BAB 10

Humor Completed 44234

“Minggu depan kita ada tetamu,” kata Mak Leha.

Punggungnya dilabuhkan di atas sofa menghadap Mira di ruang tamu rumah mereka itu. Dia kelihatan semakin pulih selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tempoh hari.

Mira mengangguk saja tanda faham. Dia sudah biasa dengan tetamu yang sering berulang alik berkunjung ke rumah mereka itu. Tetamu yang berkunjung itu pun selalaunya sahabat ibu dan arwah ayahnya atau pun saudara mara yang terdekat.

“Mira mahu ikut mak pergi kerja esok, sudah lama Mira tak datang sana,” ujar Mira

Tiba-tiba Mira meluahkan hasrat hatinya pada Mak Leha. Dah lama rasanya dia tak bermesra dengan para pekerja di restoran mereka itu! Asyik berkepit aje dengan buku! Sekali-sekala apa salahnya jadi pekerja pula! Omel Mira dalam hati.

“Kalau Mira tak sibuk mak izinkan saja, tapi jangan sampai pelajaran terganggu nanti,” pesan Mak Leha kepada Mira.

Dia takut Mira leka. Budak sekolah ni bukan boleh harap sangat! Bila dah dibagi kelonggaran mulalah nak naik ‘tocang’. Itulah yang membuatkan Mak Leha enggan melepaskan Mira tanpa kawalannya.

ESOK yang dinanti telah pun tiba. Seperti biasa, para pengunjung restoran itu berpusu-pusu datang untuk menjamu selera. Tarikan utama sudah tentu sambal belacan air tangan ibunya. Sambal itu jugalah kegilaan Mira. kalau tak merasa sambal itu dalam sehari maka tak lengkaplah hidangannya. Mujur neneknya berjaya mencipta resepi itu.Tidak sia-sia resepi itu diturunkan nenek kepada ibunya pula.

Mira lagaknya seperti seorang waitres yang sudah terlatih dengan tugas-tugasnya. Dia tidak segan-segan melayan para pengunjung yang tiba menjamu selera di situ. Setakat nak tanya, nak makan dan minum apa? apalah sangat! Seronok lagi ada. Bisik hati Mira.

“Ini pesanan untuk meja nombor berapa mak cik?” Tanya Mira.

Sebuah dulang di atas meja ditatangnya lalu bertanya kepada mak cik penyedia makanan itu.

“Ini untuk meja nombor tiga nak, hati-hati bawa, panas tu!” pesan mak cik itu.

Senyumnya dilemparkan ke arah Mira yang bukan selalu dapat membantunya di situ. Hari ini bukan main rajin lagi. Kalau dapat anak yang rajin macam ni buat apa simpan dalam rumah! Jimat sikit menggaji pekerja. Fikir mak cik itu, Bagai nak memprotes pula tindakan majikannya menghalang Mira melakukan kerja-kerja di restoran itu. Dia tak tahu yang Mak Leha buat begitu supaya budak Mira tu dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran. Dan yang seharusnya dia tahu ialah, cara begitulah orang lain dapat peluang bekerja, macam dia sendiri…

“Mak cik relaks ya, Mira tolong buatkan,” kata Mira.

Bangga dapat membantu mak cik tua itu. Lalu dia pun pergi la membawa dulang berisi makanan yang dipesan itu. Pas la konon jadi waitres!

Prang! Bunyi mangkuk berlaga. Seorang lelaki yang baru memasuki restoran itu dilanggar oleh Mira bersama dulang di tangannya tanpa sengaja. Dulang yang berisi secamca sambal belacan dan semangkuk sup ayam itu menyimbah ke arah lelaki tersebut menyebabkan lelaki itu menggelupur kepanasan. Pantas tangan Mira mengambil air sejuk yang kebetulan ada di meja berdekatan dengannya lalu disimbah ke atas pakaian lelaki itu untuk tujuan mengurangkan kepanasan yang dirasainya. Mujur ada air lebihan daripada pelanggan di meja terdekat itu. itu pun air sirap berwarna merah. Adoi…manalah nak terfikir lagi, lantaklah air apa asal dapat mengurangkan panas dia! Apa lagi, baju lelaki itu pun terlihatlah macam peta dunia. Match betul corak warna sirap itu dengan latar putih.

“Maafkan saya encik, saya benar-benar tidak sengaja,” pohon Mira.

Mukanya tertunduk malu di hadapan lelaki yang berpakaian kemeja T berwarna putih itu. Dia takut jika lelaki itu bertindak menampar wajahnya pula yang sedang merona merah menahan malu ketika itu. Sudahlah dia jarang datang membantu di restoran itu, bila datang rajinnya, ada pula malapetaka yang berlaku! Nasib…..nasib….

Lelaki yang menjadi mangsa itu cuba menundukkan wajahnya untuk melihat wajah gadis yang tertuduk rasa bersalah di hadapannya itu. Macam kenal! Getus hatinya. Lelaki itu kemudiannya mengangkat sedikit wajah Mira.

“Mira!” kata lelaki itu sedikit terkejut.

Alangkah terkejutnya Mira. wajah lelaki yang tersimbah sup panas itu tadi sebenarnya Cikgu Ashraf yang dipujanya. Mira terpempan. Degup jantungnya berdetak bagaikan rebana yang di ketuk bertalu-talu. Rasa nak terkeluar perkataan I love you dari mulutnya kepada lelaki itu, mujur dia cepat tersedar siapa dirinya. Budak sekolah tak sedar diri! Mira menarik mukanya semula ke bawah, malu dengan perasaan sendiri yang menerpa spontan di fikirannya kala itu. Dahlah cikgu tu jadi mangsa sup panas, nak disambut pula dengan ungkapan I love you! Huh tak nak aku mencatat rekod baru dalam Malaysia Book Of Record! Hati Mira masih berdetik.

Aduh, apa pula katanya di sekolah nanti! Mana nak sorokkan muka aku ni…Nina tolong! Laung hatinya. Haha..dengan Nina nak minta tolong, nak kena tambah malu engkau tu adalah…Mira oii…

“Takpe Mira, cikgu tak marah, Mira tak sengaja, bukan?” kata Cikgu Ashraf cuba menenangkan Mira yang mukanya sudah kelihatan seperti termakan cili ketika itu. Selajur dia mempersilakan Mira duduk dengannya di sebuah meja sudut restoran itu.

“Mira buat apa di sini?” soal Cikgu Ashraf.

Yalah….nak tahu juga, pelanggan ke pekerja? Budak sekolah ni selalunya ada yang buat part time hujung-hujung minggu. Tapi takkan muka cantik macam ni…ops! fikiran Cikgu Ashraf menerawang jauh. Macam aja muka cantik tu hanya layak duduk di sebelah tan sri!

“Selamat pagi Cikgu Ashraf, awal datang hari ni?” sapa suara seorang wanita.

Belum sempat Mira menjawab pertanyaan Cikgu Ashraf, muncul pula suara wanita yang macam dikenalinya. Lalu dia menoleh ke arah suara itu. Sah! itu suara ibunya. Ha! Mak kenal Cikgu Ashraf? Soal hati Mira. sekali lagi Mira umpama ‘tergigit kutu’. Tak sangka Cikgu Ashraf ini famous sehingga dikenali ibunya. Hari ini benar-benar mencatat sejarah dalam dirinya.

“Selamat pagi mak cik, hari ini tiada urusan, jadi awal sikit la.. datang,” balas Cikgu Ashraf.

Senyum mesra di lemparkan ke arah Mak Leha. Setiap hari restoran inilah menjadi pilihannya. Selain kedainya senang dicari, masakan juga menepati citarasanya. Kalau dia tiada, pelanggan setia Mak Leha juga pasti sudah berkurang. Dia adalah sebahagian pelanggan setia Mak Leha, kalau tak duduk makan di kedai itu, pasti tapau dibawanya pergi. Malah, sebelum dia mengajar di SMK Abdul Rahim lagi pun, dia dah memang selalu mengunjungi restoran itu.

“Cikgu Ashraf ni, cikgu Mira ya?” soal Mak Leha.

Mira yang sejak tadi duduk diam di hadapan Cikgu Ashraf hanya mengganguk. Pura-pura seperti tiada apa yang telah berlaku antara dia dan Cikgu Ashraf. Kalau mak dia tahu soal mangkuk berlaga tu, pasti kena label tak reti buat kerja dapur! Huhu…tak nak aku! Gumam Mira dalam hati.

“Ya mak,” jawab Mira ringkas.

“Mira ni jarang datang sini, cikgu. Selalunya kalau datang pun sekejap sahaja.” Terang Mak Leha lalu meninggalkan Mira dan Cikgu Ashraf di situ.

Bukan sebab malas tau! Mak sendiri yang tak bagi! Mira membidas kata-kata Mak Leha dalam hati. Cuba menyelami fikiran Cikgu Ashraf yang belum tentu terfikir apa yang difikirkannya itu.

Bagai ‘dibius’ seketika Cikgu Ashraf mendengar perkataan Mak daripada mulut Mira sebentar tadi. Sungguh! dia tidak menyangka Mak Leha yang dipanggilnya mak cik sambal kerana kesedapan sambalnya itu sebenarnya ibu Mira.

“Oh….jadi yang kemalangan hari tu Mak Leha ibu Mira la…padan pun tak jumpa dia beberapa hari di restoran ini sewaktu kejadian itu,” kata Cikgu Ashraf.

Teringat dia pada peristiwa Pak Ayub datang menjemput Mira di sekolah kerana kecelakaan yang berlaku kepada ibunya itu. Dia jugalah yang menghantar Mira dan Pak Ayub ke hospital walaupun tidak sempat bertemu pesakit kerana dia terkejar-kejar masa ketika itu.

“Ya, cikgu,” jawab Mira.

Macam anak kecil saja ulahnya yang hanya tahu mengangguk apabila diajukkan soalan oleh orang yang baru dikenalinya. Mengangguk saja mengalahkan burung belatuk!

“Cikgu tak pernah terfikir pun kedai ini milik keluarga Mira, selalu juga cikgu datang sini sebelum ni tapi tak pernah nampak pun kelibat Mira walau sekali” kata Cikgu Ashraf lagi.

Seperti biasa senyumnya itu tak pernah hilang di bibir. Senyuman itulah yang membuatkan Mira jadi tak keruan. Senyum itulah yang menghiasi setiap sudut dinding di ruang biliknya. Gila bayang!

Cikgu Ashraf menatap wajah Mira. wajah yang ada dihadapannya itu seolah-olah bukan wajah yang dikenalinya sebagai pelajar sekolah yang biasa memakai uniform putih dan biru. Mira yang ada dihadapannya ketika itu cukup bergaya dengan stylenya yang tersendiri. Sangat menyerlah keanggunannya sebagai gadis remaja. Cantik. Puji Cikgu Ashraf dalam hati.

Kemesraan yang ditunjukkan Cikgu Ashraf membuatkan Mira lupa apa yang berlaku tadi. Senyumnya mula terukir dan sekali-sekala ketawa dengan lawak Cikgu Ashraf. Keserasian mereka berdua mula terasa.

“Padan pun tersimbah sup ayam ke baju cikgu, jarang datang sini rupanya…nah, lihat baju cikgu ni, dah bertukar warna. Belum lagi lihat warna kulit cikgu dalam baju ni, dah tukar jadi kuda belang agaknya,” usik Cikgu Ashraf kepada Mira yang sudah berjaya dijinakkannya.

“Ngee…nanti Mira hadiahkan sekotak plaster,” jawab Mira dengan aksi tangan seperti menyembah raja aja gayanya. Mereka berdua ketawa.

“Ibu kata, Mira jarang datang sini, kenapa? tak suka ya kerja-kerja restoran?” soal Cikgu Ashraf.

Ibu? Dia panggil mak aku ibu. Wah, peluang besar ni! Mira buat-buat malu.

“Eh, tak cikgu..mak yang tak benarkan pergi selalu.”

Mira menjawab pantas. Dalam hatinya tak nak cikgu itu fikir yang dia liat buat kerja dapur. Menantu pilihan mesti pandai masak. Mira berangan.

“Mak sayanglah ya, anak emas la ni,” usik Cikgu Ashraf sambil mengukir senyum.

Matanya mencerlung memandang Mira. Benar-benar kagum dengan kecantikan yang Allah pinjamkan kepada makhluknya yang bergelar hawa di hadapannya itu. Mungkin sebab tumpuannya di sekolah lebih terarah kepada mendidik anak-anak muridnya, membuatkan dia terlepas pandang pada keindahan paras yang dimiliki pelajar dihadapannya ini. Sempat Cikgu Ashraf beristighfar kerana berimaginasi yang berlebihan dalam hatinya.

“Eh, taklah cikgu, saja mak tu tak bagi,” balas Mira pula. Tak nak dia dikata anak emas.

Mira menurunkan pandangan matanya ke bawah, gedik-gedik aku ni pun dalam hati aje! Fikir Mira. Tak sanggup dia bertentang dengan pandangan redup Cikgu Ashraf yang benar-benar mencairkan hati gadisnya. Yang ada di fikiran kala itu hanya satu, kau milikku dan aku milikmu. Denyut jantungnya berdetak luar biasa.

“Cikgu nak makan apa, Mira boleh tolong pesankan?” tanya Mira menukar topik perbualan. Keasyikan berbual tadi membuatkan Cikgu Ashraf lupa tujuannya yang sebenar ke situ. Lupa yang dia itu sebenarnya berada di kedai makan, bukan bercanda di taman bunga.

“Baiklah, pesankan Cikgu nasi goreng kampung dan sambal belacan kegemaran cikgu tu,” jawab Cikgu Ashraf.

Mereka berbalas senyum. Macam tahu-tahu aja makanan kegemaran masing-masing. Inilah mungkin yang dinamakan keserasian. Bila Si A suka itu, pasti Si B juga menyukainya, klise!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience