lamanya, muncul juga pula akhirnya. Sempat Nina mengimbau masa lalu mereka dalam hatinya.

"Bukan sebab muka aku ni yang dah kerepot ke yang buat engkau dah tak boleh mengecam mukaku lagi?"

Diya tersenyum. Kalau dua puluh tahun lagi pertemuan kita ini akan tertangguh, aku masih tetap ingat wajah sengih engkau tu Nina..engkau aje yang hilang separuh ingatan tu. Meleret senyuman Diya beberapa saat.

"Tak nampak pun kerepotnya di mana, Nampak macam 'belon' sikit ada la. Aku ingat wakil daripada badan pencegah maksiat tadi, ye la bertarik-tarik tangan dengan lelaki yang bukan muhrim ni,"

Pantas tangan Nina mencubit manja lengan Shahir di sebelahnya. Shahir pula buat-buat tak tahu.

"Eh, bukan suami ke? Ingatkan beli barang baby tadi,"

Shahir dan Nina berpandangan. Diya pula tersenyum nipis ke arah pasangan yang dianggapnya suami isteri itu tadi. Rupa-rupanya hanya menzahirkan angan nak menyentuh baju bayi.

"Jomlah kita cari tempat duduk dulu untuk berbual," ajak Nina.

Sebuah kafe yang berhampiran disitu menjadi destinasi mereka. Shahir pula hanya mengikuti langkah Nina. Inilah yang ditunggu sebenarnya, pantas saja Shahir memesan minuman dan sedikit manisan bagi melegakan penatnya ke sana ke mari bersama Nina.

"Belum lagi la...sebenarnya dia ni tunang saya, namanya Shahir."

Nina tersenyum saja memandang tunangnya yang duduk di kerusi sebelahnya. Seronok la tu dapat capai hajat nak labuhkan punggung di kedai makan. Muka terus segar sebaik menghirup nescafe. Nina menjongketkan keningnya kepada Shahir. Shahir pula mengenyitkan matanya.

"Haah, cuti nanti sahlah kami bergelar suami isteri," celah Shahir pula.

Matanya dikenyitkan lagi ke arah Nina. Nina menayangkan sengihnya. Kalau cakap pasal kahwin cepat aje mencelah. Karang esok aku ajak kahwin baru tahu. Menggigil lutut depan tok kadi. Takut akad tak sah lafaz sekali. Nina tersenyum geli hati.

"Hmm...baguslah tu, dapat juga kita orang makan nasi minyak."

Diya tersenyum mengusik. Nina dan Shahir tersipu-sipu. Terbayang di ruangan mata saat diri masing-masing dihalalkan tidur sebilik. Argh..kalut. janganlah Shahir terlebih 'gula' ketika itu. sempat fikiran Nina melencong jauh.

"Sebenarnya dia ni la kawan lama kami yang Nina ceritakan pada abang tu." Nina menukar topik.

Tak nak cakap lama-lama soal kahwin. Takut hanyut di bawa arus khayal. Dia mampu mengawal, Shahir bagaimana? Nina cuba menyelami fikiran Shahir dengan suluhan mata prasangkanya. Muka Shahir dan Diya dipandang bersilih dalam senyuman.

"Jalan sorang ke?" Shahir berbasa-basi.

"Taklah, jalan dengan suami malah bertiga pun, cuma dia ada urusan kat luar." Diya tersenyum nipis.

Cuba memberitahu kepada Nina yang dia tu sebenarnya mengandung. Tak tanya pun kandungan kita ni berapa bulan ke? atau yang sewaktu dengannya. Diya seolah-olah berharap agar Nina prihatin kepadanya.

"Oh...dah kahwin..."

Serentak Shahir dan Nina menjawab. Nina memandang Shahir. Yang dia begitu teruja menjawab juga kenapa? Macam nak cari lubuk saja nak ngurat kawan aku ni tadi! Nina menjongketkan keningnya ke arah Shahir. Shahir pula tersenyum. Bukan sebab telahan fikiran Nina itu betul tapi dia teruja juga nak kahwin seperti sahabat Nina itu.

"Apasal tak bawa anak tu sekali, boleh juga aku tilik-tilik muka siapa lebih dominan, papa ke mak dia," ujar Nina separuh mengusik.

"Yang bertiga tu ni..haa..dalam perut ni."

Diya tersenyum nipis sambil mengelus perutnya. Sah! Dia tak perasan aku ni mengandung. Ingatkan dia tengoklah aku ni dari atas sampai ke bawah. Tahu benar tak mengharapkan kemunculan aku lagi, rajuk hati Diya.

"Laa..bunting rupanya...dah kembang semangkuk padan pun aku tak kenal!" usik Nina.

Aii..boleh pula aku terlepas pandang perut dia ni, aku fikirkan saja-saja ikut trend nak berjubah. Diya..Diya...engkau dah nak bertiga, aku tak tau bila lagi. Sempat Nina berangan. Kata tak nak cakap soal kahwin, boleh pula berangan nak baby.

"hehe..."

Diya ketawa kecil mendengar gelaran kembang semangkuk daripada Nina. Dia tu apa kurangnya kembang sepiring! Diya meleretkan senyumnya. Hatinya saja yang membalas. Kalau Nina dengar, dua tiga jenis gelaran nanti dia bagi kepadanya pula.

"Kan ada tuahnya abang bawa sayang masuk kedai baby tu, dapat jumpa Diya."

Sekali-sekala Shahir mencelah perbualan Diya dan Nina.

"Ya la tu..." balas Nina.

Betul juga cakap Shahir. Kalau tunangnya itu tak menariknya masuk kedai tu, mungkin dah berselisih jalan dengan Diya. Jadinya, tiada penyatuan dua sahabat yang dah lama terpisah ini. hati Nina mengiakan kata-kata Shahir.

"Eh, saya balik dulu la, suami dah lama tunggu tu rasanya. Banyak perkara lagi saya nak bualkan dengan awak, Nina, tapi lain kali ajelah kita jumpa ya."

Diya dan Nina saling bertukar nombor telefon. Beg tangan yang Diya letakkan diribanya disangkutkan di bahu.

"Eh, suruh la suami tu datang sini dulu, nak kenal-kenal dengan dia," pinta Shahir dan Nina.

Kut-kut kita orang kenal, meriah juga pertemuan ni. Hati Nina berbisik. Tapi nampak Diya macam tak sabar-sabar nak beredar dari situ. Tak apa la kalau tak sudi nak kenalkan. Bukannya kempunan pun tak dapat kenal. Nina terus saja melayan sengihnya.

"Takpe la lain kali aje," balas Diya ringkas sebelum berlalu pergi meninggalkan Nina dan Shahir di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience