BAB 8

Humor Completed 44246

“Plot adalah eleman yang sangat penting dalam sesebuah cerita, ia ibarat umpan yang….”

“Sila ambil perhatian.” Suara daripada corong mikrofon dari bilik guru memutuskan ayat yang ingin disampaikan oleh Cikgu Ashraf dalam Kelas Lima A. para pelajar juga turut diam dan menanti apakah mesej yang akan disampaikan itu.

“Mira binti Malik dari Kelas Lima A di persilakan turun ke bilik guru sekarang.”

Mesej suara dari corong mikrofon yang diulang dua kali itu jelas kedengaran di telinga Mira. Berderau darah Mira apabila namanya dipanggil sebegitu. Panggilan yang sebegitu selalunya panggilan emergency. Itulah perkara pertama yang telah terakam di memorinya. Peristiwa setahun yang lalu kembali mengusik ingatannya.

Cikgu Ashraf mempersilakan Mira turun ke bilik guru sebaik mendengar arahan itu. Dia menyambung semula pembelajaran yang terhenti tadi. Mira bergegas turun ke bawah.

Kelihatan Pak Ayub berusaha menguntum senyum ke arah Mira dari jauh. Dia yang berdiri di depan bilik guru sejak tadi mula melangkahkan kakinya sedikit apabila dia melihat Mira menuju ke arahnya.

“Ada apa Pak Ayub datang mencari Mira sampai ke sini, apa yang berlaku?” soal Mira sedikit cemas. Dia bersalam lalu tunduk mencium tangan Pak Ayub tanda hormat. Perasaan bimbang mula menguasai dirinya.

“Bawa bertenang Mira, sebenarnya mak Mira terlibat dalam kemalangan jalan raya…..”

Berderau darah Mira mendengar perkataan kemalangan dari mulut Pak Ayub, ayahnya sudah meninggal disebabkan kemalangan jalan raya, kini maknya pula yang terlibat dalam kemalangan itu. Mira terduduk menangis berpaut pada lengan Pak Ayub. Lesu seluruh anggotanya menerima perkhabaran itu.

“Sabar Mira, ibu Mira dalam keadaan stabil, dia cuma cedera ringan,” sambung Pak Ayub yang tidak sempat menghabiskan ayatnya tadi. Pak Ayub menepuk-nepuk lembut bahu gadis itu. Dia memang sayangkan Mira, anak saudaranya yang sudah kehilanga ayah pada usia muda.

Cikgu Ashraf yang memerhatikan Mira dan Pak Ayub dari tingkat atas Kelas Lima A, merasa kehairanan dan ingin tahu. Mira yang sedang menangis dalam pelukan orang tua yang sudah separuh abad itu, memungkinkan suatu masalah besar sedang berlaku pada tanggapan Cikgu Ashraf. Dia kemudiannya turun lalu mendekati Mira dan Pak Ayub yang masih berdiri tak berganjak dari situ.

“Saya Ashraf, cikgu Mira, apa yang berlaku pak cik,” Tanya Cikgu Ashraf.

Tangannya dihulur mahu bersalam seraya mengerling sekilas wajah Mira yang masih berlinangan air mata.

“Pak cik Pak Ayub, bapa saudara Mira. Pak cik bawa berita untuk Mira. Ibu Mira telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandunya telah berlanggar dengan sebuah kereta lain ketika dalam perjalanannya ke tempat kerja,” jelas Pak Ayub.

Cikgu Ashraf yang mendengar berita itu merasa simpati dengan Mira yang tak henti-henti mengesat air mata kesedihannya. Selajur dia menawarkan diri untuk menghantar Mira dan Pak Ayub ke hospital, namun Cikgu Ashraf hanya mampu menghantar mereka sehingga ke pintu kecemasan kerana pelawat masih belum diizinkan masuk bagi menemui pesakit.

Pak Ayub dan Mira hanya duduk di luar menanti dibenarkan masuk sambil diperhatikan Cikgu Ashraf. Mira masih dirundung sedih, dia tidak mahu kehilangan ibunya. Baginya, tiada siapa lagi yang mampu menyayanginya selain ibu setelah dia kehilangan ayahnya pada usia yang masih mentah itu. Yang ada di fikirannya kala itu hanyalah doa untuk keselamatan ibunya.

“Kalau Mira ada apa-apa masalah dan perlukan bantuan cikgu, jangan segan-segan nak minta tolong ya. Ini nombor telefon cikgu,” pesan Cikgu Ashraf.

Sekeping kertas kecil yang tertera nombor telefonnya dihulurkan kepada Mira. Dia terpaksa pergi kerana waktu kelasnya di sekolah sedang menanti. Nanti tak fasal-fasal pula namanya di laungkan dalam corong mikrofon sebab tak masuk mengajar. Pengetua sekolah ni bukan boleh harap sangat. Datang mood tak bagusnya, guru pun mahu dihentamnya. Tapi itu pengalaman Cikgu Ashraf dulu, pengetua yang ini dia tak tahu. kut-kut lebih teruk, aniaya aku. Fikiran Cikgu Ashraf menerawang pula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience