BAB 31

Humor Completed 44246

Jeritan tahap halilintar membuatkan Nina dan Mira terbangun dari tidur. Jam di dinding baru menunjukkan pukul satu pagi.

“Siapa pula?” Nina terintai-intai di sebalik tingkap biliknya. Nina meluru ke bilik Mira, memastikan apa yang didengarinya itu didengari juga oleh Mira.

“Kau dengar ke siapa jerit tadi tu, macam dekat aje.” Nina melabuhkan punggungnya di atas tilam Mira setelah pintu bilik yang di ketuk dua tiga kali itu dibuka.

“Dengarlah, aku pun terkejut tadi, tengah-tengah malam apa hal, Kak Intan gaduh ke dengan Abang Khairul?” jeritan yang begitu jelas kedengaran membuatkan andaian itu bermain di kepala Mira.

“Jom kita turun tengok.” Nina rasa cemas pula. Kalau orang benar-benar dalam bahaya, tak ke dia rasa bersalah sebab tak ambil tahu langsung. Nina meletakkan jawapan itu dalam dirinya.

Ketika Mira dan Nina mula melangkah menuruni anak tangga rumah, sekali lagi terdengar jeritan disusuli ungkapan yang tak jelas kedengaran, lantas itu juga pintu rumah mereka diketuk bertalu-talu. Hampir saja Nina jatuh kerana dikejutkan dengan ketukan yang kuat itu. bermacam andaian muncul dibenak fikiran mereka. Apakah kerana Kak Intan dah tahu yang aku pernah ditumpangkan dan makan bersama Khairul membuat mereka bergaduh besar? Kecut perut Mira memikirkan kemungkinan itu berlaku ketika ini.

“Mira! Nina!” laungan suara dari luar memanggil mereka. Mira berlari anak ke arah pintu. Esak tangis suara itu jelas kedengaran. Apa yang berlaku harus di depani. Mira menguatkan hatinya.

“Mira, tolong anak kami, dia mengamuk mencederakan dirinya.” Kak Intan dalam keadaan tidak terurus teresak-esak di depan pintu mereka. Mira dan Nina mengikuti langkah Intan, melihat keadaan anak yang dikatakan Intan itu.

Dari muka pintu rumah Kak Intan Mira dan Nina melihat Khairul sedaya upaya mententeramkan anaknya yang sedang dirasuk itu, Nina dan Mira meluru untuk membantu. Akhirnya mereka terpaksa mengikat kedua belah tangan mangsa itu ke belakang dan dibawa segera ke hospital. Tiada apa yang mampu Mira lakukan walaupun dia bergelar doktor untuk menyelesaikan masalah anak itu. ubat penenang harus diberikan segera dan tentu sekali ubat-ubatan ini tidak dimilikinya di situ, rawatan di hospital adalah jawapan yang tepat.

“Kenapa dengan Natasya ni Kak Intan dan Abang Khairul?” Mira mula membuka soalan setelah anak mereka telah dibawa ke bilik rawatan kecemasan. Benar-benar tak menyangka rakan lama mereka ini, kini menjadi jiran pula. Yang lebih menyayat hati, menemuinya dengan cara yang sangat tidak disangka begitu keadaannya. Wajahnya memang sukar nak dicam mujur nama yang tertera pada IC itu mengingatkan Mira dan Nina pada empunya diri itu.

“Dah hampir setahun dia tak keluar rumah apatah lagi keluar bekerja, sejak peristiwa suaminya berkahwin dengan sahabatnya sendiri, dia tak boleh menerima kenyataan, tak cukup dengan itu dia dipukul pula selalu oleh suaminya itu dan sekarang lelaki itu hilang entah ke mana. Kamu kenal ke Natasya, rasanya Natasya ni tak pernah kamu lihat, yelah, dia tak pernah keluar rumah sekarang, hidupnya banyak dihabiskan dengan tidur disebabkan ubat-ubatannya dan sejak akhir-akhir ini keadaannya mula kembali teruk, mencederakankan dirinya dan membuang ubat-ubatannya, tu yang berlaku semalam tu. Entah macam mana dia boleh cari ubatnya yang Kak Intan simpan lalu dibuangnya hingga habis, ini kelalaian Kak Intanlah kali ini.” Kak Intan mengesat air matanya. Bermacam cara dah dilakukan untuk menyembuhkan jiwa Natasya yang kacau itu tapi tak berkesan. Satu-satunya cara yang mereka lakukan untuk membuatkan dia diam adalah ubat untuk menidurkannya.

“Kami berdua rakan sekolah Natasya, Kak Intan.” Mira melaungkan istighfar didalam hatinya. Beberapa hari lepas mereka menemui Umairah yang baru dan kini Natasya pula, juga Natasya yang baru. Hati Mira dan Nina sangat-sangat terusik dengan keadaan yang menimpa dua sahabat yang memusuhi mereka sewaktu di bangku sekolah dahulu. Bagi Mira apa yang menimpa mereka ini adalah cerminan dirinya. Melihat diri orang lain bermakna kita melihat dimana tahap diri kita ketika itu, adakah kita seteruk mereka atau jauh labih baik, semua itu adalah kewaspadaan diri. Mira dan Nina memutuskan untuk menemui Natasya di dalam bilik rawatan itu setelah mereka difaham keadaannya telah pulih.

“Natasya kenal kami lagi?” Mira menghulurkan tangan untuk bersalam, begitu juga dengan Nina. Natasya mengalihkan badannya, mengelak daripada dipandang oleh Mira dan Nina setelah salam tangan mereka disambut dingin. Tiada kata-kata terucap dari bibirnya. Wajah cengkung dan tidak terurus itu mengundang rasa belas dalam diri Mira dan Nina di situ.

“Takpelah, dia tak nak diganggu tu.” Nina menarik tangan Mira untuk keluar semula.

“Mira, Nina.” Langkah Mira dan Nina terhenti apabila Natasya tiba-tiba memanggil. “Kenapa kamu tolong saya, kan lebih baik biarkan saya mati di tangan saya sendiri, saya ni manusia tak guna!” kelihatan air mata Natasya merembes laju ke pipinya yang cengkung. Terlihat gambaran derita daripada paparan wajahnya itu. bekas lebam dan luka pada muka dan anggota badannya jelas kelihatan. Sedih menyelubungi hati Mira dan Nina melihat dan mendengar ungkapan yang mungkin tidak dimaksudkannya itu, kelihatan dada Natasya berombak laju menahan sebak. Natasya memalingkan kembali wajahnya membelakangi Mira dan Nina.

“Natasya ni satu-satunya anak kami, dia susah sikit nak dikawal, memaksa abang menyekolah nya di sekolah kamu dulu dengan harapan dia tak berapa bebas bergaul dengan budak-budak nakal di ibu kota ini, tapi tiada apa yang berubah.” Khairul cuba mengukir senyum. Mengimbas kembali zaman kedegilan Natasya.

Mira dan Nina memohon diri untuk pergi. Betapa dunia ini terlalu kecil untuk memencilkan diri. Yang berbuat salah tetap ada timbalnya, yang berbuat baik pasti ada imbalannya, tapi manusia mana tak pernah tergelincir? Umpama dunia glamor yang tak pernah lepas daripada kesensasian yang mengujakan dan tak pernah sepi daripada gosip-gosip liar yang menjengkelkan begitulah corak kehidupan. Bukanlah kehidupan namanya jika tak bercorak dengan masalah. Andai si pesalah sahaja ada, siapakah pula yang harus memikul pahala daripada hasil menabur benih kebaikan dan andai si perfect sahaja pula yang wujud ke mana ilmu itu akan dimanfaatkan. bukankah orang yang zalim dan daif itu dahagakan belaian jiwa yakni ilmu? Hidup ini tak’kan sunyi daripada masalah, yang menjadi pokoknya di sini ialah bagaimana harus kita mendepaninya. hanya orang-orang yang sabar mampu mendepaninya dengan baik, mungkin tidak bagi aku tapi aku akan Belajar. Pendek kata manusia itu saling menyempurnakan dan tentu sekali tiada manusia yang benar -benar sempurna.

Daripada kisah Khairul dan keluarganya, telah tercipta dimensi baru dalam kehidupan Mira iaitu jangan mengukur seseorang itu dengan pandangan luaran sahaja, pandanglah lebih jauh untuk lebih memahami keperibadiannya. Selamlah ke dasar lautan dalam dan kita akan dapati sebuah peti longgokan emas atau kita akan kembali ke darat dengan sebelah kaki kerana dimakan jerung, begitulah mungkin kesulitannya untuk memahami jiwa seseorang, sama ada kita memperolehi longgokan ilmu pengajaran baru yang berharga daripadanya atau kita menjadi mangsanya sebagai ilmu sempadan. Umpama bait-bait puisi yang kabur atau tidak jelas maksudnya, boleh saja orang ertikannya sebagai mempamerkan kebodohan semata-mata tapi tidak bagi yang berfikiran kritis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience