BAB 2

Humor Completed 44246

Pap! Bunyi bahunya ditepuk lembut. Diya yang baru tiba di Kelas Lima A cuba mengejutkan Mira dari lamunannya.

“Hisy, engkau ni, buat aku terperanjat beruk aje, kalau aku sedang duduk di atas pokok sana tu ha, aku dah lama jatuh terjelepok ke bawah tau!” ujar Mira.

Wajah Diya dipandang sambil menudingkan jarinya ke arah sebatang pokok di depan sekolah mereka itu. Datang tak bagi salam macam pencuri aje!

“Saja la…supaya awak tersedar dari lamunan, awal-awal pagi nak mengelamun! Buku yang awak cari semalam hingga kecohnya sampai ke telinga aku tu dah jumpa?” Tanya Diya.

Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi sebelah Mira. Entah apa kena dengan minah seorang ni, denda sekali aje pun, dah nak membenci cikgu bagai nak pengsan. Kena denda guru, lumrah la tu! Omel Diya dalam hati mengenangkan perangai Mira yang begitu membenci Cikgu Badrul. Cakap terang-terang nanti, tak fasal-fasal pula kita di tuduh berpihak pada Cikgu Badrul tu. Dah tu muncungnya pula mengalahkan tenuk. Eeii…biarkanlah Mira dengan labu labinya!

“Dah..adik aku punya kerja la…adakah patut sorok dalam beg sekolah dia, padan pun tak jumpa!” jawab Mira.

Dia masih geram mengenangkan perangai adiknya yang kadang-kadang terlebih aktif. Yang mangsa guru singa tu dia. Aikal mana tahu apa. Hisy..naik gerun tahap nak mampus!

“ASSALAMMUALAIKUM cikgu..”

Suara Kamal Ketua Kelas Lima A mendahului ucapan salam daripada pelajar-pelajar lain, bagi menyambut kedatangan Cikgu Badrul yang akan memulai seisi pembelajaran pertama pada hari itu. Cikgu Badrul menjawab salam lalu meletakkan buku yang dibimbitnya di atas meja guru. Berkumis tebal dengan sorot mata yang bengis membuatkan semua pelajar berasa gerun dengan Cikgu Badrul. Asal ada sesuatu yang tak kena dengan caranya, mulalah kuasa vetonya mengambil peranan. Mangsanya, para pelajar yang tak ada kuasa langsung untuk melawan. Kalau ada yang berani melawan pun, lawan belakang aje! Macam Mira..

“Baiklah class, hari ini kita akan belajar tentang puisi-puisi tradisional. Keluarkan buku anda yang bertajuk ‘Seuntai Kasih Secebis Harapan’. Cikgu Badrul memulakan mukadimahnya. Sebatang kapur diambil lalu menulis sesuatu di papan hijau.

Tangan Mira bagaikan lipas kudung mengeluarkan bukunya dalam beg. haa…lega! Wajahnya diangkat. Dia benar-benar takut jika bukunya tertinggal lagi. Entah apa pula denda dikenakan kepadanya jika perkara itu berulang lagi. Tak sanggup lagi dia jadi wayang percuma pelajar lain. Sungguh dia tak duga Cikgu Badrul bertindak sekejam itu. hilang tolak ansurnya hanya dengan kesalahan yang kecil. Lainlah kalau gagal. Ini, hanya terlupa bawa buku! Tak patut..tak patut…

“Lambatnya masa berlalu, lagi lama aku tengok muka cikgu ni, makin meluat aku dibuatnya!” rungut Mira. Belum pun sampai beberapa minit Cikgu Badrul mengajar, sudah berharap cikgu itu nak cau dari kelasnya pula!

Disikunya Diya yang sedang duduk di sebelahnya menumpukan perhatian terhadap apa yang diajar oleh Cikgu Badrul. Tak fasal-fasal pula Diya jadi sasarannya.

“Awak bawa mengucap sikit! Kalau Cikgu Badrul dengar, keliling gelanggang lagilah engkau jawabnya,” ujar Diya.

Timbul tenggelam suaranya menyedarkan Mira yang sedang diamuk rasa meluat terhadap Cikgu Badrul. Tapi tak pula tunjuk muka meluatnya depan Cikgu tu, di hadapan cikgu tunjuk muka tikus! Di belakang cikgu, mengutuk tahap tak sedar diri. Diya menggelengkan kepala.

“Beri perhatian semua, ini tugasan anda untuk hari ini. Sila baca pantun empat kerat Adat Dan Etika. Berikan tema, persoalan dan maksud serta nilai dan pengajaran yang terdapat dalam pantun ini. Esok kita akan bincangkan lagi,” putus Cikgu Badrul.

Buku yang sedang dipegangnya ditutup. Maka berakhirlah seisinya pada hari itu. Semua pelajar mengangguk tanda faham. Kalau ada yang tak faham pun, lebih rela tanya kawan daripada tanya cikgu tu. Takut terkena panahan kilat sambung menyambung daripada mata Cikgu Badrul.

“Huh! Nasib baik tiada kelasnya esok, sudah nyanyuk agaknya Cikgu Badrul ni! Hari kelasnya pun dah tak ingat!” omel Mira.

Rasa terlepas daripada seksaan ketika itu. Hafal benar dia jadual masa Cikgu Badrul. Setiap hari kerjanya menilik jadual pengajaran Cikgu Badrul. Nampak aje ada, cepat-cepat buku disumbat dalam beg. Takut tertinggal. Adoi…bila la tamat drama thriller ni.

“Tapi sebelum tu, ini keputusan ujian anda untuk semester ini. Sila semak markah masing –masing. Mira, sila hadirkan diri di bilik guru untuk berjumpa dengan saya,” sambung Cikgu Badrul tiba-tiba pula.

Markah keputusan dilekatkannya di dinding kelas sebelum dia lesap daripada Kelas Lima A itu. Mira yang kelegaan tadi tersentak seketika apabila namanya diseru.

Hah! dia dengar ke apa yang aku cakap dengan Diya tadi? Matailah aku kali ini! Getus hati Mira. kan dah takut! Lagak, dia la.. heroin seantero, cakapnya mengalahkan Kung Fu Jackie Chan, tapi dengar aja cikgu tu menyebut namanya, terus kecut otak. Mira…Mira…

“ASSALAMMUALAIKUM,” sapa Mira.

Salam diberi kepada Cikgu Badrul yang sedang duduk di mejanya di bilik guru itu. Tercegat dia di situ bagaikan pesalah jenayah yang bakal disoal siasat. Kalau tak bagi salam, nanti dia tanya aku ni alien dari mana turun ke bumi! Omel Mira dalam hati. Cakap dengan cikgu ni mesti ada protokol. Kalau tak, percuma khidmat ceramah di raja.

“Waalaikumssalam, silakan duduk,” jawab Cikgu Badrul.

Pandangannya menujah ke anak mata Mira. Mira menurunkan anak matanya ke bawah. Tak tahan dia bertentang mata dengan Cikgu Badrul. Rasanya tengok muka singa pun taklah segerun muka dia ni! Getus hati Mira. Berbakul-bakul sumpah seranah diungkapkannya dalam kepala. Entah apalah balasan dosa aku ni! sempat lagi pula dia sedar diri.

“Awak tahu bukan, yang awak ini pelajar harapan di sekolah ini, tapi kenapa keputusan awak semakin merosot akhir-akhir ini, malah di dalam kelas pun keputusan awak semakin didahului oleh pelajar-pelajar lain. Boleh beritahu cikgu apa masalahnya?” Tanya Cikgu Badrul cuba berlembut di akhir bicaranya.

Suaranya yang mampu memecah dinding konkrit dalam kelas Lima A kedengaran begitu rendah seakan-akan memujuk Mira ketika itu.

“Tiada masalah cikgu, saya akan perbaikinya,” jawab Mira ringkas.

Malas dia berlama-lama di depan Cikgu Badrul yang dibencinya itu. Dialah yang bikin keputusan aku jadi lembap! omel Mira dalam hati. Ya Allah, gerakkanlah hati cikgu ini supaya sifat singanya tak menguasai dirinya ketika ini. Doa Mira dalam hati. Takkanlah keputusan yang sedikit menurun pun dapat ‘habuan’ juga daripadanya. Sungguh, aku pindah sekolah kalau didenda lagi kali ini! Mira menelan air liur pekat.

“Baiklah, cikgu mahu lihat perubahan keputusan awak selepas ini, silakan balik ke kelas,” putus Cikgu Badrul.

Matanya membuntuti gerak Mira sehingga hilang daripada pandangannya.

Mira melebarkan langkahnya. Sesegera mungkin dia mahu meninggalkan tempat itu. Takut berasap bahang panas yang terasa di telinganya. Karang terbakar bilik guru itu, sia-sia hidup Cikgu Badrul. Entah kahwin, entah tidak cikgu ni, kempunan la nak kahwin! Kepala Mira beroperasi tak cukup saraf.

“MIRA! Diya!”

Nina menepuk keras meja Mira dan Diya duduk. Nina yang baru masuk menghabiskan waktu rehatnya di kantin, tercungap-cungap mendapatkan Mira dan Diya di dalam kelas mereka itu.

“Nasib baik aku ni tiada penyakit jantung, kalau ya mengusunglah engkau nanti aku masuk hospital, macam urgent saja,” ujar Mira.

Kalah watak mami jarum! Diya hanya tersenyum melihat gelagat dua orang rakannya yang kadang-kadang mengalahkan peserta gelanggang Maharaja Lawak Mega itu. Nina, kalau tak kecoh tak sah! Nasib baik tak pakai gelang sampai ke siku, kalau ya gerenti bunyi laga gelangnya buatkan monyet hutan cabut lari.

“Apa cerita yang engkau mahu sampaikan ni Nina, anak kucing engkau mati ke?” usik Mira pula.

Dia ketawa terkekeh-kekeh mengenakan Nina yang kecoh bagai nak rak. Kalau ia pun ada guru baru, takkan la sampai tercungap-cungap nak beritahu macam baru tamat berlari seratus meter. Macam dikejar anjing kurap pun ada.

“Wei…kalau anak kucing aku mati tak perlu aku khabarkan pada korang berdua, lebih baik aku tanam aje!” ujar Nina.

Kelihatan begitu bersemangat nak sampaikan berita yang baru didengarinya itu. Memang pas pegang watak mami jarum. Kalau bab-bab berita baru, Ninalah orang pertama yang dapat menghidu. Berita sejauh jarak Kutub Utara dan Kutub Selatan pun boleh terhidu baunya.

“Aku dengar ada guru baru datang!” Bisik Nina.

Mulutnya sengaja didindingi dengan kedua belah tapak tangannya agar tempias suaranya tidak terhambur jauh.

“Hah! betul ke? Bila?” Soal Diya bertubi-tubi.

Dia yang hanya duduk diam dan tersenyum sejak tadi menunjukkan keterujaannya. Tidak sangka pula dia yang selalunya diam, lebih teruja untuk mengetahui kedatangan guru baru itu.

“Ada guru baru pun kamu sibuk, biasalah tu..ada cikgu nak pencen agaknya di sekolah kita ni,” celah Mira sambil tersenyum sendiri dengan jenakanya.

“Guru lelaki ke perempuan?” soal Diya makin teruja.

Mukanya mendongak wajah Nina yang sedang berdiri di hadapan mejanya. Rasa tak sabar nak tahu seperti menanti gaji pertama masuk dalam akaun saja lagaknya,

“Sama ada perempuan atau lelaki aku tak tahu, tapi yang nyata, ada!” Jelas Nina dengan nada berbisik-bisik tapi penuh yakin.

“Kalau guru lelaki kau nak buat apa, Diya? Nak dijadikan abang angkat ya,” usik mira.

Mira dan Nina menghamburkan gelak.

“Kalau perempuan pula nak dijadikan kakak angkat, begitu,” sambung Nina pula.

“Apalah korang ni, nak tahu itu pun tak boleh ke, kalau betul dia lelaki dan akan jadi abang angkat aku, apa korang boleh buat! Diya menggumam, geram.

“Abang angkat ke atau abang berpangkat,” ujar Mira lagi.

“Pangkat apa pula, haih… merepeklah korang ni,” balas Diya bosan.

“Pangkat apa lagi kalau bukan pangkat pakwe,” putus Nina pula.

Mereka bertiga ketawa. Cikgunya tak muncul lagi dah nak berangan. Karang cikgu tu lebih menggerunkan berbanding Cikgu Badrul, baru padan muka. Ada hati nak mengurat cikgu ya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience