BAB 3

Humor Completed 44234

"Mira, Kamal, Natasya dan Umairah, anda berempat akan menjadi wakil untuk pertandingan berbalas pantun di SMK Sikuati minggu depan, cikgu minta anda semua hadir untuk latihan petang ini." Cikgu Badrul lantang mengumumkan nama-nama pelajar yang dipilihnya. Natasya bingkas bangun, cuba melontarkan bantahan dengan tindakan melulu yang cikgu Badrul putuskan itu.

"Duduk Natasya, tiada bantahan untuk keputusan ini, anda semua layak. Cikgu tidak akan benarkan sesiapa menarik diri." Pantas Cikgu Badrul menolak cubaan Natasya. Dia faham benar dengan perangai budak yang bernama Natasya itu. Tak pernah berlaku sekali pun tanpa bantahan apabila ada perkara yang mengaitkan dirinya.

"Cikgu, saya seorang aja ke peserta lelaki, cikgu?" Kamal pula menyuarakan isi hatinya. Bukan apa, segan pula diapit oleh awek-awek cun ni nanti. Hati Kamal berdetik.

"Tak apa Kamal, ramai lagi peserta lelaki di sana nanti, cikgu pun akan turut serta juga, mengiringi kalian di sana nanti," jelas cikgu Badrul.

"Cikgu, tak boleh ke kalau bukan cikgu yang pilih, maksud saya biar pelajar sendiri memutuskan nak atau tidak menjadi wakil pertandingan ini." Natasya memberanikan diri.

Apa nak jadi, jadilah, fikirnya. Bulat hatinya untuk mengemukakan pandangannya itu walaupun terasa kecut perut juga di hadapan guru garang itu. Harapannya agar para wakil itu nanti adalah dikalangan rakan-rakan yang sekepala dengannya sahaja.

"Apapun bantahan kamu, tidak akan mengubah keputusan cikgu, cikgu yang berhak memilih siapa pun yang cikgu mahu, kalau ada yang rasa nak tarik diri atau nak menggantikan siapa-siapa yang cikgu telah pilih ini, lupakan sahaja niat itu, lagipun kita tak banyak masa lagi untuk fikirkan hal tu, yang perlu kita fikirkan sekarang adalah latihan supaya penyertaan sekolah kita tak sia-sia nanti," jelas Cikgu Badrul dengan tag garang pada riak wajahnya.

Mira yang rasa begitu tertekan dengan tindakan Cikgu Badrul memilihnya sebagai wakil itu hanya mampu diam. Melahirkan ketidakpuasan dalam hati adalah satu-satunya cara memborantak yang selamat dan aman. Jauh di lubuk hatinya melaung, aku benci! Aku benci! Kenapa aku harus bertemu dengan seorang guru yang skema!

"SUKALAH engkau tukan, yalah awak tukan kesayangan semua guru, eeii...menyampah betul aku tengok muka engkau ni, macam dah tak ada orang lain dalam kelas ni yang layak." Natasya melanggar bahu Mira ketika mereka berselisih jalan.

Asyik-asyik dia aja jadi wakil, asal ada pertandingan muka dialah jadi penghias, nasib baiklah aku tersenarai kali ini tapi yang tak puas hati tu apesal pula muka dia ni ada sekali, takkan tak boleh terlepas jadi wakil untuk sekali aje pun! Natasya menyandang kasar begnya tanda protes.

"Hei, mulut tu cakap baik sikit, kau ingat aku suka sangat ke jadi wakil tu, kau beritahu ajelah dengan Cikgu Badrul yang kau seorang aje jadi wakilnya, puas hati!" Mira membuntangkan matanya.

Dahlah tension terpaksa menghadap muka Cikgu Badrul sepanjang acara tu nanti, sekarang ditambah lagi pula tensionnya sebab diapit oleh rakan perengus dan penyemburu yang bernama Natasya itu.

"Hah, tak suka konon, haha...padan muka engkau kena denda pusing gelanggang hari tu, kan, cantik sangat muka!" Natasya terus menerus menyakiti hati Mira. senyuman sinis tanda sakit hati terukir di bibirnya.

Sejak Mira menyandang gelaran pelajar cemerlang dan kini sebaris dengannya sebagai top ten di sekolah itu, hati Natasya tak pernah lagi rasa aman. Perhatian guru-guru lebih terarah kepada Mira. Tapi itu andaian Natasya semata-mata, walhal tiada apa pun layanan lebih ke atas Mira yang mungkin mengenepikan pelajar lain. Mungkin sebab Mira itu lebih menyerlah daripada dia, menyebabkan Mira menjadi pilihan guru-guru di sekolah itu.

"Haha...Mira tu sebenarnya secret admire Cikgu Badrul, sebab tu cikgu selalu pilih dia, tak payahlah kau cemburukan dia... kau pun nak ke Cikgu Badrul yang bermisai lebat dan berkulit hitam macam pantat kuali nenek aku tu.." Umairah pula menokok tambah.

"Kalau korang cemburu, terus terang aja la.... Korang cemburu sebab Mira tu cantik, bukan, korang berdua tu harap aje pandai tapi hati busuk!" Nina pula mencelah. Membela Mira yang lebih suka berdiam diri daripada banyak melawan.

Mira seakan hilang sabar, giginya diketap menahan kata-kata kesat terhambur dari mulutnya. Kalau bukan di sekolah mahu saja aku tarik rambut budak berdua ni! Gumam hatinya.

"Mira, jomlah balik, tak usah layan budak tu, bukan engkau tak tahu deorang tu, semakin dilayan semakinlah naik bengong kepala dia tu!" Diya menarik tangan Mira agar segera meninggalkan Natasya di situ. Karang berlaku Kung Fu Panda di situ, siapa yang nak leraikan.

"OK, kita mulakan latihan ya, letakkan pantun empat kerat masing-masing di atas meja sebelum cikgu memberikan arahan seterusnya." Cikgu Badrul mendekati meja para wakilnya itu nanti.

Mira yang terasa lemas di bawah arahan Cikgu Badrul itu menurut sahaja, tunggu kau, bisik hatinya.

Natasya dan Umairah saling berpandangan. Saling mencebik Antara satu sama lain melihat Mira di situ. Kamal pula menunggu sahaja arahan Cikgu Badrul, malas nak masuk campur hal perempuan yang selalu bergelut dengan hal-hal yang remeh-temeh. Kalau aku masuk campur dengan hal deorang ni bermakna aku bukanlah lelaki macho, lelaki harus cool, Kamal tersenyum sendiri.

"Natasya, baca pantun anda dan pilih kepada siapa anda akan jual pantun itu." Cikgu badrul duduk di kerusi hadapan mereka. Sekali-sekala matanya menjeling Mira dan peserta lain di situ.

"Saya pilih Mira, cikgu, dengar baik-baik ya Cik Mira." Natasya menyumbingkan bibir. Dengan lagak angkuh Natasya membaca pantun empat kerat yang diciptanya sebentar tadi.

Terbang tinggi si burung pipit

Mengidam betik nun jauh di gunung

Kalau sudah namanya pipit

Tidak akan sama si burung enggang

Mendengar pantun Natasya itu Mira bingkas bangun membalas pantun tersebut tanpa menunggu arahan Cikgu Badrul. Cikgu Badrul membiarkan sahaja. Betul tak betul hentam ajalah, hatinya berdetik. Tak nak dia berfikir panjang, apa yang terlintas difikiran diluahkan sahaja kala itu.

Pergi ke kuala menaiki sampan

Singgah sebentar membeli batik

Tapi sayang batik tiruan

Kain kapas juga yang dipandang cantik.

Natasya menggengem remuk kertas yang dipegangnya, lantas membaling kertas itu ke muka Mira. Panas hatinya mendengar balasan pantun daripada Mira itu. Niatnya menulis pantun untuk menyakiti hati Mira hanya sia-sia. Kebijaksanaan Mira membalas pantun untuk menyakiti hatinya pula sememangnya mengenai sasaran. Tanpa menpedulikan Cikgu Badrul yang memerhati di situ, Natasya bingkas bangun dan meninggalkan kelas latihan berbalas pantun itu.

"Natasya, awak nak pergi mana tu, apa yang berlaku, Mira?" bertubi soalan Cikgu Badrul.

Mira buat selamba. Padan muka engkau, pandai sakitkan hati orang, dah kena balas, kan sakit! Gumam hati Mira. Dahlah sakit hatinya terpaksa meghadap muka Cikgu Badrul, dia pula sibuk nak mengeruhkan lagi keadaan. Mira mencebikkan bibir.

Mata Umairah semakin galak memandang Muka Mira. Cuba membela rakan karibnya, Natasya. Kalau bukan Cikgu Badrul yang di situ, dah lama aku luku kepala budak Mira ni, gerutu hatinya.

"Umairah, sila panggil Natasya, suruh dia masuk kelas ni balik, kita dah tak banyak masa nak berlatih ni, esok lusa pertandingan akan bermula! Tegas Cikgu Badrul memberi arahan.

Umairah menuruti arahan Cikgu Badrul, sempat dia mencebik ke arah Mira sebelum terburu-buru berlalu mendapatkan Natasya.

Kalau bukan kerana takut akan Cikgu Badrul, dia pun nak ikut cau sekali dengan Natasya dari kelas latihan itu.

"Hoi, tunggulah, Cikgu Badrul suruh kau masuk balik, cepatlah, kau nak keliling gelanggang seratus kali pula ke!" Umairah melaung. Berlari-lari anak mendapatkan Natasya yang sedang menuruni anak tangga sekolah itu.

"Eeiii...pergilah dulu, nanti aku naik balik, menyampah!" balas Natasya.

Langkah kakinya diatur kembali menaiki tangga sekolah itu. Sebab arahan Cikgu Badrul dia terpaksa mengalah. Takut dia pula yang akan mengambil alih tempat Mira di gelanggang tempoh hari. Tak ke aniaya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience