BAB 50

Humor Completed 44234

"Terima kasih yang tak terhingga kerana menyelamatkan Mira. kalau abang tiada, Mira tak tahu apa dah jadi dengan Mira. mungkin dah jadi arwah," ujar Mira sambil tersenyum nipis.

"Bukan abang yang menyelamatkan Mira sebenarnya, ni...Cikgu Badrul kita ni, dia yang menghubungi abang ketika dia melihat kereta yang Mira pandu dalam keadaan mencurigakan. Cikgu badrul mengekori Mira lalu menelefon abang. nasib baik abang pun kebetulan ada di sini, Kalau tak, sah kempunan kahwin!" jelas Saiful. Sempat lagi pula menempelak Mira yang terbaring kesakitan. Saiful mengarahkan pandangannya kepada Cikgu Badrul sambil tersenyum. Cikgu Badrul yang sedang duduk di sebuah kerusi dalam wad itu juga turut tersenyum. Sejak Mira dimasukkan dalam wad itu, belum pernah terlepas walau sehari pun dia tidak datang menjenguk.

Mira hanya tersenyum nipis memandang Cikgu Badrul. Dia tahu semua itu. dia sempat melihat wajah Cikgu Badrul sebelum Cikgu Badrul bertindak mengangkatnya badannya yang sudah terkulai lemah dan berlumuran darah ketika kejadian itu. dia tidak sangka orang yang benar-benar dibencinya dulu, kini menjadi penyelamat dirinya yang 'nyawa di hujung tanduk' itu dan yang lebih mengejutkan dirinya, entah bagaimana Cikgu Badrul tahu serba serbi tentang dirinya sedangkan dia tidak sedar langsung tentang kehadiran cikgu badrul dalam hidupnya.

"Mira! Diya! Diya!" Nina terkocoh-kocoh memasuki wad yang menempatkan Mira. berpeluh-peluh mukanya entah apa yang hendak disampikannya. Saiful, Mira dan Cikgu Badrul tercengang melihat gelagat Nina yang kelihatan pucat seperti ketakutan.

"Diya, mengapa?" Mira pula dirasuk kebimbangan. Sudahlah perempuan itu mengandung, masakan Doktor Nelly itu buat gila lagi hendak serang dia pula, fikir Mira dalam hati.

"Diya sakit hendak bersalin!" jelas Nina. Dia duduk di birai katil sambil mengelap peluh yang menitik di mukanya.

"Alhamdulillah...." Serentak suara dalam bilik itu bertahmid.

"Orang nak bersalin pun engkau kecoh, kalau engkau yang nak bersalin nanti, mungkin satu kampung jadi kecoh," selar Saiful. Tidak fasal-fasal pula satu pukulan hinggap di bahu Saiful.

"Jadi, dah bersalin ke belum?" soal Mira lesu.

"Tadi aku nampak Cikgu Ashraf membawanya ke wad bersalin, tak tahulah pula aku babynya dah keluar ke belum," jawab Nina dengan cungapnya yang masih bersisa.

Beberapa jam kemudian, mereka membawa Mira ke wad bersalin menggunakan kerusi roda untuk mengunjungi Diya. Walaupun rasa sakit lukanya itu masih berbisa, dia gagahkan dirinya juga. Di muka depan pintu wad kelas pertama yang menempatkan Diya, kerusi roda Mira diberhentikan. Kelihatan seorang Nurse menggendong bayi lalu membaringkanya di sebelah Diya yang terbaring lesu. Mira menegakkan duduknya, dia mengetap gigi, geram. Rasa hendak cubit-cubit pula pipi gebu baby yang baru lahir itu.

"Hei...awak ni kenapa? Macam nak makan orang saja?" Nina mencuit bahu Mira.

Mira yang kurang menyedari akan perlakuannya itu tadi, selajur membetulkan duduknya kembali. Dia terlepas seketika daripada merasai sakit lukanya.

"Seronoknya dapat bayi, tak nak ke, Nina?" Saiful berdehem. Pandangannya mengarah kepada Mira tapi nama Nina pula yang nak dijadikan sandaran. Mira buat-buat tak dengar. Malas dia melayan kenakalan Saiful. Cikgu Badrul dan Cikgu Ashraf hanya tersenyum. Jika tiada Saiful, tiadalah lelucon. Sekurang-kurangnya kenakalan dia itu, boleh juga menggamatkan suasana.

"Hei, kita pula, dia tu!" balas Nina yang pantang tercuit. Dia memasamkan mukanya.

"Shahir pula suka baby apa, perempuan ke lelaki?" soal Saiful berseloroh.

Shahir yang baru sampai di situ tersenyum lebar dengan pertanyaan cepu cemas Saiful itu. Lantas dia mengenyitkan mata ke arah Nina yang sedang berdiri di sebelahnya.

Kahwinlah korang cepat, seronok tau dapat baby, kan bang?" ujar Diya. Dia yang masih terbaring pucat di situ menggagahkan dirinya untuk mencelah perbualan rakan-rakannya itu. Cikgu Ashraf mengangguk senyum. Wajah Mira dan Cikgu Badrul dipandangnya bersilih.

"Mira marahkan saya lagi ke?" soal Diya lesu.

Kelihatan wajahnya berkerut menahan sakit yang masih bersisa. Mira mendekatkan kerusi rodanya ke arah Diya. Jari-jemari Diya digenggamnya erat. Rasanya aku yang patut tanya soalan itu, bisik hati Mira.

"Tak, kau tu yang patut marah kat saya, betul tak?" jawab Mira sambil berseloroh.

Diya menggeleng, senyum.

"Dah takdir kita tersurat macam ni, apa nak buat. Aku tak salahkan kau mahupun sesiapa. Ada baiknya sesuatu musibah yang kita tak iginkan itu, berlaku bagi menyedarkan kesilapan kita. Allah itu maha tahu, kadang-kadang yang kita sangkakan buruk itulah yang terbaik untuk kita," jelas Mira panjang lebar. Dah jadi pakar motivasi pula!

"Dengar tu, professor madya kita nak berucap, ayat siapa pula yang Mira tiru tu," ujar Saiful berseloroh.

Mira tersenyum, sekilas dia memandang wajah cikgu Ashraf.

"Arif Mulialah...yang ajar, siapa lagi," celah Nina pula. Sengihnya dilempar ke arah Mira.

"Oh...patutlah..." serentak suara itu dilaungkan di dalam wad.

Mira kehairanan. Dipandangnya satu persatu wajah makhluk di dalam wad itu. Semuanya tersengih macam kerang busuk.

"Apa kes pula menyengih semua ni, macam ada yang tak kena aje, korang bagi tahu..kalau tak aku mengamuk baru korang tahu nanti!" ugut Mira.

Pelik, macam sepakat sahaja pula!

"Mengamuk, sila, sila. Tiada masalah tu, cikgu Badrul boleh angkat masuk dalam wad lagi kalau cedera," ujar Saiful sambil tersenyum, mengusik. Tangannya memberi isyarat mempersilakan Mira mengamuk. Logik ke, yang si Badrul ni pula macam orang blur aje. Buat don't know sahaja namanya dikaitkan.

Semua melepaskan gelak. Hinggakan baby yang syok tidur pun terkejut. Haih...ini belum lagi cerita kedai kopi.

Dalam keceriaan suasana yang mempertemukan mereka, tiba-tiba muncul pula keluarga khairul di situ.

"Eh, Abang Khairul, Kak Intan dan Natasya ada di sini, ada temu janji dengan doktor ke?" Mira memusingkan kerusi rodanya ke arah mereka.

"Kami difahamkan oleh Nina yang Mira ada di wad hospital ini tapi kami tak jumpa Mira di bilik yang dikatakan menemapatkan Mira itu, jadi kami difahamkan kamu semua ada di sini." Khairul yang seperti jelmaan Dato Jalaluddin Hassan itu selamba dengan senyum nipisnya.

Cikgu Ashraf mengangkat keningnya, membuntangkan sedikit matanya. Seperti mempamerkan kekagetannya dengan kemunculan mereka yang tak dijangkanya itu. Masakan dia tidak kenal kak intan, sepupu terdekat bekas isterinya yakni Doktor Nelly, kerana orang tuanya terhutang budi dengan kerabat keluarga ini, dia terpaksa menerima untuk berkahwin dengan Doktor Nelly dan sedikit informasi yang diketahuinya juga iaitu, Natasya adalah anak kepada pasangan ini, juga ada bau-bau bacang dengan keluarganya, maka itu dia sering melepaskan Natasya daripada kesalahan dulu untuk memberi peluang kepadanya untuk berubah, namun sia-sia. Agaknya itu cara mendidik yang tak betul yakni lebih kepada melepas tangan mungkin. Dan inilah Natasya baru yang terlihat dihadapan matanya, dengan bekas luka dan lebam pada sebahagian anggotanya yang terlihat. Suatu pemandangan yang terjelma daripada sikap rakusnya dulu barangkali. Itulah telahan Cikgu Ashraf.

"Cikgu Ashraf, Cikgu Badrul, Mira , Nina dan Diya, saya minta maaf." Natasya menundukkan sedikit wajahnya kepada satu persatu empunya nama yang disebutkannya itu. mereka yang disebutkannya itu mengangguk senyum senang. Ungkapan yang sangat mudah disebut namun sukar diakui akhirnya terluncur juga dari lidah.

Dan inilah sebahagian suratan hidup mereka di sini. Bagaimana agaknya nasib Doktor Nelly dan apa kesudahannya rumahtangga Natasya dan Umairah yang bergolak? Bukan semua hal itu diketahui semua orang melainkan catatan hakiki yang terhafaz di lohmahfuz.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience