BAB 46

Humor Completed 44234

Jam di dinding menunjukkan pukul sepuluh malam. Mira cuba melelapkan matanya namun matanya enggan lena. Terasa dirinya begitu kejam kerana tidak peka dengan perasaan Diya dan rasa diperbodohkan oleh Cikgu Ashraf yang cuba menyembunyikan statusnya yang bergelar suami suatu ketika dulu. Argh, alangkah bodohnya aku jatuh cinta dengan suami orang! Kenapa semua ini muncul lagi setelah aku sudah Berjaya melupakannya! Dia mendengus kasar lalu bangkit mendapatkannya telefonnya yang bergetar dua tiga kali di atas meja di sudut biliknya.

~Jumpa lepas waktu pejabat esok di tempat biasa~

~Baik~

Pantang kalau Shah mengajak dia tak akan datang. Bukan kerana Shah tempat dia meluahkan segala isi hatinya tapi dia rasa relaks bersama dengan Shah atau dalam bahasa lain rasa kosongnya sedikit terisi.

“Aii…tak tidur lagi, dari tadi aku nampak kau ni macam kucing nak beranak aje.”

Muka Nina terjengul di depan pintu bilik Mira yang sedikit terkuak. Walaupun Nina tahu Mira bukanlah spesies manusia yang suka meluahkan masalahnya, tetapi dia sebagai sahabat karib, boleh tahu Mira bermasalah melalui tingkah lakunya. Kalau nak dilaser pun, Mira tu bukannya budak kecil lagi malah jauh lebih bijak daripada aku! Nina menggelengkan kepala.

“Adalah kerja sikit,” balas Mira berselindung.

Malas dia nak bercakap panjang dengan Nina. Cakap tak cakap pun macam tahu-tahu saja nak membaca isi hatinya. Bukan nak marah dengan Nina tapi ada masa dia nak berbual dengan Nina. Kalau nak berbual dengan dia dalam masa yang singkat, memang tak akan sampai pada pointnya.

“Yang kau tu pun tak tidur lagi apa hal?” soal Mira pula.

Terjengul depan pintu orang macam penyibuk, nak jadi bodyguard! Mira memalingkan wajahnya. Tak mahu ayat tu terlafaz dari mulut, karang masalahku lagi kalut kalau Nina kepoh ni nak serang balas, bisik hati kecilnya.

“Aku nak siapkan kertas kerja, ada program minggu sastera nak diselesaikan,” jawab Nina jujur.

Esok ada janji temunya dengan superior sastera, minta pandangan dan pendapat mengenai program yang akan dianjurkan di sekolahnya.

Sia-sia dapat kawan superior kalau tak dapat ambil segala ilmu yang dia ada, fikir Nina.

PAGI ini, kepala Mira terasa berat untuk diangkat bangun daripada bantalnya. Tidurnya yang dilayan kembali setelah solat subuh membuatkan kepalanya berdenyut-denyut. Mahu tak mahu terpaksa juga bangun kerana tugas yang lebih penting menanti di hospital.

Uhuk! Segala isi perutnya terkeluar daripada mulutnya. Mira terkejar-kejar memasuki tandas di luar biliknya sambil menadah tangan ke mulut.

“Mira kenapa ni? kau sakit apa?” soal Nina bertubi-tubi.

Nina yang sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerjanya, terkejut dengan keadaan Mira yang muntah tiba-tiba. Hairan! Semalam macam kucing nak beranak, pagi ni macam kucing tercekik pula.

“Sakit kepala la…entah kenapa tiba-tiba aje,” balas Mira.

Selepas memuntahkan segala isi perutnya, dia meluru kembali ke biliknya lalu menjatuhkan badannya kembali di atas tilam. Kepalanya benar-benar terasa sakit.

“Ini mesti tidur lagi lepas subuh ni, kan atau eh? Masakan masih bujang….”

“Mulut tu jaga sikit, jangan fikir yang bukan-bukan,” tempelak mira.

Pantas saja dia menjawab andaian Nina yang belum pun sempat sampai ke titik noktahnya. Terlepas seketika dari merasai denyutan sakit kepalanya yang memualkan.

“Takde la… aku acah aje,” pantas Nina menayangkan sengihnya.

“Macam tak laratlah nak pergi kerja,” ujar Mira lagi sambil menggosok-gosok dadanya menahan mual.

“Cuti aje la…tulah banyak sangat nak memendam, tengoklah tu, dah dapat effectnya! Aku dah nak pergi kerja ni, kalau ada apa-apa telefon ajelah,” pesan Nina.

Sempat lagi melaser Mira yang sedang terbaring di atas tilam.

Setelah sejam terbaring menanti sakit kepalanya reda, Mira menggagahkan diri untuk ke tempat kerja. Walaupun sedikit lewat, tiada istilah baginya untuk curi tulang hanya kerana sakit yang masih mampu membuatkannya berjalan dan bangun.

“Mira, boleh abang jumpa sekejap?” sapa satu suara.

Langkah Mira yang agak longlai terhenti apabila Saiful tiba-tiba muncul memasuki pagar rumahnya.

“Kenapa dengan abang ni, selalu telefon dulu, ini tiba-tiba pula muncul, macam urgent aje?” selar Mira yang sedikit terkejut dengan kehadiran Saiful.

“Kalau abang telefon pun Mira tak akan angkat. Apasal tak kunci pagar ni, kalau orang jahat yang masuk dah lama korang kena rompak, kalau rompak aje tak apa lagi tapi kalau niat nak membunuh atau nak merogol macam mana?” Saiful menegaskan suaranya.

Sejak lelaki yang bernama Shah itu diketahuinya berkawan dengan Mira, hidupnya sudah tidak tenteram lagi memikirkan keselamatan Mira. bukan sebab dia ada bukti yang Shah itu berniat jahat terhadap Mira tapi sebab Mira tu yang terlalu mudah untuk diperdaya.

Dahlah kita telefon pun jarang nak dijawab, kalau jawab pun, tak ada apalah, tak ada apalah. Itu sajalah ayat yang keluar dari mulutnya, omel hati Saiful.

Mira hanya tersenyum kelat, ada benar kata abangnya itu tapi kadang-kadang rimas juga apabila terlalu dikawal oleh Saiful yang terlebih prihatin terhadapnya itu.

“Mira nak pergi kerja ni bang, lewat dah ni sebenarnya,” ujar Mira mahu mengelak.

Dahlah badannya tak berapa O.K, datang pula Saiful nak menyekat perjalanannya.

Mira meluru masuk ke dalam keretanya, membiarkan Saiful terkebil-kebil melihatnya memandu pergi dari situ. Saiful hanya menggelengkan kepala. Entah angin apa memasuki kepala Mira yang selalunya gembira menyambut kedatangannya. Datang 'bulan sabit' agaknya! saiful menyumbingkan mulutnya.

Dari pantulan cermin kereta, Mira memerhatikan sebuah jeep yang asyik mengekori keretanya sedari awal. Nak kata Saiful, dia tak pandu jeep! Tiba di satu selekoh yang agak lengang, jeep itu cuba memotong dan menghalang laluan kereta yang Mira pandu. Mahu tak mahu Mira terpaksa memberhentikan keretanya. Seorang lelaki yang berkaca mata hitam dan bertopi penuh di kepalanya cuba menghampiri keretanya, mengetuk-ngetuk pintu kereta, namun Mira enggan membukanya. Gaya lelaki yang sedikit mencurigakan itu membuatkan Mira berfikir panjang. Kut kut perompak siapa tahu! dada Mira mula berdebar, takut.

“Hoi, awak nak apa!”

Kelihatan lelaki itu berlari meloloskan diri ke dalam jeepnya sebelum meluncur laju. Angau! Tadi bukan main gila mengetuk pintu kereta kita, tiba-tiba pula berlari macam dikejar tudung periuk! Mira menyumbingkan bibirnya lantas menyandarkan kepala di kerusi.

Tok! Tok! Bunyi pintu keretanya diketuk di sebelah kiri pula. Dada Mira berombak lagi. Hantu mana pula lagi datang ni! Mira terintai-intai di balik cermin keretanya. Eh, Abang Saiful rupanya! Mira segera membuka pintu kereta.

“Siapa lelaki tadi tu?” meluru soalan Saiful sebaik Mira membuka pintu keretanya.

“Manalah Mira tahu, bang. Abang ke yang buat dia berlari tadi tu?” soal Mira selamba.

“Yalah, Nampak macam perompak aje, tu yang abang jerit kat dia tadi tu!” ujar Saiful, serius.

“Tak ada apalah tu, mungkin dia silap orang,” ujar Mira lagi.

Seperti tidak menghargai kepayahan Saiful mengekori perjalanannya hingga ke situ. kalau bukan Saiful yang membuatkan lelaki tadi tu melarikan diri, entah apa yang lelaki itu mahukan. Degup jantungnya hanya Tuhan saja yang tahu tapi dia tak mahu Saiful terpaksa mengejarnya dua puluh empat jam pula apabila Saiful tahu perasaan takutnya.

“Kenapa tak buka saja pintu kereta tu tadi kalau berani sangat, tak ada apa! Tak ada apa! Tahu pun pucat, kan,” tempelak Saiful.

Geram dengan perangai Mira yang berkepala batu. Kalau nak tunjuk ego pun biarlah kena pada tempatnya. Apa kena lalo seorang ni! saiful membuntangkan matanya ke arah Mira.

“Dahlah bang, esok aje Mira jumpa abang ya,” pujuk Mira lalu memandu keretanya meluncur laju di jalan raya yang lengang itu.

Saiful ditinggalkan lagi terpinga-pinga sendirian. Sah, perempuan datang bulan! Saiful menggelengkan kepala sambil menyumbingkan bibirnya.

Padan pun hati aku tak sedap membiarkan Mira tanpa kuekori tadi, inilah pula sebenarnya yang berlaku! Kata hati Saiful.

Saiful terpaksa mengalah, biarkanlah Mira dengan angin kus-kusnya itu. Masakan aku nak kejar dia sampai ke hospital pula, tahulah dia tu nak jaga diri! Putus Saiful bosan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience