BAB 51

Humor Completed 44246

Dua minggu berlalu.........

"Mira masih bencikan saya," Tanya Cikgu badrul.

Pandangannya menujah ke anak mata Mira. Mata itulah yang membuatkan Mira gerun suatu ketika dulu, tapi mata itu jugalah yang berjaya menangkap curiga pada peristiwa yang berlaku kepadanya beberapa minggu lepas, dan kerana mata itu jugalah yang Berjaya menyelamatkannya daripada dibaham oleh Doktor Nelly yang dirasuk serigala jadian.

"Saya cinta Arif Mulia." Mira memesongkan jawapan. Pandangannya dilemparkan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman itu.

"Tapi Mira tahu ke siapa Arif Mulia itu yang sebenarnya?" soal Cikgu Badrul. Nada suaranya kedengaran bersungguh. Dia mula mengalihkan pandangannya daripada Mira. Pandangannya kini dibuang jauh ke hujung taman yang kelihatan lengang.

"Cikgu tahu tak, sebab Arif Mulia Mira kuat semangat dan sebab keikhlasan cinta Arif Mulia Mira jatuh hati!" tutur Mira tegas. Pandangannya kini di arahkan ke anak mata Cikgu Badrul pula, namun Cikgu Badrul beraksi menarik wajahnya. Pandangannya sengaja dilemparkan ke arah sepasang kekasih yang sedang rancak berbual di atas pangkin di hujung taman itu.

"Dan pengorbanan paling besar yang Arif Mulia lakukan kepada Mira ialah dia membuatkan Mira berada di sebelah Cikgu Badrul sekarang ini," tutur Mira lagi. Mendatar sahaja suaranya di akhir bicaranya itu.

~Tiada apa yang lebih membahagiakan selain berada disamping seseorang yang berjaya mencuri hati kita~

Tiba-tiba bunyi makluman dari telefon bimbit mencuri perhatian Mira. Setelah beberapa lama Arif Mulia tidak mengemaskini muka bukunya, kini muncul pula secara tiba-tiba. Mira mengukir senyum. Cikgu Badrul diam. Telefon yang dipegangnya dimasukkan ke dalam poket bajunya. Hanya matanya sahaja yang menjelajah seluruh taman yang di hias indah. Pokok-pokok renek yang dibentuk cantik dan berbunga sememangnya menarik pengunjung ke taman itu. Jadi tak hairalah jika kawasan itu menjadi tumpuan para pengunjung pasangan kekasih.

"Kenapa susah sangat cikgu nak luahkan perasaan cikgu terhadap Mira, sampai bila cikgu nak menyamar jadi Arif Mulia?" rengek Mira, manja. Nak diasak macam mana cara sekalipun, Cikgu Badrul tetap dengan cara dia tersendiri untuk memikat hati Mira. Akhirnya Mira juga yang terpaksa mengalah.

Parah orang sastera ni nak bercinta, semua isi hati nak dijadikan huruf! Haih....Mira pula yang membuang pandangannya jauh-jauh. Penat meluahkan perasaan yang seolah-olah disambut dingin. Tapi itulah Cikgu Badrul. Pakar menyembunyikan perasaannya agar tidak terlihat gopoh.

"Abang sayang Mira, sejak pertama kali abang lihat Mira, abang dah jatuh hati, tapi seperti yang abang selalu war-warkan melalui kata-kata berbentuk tulisan, cinta itu tak perlu dipuja bagai nak rak, cukup sekadar kita berdoa dan berharap serta memberi kebaikan kepadanya, insya Allah ia akan terkabul sesuai pada waktunya dan inilah hasilnya, abang dah berjaya menundukkan hati Mira melalui muka buku, betul tak? dan satu lagi, boleh tak kalau Mira jangan panggil abang ni Cikgu Badrul lagi, panggil abang kan manis," tutur Cikgu Badrul, lembut.

Mencantumkan huruf-huruf menjadi sepatah kata yang akhirnya membentuk menjadi rantaian kalimat untuk mengekspresikan apa yang terlukis di minda adalah sumber semangat dan kekuatannya. Menulis apa yang terlukis di minda adalah caranya untuk membentuk dirinya sendiri lantas orang yang sealiran fikiran dengannya akan dapat merasai getaran yang sama. Itulah sentuhan jiwa. Dia dan Mira adalah padanan itu. dia dan Mira mempunyai fikiran yang sealiran, maka itu keserasian mereka akhirnya tercipta hanya dengan mengutuskan kalimat-kalimat indahnya itu di muka buku. Inilah retorik cinta. Variasi percintaan yang langka.

Mira tergamam. Tak pernah dia menyangka yang kata-kata Cikgu Badrul itu sebegitu romantik pada pendengarannya. Cikgu Badrul yang dilabelnya sebagai singa jantan rupa-rupanya mat jiwang dan yang lebih menyentuh hatinya ialah penyerahan diri Cikgu Badrul kepada keesaan Allah demi memenangi hatinya. Bukan cinta semata-mata kerana paras rupa dan segala kelebihan yang dimilikinya.

"So, Mira dah tahu semuanya tentang Arif Mulia, kan?" tambahnya lagi.

Mira yang kebejatan kata hanya mengangguk. Sememangnya semua sudah diketahuinya. Nina adalah orang kuat di sebalik agenda mereka itu. Siapa lagi yang boleh tercium bau sejauh jarak Kutub Utara dan Kutub Selatan kalau bukan Nina.

Imbas kembali cerita kedai kopi sewaktu pertandingan deklamasi sajak.....

"Arif Mulia tu Cikgu Badrul?" soal Nina mahu kepastian.

"Ya...kalau saya letak nama sebenar saya, dah tentu Mira tak akan terima sebagai rakan muka bukunya, dia, kan benci saya," ujar Cikgu Badrul bersungguh.

"Tapi Mira sangka Arif Mulia itu Shah yang baru dikenalinya, tak ke dia rasa dipermainkan kalau dia tahu perkara sebenar, takut kebenciannya pada cikgu bertambah pula," ujar Nina lagi meragui tindakan Cikgu Badrul.

"Insya Allah, semuanya baik," jawab Cikgu Badrul begitu yakin.

"Tapi rasa bersalah pula saya sembunyikan hal ni daripada dia, kalau ada perkara yang tak baik berlaku bagaimana?" Nina terus mengasak Cikgu Badrul dengan keraguannya.

"Tak mengapa, Nina. Saya akan mengekori setiap langkahnya berbekalkan sedikit informasi daripada Nina. Tahulah saya bagaimana nak buat." Cikgu Badrul meyakinkan keraguan Nina.

Sejak itu, kerja Cikgu badrul adalah mengambil tahu hal Mira. Mira pergi kerja, jumpa Shah, berjalan seorang, semua diketahui oleh Cikgu Badrul. Jarak rumah Antara rumah sewa mereka dan Cikgu Badrul sebenarnya hanya dipisahkan oleh dua lot rumah. Jadi agak mudah untuk Cikgu Badrul mengekori langkah Mira ke mana sahaja dia pergi. Mira pula bukannya jenis perempuan yang banyak menghabiskan masa di luar tanpa tujuan. Sanggup meredah ribut taufan bagi mencapai bintang kejora untuk dimahkotakan dan tak mustahil menggapai pelangi indah sebagai selendang sutera untuk dihadiahkan kepada kekasih. Begitulah agaknya kesanggupan seorang pencinta untuk mahu memiliki dambaan hatinya.

"Tak nak jumpa Arif Mulia ke?" Cikgu Badrul bergurau, membangkitkan kebisuan Mira sebentar tadi.

Mira tersenyum lalu memuncungkan bibirnya. Dalam hatinya berkata, aalaa....tahu juga tarik muka masam bila aku maksudkan Arif Mulia tu bukan dia!

"Tapi kenapa abang tunggu sehingga berlaku..."

Mira menundukkan wajahnya, menyentuh bekas torehan yang terlindung di sebalik pakaiannya.

"Maafkanlah abang, andai Mira menganggap kecelakaan yang berlaku itu disebabkan tindakan abang merahsiakan identiti sebenar Arif Mulia, abang pun tak tahu sebenarnya Shah yang Mira anggap Arif Mulia itu bersekongkol dengan Doktor Nelly untuk berniat jahat dengan Mira. abang pun hanya mengambil tahu sedikit sebanyak tentang Mira melalui Nina sahaja. Dulu, sewaktu Mira di bangku sekolah, abang merisik khabar Mira melalui Cikgu Ashraf," jelas Cikgu Badrul. Nina yang 'bersesungut' itu sekalipun tidak pernah tahu tentang agenda Doktor Nelly.

Imbas kembali sewaktu pertemuan Cikgu Ashraf dengan Cikgu Badrul selaku sepupunya...

"Ada apa hal penting Bad nak jumpa saya?" soal Cikgu Ashraf.

Pelik dengan tingkah laku Cikgu Badrul yang tiba-tiba mengajaknya berjumpa berduaan di tempat yang jauh daripada orang yang dikenalinya, selalu direct aje kalau ada apa-apa yang nak diberitahu, ini macam terlalu rahsia pula! Cikgu Ashraf kehairanan.

"Ash kenal budak Mira tingkatan Lima A?" pancing Cikgu Badrul.

"Kenallah, dia, kan pelajar saya, bekas pelajar Bad juga, kan?" jawab Cikgu Ashraf tertanya-tanya.

"Ash suka dia?" soal Cikgu Badrul lagi.

"Eh, macam soalan cepu cemas saja tu, fasal budak sekolah ni Bad nak jumpa saya?" Cikgu Ashraf tersengih, pura-pura seakan tiada getar di dadanya ketika itu.

"Jawab jujur ajelah...senang urusan kita," ujar Cikgu Badrul selamba.

"Ya, saya sukakan dia, seperti yang saya pernah luahkan pada Bad dulu, begitulah perasaan saya pada dia tapi, banyak keraguan wujud dalam diri saya sebab Diya juga muncul kembali, saya tak pasti perasaan saya yang sebenar ketika ini sama ada ke arah Mira ataupun Diya tapi, budak Mira ni memang cantik pada pandangan saya," jelas Cikgu Ashraf jujur sambil tersenyum nipis, seraya itu belakangnya disandarkan dikerusi plastik yang didudukinya dalam restoran yang lengang itu.

Tak dapat dinafikannya bahawa Mira memang berjaya mencuri hatinya. Cuma sahaja kata putus untuk menjadikan Mira sebagai kekasihnya belum termeterai.

"Baiklah, sebab Ash pun dah mengakui perasaan Ash yang sebenar, saya juga ingin meluahkan perasaan saya yang sejujurnya pada Ash berkenaan dengan Mira. saya jatuh cinta pada Mira sejak terpandang dia kali pertama, tapi saya merahsiakannya dan sebagai guru saya perlu berlaku adil kepada semua pelajar, ada satu peristiwa yang membuatkan Mira benar-benar benci saya, saya denda dia sebab dia buat salah tak bawa buku, mungkin saya terlihat kejam waktu tu, tapi masa tak akan dapat diundur semula, bermula dari situlah budak Mira tu mula mengelak diri daripada bertembung dengan saya apatah lagi nak bercakap tapi, saya masih tetap memberi perhatian padanya walaupun saya tahu dia tak suka. So, kita berdua menyukai dia dalam kondisi yang berbeza, Ash suka dia dan saya pula jatuh cinta kat dia." Cikgu Badrul mengayat panjang lebar sambil tersenyum penuh taktik. Ada nada kesal kedengaran pada tuturnya itu.

Cikgu Ashraf juga turut tersenyum, memang benar suka dan jatuh cinta itu adalah perasaan yang berbeza, apalah makna sukakan seseorang wanita itu lantas mahu memilikinya kalau tak menyintainya tapi itu Cuma kata yang terlafaz dari bibirnya, 'hatiku hanya aku yang tahu,' bisiknya ke dalam diri. Kemunculan Diya dan konflik dengan bakal jandanya yakni Doktor Nelly membuatkan Cikgu Ashraf sukar untuk membuat keputusan yang benar-benar memihak pada dirinya ketika itu, ada perasaan lain yang harus dijaga apa pun keputusan yang harus diambilnya.

"Ash fikirlah pula tentang saya, hati ini dah lama terseksa." Cikgu Badrul benar-benar meletakkan harapan yang tinggi pada Cikgu Ashraf.

Setelah berfikir sewajarnya, Cikgu Ashraf membuat keputusan untuk melepaskan Mira daripada takhta hatinya, walaupun hati agak berat untuk melepaskan dan sangat sukar untuk diputuskan namun jalan yang lurus harus diambil. Sempat Cikgu Ashraf mengucap syukur kerana menemui petunjuk untuk meleraikan kekusutan fikirannya. Pengakuan Cikgu Badrul itu sekurang-kurangnya memberi ruang pada hatinya untuk melepaskan salah seorang daripada wanita yang bertakhta di hatinya atas alasan yang kukuh dan diterima akal.

Bermula dari situlah Cikgu Ashraf mula menjauhkan diri daripada Mira agar Mira tidak terus berharap untuk memiliki cintanya. Harapan sepenuhnya diserahkan kepada Cikgu Badrul agar berjaya merebut hati Mira yang sudah mula terpaut padanya itu.

"Oo..patutlah Cikgu Ashraf kata ada orang yang lebih berhak menyintai aku, rupa-rupanya otai berdua ni saling tahu isi hati masing-masing! Mira melongo.

"Jomlah, abang belanja sarapan kat Restoran Sempelang tu, lepas ni kita sama-sama pergi ke majlis pertunangan Cikgu Lisa pula," ujar Cikgu Badrul.

"Cikgu Lisa?" soal Mira, pelik.

"Hmm...Cikgu Lisa, yang mengajar Mira B.M tingkatan lima dulu tu..kan, Saiful bertunang denga Cikgu Lisa petang ni," kata Cikgu Badrul lagi.

"Ha! Biar betullah Abang Saiful ni, tak pun Mira tahu semua ni." Mira kehairanan.

Setahu Mira Nina yang akad nikah malam esok, majlis Saiful tu dia tak tahu. Saiful, Saiful...loyar buruk betul! Mira menggumam dalam hati.

"Tu la...bila Saiful ajak jumpa, Mira sering tolak, ajakan Shah tak pernah pula ditolaknya, Saiful nak khabarlah tu sebenarnya." Cikgu Badrul berseloroh.

Betul juga! Fikir Mira. sebelum kejadian Doktor Nelly mengamuk padanya, Saiful sering mengajak bertemu dengannya, tapi dia pula yang moody moody waktu tu.

"Kalau abang dengan Mira bagaimana, boleh tak kalau dirangkum semua dalam satu majlis, risik, tunang, akad dan sanding dalam satu pakej, boleh?" Cikgu Badrul senyum teruja.

Mereka bertukar senyum. Mata yang bertaut dileraikan, seakan segan menyebut soal kahwin. Baru pertemuan pertama dan melafaz rasa cinta masing-masing dah nak berangan naik ke pelamin pula! Tapi, kan aku ni dah dikategorikan lalo, kan lebih baik kalau disegerakan, cikgu Badrul pun bukannya muda sangat lagi! Pintu hati Mira mula berkeriut, menanti di buka untuk mengundang seseorang menghuni di dalamnya. Mira mengangguk setuju.

Tergambar dimatanya saat-saat indah itu bersama insan yang benar-benar mengasihinya. I love you Arif Mulia, ucap Mira dalam hati. Rasanya nama itu yang lebih familiar di hatinya.

TAMAT.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience