BAB 33

Humor Completed 44234

Telahku impi kau sejak dulu

Kupu-kupu yang cantik berseri

Namun engkau hanya diam membisu

Membuat aku jadi basi.

Ayat angau daripada pemilik nama Lee Ji Woo membuatkan Mira tersenyum sendiri. Mira menurunkan lagi kursornya. Bukan nama itu yang dicari sebenarnya.

Hidup dan cinta adalah satu kembara

Dari rasa ke rasa

Dan kematian

Tidak lagi satu sumpahan

Yang membunuh setiap harapan

Yang melebur setiap iman

kerana hidup dan cinta adalah satu kewujudan

Tanpa hujungnya.

Macam pernah baca ayat ni. Mira menjulingkan matanya ke atas. Cuba mengingat penulis sajak itu. sah! sajak Jaafa HS. Tapi pengupdate status dalam Fac ini bukan Jaafa HS. Dia adalah Arif Mulia. Ya, dia inilah yang aku cari. Mira mengulum senyum. Rasa rindunya pada kata-kata Arif Mulia membuatkan Mira angau dengan Facnya. Kalau sudah sehari tak membuka Fac, jari-jemarinya pasti sudah gatal mahu menekan huruf-huruf password akaun Facnya itu. Begitu indah bunyi sajaknya, tapi sayang, sebab cinta itu dari rasa ke rasalah membuatkan ia begitu tawar kurasakan kini. Hati Mira berdialog dengan sajak yang baru dibacanya itu.

"Tadaa...jom makan kerepek pisang."

Nina muncul bersama sepinggan kerepek pisang. Terhenti mulut Nina yang terkumat-kamit membaca ayat-ayat keramat daripada Arif Mulia.

"Asyik-asyik kerepek pisang, tiada makanan lain ke engkau nak bagi aku makan?"

Mira mencapai beberapa keping kerepek di dalam piring.

"Ada, kulit pisang, nak?"

Nina menggumam geram. Kita dah sediakan, bukan reti nak berterima kasih, nak kompelin pula! Dah tu makan juga pun. Kejap lagi bersih la piring tu. Aku baru nak habis dua tiga keping, dia tu, macam monyet pula, yang siap Simpan stok makanan kat tepi-tepi pipi dalam mulut. Nina menghamburkan gelak.

"Mengumpat aku ya."

Mira membuntangkan matanya. Kalau peluru katanya itu tak ditembak rambang kat luar mulut, mesti dia dah berhabis tembak dalam hati. Tahu benar la tu! Mira semakin rancak menyuap kerepek ke dalam mulutnya. Sedap pula! Bisik hatinya.

"Aku tembak kata dalam hati aku engkau tak luka, kan? Dalam hati.. tak di kira mengumpat, tau!."

Nina membalas. Huh! Bercakap dengan tok bomoh ni susah betul. Baik jangan lawan. Mata Mira meneruskan kembaranya di Fac.

"Ni, aku nak kenalkan engkau dengan rakan Fac aku yang aku sendiri pun tak kenal ni. yang seorang ni sedang angau, yang seorang lagi kata-katanya sentiasa mencuri perhatian aku." Ujar Mira kelihatan teruja.

Nama Lee Ji Woo dan Arif Mulia ditunjukkan kepada Nina.

"Mana gambarnya, entah dari ceruk mana datang menyamar. Engkau percaya?" soal Nina.

Para pemilik akaun Fac ni bukan boleh percaya sangat, dah banyak kes orang kita diperdaya dengan penipuan yang bermacam-macam. Takkan la orang cerdik macam dia ni tak tahu semua ni. karang aku laser, merajuk! Kata memandai-mandai nak nasihatkan dia. Nina mencebikkan bibir.

"Betul apa, nah, baca ayat-ayat dia ni!"

Mira membiarkan Nina membaca seketika. Kata-kata inilah yang banyak memberi semangat pada dia. Saat dia berduka, ayat-ayat yang dianggapnya keramat inilah yang menguatkannya.

"Hmm..boleh tahan juga kata-kata Arif Mulia yang engkau maksudkan ini, saya tak fikir dia ni bersikap budak-budak macam engkau."

Nina menempelak. Memang benar setiap katanya padat dengan maksud yang tersirat. Dan sudah tentu mengarah kepada kebaikan. Patut pun hati Mira tercuri. Nina mengakuinya dalam hati.

"Cakap tu baik sikit kalau tak nak pelempang ni!"

Mira mengacukan telapak tangannya ke arah Nina gaya mak-mak memarahi anaknya. Kalau cakap tak sakitkan hati orang, tak sah! Mira memuncungkan bibirnya.

"Kaki Fac juga rupanya doktor kita ni ya, ingatkan dah tiada masa buka Fac. Rupa-rupanya sedang angau dengan dua orang mamat Fac ni."

Pantas Nina menayangkan sengihnya.

"Banyaklah engkau punya angau," balas Mira.

Malas nak melayan Nina sengih. Mira menumpuhkan kembali perhatiannya pada skrin lap-top di hadapannya, mengulang kembali bacaannya pada setiap ayat Arif Mulia yang tertera di halaman Facnya. Sejak pemilik akaun Fac ini menjadi rakannya, semangatnya sentiasa berkobar-kobar seiring dengan maksud kata-kata yang tersirat pada setiap ayat yang diutuskan oleh pemilik nama itu. Terasa jiwanya begitu serasi pula dengan jiwa empunya nama itu. Cuma satu saja perkara yang sukar untuk diakuinya iaitu menerima kewujudan cinta seorang lelaki yang mampu mengisi kekosongan hatinya.

Kali ini tergerak hati Mira untuk menulis sesuatu pula. Mengupdate Facnya yang sudah sekian lama hanya menjadi tontonannya. Sudah menjadi tabiat semulajadinya, lebih suka memerhati daripada banyak mencelah. Mengambil kebaikan dan pelajaran daripada apa yang dibacanya.

Rama-rama tidak akan tahu betapa cantiknya ia.

Pantas sahaja tangan Mira menekan butang-butang huruf pada papan kekunci lap-top lalu menekan butang kirim yang tertera pada dinding Facnya. Tiba-tiba jiwanya ditebak rasa terhutang budi pada Arif Mulia yang sentiasa berkongsi motivasi dan kata-kata yang baik serta menarik perhatiannya di halaman Fac. Namun tidak pula dia menghantar kiriman itu untuk ditujukan khas kepada Arif Mulia. Takut pula dia dikata 'perigi mencari timba'.

Cermin di hadapan kita akan memperlihatkan kecantikan luaran kita

Dan cermin di hati kita akan memperlihatkan kesempurnaan iman kita.

Belum sempat Mira menekan butang log out akaun Facnya, tiba-tiba muncul ayat status terbaru daripada Arif Mulia. Lantas bibir Mira mengukir senyum. Terasa seperti ada 'kabel' tersambung yang menghantar gelombang ke otak masing-masing. Macam tahu-tahu saja ayat tu aku tuju kat dia! Mira mengiggit jari.

"Wei, Apesal tersengih-sengih masam kerang busuk! Awak berbual dengan siapa?"

Sergahan Nina yang sedang menonton sinetron kegemarannya itu menghentikan senyuman Mira yang meleret beberapa saat. Tak sedar dia diperhatikan Nina sebenarnya. Nasiblah Nina tak pegang kamera, kalau ya habis aksi berkarat aku tu dirakam jadi bahan ketawa. Mira menyambung semula senyumnya.

"Awak shif apa hari ini? Nampak tak berganjak menghadap Fac!"

Nina yang terbaring di atas sofa tadi, kini bangkit menuju ke arah Mira lalu berdiri di belakang kerusi Mira duduk.

"Tiada apa, saja geli hati melihat gambar yang rakan-rakan kongsikan ini. aku cuti hari ini, lagi pun abang Saiful kata nak datang jumpa aku sebentar lagi," ujar Mira.

Sengaja dia menyembunyikan perkara yang sebenar. Malas nak berdialog dengan Nina tentang Arif Mulia.

"Hmm...nasib baik aku banyak kerja hari ini, kalau tak boleh juga aku jadi bodyguard korang berdua."

Nina melangkahkan kakinya meninggalkan Mira yang sudah berakar punggung di atas kerusi menghadap lap-topnya itu.

"Aalaa...setakat nak tanda merah buku-buku budak sekolah tu, apa la.. sangat."

Mira menyumbingkan senyumnya. Kalau tiada tempelak menempelak memang tidak sah dua sahabat ini. ada aje bahannya nak sakitkan hati sesama sendiri. Padan jadi pasangan peserta Gelanggang Raja Lawak yang tak berapa lawak.

"Amboi, amboi...mulut, sedap aje cakap, engkau jadi doktor pun sebab cikgu tau!"

Nina berpaling sambil mengetap bibir, geram. Kalaulah budak kecil lama dah aku piat telinganya. Meremehkan kerja aku ya! Selangkah kaki Nina berpatah balik ke arah Mira.

"O.k,O.K,O.K...aku kalah engkau menang, sebelum aku dihujani peluru kata yang meletus dari mulut engkau tu, baik aku menyerah."

Mira tabik tangan sambil tersenyum mengusik. Huh, alamatnya sampai ke malam deretan katanya tak akan putus jika dilayan. Mira menutup mulutnya menahan tawa.

"Tahu pun takut," gumam Nina. Dia meluru ke luar untuk mengambil bukunya dalam kereta.

"Sejak saya tahu kamu berdua yang tinggal di sebelah rumah saya ni, jiwa saya semakin tak keruan, masalah diri saya seakan berlipat kali ganda." Tiba-tiba terdengar suara dari sebalik pagar konkrit yang memisah rumah mereka. Nina memalingkan wajahnya, terasa seperti kata-kata itu ditujukan kepadanya dan ternyata Natasya sedang duduk membelakang di sebuah bangku yang menyandari pagar itu. Nina memanggil Mira segera dengan isyarat tangan.

"Saya rasa saya dah tak ada tempat lagi untuk menyembunyikan diri, sekarang saya perlu akur pada takdir hidup saya ini," kata-kata itu disambungnya lagi, nadanya suaranya kedengaran sebak dan kelihatan tangannya mengesat air mata yang mungkin laju menuruni pipinya. Nina dan Mira hanya mendengar, wajahnya memang tak kelihatan kerana masih membelakangi mereka.

"Natasya..." tak sempat Nina dan Mira berkata-kata, Natasya melangkah longlai memasuki rumahnya. Nina dan Mira menjongketkan bahu, menghantar langkah Natasya dengan pandangan mata. yang ada di fikiran mereka adalah pemandangan sebuah perubahan, yang kabur menjadi sedikit jelas. Kelihatan Abang Khairul dan Kak Intan mengisyaratkan ibu jari bermaksud O.K menandakan Natasya ada kemajuan. Nina dan Mira mengangguk senyum. Adunan paling kental yang telah mula mencair, yakni adunan keegoan. Sepatah kata yang mudah diungkap namun sangat sukar diakui iaitu kata maaf mulai menukar maknanya menjadi huraian-huraian yang lebih kompleks untuk dimengerti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience