BAB 28

Humor Completed 44234

“Haha…macam mana kereta kau tu boleh tak hidup pula, okey okey saja sebelum tu, tiba-tiba pula meragam, tak padan kereta baru.” Nina gelak seketika sambil mengeringkan rambutnya menggunakan tuala.

Pantang bagi Nina kalau tak keluar dulu gelaknya, bukan suka sahabatnya itu terima musibah tapi, dah jadi taglinenya untuk menggelakkan Mira yang juga suka menempelak itu.

“Ai..gelak pula dia, karang kena kat kau baru padan muka,” tempelak Mira.

“Dapat juga kau rasa naik kereta mewah mamat tua kat sebelah tu ya,” usik Nina lagi.

“Hah, macam ajelah kita ni kemaruk sangat naik kereta dia tu, kau tu yang nak mungkin sebab Shahir tu naik basikal aje,” tempelak Mira lagi sambil tersenyum mengusik.

“Amboi mulut, Shahir aku kau jangan masuk campurkan pula, karang penumbuk ni melayang kat hidung tu, tak fasal-fasal pula kau tumpang kereta mamat tua tu lagi pergi hospital.” Nina mengacukan penumbuknya.

“Hahaha…kan dah kena.” Mira menjongketkan keningnya ke arah Nina. Usik mengusik memang tak akan habis kalau duduk bersama.

“Apalah yang dia cerita kat kau dalam kereta tu, dia kata I love you ke?” Nina yang suka menyerabutkan kepala Mira itu selamba lagi nak memanjangkan cerita.

“Yang nak tahu sangat tu kenapa?” Mira sudah naik cuak. Mentang-mentang kita ni tak berlaki macam dia, ada-ada aje soalan basi nak diajukkan. Mira menarik muka masam.

“Hah, itu pun nak marah.” Nina pula mencuka.

“Adalah juga, dia kata ada doktor saudara isteri dia kerja kat hospital tu tapi dia tak ingat pula nama doktor tu,” balas Mira bersahaja.

“Ye ke, tulah tu kalau dah tua, nama saudara pun dah tak ingat,” balas Nina pula.

Kring!kring! telefon Mira berdering. Tertera nama ‘Khairul jiran’ di depan skrin telefonnya. Dia nak apa? Tak habis lagi kita bercerita fasal dia tiba-tiba pula muncul panggilan, agaknya impuls dah memainkan peranan dalam diri Khairul. Mira teragak-agak mengangkat telefon di hadapannya.

“Assalammualaikum…Mira kat hospital ke?” suara Khairul di hujung talian. Nina menyuakan telinganya mendekati telefon bimbit Mira, cuba mendengar apa yang dikata pemanggil itu. Mira pula menepis telinganya. Sibuk je! bisik hatinya.

“Tak encik, err..abang, saya kat rumah dengan Nina, kenapa?” balas Mira sopan. Tersasul-sasul pula panggilan gelaran kepada jirannya itu.

“Abang nak belanja Mira makan kalau Mira sudi.” Selamba suara Khairul itu menyuarakan hajatnya.

Ai…naa, orang tua ni terlebih gula pula dah. sempat Mira mengutuk. Apa dimahukan Khairul tiba-tiba nak ajak makan, dia tak tahu. dia dah cuba menolak tapi seperti biasa Khairul kedengaran beria-ia sangat nak belanja. rezeki jangan ditolak! Lagipun Khairul pernah disusahkannya ketika keretanya rosak, apalah sangat setakat menunaikan permintaan orang yang nak kongsi rezeki! Walaupun terdetik di hatinya tentang Kak Intan mungkin bakal mengamuk kalau dia tahu, tapi tak apa, Nina, kan ada, minta teman dengan Nina ajelah! Mira meyakinkan hatinya.

“Jom, temankan aku keluar sekejap, ada hal orang nak jumpa.” Mira menarik tangan Nina mengikutinya. Nina hanya terkebil-kebil, sejak bila tahu memaksa orang nak temankan dia keluar ni, selalu berlenggang seorang! Nina pula naik pelik, mahu tak mahu terpaksa juga mengikuti langkah Mira tanpa banyak soal.

“Eh, abang Khairul ke yang telefon tadi tu, kau dah gila ke makan sama dengan dia kat sini ni, karang Kak Intan menyerang mampus kita, hei, dia ni nak babitkan aku pula dengan pertemuan dia yang tak dirancang ni, sedap je nak tunaikan permintaan Si Khairul yang dia baru kenal sehari tu!” bebel Nina. Mira pula meneruskan sahaja langkahnya mendekati meja yang diduduki Khairul.

“Anggap ajelah seorang ayah ajak makan sama, dia ni banyak soal pula.” Mira meleretkan senyum seketika. Kalau bukan sebab Khairul pernah membantunya, dia pun tak nak sengaja menunaikan permintaan Si Khairul yang Nampak miang miang keladi itu.

“Eh, Nina pun ada, sila, sila.” Khairul senyum lebar sambil melambai tangan memanggil pekerja di situ.

“Mira ni penakut, Abang Khairul, nak pergi toilet pun Nina kena temankan dia.” Nina senyum sinis. Macam tak suka aje aku ada sekali! Nina menyiku Mira.

Mira menelan air liur, nak ketawa pun ada dengan statement Nina takut pergi toilet itu. jangan terlebih laser dia tu sudah! Mira melirik senyum ke arah Nina.

“Sebenarnya baru abang teringat nama doktor yang abang cakap hari tu, tu yang nak khabar pada Mira tu.” Khairul mencantikkan senyumnaya.

Mira rasa nak tergelak, nak khabar perkara tu pun macam nak selesaikan masalah Negara, haih…taktik lelaki kalau mengurat tapi tak laku adalah konon jalan dia nak capaikan hajatnya! Seperti biasa intuisi Mira yang selalu tersasar itu kembali berlegar di kepalanya.

“Oh, ye ke.” Mira buat muka teruja. Tak naklah konon Si Khairul itu kecil hati yang terpaksa bersusah payah mencari jalan untuk menyampaikan perkhabaran tentang doktor yang dikatakan saudara Maranya kat tempat kerjanya itu.

“Doktor Nelly namanya tapi tak tau pula dia di bahagian jabatan mana, Mira kenal dia?” Khairul mencerlung memandang wajah Mira.

“Oh, doktor tu kenal, kan, ada kau cakap dengan aku hari tu.” Nina memijak kaki Mira di sebelahnya. Lantas pandangan Khairul beralih arah. Air dalam mulut Mira hampir tersembur. Sekali lagi Nina mengenyitkan sedikit matanya ke arah Mira. memberi isyarat supaya Mira faham ada maksud di sebalik tingkah lakunya itu.

Haih..pandang anak dara orang macam nak terkeluar biji mata, kalau bujang lagi takpe, ini dah tua bangka! Nina pura-pura senyum. Berjaya juga aksi spontannya itu meleraikan pandangan mata Khairul yang bermaksud itu kepada Mira.

“Ah, ya ya kenal, sebab Mira pun masih baru sana jadi tak berapa cam sangat lagilah mukanya tapi nama memang pernah dengar.” Spontan Mira menjawab. Apa yang terfikirkan di kepala Nina memintanya bertindak sebegitu dia tak tahu, walhal dia tak kenal pun siapa doktor yang bernama Nelly itu.

“Hmm…baguslah tu, ada masa kita kumpul makan sama-sama di rumah abang.” Khairul senyum teruja sambil mengecilkan matanya memandang Mira. Nina pula hampir termuntah melihat aksi Khairul yang berlagak Jalaluddin Hassan di hadapannya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience