BAB 17

Humor Completed 44234

Hai Mira?

Ha ha ha ....kantoi!

Cikgu Ashraf la wei...

Perasan, nak tackle cikgu konon...cermin muka la wei...

Itu adalah sebahagian mesej yang Mira sempat baca. Mesej daripada rakan-rakannya yang sengaja mengejek dan mengajak bersembang. Salah satu nama yang familiar di mata Mira adalah Natasya, dialah yang selalu membulinya di sekolah. Tak habis cari gaduh kat sekolah, nak cari gaduh pula kat muka buku. Berpuluh mesej yang di hantar kepadanya tidak berbalas. Dia tercari-cari andai ada nama Diya yang tersenarai pada penghantar mesej itu. sudah beberapa hari Diya tak pergi sekolah. Khabar berita lagilah jauh. Kut-kut dia mesej kat Fac, tapi telahannya percuma.

Sudah lama Mira tidak membuka akaun Facnya itu. Kadang-kadang Fac ini umpama ganja. Semakin dilayan, kita semakin ketagih. Itulah yang Mira elakkan. Tahun menghadapi peperiksaan SPM ini, biarlah dia mengurangkan aktiviti Facnya. Itu tekad Mira.

Mira beralih pula pada bahagian notification yang lain. Ada beberapa makluman yang menarik perhatiannya. Nina telah menandai gambarnya ketika mereka berjoging bersama beberapa hari lepas. Mira tersenyum melihat gambarnya bersama Nina yang tertera di timelinenya. Ada juga gambar-gambar daripada Natasya yang sengaja menandai namaya untuk mencari gaduh, salah satunya ialah gambarnya bersama dengan Cikgu Ashraf yang entah snap di mana dan bila. Mira membiarkan saja gambar itu.

Mira membuka lagi makluman yang lain. Tertera nama Lee Ji Woo dan Arif Mulia ingin menjadi rakannya di Fac. Nama orang Korea, benarkah? Mira menerima sahaja permintaan itu. Baginya tidak perlu memilih siapa pun rakan di alam maya itu, asal saja tahu batas pergaulannya.

Mira cuba pula mencari nama Ashraf bin Asri. Pemilik nama itu terlalu ramai tapi tiada seorang pun yang menyerupai muka Cikgu Ashraf.

Hidup ini menuntut kesabaran

Sabar pada ujian nikmat

Sabar pada ujian susah dan

Sabar untuk segala-galanya.

Tertera nama Arif Mulia empunya status di suapan paparan halaman Facnya sejurus menerima permintaan rakan itu. Status motivasi pertama yang Mira temui daripada rakan-rakan Facnya. Mira tersenyum. Ini pasti mamat yang bermotivasi. Fikir Mira dalam hati.

Mira menyandarkan badannya di kepala bangku. Cubaannya untuk menelaah pelajarannya tidak kesampaian. Fikirannya kusut bagaikan tali yang tak ditemui pangkal dan hujungnya. Mujur status Arif Mulia itu memberi perangsang kepadanya. Akhirnya dia tewas juga oleh godaan Facnya. Ditatapnya lagi satu persatu suapan yang tertera di halaman utama Facnya itu.

~Percubaan SPM tak lama lagi korang dah sedia?~

Kata-kata berupa ingatan dan pertanyaan daripada Nina beberapa hari yang lepas. Mira menggerakkan kursornya lagi ke bawah;

Rasa cinta itu hadir tanpa diduga

juga hadir tanpa mengira siapa

saat ia hadir bagaikan anak panah

yang meluncur dari busurnya

lalu merejam menembusi jantung.

'Huh! Ini pasti mamat yang dilamun cinta macam aku,' Mira menolog luaran sendirian.

Tertera nama Lee Ji Woo pada pemilik status itu. Nama Korea tapi jiwang bagai nak rak! Mira mula menguntum senyum. Membaca update status rakan-rakan Facnya seperti memberi kelegaan pada masalah yang dihadapinya, namun jauh sekali menemui nama Diya dalam senarai pengupdate status itu. Mira teringat lagi pada Diya. Nama itu seakan tidak mengizinkannya untuk bergembira. Fikirannya melayang pula pada Cikgu Ashraf. Sudah puas dia mencari pemilik nama Ashraf bin Asri, namun pencariannya sia-sia. Mungkin cikgu Ashraf tidak mempunyai akaun Fac. Itulah andaian Mira.

Naega tteonaljuge niga sirheojige....tiba-tiba lagu BTOB Insane berkumandang di telefon bimbit Mira lantas mengejutkannya daripada kelekaan menghadap Fac. Tanpa berlengah Mira segera mengangkatnya.

"Mak lambat sikit balik hari ini, kalau Mira dan adik ada masalah, telefon mak." Suara Mak Leha di hujung talian meninggalkan pesan.

"Ya, mak," jawab Mira ringkas.

Ini pasti pelanggan ramai. Mira sudah mengagak apa yang menyebabkan maknya lambat. Hujung-hujung minggu memang tidak menang tangan melayan pelanggan di restoran mereka itu. Timbul pula rasa kasihan Mira pada maknnya, tapi apa dia boleh buat, itu keputusan Mak Leha. Dia tidak mahu pelajaran anak-anaknya terganggu.

This is voice mail message....

Inilah jawapan yang Mira dengar setiap kali mendail nombor telefon bimbit Diya. Usahanya untuk menghubungi Diya acapkali gagal. Hanya operator yang menjawab panggilannya.

...........Sila cuba sebentar lagi.

Ayat akhir yang Mira dengar selepas saja mendail nombor bimbit Cikgu Ashraf. Nombor telefon yang diberikan cikgu itu kepadanya sewaktu Mak Leha kemalangan dulu. Sama ada sengaja tak angkat atau tak dengar, Mira tak tahu. Mira memutuskan sahaja hajatnya untuk menghubungi Cikgu Ashraf lagi sekali. Perasaan malu mula menjentik hatinya. Takut pula 'digelar perigi mencari timba'. Mira membuat telahan sendiri. Hasratnya untuk menghubungi Cikgu Ashraf bagi meluahkan isi hatinya yang terpendam dan rasa kecewa terhadap perubahan layanan Cikgu Ashraf kepadanya adalah satu cubaan yang hanya memalukan dirinya. Bekalan keberaniannya belum mencukupi untuk bertindak demikian.

~Diya dah pindah sekolah... ~

Tertera informasi daripada Nina yang tiba-tiba muncul di bahagian mesej Facnya. Apakah benar apa yang dilihatnya itu? Mira seperti tidak percaya. Masakan begitu cepat berpindah sekolah. Rasanya perpindahan ini tidak dibenarkan disaat-saat akhir menghadapi peperiksaan besar. Fikir Mira dalam hati.

~Ya, saya jumpa mak Diya di bilik guru pagi tadi. Katanya hendak menguruskan perpindahan sekolah Diya...~

Nina meyakinkan Mira. setelah mesej pertamanya tidak berbalas daripada Mira, mesej kedua pula dihantar. Macam tahu saja apa yang difikirkan Mira ketika itu.

~mmm...~

Mira membalas mesej tanda faham. Dia bagaikan kebejatan kata. Satu persatu orang yang disayangi dan dipercayainya menjauhkan diri daripadanya. Apa salah aku. Mira mencari salahnya sendiri.

~Ai...dah tahu tentang Diya, apasal diam pula?~

Nina seolah-olah memaksanya untuk berkata sesuatu di ruangan mesej Fac itu. Mira membiarkan saja. Tiada apa lagi yang mampu dikatakannya andai itulah kenyataan. Mira hilang akal. Dia merasakan dirinya seperti tidak diperlukan lagi. Ayahnya telah tiada, kini sahabatnya pula membawa diri jauh darinya. Dan yang lebih mengecewakannya ialah kekasih yang diharapkannya hanya singgah membelai jiwanya bagaikan angin lalu. Apakah aku sedang dipermainkan. Berbagai andaian muncul di benak fikiran Mira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience